Oleh Nik Salida Suhaila Nik Saleh
KADAR minimum mahar bagi orang kebanyakan (tidak termasuk puteri Sultan, kerabat dan orang besar) bernilai RM300 yang ditetapkan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) bagi setiap akad pernikahan bermula 2010 bukan satu beban kepada setiap ketua rumah tangga yang mampu menunaikan tanggungjawab sebagai suami.
Seiring nilai mata wang yang bertambah besar dan keperluan menguruskan majlis akad, nilai itu masih dianggap rendah dan tidak menjadi sebab sesebuah perkahwinan tidak boleh didirikan. Malah, tidak pernah ada keluhan mengenai ketidakmampuan menyediakan mahar daripada pihak lelaki yang ingin berkahwin.
Bebanan sebenarnya ialah wang dan barang hantaran, kos pelamin, bilik pengantin, persalinan, solekan, cenderahati untuk tetamu dan kenduri kahwin yang sering kali diadakan melampaui kemampuan sebenar.
Hakikatnya, mahar tidaklah menjadi sumber kewangan bagi setiap isteri yang baru dikahwini untuk memulakan hidup berumahtangga kerana hikmah mahar adalah sebagai penghormatan terhadap wanita yang tidak boleh dimiliki sebagai isteri secara percuma.
Sebab itu juga, jumlah mahar tidak semestinya lumayan tetapi sebaik-baiknya mesti dengan kadar yang mampu dan disenangi pihak yang memberi. Ia sekali gus menghapuskan adat jahiliah yang merendahkan golongan wanita dan betapa mereka boleh ‘dimiliki’ dan ‘dicerai’ sesuka hati tanpa perjanjian dan kerelaan kedua-dua belah pihak.
Ia bukan juga jual beli barangan di pasar yang hanya mempunyai ‘tawaran’ dan ‘penerimaan’ seperti didakwa oleh pejuang hak wanita Barat, sebaliknya simbolik penyerahan tugas dan tanggungjawab daripada wali wanita kepada bakal suami yang dikahwini melalui waad berserta saksi dan lafaz ijab dan qabul yang jelas.
Mahar juga sebagai tanda kesanggupan bakal suami untuk memikul tanggungjawab membina rumah tangga dan persiapan awal pemberian nafkah zahir serta kewajipan yang wajib dilakukan bermula saat pertama diijabkabulkan. Hikmah pemberian daripada pihak lelaki ialah supaya kita memahami bahawa suamilah yang diperintahkan untuk menyediakan segala keperluan kepada si isteri, bukan sebaliknya.
Yang sepatutnya menjadi wala’ dalam perbincangan hari ini bukanlah kadar mahar yang sepatutnya ditentukan tetapi mengenai pemahaman seorang lelaki yang bakal bergelar suami. Islam juga tidak menetapkan kadar terendah, sederhana atau paling tinggi dalam pemberian mahar kerana tidak mahu membebankan umat, sebaliknya memberikan kebebasan kepada kedua-dua pihak yang ingin mendirikan rumah tangga berbincang kadar yang sepatutnya mengikut kedudukan bakal isteri dan kemampuan bakal suami.
Hari ini, perbincangan antara kedua-dua belah pihak selalunya lebih menjurus kepada kadar hantaran dan bukannya mahar.
Inilah yang menyebabkan segelintir pasangan yang ingin berkahwin terpaksa menangguhkan atau melupakan hasrat mendirikan rumah tangga sehinggalah pihak lelaki dapat mencukupkan wang hantaran yang diminta untuk belanja kenduri di sebelah pihak perempuan, sedangkan pihak lelaki juga harus menyediakan sejumlah peruntukan untuk kenduri di pihak lelaki.
Bencana dalam adat dan budaya yang melampaui kehendak hukum masih tidak begitu diawasi oleh umat Islam hari ini, termasuk dalam soal mendirikan rumah tangga. Rukun nikah kurang dihayati, mahar dan walimah pula mengurangkan pahala ibadah kerana syarak tidak ditepati.
Ia mungkin menjadi sebab banyak ‘masjid’ yang ‘retak’ kalaupun tidak ‘runtuh’ kerana ‘jemaah’ nya yang sakit dan tidak diubati. Kalau ‘imam’ nya elok, ‘makmum’ pula yang tidak mengikut, ada pula yang ‘makmum’ nya patuh tetapi ‘imam’ pula yang tidak boleh diturut.
Sewajarnya faktor material tidak boleh menjadi sebab pernikahan tidak mampu dilangsungkan tetapi kemampuan menjalankan tanggungjawab itulah yang wajib menjadi pertimbangan sebelum mendirikan perkahwinan.
Golongan wanita diletakkan di tempat yang tinggi dan tiada kurangnya daripada lelaki, jadi mereka tidak harus merendah diri sehingga mengabaikan perintah agama demi lelaki yang dicintai. Risiklah peribadi bakal suami agar tidak tersalah pilih pemimpin yang tidak sepatutnya ditaati.
Sumber : BHarianOnLine 2009/12/17
“YA ALLAH, AKU BERLiNÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA PERASAAN SEÐiH ÐAN ÐUKACiTA, AKU BERLINÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA LEMAH ÐAN MALAS, AKU BERLiNÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA BAHKiL ÐAN PENAKUT ÐAN AKU BERLiNÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA BEBAN HUTANG ÐAN TEKANAN PERASAAN.”
“YA ALLAH, BUKAKANLAH UNTUKKU PiNTU-PiNTU KEBAiKAN, PiNTU-PiNTU KESELAMATAN, PiNTU-PiNTU KESiHATAN, PiNTU-PiNTU KENiKMATAN, PiNTU-PiNTU KEBERKATAN, PiNTU-PiNTU KEKUATAN, PiNTU-PiNTU CiNTA SEJATi, PiNTU-PiNTU KASiH SAYANG, PiNTU-PiNTU REZEKi, PiNTU-PiNTU iLMU, PiNTU-PiNTU KEAMPUNAN ÐAN PiNTU-PiNTU SYURGA, YA ALLAH YANG MAHA PENGASiH LAGi MAHA PENYAYANG.”
Isnin, Disember 21, 2009
Pemberian mahar menandakan tanggungjawab suami
Susunan :
Bawang Goreng
pada
12/21/2009 09:27:00 PG
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
0 KOMEN:
Catat Ulasan
Kongsikan komen anda di sini...