وَلَوۡلَآ إِذۡ دَخَلۡتَ جَنَّتَكَ قُلۡتَ مَا شَآءَ ٱللَّهُ لَا قُوَّةَ إِلَّا بِٱللَّهِۚ إِن تَرَنِ أَنَا۟ أَقَلَّ مِنكَ مَالاً۬ وَوَلَدً۬ا
(Surah al-Kahfi [018], ayat 39)
Keterangan Ayat :
Daripada Anas r.a. bahawa Rasulullah SAW bersabda maksudnya, “Sesiapa yang melihat sesuatu yang mengagumkan, maka hendaklah dia membaca ayat di atas ini. Nescaya dia tidak akan memudaratkannya.” (Hadis Riwayat Ibnu Sunni)
Al-Imam Abu Muhammad al-Qadhi al-Hussein menceritakan dalam kitabnya al-Taliq Fil Mazhab bahawa, pada zaman dahulu, seorang nabi yang merasa kagum dengan bilangan umatnya yang ramai lalu dalam sekelip mata seramai 70,000 umatnya telah meninggal dunia.
Lantaran itu, Allah SWT telah mewahyukan kepadanya, “Jika kamu meminta perlindungan Allah dengan membaca doa seperti di atas tentulah Allah akan memelihara mereka.”
Menurut Ibnu Qayyim al-Jauziyyah, amatlah dituntut ke atas setiap individu yang merasa kagum terhadap nikmat Allah yang dianugerahkan kepadanya seperti kebun, tanah, rumah, harta, keluarga dan anak-anaknya agar membaca doa ini. Semoga dipelihara Allah daripada segala bencana. (al-Wabil al-Sayyib, Bab Zikir dan yang dibaca untuk terus mendapat nikmat)
Khasiat dan Kaifiat Beramal
Amalkan membaca ayat di atas apabila melihat sesuatu yang mengagumkan agar terpelihara daripada kejahatan mata yang tidak disengajakan. (Fathul Bari, baba Memohon Perlindungan Allah daripada Mata yang Jahat. Al-Azkar, Bab Apabila Melihat Sesuatu Yang Menakjubkan pada Diri, Anak atau Harta, Lalu Dia Merasa Takut akan Pandangan Mata yang Jahat)
Sumber : UtusanOnLine 10/12/2009
0 KOMEN:
Catat Ulasan
Kongsikan komen anda di sini...