“YA ALLAH, AKU BERLiNÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA PERASAAN SEÐiH ÐAN ÐUKACiTA, AKU BERLINÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA LEMAH ÐAN MALAS, AKU BERLiNÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA BAHKiL ÐAN PENAKUT ÐAN AKU BERLiNÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA BEBAN HUTANG ÐAN TEKANAN PERASAAN.”


“YA ALLAH, BUKAKANLAH UNTUKKU PiNTU-PiNTU KEBAiKAN, PiNTU-PiNTU KESELAMATAN, PiNTU-PiNTU KESiHATAN, PiNTU-PiNTU KENiKMATAN, PiNTU-PiNTU KEBERKATAN, PiNTU-PiNTU KEKUATAN, PiNTU-PiNTU CiNTA SEJATi, PiNTU-PiNTU KASiH SAYANG, PiNTU-PiNTU REZEKi, PiNTU-PiNTU iLMU, PiNTU-PiNTU KEAMPUNAN ÐAN PiNTU-PiNTU SYURGA, YA ALLAH YANG MAHA PENGASiH LAGi MAHA PENYAYANG.”


Rabu, Disember 02, 2009

Anak Hiperaktif (ADHD)



Gambar hiasan

Perasaan marah, cemas dan gusar sering membelenggu ibu bapa setiap kali menerima panggilan atau surat daripada pihak sekolah yang mengatakan anak mereka nakal, tidak mendengar ajaran guru malah mendapat keputusan yang lemah di dalam kelas. Sifat anak yang tidak boleh duduk diam dan asyik bermain kemungkinan disebabkan sejenis sindrom dipanggil hiperaktif (attention deficit hyperactivity disorder - ADHD).

ADHD biasanya lapan peratus ke 10% dikesan bagi kanak-kanak yang sudah bersekolah. Lelaki adalah tiga kali ganda lebih ramai menghidap ADHD berbanding kanak-kanak perempuan. Ibu bapa boleh memastikan anak mengalami ADHD jika mereka kelihatan lebih bertenaga daripada biasa, cepat gelisah serta hilang tumpuan.

Pakar Pediatrik berkata kanak-kanak ADHD gemar bertindak sebelum berfikir, terlalu aktif dan sukar menumpukan perhatian terhadap sesuatu tugas. Kanak-kanak ini boleh memahami dan berfikir, tetapi tidak mengendahkannya. Sememang lumrah semua kanak-kanak bersikap begini, tetapi bagi ADHD, perangai mereka agak luar biasa nakal daripada kebiasaannya, terutama jika berminat terhadap sesuatu perkara baru. Kelemahan bagi kanak-kanak ini ialah mereka sukar bergaul dengan masyarakat serta lemah dalam akademik.

Kelakuan yang diperlihatkan oleh kanak-kanak bermasalah ADHD dibahagi kepada tiga iaitu kekurangan tumpuan perhatian, mengikut dorongan hati dan berkelakuan terlalu aktif.

1. Kekurangan tumpuan perhatian

Kanak-kanak yang sangat senang beralih pandangan dari satu perbuatan ke perbuatan yang lain dan seolah-olah tidak mendengar apabila orang cuba bercakap dengannya adalah kanak-kanak yang lemah kuasa tumpuan perhatian. Mereka selalunya menghabiskan tugas dibuatnya dan tidak boleh duduk bermain dengan lama seperti kanak-kanak lain.

2. Mengikut dorongan hati

Kanak-kanak itu tidak pernah merancang tindakan, malah terus melakukannya. Dia cepat berubah melakukan sesuatu yang lain. Ibu bapa dan guru mendapatinya sukar dikawal kerana dia tidak mengikut arahan.

3. Berkelakuan terlalu aktif

Kanak-kanak yang berkelakuan seperti suka berlari-lari, memanjat perabot, sukar duduk diam dan seolah-olah ada kuasa yang menyebabkan dia tidak boleh berdiam diri juga tergolong sebagai kanak-kanak hiperaktif.

Kanak-kanak lelaki lebih terdedah kepada masalah ADHD berbanding perempuan dan masalah itu selalunya turut menjejaskan prestasi persekolahan anak terbabit. Ini kerana, katanya, kekurangan tumpuan dan hiperaktif di kalangan kanak-kanak menyebabkan mereka lewat menerima setiap pelajaran dan sekali gus membantutkan pencapaian pendidikan mereka. Lazimnya, keadaan itu lebih kerap dialami kanak-kanak pra-sekolah dan ia boleh menjejaskan tahap pencapaian mereka di bidang pelajaran pada peringkat permulaan.

Punca ADHD

Bagaimanapun, ADHD akan lenyap secara beransur-ansur apabila mereka memasuki usia lapan atau sembilan tahun dan selepas tempoh itu, tidak mustahil anak berkenaan menunjukkan prestasi baik dalam bidang pelajaran. ADHD selalunya berlaku di kalangan kanak-kanak berusia di antara tiga dan lima tahun tetapi keadaan itu akan beransur pulih apabila mereka semakin membesar. Dari segi perubatan moden, sebahagian besar kanak-kanak bermasalah ADHD tidak menunjukkan sebarang kelainan dalam pemeriksaan fizikal. Bagaimanapun, ADHD sering dikaitkan dengan penyakit atau keadaan tertentu seperti meningitis atau penyakit selaput otak berkuman, kelembapan otak dan Rubella.

Faktor kebakaan, lemas ketika proses bersalin dan tekanan perasaan yang dialami wanita ketika proses kehamilan mendedahkan kanak-kanak kepada risiko ADHD. Wanita yang melalui proses kehamilan terdedah kepada pelbagai risiko dan mereka harus bijak menangani masalah dihadapi itu. Jika wanita hamil berasa tertekan sama ada di rumah mahupun di pejabat ketika proses kehamilan, bayi dikandung terdedah kepada pelbagai risiko negatif. Pergolakan dalam jiwa, kurang mendapat perhatian suami dan terlalu emosional sekaligus mendedahkan anak dikandung kepada ADHD. Sehubungan itu, wanita hamil perlu sentiasa tenang ketika menghadapi masalah dan menanganinya dengan bijaksana supaya setiap bayi yang dilahirkan berkeadaan sempurna.

Bagaimana mengenali kanak-kanak ADHD?

Mereka sentiasa lasak, ke sana sini tidak menentu dan pergerakan sukar dikawal. Kanak-kanak terbabit juga didapati sukar untuk mendisiplinkan diri mereka kerana apabila diminta berbuat sesuatu, mereka sukar mematuhi arahan. Malah, jika dinasihatkan supaya berbuat sesuatu, mereka tidak mengendahkan arahan dan terus menunjukkan sikap aktif mereka. Apabila dihantar ke sekolah, kanak-kanak itu tidak menunjukkan minat terhadap pelajaran kerana mereka kurang memberi tumpuan dan perhatian ketika guru mengajar. Kanak-kanak itu juga memperlihatkan pelbagai masalah seperti lambat bercakap, sukar dilatih untuk berdikari atau mengenali keadaan berbahaya.

Berkelakukan Pelik

Penghidap ADHD mempunyai fungsi otak yang mengawal aktiviti berbeza daripada normal. Ini membuatkan mereka sering berkelakuan pelik dan kelam kabut. Pengkaji dan doktor mengatakan ADHD berpunca daripada genetik tetapi tidak diketahui sebab utama yang mampu mengesahkan bagaimana ADHD boleh terjadi kepada manusia. ADHD berlaku apabila ada perubahan kimia yang dipanggil neurotransmitters pada otak manusia. Cairan kimia ini berfungsi menghantar pesanan antara sel saraf ke otak. Bagi individu yang kekurangan kimia ini akan menunjukkan simptom ADHD.

Ada beberapa pendapat pakar mengatakan saiz otak ADHD lima ke 10% lebih kecil daripada otak normal. Beberapa kajian dilakukan dan mendakwa merokok ketika mengandung boleh menyebabkan anak berisiko mendapat ADHD. Selain itu risiko lain ialah kelahiran pra matang, bayi dilahirkan dengan berat badan berkurangan dan kecederaan pada otak ketika di dalam perut ibu.

Pelbagai kontroversi mempengaruhi jumlah sebenar kanak-kanak yang menghidapi ADHD. Diagnosis dan perangkaan membuktikan antara 3~5% kanak-kanak menghidap ADHD setiap tahun. ADHD bukan sejenis penyakit berjangkit, tetapi sindrom seumur hidup bagi mereka yang mengalami situasi kronik.

Apa yang membimbangkan 35% daripada kanak-kanak ADHD lebih bersikap degil, sering membantah dan melanggar peraturan. Selain itu 18% daripada mereka lalai, tidak puas dengan apa yang ada, tertekan, masalah dalam pelajaran dan bersosial serta hilang rasa hormat terhadap diri sendiri. Kira-kira 25% lagi kanak-kanak ADHD, cepat risau, takut dan panik, menyebabkan jantung mereka berdegup laju, berpeluh, sakit perut dan cirit birit.

Walaupun ADHD tidak mengkategorikan mereka yang lemah dalam pelajaran, tetapi sindrom ini boleh menyebabkan gangguan terhadap penumpuan ketika sesi pembelajaran. Ini sekali gus boleh menjejaskan prestasi di sekolah.

Kepentingan permakanan yang betul

Pemakanan yang berkualiti adalah sangat penting untuk kesihatan kanak-kanak dan diperlukan untuk tumbesaran dan perkembangan kanak-kanak yang optimum. Di masa tumbesaran meningkat, perubahan fisiologi berlaku dan mempengaruhi keperluan pemakanan. Jika keperluan ini tidak dipenuhi, ia boleh mempengaruhi kanak-kanak dalam banyak cara - mereka boleh mengalami tahap konsentrasi dan kecerdasan yang berkurangan, tingkah laku hiperaktif, tenaga berkurangan dan penyakit.

1. Kalsium

Adalah penting untuk tumbesaran tulang di mana 45% daripadanya berlaku semasa remaja. Pengambilan kalsium yang tidak mencukupi boleh menyebabkan kegagalan untuk mencapai jisim tulang matang di peringkat dewasa dan boleh meningkatkan risiko osteoporosis di lewat usia.

2. Asid lemak tepu

Wujud dalam susu ibu, ikan, walnut, biji flaks dan sayur-sayuran berdaun hijau yang perlu untuk fungsi sistem saraf dan perkembangan otak yang betul. Kekurangannya boleh menyebabkan kesukaran dalam pembelajaran dan masalah kulit.

3. Zat Besi

Diperlukan dalam paras yang lebih tinggi sewaktu remaja akibat peningkatan jisim badan tanpa lemak, isipadu darah dan hemoglobin dan untuk menggantikan darah akibat haid.

4. Vitamin B

Adalah diperlukan untuk mengelakkan keletihan, kemurungan dan kesukaran dalam pembelajaran dan bagi memberi tenaga yang sangat penting untuk kanak-kanak yang sentiasa aktif.

5. Zink

Adalah penting untuk mengalakkan tidur yang lena, tumbesaran dan perkembangan dan mencegah masalah tingkah laku, konsentrasi yang lemah dan rasa gemuruh. Pada dasarnya, diet harus mengandungi keseimbangan nutrien yang betul yang untuk perkembangan kanak-kanak yang sedang membesar. Jika pengambilan pemakanan yang betul dihalang oleh selera yang lemah, suplementasi harus dipertimbangkan. Ini adalah penting kerana kanak-kanak perlukan semua bantuan yang boleh didapati untuk membesar dengan kuat dan sihat. Diet adalah keperluan penting anak-anak.

Makanan yang anak-anak makan dan tidak makan mempunyai kesan besar ke atas kejayaan mereka di sekolah. Nutrien-nutrien berikut memainkan peranan penting dalam perkembangan dan fungsi otak kanak-kanak. Zink adalah bahagian penting struktur komunikasi antara sel-sel saraf. Oleh itu ia adalah penting untuk fungsi otak yang betul dan kekurangan zat besi dikaitkan dengan kelemahan kognitif. Daging dan makanan laut adalah sumber terbaik
zink. Kacang tanah, germa gandum, bijiran penuh dan biji labu kuning serta labu putih juga mempunyai kandungan zink yang tinggi.

6. Glukos

Otak seseorang anak bergantung pada glukos untuk bahan bakar. Meninggalkan sarapan boleh menyebabkan kekurangan gula dalam darah (glukos) dan melemahkan kemampuan kognitif. Anak-anak yang meninggalkan sarapan mempunyai daya perhatian yang singkat, mencapai markah yang rendah dalam ujian dan lebih sukar menumpukan perhatian berbanding rakan-rakan sekelas yang mendapat makanan yang baik.

7. Zat Besi

Anemia kekurangan zat besi adalah biasa bagi kanak-kanak. Otak kanak-kanak adalah sensitif terhadap paras zat besi yang rendah walaupun sebelum ujian darah menunjukkan masalahnya. Zat besi memainkan dua peranan penting: ia mengangkut oksigen dalam darah dan mengangkut oksigen itu di dalam sel-sel di mana ia di gunakan. Kanak-kanak anemia mempunyai tempoh perhatian yang berkurangan dan kurang bermotivasi untuk bertahan dalam tugas yang mencabar intelektual. Hidangkan bijirin yang diperkaya dengan zat besi untuk sarapan. Masukkan daging merah, tuna atau ayam dalam menu sekurang-kurangnya tiga kali seminggu. Hidangkan banyak sayuran berdaun hijau tua, brokoli dan kekacang.

8. Asid Folik

Asid folik adalah penting untuk pembentukan dan kematangan sel-sel darah merah dan putih. Seorang pelajar yang kekurangan asid folik akan berasa keletihan, bersikap tidak peduli, perengus dan pelupa. Buah-buahan dan sayur-sayuran mentah, terutamanya jus oren dan bayam adalah sumber asid folik yang terbaik.

9. Vitamin-vitamin B

Vitamin-vitamin B bertindak membantu membuka tenaga dalam glukos. Kekurangan dalam vitamin-vitamin B boleh mengganggu pembelajaran dengan menyebabkan perubahan perwatakan termasuk sifat agresif, sifat permusuhan dan kemurungan. Tiada satu sumber makanan yang membekalkan kesemua vitamin B yang diperlukan, oleh itu kepelbagaian adalah penting. Bijiran sarapan yang diperkuat juga adalah sumbar vitamin-vitamin B yang bagus.

10. Vitamin A

Nutrien ini diperlukan untuk perkembangan sistem saraf yang betul dalam janin yang sedang membesar. Terdapat juga bukti yang menunjukkan ia juga diperlukan untuk fungsi otak yang optimum semasa hidup. Vitamin A ditemui dalam bentuk beta karotena dalam buah-buahan berwarna oren tua dan kuning serta sayur-sayuran berdaun hijau tua.

Bagaimana menangani masalah kanak-kanak ADHD?

Fungsi ibu bapa amat penting dalam menghadapi masalah kanak-kanak ADHD. Dalam keadaan ini, ibu bapa perlu banyak bersabar dan menggunakan teknik yang betul untuk menghadapi masalah seumpama itu. Lazimnya, pemeriksaan urat saraf di kalangan sebahagian besar kanak-kanak dikatakan mengalami sindrom hiperaktif selalunya tidak menunjukkan sebarang gangguan.

Malah, di kalangan kanak-kanak yang dikatakan mengalami kerosakan otak, sebahagian besar tidak menunjukkan kelakuan hiperaktif. Proses penilaian kanak-kanak yang dikatakan hiperaktif merangkumi pemeriksaan pediatrik dan psikologi. Pemeriksaan juga harus dilakukan oleh pakar kanak-kanak untuk memastikan tiada gangguan urat saraf atau tahap ciri elemen plumbun yang tinggi dalam darah. Apabila anak menunjukkan tingkah laku tidak elok, nasihatkan mereka tidak mengulangi perbuatan itu tetapi jika mereka berbuat baik, jangan lupa memuji.

Rawatan

ADHD tidak boleh diubati tetapi boleh dikawal. Caranya dengan bantuan ibu bapa dan orang sekeliling. Rawatan ADHD juga dikatakan lebih baik dengan gabungan perubatan dan terapi. Amat penting menetapkan rawatan terapi yang spesifik dan sesuai untuk kanak-kanak ini. Susulan rawatan yang sistematik sangat membantu kembali normal. Segala maklumat perkembangan mereka boleh didapati melalui ibu bapa, guru dan kanak-kanak itu sendiri.

Masalah kanak-kanak yang menghidap ADHD adalah rumit dan memerlukan kesabaran yang tinggi dalam merawat mereka. Perawatan alternatif semakin menjadi perhatian, termasuk makanan tambahan dan herba, manipulasi kiropratik dan perubahan diet. Walaupun memakan serat dan nutrisi asas lain adalah baik dalam proses merawat ADHD, tidak banyak kajian mengesahkannya. Bagaimanapun tidur yang cukup terbukti dapat membantu mengurangkan simptom ADHD.

Kanak-kanak ini mungkin diberikan terapi tambahan bergantung kepada simptom dan apa yang diperlukan mereka. Ibu bapa perlu selalu berwaspada terhadap setiap tindakan yang boleh membahayakan diri kanak-kanak itu. Beritahu doktor jika ada sebarang perubahan yang berlaku.

Petua untuk mengawal anak-anak hyperaktif.
  1. Jaga pemakanan mereka; pastikan yang halal dan dari punca yang halal dan berkhasiat.
  2. Peluk di waktu pagi dan juga di waktu malam tiap hari.
  3. Tidurkan mereka dengan bacaan surah Maryam atau zikir nama tuhan atau asmaulhusna.
  4. Usap kepala mereka dan bacakan selawat shifa.
  5. Dikatakan memberi secawan teh markisa (yang diperbuat daripada daun markisa) atau dua gelas jus markisa dapat menenangkan kanak hiperaktif.
Amalkan setiap hari, insya-Allah mujarab.

Kompilasi : Berita Minggu dan MyPendidik

0 KOMEN:

Catat Ulasan

Kongsikan komen anda di sini...

Related Posts with Thumbnails