Bayi maut jatuh kuarters guru
SUBANG JAYA: Seorang bayi lelaki berusia sembilan bulan maut terjatuh dari tingkat tiga sebuah kuarters empat tingkat selepas dipercayai merangkak dari katilnya yang terletak bersebelahan tingkap tidak berjeriji tanpa disedari ibu bapanya dalam kejadian di Seafield USJ6/1, di sini pagi semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 7 pagi itu, Adam Haiqal Mohd Rostam dipercayai merangkak ke arah tingkap yang sedikit terbuka itu sebelum terjatuh ketika ibu bapanya masih tidur di rumah mereka di bangunan kuarters pendidikan terbabit.
Difahamkan, ibu mangsa sebelum itu mendengar tangisan kuat bayi dan terus bangun selepas menyedari anak tunggalnya tiada di sisi lalu mencari Adam Haiqal di sekitar bilik tidur, tetapi terkejut apabila menjenguk ke luar tingkap dan mendapati mangsa tertiarap dalam longkang di bawah bangunan itu.
Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Zainal Rashid Abu Bakar, berkata wanita berkenaan terus mengejutkan suaminya untuk turun melihat keadaan anak mereka dan selepas diperiksa, mangsa didapati tidak mempunyai kesan luka.
“Pasangan itu kemudian menghantar anak mereka yang kelihatan masih bernyawa tanpa kesan darah itu ke Pusat Perubatan Subang Jaya (SJMC), tetapi disahkan mati dalam perjalanan sebelum mayatnya dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM).
“Mangsa dilaporkan cedera parah di kepala dan ada kesan calar pada kakinya,” katanya ketika dihubungi, di sini semalam. Sementara itu, bapa bayi malang itu, Mohd Rostam Che Mat, ketika ditemui di PPUM kelihatan murung dengan kejadian berkenaan dan tidak menyangka tindakan membuka sedikit tingkap bilik kerana cuaca agak panas pada malam kejadian menjadi punca tragedi terbabit.
Beliau yang bertugas di Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBBJ) bagaimanapun enggan mengulas lanjut kejadian berkenaan kerana masih terkejut dengan kematian anak kesayangannya. Setakat jam 6.30 petang semalam, jenazah Adam Haiqal masih ditempatkan di PPUM.
Sumber : Suhana Roslan [suhanaroslan@bharian.com.my] di BHarian 23/05/2010
Maut sewaktu ibu bapa tidur
Oleh NOR AZIRAN MOHAMED YUNUS
Gambar kecil, bapanya Mohd. Rostam Che Mat.
SUBANG JAYA – Seorang bayi berusia sembilan bulan, Adam Haikal Mohd. Rostam memanjat tingkap bilik tidurnya yang terbuka di tingkat tiga sebelum terjatuh ke dalam longkang di kuarters Kementerian Pelajaran, USJ 6/1 di sini pagi semalam.
Kejadian pukul 6.30 pagi itu berlaku sewaktu ibu bapa bayi itu tidur dalam bilik yang sama.
Adam Haikal terjatuh ke dalam longkang ini sebelum tangisannya mengejutkan ibunya yang tidur dalam bilik mereka di tingkat tiga kuarters Kementerian Pelajaran di Subang Jaya semalam.
Sumber : Kosmo! 23/05/2010
[NB : Allahumma firlahu warhamhu... Takziah diucapakan kepada keluarga mangsa.]
0 KOMEN:
Catat Ulasan
Kongsikan komen anda di sini...