“YA ALLAH, AKU BERLiNÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA PERASAAN SEÐiH ÐAN ÐUKACiTA, AKU BERLINÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA LEMAH ÐAN MALAS, AKU BERLiNÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA BAHKiL ÐAN PENAKUT ÐAN AKU BERLiNÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA BEBAN HUTANG ÐAN TEKANAN PERASAAN.”


“YA ALLAH, BUKAKANLAH UNTUKKU PiNTU-PiNTU KEBAiKAN, PiNTU-PiNTU KESELAMATAN, PiNTU-PiNTU KESiHATAN, PiNTU-PiNTU KENiKMATAN, PiNTU-PiNTU KEBERKATAN, PiNTU-PiNTU KEKUATAN, PiNTU-PiNTU CiNTA SEJATi, PiNTU-PiNTU KASiH SAYANG, PiNTU-PiNTU REZEKi, PiNTU-PiNTU iLMU, PiNTU-PiNTU KEAMPUNAN ÐAN PiNTU-PiNTU SYURGA, YA ALLAH YANG MAHA PENGASiH LAGi MAHA PENYAYANG.”


Ahad, Mei 02, 2010

Garam berlebihan bawa penyakit

KURANGKAN pengambilan garam dalam masakan. - Gambar hiasan

APA yang anda makan hari ini? Kalau di rumah, anda mungkin dapat mengawal makanan sekeluarga. Di luar sama ada anak anda di sekolah atau pasangan anda di pejabat, mereka mungkin makan makanan yang anda bekalkan atau membeli makanan yang dijual di kafe, restoran atau kantin.

Misalnya, apabila loceng berbunyi di akhir sesi sekolah, lain pula ceritanya. Anak-anak mungkin mengisi perut dengan snek atau makanan ringan apalagi jika masih ada banyak duit belanja di saku. Ada yang memberli gula-gula. Ada juga snek yang disertakan dengan barang permainan yang dijadikan sebagai umpan pembelian. Snek semakin menjadi isu besar khususnya dalam kalangan generasi muda yang juga boleh menjurus kepada pelbagai isu kesihatan jika dibiarkan berleluasa.

Si ibu yang mengandung pula tidak boleh berpisah dengan jeruk. Kata mereka, ia menjadi kegemaran untuk menghilangkan rasa loya. Benar atau tidak, orang ramai juga perlu mengkaji kandungan garam pada jeruk. Ia mungkin memberi kesan pada ibu dan bayi yang dilahirkan.

Lain pula ceritanya warga kota yang gemarkan makanan yang diproses dalam tin seperti sardin dan sebagainya. Kesibukan berkerja atau tempat membeli makanan segar yang terhad menggalakkan senario ini. Mungkin tidak salah tetapi cuba baca label makanan tersebut kerana ia mungkin mengandungi garam yang berlebihan.

Baru-baru ini, Kementerian Kesihatan menyuarakan kebimbangan masyarakat dalam pengambilan garam. Ramai tidak menyedari garam juga memberi kesan terhadap kesihatan. Jika gula popular dengan kencing manis, garam pula sering dikaitkan dengan darah tinggi. Malah, garam juga menjadi ibu segala penyakit kerana masalah darah tinggi boleh memberi kesan kepada jantung, buah pinggang, masalah obesiti dan sebagainya.

Menurut Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai, selain daripada mengurangkan pengambilan gula, orang ramai disarankan supaya mengurangkan pengambilan garam ataupun natrium dan sodium dalam makanan. Saranan pengurangan garam tidak melebihi satu sudu atau 5gm dibuat berikutan hasil kajian di Hong Kong yang mendapati beberapa produk makanan dalam tin seperti daging lunceon dan sardin mempunyai kandungan natrium atau sodium yang tinggi. Kajian tersebut yang dilaporkan agensi berita antarabangsa pada 15 April lalu, mendapati kandungan natrium dalam makanan melebihi saranan pengambilan harian oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Seperti yang ditegaskan Tiong Lai, daging lunceon dan sardin dalam tin merupakan makanan yang terproses dan mengandungi garam, air dan bahan pengawet seperti natrium nitrat, kalium nitrat, natrium nitrit atau kalium nitrit.

Natrium boleh digunakan sebagai ramuan makanan atau bahan pengawet.

Di Malaysia, pelabelan bagi nitrat tidak diwajibkan memandangkan fokus pelabelan pemakanan hanya bagi empat nutrien utama - tenaga, protein, karbohidrat dan lemak, dengan pemantauan ke atas kandungan natrium hanya dibuat bagi makanan terproses.

Di bawah Peraturan-Peraturan Makanan 1985, standard bagi garam (natrium klorida) ditetapkan di bawah peraturan 283, di mana garam perlu mengandungi tidak kurang daripada 95 peratusan natrium klorida.

Bagaimanapun, beberapa standard makanan di bawah Peraturan-Peraturan Makanan 1985 mempunyai peruntukan membenarkan penambahan garam, dengan peruntukan khusus bagi paras garam atau natrium yang perlu tambah seperti untuk belacan, cincalok, sos ikan, ikan kering dan pekasam (jeruk).

Liow berkata, peraturan Diet Makanan 2010 menyarankan pengambilan garam tidak melebihi satu sudu atau 5 gram garam, bersamaan 2000 miligram natrium sehari, dan ini selaras dengan saranan WHO (2007).

"Berdasarkan kajian pengambilan makanan di kalangan Orang Dewasa Malaysia 2002/2003, pengambilan natrium di kalangan rakyat Malaysia adalah sebanyak 2,575 miligram sehari. Ini menunjukkan rakyat Malaysia mengambil natrium melebihi jumlah yang disarankan. Kajian yang sama juga mendapati pengambilan garam yang tinggi dikaitkan dengan peningkatan tekanan darah," katanya.

Berdasarkan Panduan Diet Malaysia 2010 yang dikeluarkan Kementerian Kesihatan, terdapat beberapa contoh makanan yang tinggi kandungan natrium melebihi paras 480 mg natrium seperti :
  • kacang panggang (tin),
  • ayur/sayur jeruk (tin),
  • sup tomato (tin),
  • ayam goreng (makanan segera),
  • kari ayam (tin),
  • kiub ayam,
  • rendang daging (tin),
  • kari daging (tin) dan
  • sardin (tin).

Selain itu kicap pekat dan kicap cair, kondimen seperti sos tomato/cili/tiram, cincalok dan belacan juga melebihi paras 480 mg natrium.

Sehubungan itu, Liow menyeru orang ramai mengurangkan penggunaan garam dan sos dalam makanan selain kurangkan pengambilan makanan dalam tin, dijeruk atau makanan digaramkan seperti telur masin.

"Utamakan makanan segar seperti daging segar berbanding daging ditinkan. Rendam dahulu makanan yang bergaram (seperti ikan masin/ikan bilis) sebelum dimasak untuk membuang garamnya. Sekiranya membeli makanan terproses, baca panel maklumat pemakanan pada label makanan untuk mengetahui kandungan garam dan pilihlah produk yang mengandungi kurang kandungan natrium," katanya.
Kesedaran

Sementara itu, menurut Pakar Pemakanan Hospital Pantai Ampang, Nor Lizawati Che' Lah, natrium sebenarnya perlu untuk melancarkan proses bendalir dalam badan. Namun kandungan natrium perlu ada hadnya kerana jika berlebihan, ada yang tidak boleh dibuang. Ia sekali gus memberi kesan kepada kesihatan.

"Pengambilan garam yang normal adalah 2400 miligram sodium atau satu sudu teh garam. Menurut kajian di Amerika, pengambilan garam melebihi 3,000 miligram akan meningkat cara pengambilan makanan segera. Sebaliknya, dalam makanan yang diproses terdapat 75% garam yang tersembunyi," katanya.

Tambah Nor Lizawati, jika pengambilan garam diambil secara berlebihan, ia akan menyebabkan penyakit darah tinggi, jantung, osteoporosis, kanser perut, gastrik dan buah pinggang. Mengakui hakikat kewujudan pelbagai jenis garam, Nor Lizawati berpendapat, kandungan atau kesannya tidak jauh berbeza. Misalnya, ada kajian yang dilakukan ke atas garam laut, kandungan mineral lebih baik daripada biasa dan ia lebih masin. Namun, terdapat garam tiruan seperti pan salt. Ia mungkin lebih masin dan lama-kelamaan lebih pahit daripada garam biasa.

Mengulas kesedaran masyarakat tentang isu ini, ia masih ditahap yang rendah. Nor Lizawati memberitahu, walaupun ada kempen mengurangkan garam dan menggantikannya dengan rempah atau perahan limau, garam masih menjadi perisa utama. Antara langkah pencegahan yang boleh dilakukan adalah memesan makanan kurang garam dan MSG ketika makan di restoran.

Berdasarkan pengalaman Nor Lizawati, beliau pernah berdepan dengan pesakit darah tinggi yang baru berusia 12 tahun. Hakikatnya, garam bukan sahaja menyebabkan penyakit tersebut, ia juga menjadi punca utama obesiti.

Apabila kita makan makanan yang mengandungi lebih garam, kita akan berasa cepat haus. Justeru itu, seseorang itu tidak akan berasa puas minum air kosong dan dia lebih gemarkan minum air jus atau manis. Kemudian, dia akan berasa nak makan lebih. Akhirnya, dia tidak dapat mengawal pemakanan dan berat badannya mencapai paras obesiti.

Bagi ibu mengandung, pada trimester kedua dan ketiga, mereka tidak digalakkan mengambil garam berlebihan seperti jeruk buah kerana ia akan menyebabkan kaki bengkak.

Penyelesaian kepada masalah ini, orang ramai digalakkan makan lebih buah-buahan dan sayur-sayuran.

Sumber : adawiyah.koh@utusan.com.my di Utusan 02/05/2010


0 KOMEN:

Catat Ulasan

Kongsikan komen anda di sini...

Related Posts with Thumbnails