Assalamualaikum warahmatullah,
Semua orang inginkan kejayaan, tetapi tidak ramai yang tahu jalan untuk mencapainya dan bagi mereka yang tahu, tidak ramai pula yang sanggup membayar harganya. Usaha untuk berjaya akan tersasar jika konsep kejayaan yang difahami itu sendiri tidak tepat.
Ada yang menganggap kejayaan bergantung kepada nasib, atau kepada peluang, kepada kuat bekerja, kepada perhubungan (cable), kepada pengiktirafan dan pelbagai lagi.
Kejayaan itu sebenarnya bukan suatu destinasi atau kedudukan yang diidamkan. Kejayaan adalah peningkatan kualiti hidup setiap hari secara istiqamah dalam semua aspek kehidupan. Peningkatan kualiti hidup hanya boleh berlaku apabila seseorang itu berupaya membangunkan dirinya dalam semua aspek secara istiqamah pada setiap hari.
Usaha membangunkan diri secara istiqamah hanya boleh berlaku apabila seseorang itu mampu membuat pilihan yang baik dan tepat setiap hari dan mampu melaksanakan setiap keputusannya sehingga mencapai apa yang diinginkan. Mengikut kajian, seseorang manusia purata membuat 200 hingga 300 keputusan setiap hari.
Apakah faktor yang menentukan sama ada keputusan yang dibuat itu tepat atau tidak? Kalau pun tepat, tepat mengikut kehendak siapa? Untuk membolehkan seseorang membuat keputusan yang tepat, perlu diselaraskan terlebih dahulu keinginannya dengan kehendak Penciptanya yang bersifat Maha Mengetahui terhadap keperluan diri manusia.
Hidup untuk beribadah
Allah SWT telah berfirman yang bermaksud, “Dan Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah (beribadah) kepada-Ku.” (Surah adz-Dzaariyaat [051] ayat 56)
Tujuan manusia itu diciptakan hanya sanya, semata-mata untuk beribadah kepada Allah SWT, tiada tujuan yang lain. Ulama membahagikan ibadah kepada tiga bentuk iaitu :
- Ibadah asas, yakni kepercayaan kepada enam rukun iman dan penghayatan kepada lima rukun Islam
- Ibadah sunat, iaitu segala amalan sunat dan
- Ibadah umum, iaitu semua aktiviti selain daripada ibadah asas dan sunat
Ketiga-tiga bentuk ibadah ini mencakupi seluruh aspek kehidupan manusia. Dalam erti kata lain, keputusan tepat yang perlu dibuat oleh seseorang adalah menentukan setiap pilihan selaras dengan tujuan dia diciptakan. Jika manusia memilih untuk tidak berfungsi mengikut tujuan dia diciptakan, maka dia telah merosakkan dirinya secara tidak sedar.
Biasanya manusia bertindak bukan atas dorongan apa yang difikirkan baik, benar dan betul, tetapi mereka bertindak atas dorongan apa yang diinginkan, apa yang tersentuh di hatinya; apa yang dirasa baik, benar dan betul pada pandangannya. Hati manusia ditempa oleh apa yang lazim difikirkan, apa yang lazim diucapkan, dilihat, didengar, dialami dan apa yang biasa dilakukan. Kalau input yang masuk itu baik, maka baiklah keinginan hatinya, sebaliknya kalau yang masuk itu tidak baik, tidak tepat, maka tidak baik dan tidak tepat pula keinginan hatinya; justeru mendorong kepada tindakan yang salah.
Rasulullah SAW bersabda, “Dalam diri anak Adam itu ada seketul daging. Bila baik daging itu, baiklah seluruh jasad. Bila rosak dan busuk daging itu jahatlah seluruh jasad. Ketahuilah, itulah hati.” (Hadis riwayat Muslim)
Hati yang sejahtera
Dalam kehidupan di dunia ini, Allah SWT yang bersifat Maha Bijaksana telah mensyaratkan supaya manusia berusaha untuk memiliki hati yang sejahtera, untuk layak diterima sebagai hamba-Nya di akhirat kelak.
Para hukama ada menyebut : “Hendaklah anda membenarkan ucapan dengan amalan. Membenarkan amalan dengan niat dan ikhlas. Membenarkan niat dan ikhlas dengan membersihkan batin dan meluruskan hati, kerana hati itu adalah asal dan punca segala perkara.”
Memiliki hati yang sejahtera sepatutnya menjadi agenda utama setiap Muslim. Lantaran iatu mengetahui dan memahami gambaran hati yang selamat sejahtera itu merupakan suatu perkara yang sangat kritikal. Ulama telah mejelaskan hati yang sejahtera adalah hati yang bebas daripada syirik dalam apa jua bentuk. Hati yang tunduk dan patuh kepada Allah SWT, yang berakhlak sesama manusia, hati yang dapat memberi respons positif terhadap semua perkara, walaupun negatif.
Hati yang begini, adalah hati yang kenal mana yang baik, yang kurang baik; mana yang tepat, yang kurang tepat. Hati yang begini mampu membuat pilihan yang tepat dalam kehidupannya dan mampu pula untuk menggerakkan dirinya untuk mengambil tindakan terhadap keputusan yang telah dibuat.
Sebaik-baik manusia
Peningkatan diri seseorang bermula daripada keupayaan membuat pilihan yang baik dan tepat pada setiap hari. Daripada keputusan yang baik dan tepat dan keupayaan melaksanakan keputusan itu untuk membolehkan dia memiliki tabiat yang baik pula.
Apabila seseorang dapat memiliki tabiat yang lebih baik, ini bererti dia berjaya memiliki akhlak yang lebih baik. Orang yang berjaya memiliki akhlak yang lebih baik, bererti telah berjaya menjadikan dirinya lebih berharga. Seseorang yang berupaya menjadikan dirinya lebih berharga, menjadikan dia memberi dan menyumbang kebaikan dengan lebih banyak. Lebih banyak seseorang itu dapat memberi dan menyumbang kebaikan kepada manusia lain, lebih berjayalah kehidupannya di dunia ini dan berjaya pula di akhirat, insya Allah.
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud, “Sebaik-baik manusia, manusia yang paling banyak dapat memberi manafaat kepada orang lain.”
Sumber : Hj Ahmad Salim Omar (Solusi Kompilasi)
Capaian entry berkaitan :
0 KOMEN:
Catat Ulasan
Kongsikan komen anda di sini...