“YA ALLAH, AKU BERLiNÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA PERASAAN SEÐiH ÐAN ÐUKACiTA, AKU BERLINÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA LEMAH ÐAN MALAS, AKU BERLiNÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA BAHKiL ÐAN PENAKUT ÐAN AKU BERLiNÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA BEBAN HUTANG ÐAN TEKANAN PERASAAN.”


“YA ALLAH, BUKAKANLAH UNTUKKU PiNTU-PiNTU KEBAiKAN, PiNTU-PiNTU KESELAMATAN, PiNTU-PiNTU KESiHATAN, PiNTU-PiNTU KENiKMATAN, PiNTU-PiNTU KEBERKATAN, PiNTU-PiNTU KEKUATAN, PiNTU-PiNTU CiNTA SEJATi, PiNTU-PiNTU KASiH SAYANG, PiNTU-PiNTU REZEKi, PiNTU-PiNTU iLMU, PiNTU-PiNTU KEAMPUNAN ÐAN PiNTU-PiNTU SYURGA, YA ALLAH YANG MAHA PENGASiH LAGi MAHA PENYAYANG.”


Rabu, Mei 12, 2010

Bila lelaki cemburu buta dan buta hati....


Assalamualaikum warahmatullah,

Akhir-akhir ini banyak sungguh kes isteri dianiaya, dicederakan, malah dibunuh oleh suami sendiri. Sebenarnya, agak meMALUkan dan meMiLUkan juga saya nak masukkan entry begini di sini, tetapi atas kesedaran ‘FiGHT ViOLENCE AGAiNST WOMEN’ ... hu... hu... akhirnya terpaksalah juga berceloteh hal-hal ‘keganasan’ wanita dan rumahtangga ini. Saya berikan sedikit rujukan kepada entry kes-kes ‘pelik tetapi benar’ yang dipetik di LamanSeri sebelum ini :

Baru-baru ini pula muncul kes suami pijak isteri sampai mati [SiNi], suami toreh alat sulit isteri [SiNi], kes suami cedera isteri [SiNi] dan dilaporkan sekurang-kurangnya 10 kes membabitkan penderaan suami terhadap isteri berlaku di Perak setiap hari! [Rujuk : SiNi]

Mengapa perkara sebegini berlaku?

Kita lihat keganasan rumahtangga berlaku setiap hari dan ia seperti penyakit berjangkit pula. Dalam kes [Bunuh isteri: Lelaki serah diri kepada polis], dikatakan salah satu punca ‘kemalangan’ ini dilakukan kerana ‘cemburu’ atau mensyaki isteri ada hubungan dengan lelaki lain. Ngerinya kita lihat perangai suami (BUKAN semua, ya) zaman sekarang.... Alaaahai… Zaman sekarang ramai sungguh si pelik punya species...

Dalam kes ini, menurut satu sumber yang saya sendiri tidak tahu statusnya boleh dipercayai atau tidak [SiNi], katanya, isteri yang mati dipijak itu ‘curang’ dan suami telahpun mengumpul bukti kecurangan isterinya itu... Hemmm....


Bukanlah niat saya hendak menangkan isteri yang malang ini, kalau betullah apa yang seperti didakwa di belog itu, mengapa suami itu sampai boleh hilang pertimbangan akal dan bertindak mengikut kata nafsunya? Saya tak menafikan, punca seseorang lelaki bersikap bersalahan dengan yang sepatutnya terhadap wanita, mungkin banyak juga berpunca daripada wanita itu sendiri, tetapi, bukankah lelaki dikatakan memiliki akal yang banyak atau panjang? Jika benar lelaki memiliki akal yang banyak dan panjang maka PERLULAH sentiasa bertindak sebagaimana yang disebut-sebut, iaitu memiliki akal yang banyak dan panjang, bukan begitu ke?

Sudah banyak kali juga saya ulang kisah ini. Hari ini saya ulang lagi, sekadar mengingatkan sesama insan, kerana kita ini mudah lupa...

Di dalam buku Purnama Madinah karya Ibn Saad, Bandung , Mizan1997, mukasurat 173, ada tercatat sebuah hadis yang berbunyi begini : Umar pernah berkata, “Ya Rasul mahukah engkau mendengar aku? Kami kaum Quraisy biasa menguasai isteri kami. Kemudian kami pindah ke sebuah masyarakat (Madinah) di mana laki-laki dikuasai isteri mereka. Kemudian kaum perempuan kami meniru perilaku perempuan Ansar ini. Suatu hari aku memarahi isteriku dan dia membalasnya. Aku tidak menyukai perilaku seperti itu.” Dan dia berkata, “Apakah engkau tak menyukai aku menjawab? Demi Allah, para isteri Rasullullah membalas baginda. Sebahagian mereka mendiamkan baginda sepanjang hari sampai malam.” Umar lalu berkata, “Dia celaka dan merugikan. Apakah dia merasakan aman dari kemurkaan Allah kerana kemarahan Rasulnya sehingga dia mendapat hukuman?” Nabi tersenyum dan tidak menjawab aduan dari Sayidina Umar.” (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Demikian satu ciri khas Rasulullah SAW. Senyum, suatu senjata yang menimbulkan karisma yang begitu kuat. Bahkan ketika Umar mengutarakan ketakutan terhadap bahaya yang dihadapi kaum lelaki yang disebabkan oleh potensi pemberontakkan kaum wanita, Rasulullah membalas dengan sebuah senyuman sahaja.

Al-Hafizh Ibnu Hajar berkata: “Dari hadis tersebut dapat diambil pelajaran bahawa terlalu keras terhadap isteri bukanlah sikap yang terpuji. Sebab, Rasulullah SAW sendiri meniru sikap orang-orang Ansar dalam memperlakukan wanita mereka dan menanggalkan sikap kaum baginda SAW sendiri.” [Rujukan : media.isnet.org]

Perlu juga kita lihat pada contoh Rasulullah SAW. Kajian riwayat hadis menunjukkan Rasulullah SAW tidak pernah memukul isteri-isterinya malahan ada sebuah hadis Baginda Rasulullah SAW yang berbunyi begini, “Aku tidak tahan melihat lelaki yang mudah memukul isterinya.” Tidakkah malu orang yang memukul isterinya seperti memukul budak, dipukul pada siang hari dan digaulinya pada malam hari?

Baginda Rasulullah SAW sangat MARAH tatkala melihat seorang suami memukul isterinya. Rasulullah menegur, “Mengapa engkau memukul isterimu?”

Lantas soalan itu dijawab dengan agak gementar, “Isteriku sangat keras kepala. Sudah diberi nasihat dia tetap degil, jadi aku pukul dia.”

“Aku tidak bertanya alasanmu, aku menanyakan mengapa engkau memukul teman tidurmu dan ibu kepada anak-anakmu?” sahut Rasulullah SAW.

Dan juga Rasulullah SAW bersabda, “Yang terbaik di antara kalian adalah yang bersikap paling baik terhadap isterinya.” (Hadis riwayat Imam al-Tirmizi dan al-Nasai)

Contoh Rasulullah SAW menidakkan tafsiran yang digunakan sebagai alasan untuk mengarah isteri mengikut kehendak suami dengan sewenang-wenangnya dan ia juga membuka ruang untuk memikirkan bahawa ada kemungkinan perkataan ‘daraba’ tidak bererti Islam membenarkan isteri dipukul. Bagi ulama tafsir yang menafsirkan perkataan ‘daraba’ sebagai pukul, ramai yang menegaskan pukul yang dimaksudkan TIDAK BOLEH menyakitkan atau mencederakan seperti yang sering berlaku bila suami memukul isteri. Pukul pun ada caranya, apakah alasan suami yang mengambil nyawa isteri....?

Mengapa cemburu?

Cemburu dalam berkasih sayang antara suami isteri harus ada tapi cemburu buta yang melampau tahap gaban hingga sanggup membunuh, wajarlah dielak-elakkan. Cemburu yang keterlaluan akan merosakkan kesabaran dan kepercayaan isteri terhadap suami. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud, “Sesungguhnya antara cemburu ada yang dibenci Allah iaitu cemburu suami terhadap isterinya tanpa alasan.” (Riwayat Abu Daud, An Nasa’i dan Ibnu Majah)

Sebenarnya cemburu merupakan sebahagian daripada luahan rasa kasih dan cinta seorang suami terhadap isterinya. Walau bagaimanapun, suami mestilah bijak mengendalikan rasa cemburu itu agar tidak KETERLALUAN dan di luar batas yang dibenarkan oleh syarak. Mestilah terdapat keseimbangan antara emosi dan rasional.

Suami yang beriman sudah pasti terselit rasa cemburu di hatinya terhadap isteri. Jika seorang suami langsung tidak memiliki rasa cemburu , bererti ia tidak mempunyai maruah sebagai seorang suami. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud, “Tiga golongan yang tidak akan masuk syurga, iaitu orang yang derhaka kepada ibu bapanya, suami yang dayus (yang tidak mempunyai perasaan cemburu terhadap isteri) dan perempuan yang menyerupai lelaki.” (Hadis riwayat Nasai dan Hakim)

Kisah cemburu pada zaman Rasulullah SAW

Dari Mughirah r.a. katanya: “Saad bin Ubadah mengatakan : “Kalau sekiranya aku melihat lelaki berkelakuan serong (bermesra-mesraan) dengan isteriku, nescaya lelaki itu aku tetak dengan pedang, bukan dengan punggungnya.” Ucapan itu sampai kepada Rasulullah SAW lalu baginda berkata : “Mengapa kamu hairan melihat cemburu Saad? Demi Allah, aku lebih cemburu (ambil endah dan benci demi agama) daripadanya. Dan Allah lebih cemburu daripadaku. Kerana itu dilarang-Nya mengerjakan perbuatan keji, baik yang terang atau pun yang tersembunyi. Dan tiada seorang pun yang suka memberi maaf lebih daripada Allah, dan kerana itu diutus-Nya orang-orang yang akan memberikan berita gembira dan orang-orang yang memberikan peringatan. Tiada seorang pun yang suka menerima pujian lebih daripada Allah, dan kerana itu (untuk orang memuji-Nya) dijanjikannya syurga.” (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Jika ada rasa curiga, musykil, syak wasangka dan yang sewaktu dengannya, eloklah suami isteri itu mencari jalan penyelesaian yang terbaik, berbincangkah sesama pasangan sendiri, atau lantik ‘hakam’ jika sudah terpaksa. Jika tiada jalan penyelesaian atau kata sepakat yang dapat dicapai, berpisahlah dengan baik, jangan jadikan anak-anak membesar dalam suasana yang tidak sihat (ibubapa berantakan setiap hari) dan menyemai sifat-sifat negatif di hati mereka. Tidak perlu juga hingga berbunuh-bunuhan.



Memelihara diri daripada marah dan cemburu


Cukuplah dengan saranan Rasulullah SAW dalam bab menangani kemarahan... Pada pendapat saya, sebagai seorang suami, selain daripada menahan marah, dia juga hendaklah menahan diri daripada melakukan intipan terhadap isteri sekiranya isteri tidak menunjukkan tanda-tanda curang, kerana perkara ini dilarang keras oleh agama kita. Sekiranya benar terdapat tanda-tanda yang isteri berlaku curang atau ada perkara yang diragui, berkomunikasilah secara baik dengan isteri. Suami yang bijak akan berakhlak dalam mendidik isterinya. Didiklah dan nasihatlah isteri agar tidak bergaul bebas dengan lelaki bukan mahram dan menjaga akhlak semasa berada di luar rumah.

Walau apa pun yang terjadi di antara pasangan suami isteri dalam kes yang dipetik ini, tiada seorang manusia pun berhak untuk menyakiti seseorang manusia yang lain apatah lagi mengambil nyawanya, tidak kira atas alasan apa sekalipun. Jika kita mengambil nyawa seseorang, ini bermakna kita telah menghalang orang yang dibunuh itu daripada berpeluang untuk bertaubat dan berubah. Seorang yang jahat mungkin saja boleh jadi baik akhirnya, siapa yang boleh membaca qadar Allah?

Mungkin ada di antara anda yang pernah mendengar atau membaca kisah Sayyidina Ali r.a. yang membatalkan niat untuk membunuh seorang kafir hanya disebabkan si kafir itu meludah ke mukanya? Apabila ditanya kepada Sayyidina Ali r.a. mengenai perbuatannya, dia menjawab dengan jawapan yang sangat indah : “Sebelumnya, aku mahu membunuhnya semata-mata kerana Allah. Aku tidak mahu membunuhnya kerana rasa marah yang timbul dariku. Apabila dia meludah ke mukaku, aku menjadi marah kerana perbuatannya meludah mukaku. Dan aku tidak mahu membunuh dengan pedangku ini melainkan semata-mata kerana Tuhanku.”

Menurut satu riwayat pula, ada seorang Badwi datang menghadap Rasulullah SAW dengan maksud ingin meminta sesuatu pada Baginda. Baginda SAW memberinya, lalu bersabda, “Aku berbuat baik padamu.” Badwi itu berkata, “Pemberianmu tidak bagus!” Para sahabat merasa tersinggung, lalu mengerumuninya dengan kemarahan. Namun, Rasulullah SAW memberi isyarat agar mereka bersabar. Kemudian, Rasulullah pulang ke rumah. Rasulullah SAW kembali dengan membawa barang tambahan untuk diberikan ke Badwi tadi. Rasulullah SAW bersabda pada Badwi itu, “Aku berbuat baik padamu?” Badwi itu berkata, “Ya, semoga Allah membalas kebaikan Tuan, keluarga dan kerabat.”

Keesokan harinya, Rasulullah SAW bersabda kepada para sahabat, “Nah, kalau pada waktu Badwi itu berkata yang sekasar engkau dengar, kemudian engkau tidak bersabar lalu membunuhnya, maka, dia pasti masuk neraka. Namun, kerana aku bina dengan baik, maka dia selamat.” Beberapa hari setelah itu, si Badwi mahu diperintah untuk melaksanakan tugas penting yang berat sekalipun. Dia juga turut dalam medan jihad dan melaksanakan tugasnya dengan taat dan redha.

Rasulullah SAW memberikan contoh kepada kita tentang berlapang dada. Baginda tidak panik menghadapi kekasaran seorang Badwi yang memang demikianlah karakternya. Kalau pun saat itu, dilakukan hukuman terhadap si Badwi, tentu hal itu bukan kezaliman. Namun, Rasulullah SAW tidak berbuat demikian. Baginda tetap sabar menghadapinya dan memberikan sikap yang ramah dan lemah lembut. Pada saat itulah, Baginda SAW ingin menunjukkan pada kita bahawa kesabaran dan lapang dada lebih tinggi nilainya. Lihatlah, dengan kesabaran dan kelembutan Baginda, Badwi yang kasar itu dapat ‘dijinakkan’ hatinya.

Rasulullah SAW menyifatkan kaum wanita sebagai botol-botol kaca. Ia adalah sifat paling indah dan paling cantik daripada Rasulullah yang bijaksana. Mereka adalah botol-botol yang mudah pecah. Oleh itu, suami wajib bersifat lemah lembut dan penuh kesabaran menghadapi karenah mereka agar bahtera kehidupan dapat belayar dengan tenang. Allah SWT telah berfirman yang bermaksud, “Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik.” (Surah al-Ahzab, ayat 21)

Kembalilah kepada matlamat perkahwinan yang diredhai-Nya

Dalam banyak kes kaunseling, kes mahkamah dan juga kes jenayah rumahtangga yang sering saya baca di majalah dan surat khabar, pasangan selalu bergaduh dan dalam kes beberapa kali diancam perceraian, jika diselidiki, selalunya mereka berkahwin bukan atas dasar cinta, tetapi kerana faktor kasihan, terdesak, kahwin lari atau mahu balas dendam dengan kekasih lama. Perlu diingatkan, apabila permulaan perkahwinan itu tidak dibina dengan betul mengikut landasan syariat yang disarankan oleh agama kita, tentulah perjalanan perlahwinan seterusnya menjadi kurang baik lancar. Jika anda mengalami masalah perkahwinan, cuba tanyakan kepada diri anda sendiri dan pasangan :
  1. Apakah sebenarnya tujuan anda berdua berkahwin?
  2. Apakah kerana cinta atau apakah ada faktor-faktor lain?
Apabila berlaku perselisihan, perkara sebegini menjadi ungkitan dan sukarlah pihak kaunselor untuk membetulkan masalah jika anda sendiri yang memilih jalan untuk mengharungi masalah. Maksudnya, sendiri yang menempah 'bala'. Matlamat perkahwinan harus dibuat revision sekiranya terdapat tanda-tanda keretakan berlaku. Anda yang mempunyai masalah digalakkan rujuk entry Perkahwinan, tujuan dan falsafahnya.

Suka saya memetik sedikit kata-kata dari blog pemangkin minda saya, GentaRasa. Katanya, apabila rumah-tangga bergoncang, telitilah semula niat berkahwin dahulu. Apakah masih kerana Allah? Atau sudah tersasar tanpa sedar? Akibat hebatnya cabaran, masalah dan godaan yang telah melanda alam rumahtangga solat lima waktu telah terabai, pembaziran berleluasa, hiburan telah melampau dan pelbagai suruhan dan tegahan Allah sudah dipinggirkan? Kalau demikian, jangan tunggu lama-lama, kembalilah ke pangkal jalan, katakan pada diri, “wahai diri, kau berkahwin kerana Allah…” Insya-Allah, “talian hayat” perkahwinan kita akan tersambung semula dengan Allah. Hukum-hakam Allah akan berdaulat semula. Insya-Allah, ketenangan akan menjelma semula.

Selama mana prinsip-prinsip itu dipatuhi, selagi itulah Allah menjamin cinta di antara pasangan suami isteri itu pasti tumbuh, subur dan berbunga sekalipun mereka tidak pernah bercinta sebelum berkahwin. Dan bagi yang telah berkahwin pula (tidak kira berapa lama), syariat Allah ini jika dijadikan rujukan bersama antara suami isteri, insya-Allah rumahtangga akan kembali tenang walaupun pasti ada pergolakan. Hati-hati yang mengingati yang SATU akan mudah bersatu!

Kesimpulan

Islam amat menghormati nilai-nilai akhlak. Dalam Islam terdapat nilai-nilai yang tidak dapat diganggu gugat dan bersifat kekal. Oleh itu jika dengan alasan kebebasan kita menganggap boleh melanggar norma-norma akhlak maka ia akan membahayakan keadaan dan seluruh umat manusia.

Al-Quran meletakkan pembunuhan terhadap manusia laksana pembunuhan terhadap seluruh umat manusia sebagaimana firman Allah maksudnya, “Sesiapa yang membunuh seseorang bukan kerana hukuman atasnya kerana telah membunuh orang lain atau kerana telah melakukan kerosakan di muka bumi, maka sesungguhnya ia telah membunuh semua manusia.(Surah an-Nisaa’: 32)

Setiap daripada kita dilarang daripada melanggar kehormatan dan martabat manusia lain dalam erti kata kita bertanggungjawab menjaga nyawa. Allah berfirman yang bermaksud, “Dan janganlah kamu membunuh diri seseorang manusia yang diharamkan Allah membunuhnya kecuali dengan alasan yang benar. Dan sesiapa yang dibunuh secara zalim, maka sesungguhnya kami telah menjadikan warisnya berkuasa menuntut balas. Dalam pada itu janganlah ia melampau-lampau dalam menuntut balas bunuh itu kerana sesungguhnya ia adalah orang yang mendapat pertolongan.” (Surah al-Isra’ : 33 )

Allah SWT bukan sahaja mengharamkan perbuatan membunuh orang lain tetapi juga mengharamkan juga perbuatan membunuh diri sendiri. Lebih jauh dari itu Islam juga mengharamkan perbuatan mencederakan orang lain atau mencederakan diri sendiri yang mana Allah memberikan jalan penyelesaiannya dengan hukuman qisas dan diyat. Oleh yang demikian peranan anggota keselamatan dalam memastikan keselamatan nyawa dan jiwa dalam masyarakat adalah amat penting.

Yang baik dijadikan teladan, yang buruk dijadikan sempadan. Yang elok daripada Allah SWT, yang buruk daripada kesilapan saya, maafkan ya...

Semoga mendapat walau sekelumit manafaat daripada entry kali ini.



Capaian entry berkaitan :

  1. Cemburu seorang lelaki
  2. Suami dengar nasihat isteri
  3. Bergaul baik dengan isteri adalah WAJIB
  4. Lelaki makin ganas?
  5. Liberalisme vs Islam dan hak wanita?
  6. Isteri degil tanda suami gagal
  7. Dera isteri
  8. Ibu didera beri kesan pada anak
  9. Bukan hak milik, tetapi anugerah....
  10. Anugerah itu amanah dan tanggungjawab
  11. Jenayah seksual wajar dibendung elak maruah Islam tercemar
  12. ISU: Keganasan emosi, penderaan buat wanita
  13. Keganasan Wanita dan Rumahtangga
  14. Tanggungjawab suami lindungi isteri, bukan menganiaya
  15. Hapuskan keganasan terhadap wanita
  16. Kenapa pukul? Kenapa aniaya?
  17. One Stop Crisis Center - OSCC
  18. Hak Muslim: Isteri didera keluar rumah bukan kes nusyuz
  19. Bersatu perangi keganasan terhadap wanita
  20. Apabila lelaki guna 'kuasa'

1 ulasan:

  1. Assalamualaikum... Salam ziarah dari sahabat.. nice blog n good entry..

    Sedikit tips dan info buat teman2 bloggers.. perkara remeh yg kita kurang perasan dan tutor 4 the latest read more.. tengok jgn x tengok.. sila klik disini
    Semoga bermanfaat insyaAllah.."Sebaik-baik manusia ialah orang yang dapat memberi manfaat kepada orang lain"(Hadis riwayat Al-Qudhi).

    "SAMPAIKAN WALAU SATU AYAT"

    P/S: Sedikit perkongsian dan renungan buat sahabat dan diri sendiri dari hamba yang hina jua serba kekurangan ini... sila klik
    DISINI

    "Sesungguhnya yang paling ditakutkan daripada apa yang aku takutkan menimpa kalian adalah asy syirkul ashghar (syirik kecil). Sahabat bertanya: "Apakah dimaksudkan syirik kecil itu? Baginda menjawab: Riak." (Hadis riwayat Imam Ahmad).
    Wallahualam.

    "Demi masa. Sesungguhnya manusia dalam kerugian. Melainkan mereka yang beriman dan beramal soleh serta saling menasihati untuk kebenaran dan saling menasihati untuk kesabaran". - Surah Al-Asr:1-3.

    blog anda bagus dan bermanfaat...!!! Teruskan menulis.. Semoga sejahtera dan semoga sentiasa diberi keberkatan.. wassalam.

    BalasPadam

Kongsikan komen anda di sini...

Related Posts with Thumbnails