Oleh Fairuz Zaidan
fairuzaidan@bharian.com.my
Faktor mental, hormon androgen, persekitaran jadi punca lelaki cenderung bertindak fizikal
LIMA hari menjengah tahun baru, negara digemparkan dengan berita kematian ngeri membabitkan empat sekeluarga di Kampung Batang Rokan, Gemencheh, Negeri Sembilan. Kes pembunuhan yang cukup tragis itu menyaksikan seorang daripada anggota keluarga terbabit dipancung kepala hingga putus, dua mangsa dipotong di pergelangan tangan manakala seorang lagi mati dalam keadaan pisau terpacak di dada.
Siasatan polis membawa kepada penahanan seorang lelaki yang juga anggota keluarga si mati bagi membantu pihak berkuasa merungkai misteri pembunuhan empat sekeluarga itu.
Dalam kes berlainan, seorang suami didakwa bersekongkol dengan tiga lelaki lain untuk membunuh seorang konduktor bas dengan menjerut mangsa hingga mati sebelum menimbus mayatnya di sebuah taman perumahan di ibu negara. Bukan setakat jerut, amarah si suami bersama tiga lelaki lain turut mengakibatkan mangsa dipukul dengan objek keras hingga mengalami kecederaan di kepala.
Dalam kes berasingan pula, dilaporkan perbuatan isteri menyemak khidmat pesanan ringkas (SMS) yang diterima suaminya mengakibatkan beliau diseret beberapa meter dari kereta yang dinaiki hingga mengalami kecederaan dan gegaran otak.
Melihat rentetan kes serius membabitkan pelaku lelaki sejak awal tahun ini, timbul persoalan apakah lelaki sekarang makin ganas dan rakus hingga tergamak melakukan tindakan fizikal melampaui batas?
Lebih membimbangkan, makin banyak kes serangan fizikal termasuk yang mendatangkan kematian dilaporkan membabitkan mangsa dari kalangan anggota keluarga sendiri. Perkembangan ini pasti membuka perdebatan pengkaji sosial berhubung faktor yang mendorong pelaku bertindak ganas terhadap anggota keluarga sendiri atau individu yang mempunyai hubungan rapat dengan pelaku.
Faktor keganasan domestik iaitu serangan terhadap anggota keluarga terdekat meletakkan institusi kekeluargaan di ambang kerapuhan. Ini kerana perilaku seperti keganasan yang membawa kepada kematian seolah-olah tidak mengenal sesiapa termasuk anggota keluarga atau insan tersayang.
Selain itu, apakah faktor tekanan hidup yang menjejaskan mental pelaku dikhuatiri menjadi punca lelaki melakukan jenayah?
Aktivis dan Penganalisis Jenayah, Kamal Affandi Hashim berkata, jumlah kes serangan fizikal yang membabitkan mangsa dari kalangan anggota keluarga seperti yang dilaporkan akhir-akhir ini, membimbangkan.
“Dari aspek serangan, jelas menunjukkan pelaku tidak kisah siapa termasuk ahli keluarga sendiri ketika menyerang. Sama ada bertujuan mendatangkan kesakitan melalui serangan atau dengan niat membunuh sebagai hukuman untuk di mati. Ada pelbagai teori yang dikaitkan mengenai punca serangan. Ada teori mengatakan motif serangan disebabkan faktor pengaruh dadah, alkohol dan kurang siuman semata-mata untuk melepaskan diri daripada kesalahan. Inilah yang diperdebatkan penganalisis jenayah dan pakar perubatan di mana wujud perbezaan pendapat dalam soal hukuman ke atas pesalah,” katanya.
Kata Kamal Affandi, seseorang yang memperlakukan jenayah bunuh misalnya tidak seharusnya mudah diperakui sebagai mengalami sakit mental. Sebaliknya, perlu diselidik segenap aspek termasuk penggunaan senjata jika ada dan bentuk serangan. Beliau berkata, adalah mustahil pesakit mental mampu mengatur siri serangan termasuk menggunakan senjata seperti pisau yang jelas dilakukan dengan niat untuk mencederakan mangsa.
“Lebih-lebih lagi, spot atau tempat sasaran serangan seperti muka, tangan dan dada sebagai contoh, dilihat sebagai tempat strategik menyerang mangsa. Jika seseorang dikatakan kurang siuman, mengapa dia tidak menyerang dengan tangan sendiri sebaliknya menggunakan senjata?” katanya.
Mengulas lanjut bentuk serangan dari aspek tikaman, Kamal Affandi berkata, berdasarkan kebiasaan, mangsa sering dibunuh dengan tikaman secara berulang seperti lima, tujuh hinggalah 13 tikaman. Soalnya, mengapa perlu tujuh atau 13 tikaman sedangkan satu tikaman mungkin boleh membunuh mangsa?
“Jika dilihat, ada pelaku sengaja menikam mangsa bertubi-tubi walaupun mangsa sudah mati pada detik itu,” kata Kamal Affandi.
Ditanya punca penjenayah melakukan serangan bertubi-tubi, beliau berkata, ia mungkin didorong faktor kebencian dan kemarahan yang dipendam sekian lama hingga berlaku konflik lalu tercetusnya serangan keganasan. Perlakuan serangan sepatutnya dapat dikawal dengan mengkaji perilaku seseorang yang difikirkan berpotensi menyerang.
“Mereka ini seharusnya diberi bimbingan kaunseling lebih awal untuk mengawal perasaan marah dan baran. Pada satu tahap, mereka juga boleh mengatur janji temu bersama pakar psikologi dan psikiatri,” katanya.
Mengenai tempat aduan rujukan kes keganasan, Kamal Affandi berkata masyarakat boleh segera merujuk hospital terdekat selain menghubungi talian 15999 untuk mendapatkan kaunseling dan cadangan langkah susulan.
Fahami psikologi perilaku di luar kawalan
BANYAK faktor mendorong lelaki mengambil tindakan nekad mengganas termasuk memperlakukan perkara di luar kawalan seperti memukul, mencederakan dan mengakibatkan kematian.
Mengulas perilaku lelaki yang bertindak ganas dari sudut psikologi, Profesor Psikiatrik Perubatan Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr Azhar Zain, berkata lelaki yang memiliki lebih banyak hormon androgen berbanding wanita terdedah kepada perilaku pemarah. Hormon androgen yang menjadi sifat semula jadi sekunder yang merangsang kelelakian seseorang antara lain mengakibatkan lelaki lebih mudah marah hingga pada tahap mampu bertindak ganas jika tidak dikawal.
“Dari sudut biologi, lelaki mudah terangsang untuk berasa cepat marah atas sebab hormon androgen yang tinggi berbanding wanita. Andai perilaku diri yang sukar bertolak ansur dan mudah marah, keadaannya bertambah parah. Selain faktor hormon, pembangunan persekitaran yang membentuk perilaku seseorang juga menjadi faktor yang boleh merangsang lelaki menjadi ganas seperti pengalaman ketika kecil, didikan ibu bapa serta terdedah dengan persekitaran yang tidak baik,” katanya.
Ditanya punca lelaki bertindak ganas, Dr Azhar berkata, kesempatan yang ada pada detik itu memungkinkan lelaki bertindak sedemikian hingga mencetuskan keganasan di luar kawalan. Ditambah lagi dengan faktor lain seperti sejarah kelakuan ganas serta berada di bawah pengaruh dadah dan alkohol juga mendorong lelaki menjadi ganas.
Namun, perilaku lelaki yang bertindak ganas ini sebenarnya boleh dikawal jika mendapat kerjasama mereka sendiri. Tidak kira, diri sendiri yang mencuba untuk mengawal kemarahan atau mendapatkan rawatan secara profesional. Ini termasuk pengambilan ubat-ubatan, rawatan psikologi dan teknik untuk mengawal kemarahan yang prosesnya mengambil masa.
Dr Azhar berkata, faktor personaliti, keturunan, tekanan perasaan dan gangguan mental secara susulan memungkinkan seseorang lelaki mengambil jalan mudah untuk mengekspresi kemarahan diri. Sebagai contoh, seorang lelaki yang menghadapi masalah kewangan, pada masa yang sama berkonflik dengan isteri di rumah. Tiba pula di pejabat dia dimarahi pengurus. Tidak mustahil punca kemarahan yang bertimpa-timpa itu boleh tercetus apabila berlaku konflik dengan rakan sepejabat.
Ditanya insan terbaik yang boleh membantu lelaki yang dalam keadaan amarah, Dr Azhar berkata, orang yang paling dekat dan dipercayai sesuai memberi nasihat dan kaunseling untuk membina semula motivasi dan sikap positif lelaki ganas.
“Saya tidak pernah berpeluang berdepan dengan lelaki yang memiliki kesalahan serius. Sebaliknya, kes yang dirujuk rata-rata lelaki yang mencederakan orang, bergaduh dan membakar rumah pada lingkungan usia 20 tahun hingga 30 tahun,” katanya.
INFO: Lapan implikasi amarah...
- Dipulau masyarakat
- Punca pergaduhan
- Mendatangkan konflik perceraian
- Terdedah serangan penyakit kronik seperti darah tinggi dan sakit jantung
- Murung dan tekanan perasaan
- Hilang pekerjaan
- Melakukan kesalahan penderaan.
TIP: Redakan kemarahan
1. Ikuti latihan dan kegiatan sukan
Kajian menunjukkan individu yang menumpukan kegiatan luar mempunyai tekanan darah yang sempurna dan kurang berisiko mendapat sakit jantung.
2. Ubah diet pemakanan
Ramai pakar pemakanan berpendapat, menambah berat badan menokok beban yang lebih pada sistem biologi badan dan saraf minda. Merubah gizi yang lebih menyihatkan membantu anda lebih cergas, lebih bertenaga dan lebih berkeyakinan.
3. Minuman secawan kopi
Kafein adalah bahan perangsang yang dianggap berbahaya pada kesihatan. Ia boleh menyebabkan seseorang terangsang dan jika berlebihan menimbulkan keresahan, mengganggu ketenangan minda dan mempercepatkan degupan jantung.
4. Berhenti merokok
Individu yang berhenti merokok mendapati fungsi paru-paru menjadi lebih baik pada masa beberapa hari saja. Anda dapat berasakan pernafasan lebih licin dan selesa kerana udara meresap ke saluran darah lebih berkesan.
5. Berfikiran positif
Belajar menyampaikan kemarahan secara positif dan terhormat; elak daripada memekik atau bertindak garang. Kemarahan yang dilihat secara positif boleh menjadikan tekanan bertukar kepada kekuatan.
Sumber : BHarian 2010/01/30
0 KOMEN:
Catat Ulasan
Kongsikan komen anda di sini...