“YA ALLAH, AKU BERLiNÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA PERASAAN SEÐiH ÐAN ÐUKACiTA, AKU BERLINÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA LEMAH ÐAN MALAS, AKU BERLiNÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA BAHKiL ÐAN PENAKUT ÐAN AKU BERLiNÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA BEBAN HUTANG ÐAN TEKANAN PERASAAN.”


“YA ALLAH, BUKAKANLAH UNTUKKU PiNTU-PiNTU KEBAiKAN, PiNTU-PiNTU KESELAMATAN, PiNTU-PiNTU KESiHATAN, PiNTU-PiNTU KENiKMATAN, PiNTU-PiNTU KEBERKATAN, PiNTU-PiNTU KEKUATAN, PiNTU-PiNTU CiNTA SEJATi, PiNTU-PiNTU KASiH SAYANG, PiNTU-PiNTU REZEKi, PiNTU-PiNTU iLMU, PiNTU-PiNTU KEAMPUNAN ÐAN PiNTU-PiNTU SYURGA, YA ALLAH YANG MAHA PENGASiH LAGi MAHA PENYAYANG.”


Sabtu, Januari 23, 2010

Dera isteri


KONSEP hargai diri mesti ada walaupun selepas berumah tangga bagi mengelakkan menjadi mangsa penderaan pasangan.

Ramai wanita sanggup biarkan diri dipukul suami sehingga ada kes sebabkan kematian

Kes 1

"Saya pernah ditumbuk sampai bengkak mata sedangkan saya hanya keluar bekerja untuk mencukupkan keperluan anak-anak. Saya kecewa, daripada anak pertama hingga ketiga boleh dikatakan hampir setiap hari kami bertengkar. Muka saya juga sudah lali dengan penampar suami."

Kes 2

"Paling saya tidak lupa ialah perbuatannya menyepak bahagian belakang dan pinggang serta menolak saya hingga terjatuh. Akibat insiden itu, saya yang hamil tiga bulan ketika itu mengalami keguguran. Selepas kejadian itu, suami nampak menyesal sangat tetapi tiga bulan berlalu, dia kembali menaikkan tangannya ke muka saya."

KISAH suami memukul atau mendera isteri seperti contoh kes yang dipaparkan itu bukanlah perkara baru. Malah, banyak sudah cerita mengenai kes keganasan rumahtangga yang dipaparkan di dalam media dan kebanyakannya kisah sedih, penderitaan dan kesengsaraan isteri serta anak dan paling tragis sehingga ada membawa kematian.

Apabila cerita sebegitu terus dipaparkan ia seolah-olah memperlihatkan tiada penghujung dan timbul persoalan, jika ada perasaan sayang mengapa individu itu tergamak meletakkan tangan ke muka dan sepak terajang orang yang disayangi. Di manakah letaknya perasaan perikemanusiaan sehingga sanggup mencederakan orang yang dikasihi bahkan, tidur sebantal dan duduk sebumbung?

Lebih malang, ada kes keganasan rumah tangga berlaku bukan setahun dua, tetapi bertahun-tahun atau mungkin sepanjang hayat hidup bersama pasangan. Bagaimanapun, perkara itu 'didiamkan' saja sehinggakan tiada sesiapa mengetahuinya kecuali hanya ahli keluarga terbabit.

Tidak tahu untuk mengatasi masalah itu dan tiada tempat hendak mengadu serta ditambah lagi dengan pelbagai alasan lain seperti berasa malu, takut kehilangan tempat bergantung dan bimbang imej diri akan terjejas, kisah rumah tangga yang dilanda masalah itu terus dirahsiakan serta ditutup serapat-rapat yang boleh supaya tidak diketahui orang lain walaupun ada kala keselamatan diri dan nyawa terancam.

Biar apa pun alasan, keganasan rumah tangga tidak boleh dibiarkan berterusan dan jika boleh jangan lagi ada yang menjadi mangsa, khususnya membabitkan kematian. Apatah lagi, kes keganasan rumah tangga adalah perbuatan jenayah dan ditakrifkan sebagai keganasan yang dilakukan kepada anda oleh keluarga sendiri termasuk menampar, menendang, mencekik, menghantuk kepala ke dinding, mengadakan hubungan seks secara paksa atau menyebabkan anda hilang harga diri dan berasa tidak berguna.

Dekan Kolej Pendidikan Universiti Southern Arkansas, Amerika Syarikat, Prof Dr Zaidy Mohdzain, berkata keganasan rumah tangga atau penderaan kepada pasangan berlaku di kalangan semua masyarakat di dunia tanpa mengambil kira batas geografi.

Malah, katanya, kes seumpama itu membabitkan semua golongan daripada orang biasa dan berpendapatan rendah hinggalah profesional, berjawatan tinggi dan sebagainya.

Beliau yang berpengalaman bekerja di dalam Klinikal Kaunseling di Illinois, Mississippi, Missouri dan Ohio cenderung dalam isu-isu kaunseling seperti kekeluargaan, perkahwinan serta penderaan seksual berkata, keganasan berlaku apabila seseorang itu membenarkan ia berlaku kepada dirinya, oleh itu setiap individu perlu mempunyai perasaan hormat kepada dirinya sendiri.

"Mangsa dalam keganasan rumah tangga, boleh jadi wanita atau pun lelaki, tetapi dalam banyak keadaan atau kes, wanita yang paling banyak menjadi mangsa. Bagi mengelakkan daripada menjadi mangsa terus-terusan, individu itu sendirilah yang perlu bertanggung jawab pada dirinya dan tidak membiarkan orang lain memukul atau menderanya, termasuk orang dikasihinya ," katanya ketika ditemui Berita Harian selepas mengendalikan Bengkel Kaunseling Keluarga di Universiti Kebangsaan Malaysia, UKM, baru-baru ini.

Bengkel dua hari itu anjuran Pusat Pengajian Psikologi & Pembangunan Manusia, Fakulti Sains Sosial & Kemanusiaan bersama pelajar Diploma Psikologi Kaunseling.

Tanda-tanda individu itu bersikap kasar atau suka memukul pasangan sebenarnya boleh dikesan ketika mereka menjalin hubungan lagi dan ia tidak semestinya apabila sudah berkahwin. Namun, ramai wanita terperangkap dalam situasi itu tidak bercakap mengenainya, sebaliknya membiarkan saja ia berlaku dan menganggap perbuatan seumpama itu adalah sesuatu yang biasa.

Katanya, selain itu pendera sendiri juga percaya yang beliau perlu melakukan demikian (peringkat ini hanya kepuasan diri) untuk mengawal mangsa dan hubungan mereka. Tetapi pasangan berkenaan menyalahgunakan kuasa dan ia diluahkan dalam konteks fizikal, emosi, psikologikal dan penderaan seksual yang akhirnya akan berterusan, apatah lagi apabila mangsa itu sendiri tidak mengambil keputusan drastik untuk membendungnya.

Beliau berkata, tindakan keluarga berdiam akan menyumbangkan lagi penderaan atau keganasan dalam rumah tangga, sebab itulah apabila perkara berkenaan berlaku kita tidak boleh membiarkan saja mahupun berdiam diri.

"Keganasan atau memukul pasangan tidak seharusnya dianggap normal. Justeru, kita perlu mempunyai konsep hargai diri dan menjaga diri sendiri bagi mengelakkan perkara itu berlaku. Realitinya, penderaan dan keganasan dalam rumah tangga berterusan berlaku membabitkan kedua-dua pihak. Misalnya, sekali penderaan itu berlaku mangsa mungkin bertindak merajuk dan lari atau keluar dari rumah, tetapi apabila dipujuk oleh pasangan serta adanya lagi perasaan sayang, dia mungkin kembali dan melupakan perkara itu dengan mudah. Tetapi keadaan tenteram itu mungkin tidak lama, keadaan sama boleh berulang semula, manakala sikap mangsa yang juga tidak berubah dan membenarkan lagi ia berlaku ke atasnya boleh menyebabkan keadaan berterusan menjadi lebih teruk," katanya.

Zaidy berkata, membuli pasangan sama ada yang berkahwin atau sebagai kekasih, berlaku bukan disebabkan faktor cemburu mahupun sayang seperti yang lazimnya diberikan alasan, tetapi hakikatnya ia satu perbuatan atau tingkah laku yang sudah terbiasa dan mangsa membiarkannya berlaku.

Katanya, tidak mustahil juga semakin lama dibiarkan, maka semakin banyak dan kerap penderaan berlaku, malah sehingga boleh menyebabkan berlaku kematian dan sebab itulah keganasan tidak boleh dibiarkan terus berlaku kerana 'penyakit' itu tidak akan berkurangan selagi individu membenarkan perkara itu berlaku pada dirinya.

"Keadaan itu sama apabila kita membiarkan seseorang kanak-kanak itu menghentak-hentak kaki atau memecahkan barangan apabila dirinya marah. Kita membiarkan saja kanak-kanak itu berbuat demikian dan akhirnya itulah yang dipelajarinya. Sepatutnya, konsep sempadan perlu diterapkan pada kanak-kanak itu supaya dia tidak berterusan dengan tingkah lakunya termasuk memecahkan barang. Begitulah juga dalam kes penderaan atau keganasan rumah tangga yang sehingga menyebabkan kematian, pasangan itu mungkin tidak berniat hendak membunuh, tetapi sikap tiada sempadan menyebabkannya bertindak di luar dugaan," katanya.

Zaidy menambah, keganasan rumah tangga juga berlaku apabila pendera sendiri mempelajari cara bagaimana melayan isteri dan anak-anak daripada ibu bapa ketika mereka kecil-kecil dulu. Jadi, perbuatan itu seolah-olah sudah jadi lumrah kerana sering dilihat ketika mereka membesar, maka itu penderaan sudah menjadi perkara biasa dan diterima sebagai tingkah laku dan cara menjalin perhubungan.

Kesimpulannya, jika penderaan itu berlaku, anak-anak akan mempelajarinya dan berkemungkinan membuat hal yang sama apabila mereka dewasa nanti.

"Penderaan turun temurun daripada generasi ke generasi antara pasangan seumpama itu mesti dihentikan dan tidak boleh diterima sekali pun ia dianggap normal ataupun lumrah. Apabila membantu pasangan berkenaan, sesiapa sebagai kaunselor sewajarnya mereka mengambil sikap dan kedudukan tiada toleransi bagi keganasan dalam hubungan suami isteri atau pun pasangan," katanya.

INFO: Mengenai keganasan rumah tangga:
  1. Keganasan rumah tangga sering dianggap masalah peribadi menyebabkan mangsa mengalami penderaan berterusan.
  2. Kebanyakan mangsa keganasan rumah tangga mengalami gangguan mental dan emosi selain berhadapan dengan masalah fizikal, kesihatan di samping trauma yang mungkin berpanjangan.
  3. Mangsa keganasan rumah tangga boleh mendapatkan perintah perlindungan Unit Keganasan Rumah tangga Polis Diraja Malaysia di seluruh negara selepas mendapat perintah mahkamah.
  4. Maksud keganasan rumah tangga dari sudut perundangan - Menurut peruntukan Seksyen 2 Akta Keganasan Rumah Tangga 1994, keganasan rumah tangga ditakrifkan sebagai:
  • Sengaja atau cuba meletakkan mangsa dalam ketakutan kecederaan fizikal.
  • Mencederakan mangsa secara fizikal.
  • Memaksa atau mengancam melakukan perbuatan berbentuk seksual atau selain yang mana mangsa itu berhak atau tidak melakukannya.
  • Mengurung atau menahan mangsa tanpa kerelaan atau
  • Khianat atau merosakkan harta dengan niat menyebabkan kesedihan atau kegusaran kepada mangsa.

INFO: Sekiranya anda mangsa berikut adalah antara yang perlu dilakukan:

1. Kawal Emosi
  • Jangan bertindak agresif seperti cubaan membunuh diri
  • Cuba untuk kawal emosi dan bertenang
  • Dapatkan bantuan segera.
2. Segera
  • Pastikan berada di tempat yang selamat
  • Hubungi orang yang rapat untuk dapatkan bantuan
  • Buat laporan di balai polis, hospital (One Stop Crisis Centre) atau Jabatan Kebajikan Masyarakat yang berhampiran.
  • Beri maklumat yang lengkap dan tepat
3. Jangan lakukan
  • Jangan buang bukti (pakaian)
  • Jangan bersihkan diri/mandi supaya tidak hilang bukti apabila tindakan ingin diambil
4. Sokongan emosi
  • Dapatkan sokongan emosi untuk mengembalikan keyakinan diri daripada ahli keluarga, rakan, Pegawai Kebajikan Perubatan, Kaunselor dan orang yang rapat dengan anda
5. Rawatan lanjut
  • Dapatkan rawatan lanjut dari semasa ke semasa bagi memastikan anda berada dalam keadaan stabil dan segi emosi dan mental sekiranya perlu
  • No telefon untuk dihubungi: Talian Nur 15999.

Sumber : BHarianOnLine 2010/01/22


0 KOMEN:

Catat Ulasan

Kongsikan komen anda di sini...

Related Posts with Thumbnails