Bersama Pakar Urologi Prof Madya Dr Zulkifli Md Zainuddin, Ketua Unit Urologi, Pusat Perubatan UKM, Cheras [tanyadrxy@bharian.com.my]
SOALAN :
LEBIH sembilan tahun lalu, saya terbabit dengan penggunaan pil kuda. Ketika mengambil dadah itu, nafsu seks saya amat kuat sekali hinggakan tiap-tiap hari saya melakukan onani selepas menonton cerita lucah.
Lama-kelamaan saya menjadi ketagih onani. Kesan sekarang ialah air mazi saya sangat mudah keluar walaupun zakar tidak tegang. Zakar saya sekarang menjadi lemah dan tidak tegang seperti dulu.
Untuk pengetahuan doktor, sekarang saya 100 peratus bebas dari pengaruh pil kuda. Umur saya sekarang 25 tahun, masih bujang dan akan berkahwin tahun ini. Tolong nasihatkan saya dari segi rawatan atau pengambilan ubat yang sesuai supaya zakar saya dapat kembali tegang seperti dulu demi menunaikan tanggungjawab sebagai seorang suami.
Harap Dibantu
JAWAPAN :
SAUDARA, masalah ketegangan zakar yang anda alami adalah kesan sampingan dari pengambilan pil kuda sejak lebih sembilan tahun lalu. Apa yang terjadi ialah pil kuda akan menyebabkan keadaan di mana saluran darah pada bahagian batang zakar menjadi kecil (vaso konstriksi). Akibat dari itu, akan berlaku kekurangan pengaliran darah ke batang zakar dan seterusnya menyebabkan zakar tidak menjadi tegang seperti dulu.
Saya sendiri tidak pasti kandungan sebenar pil kuda. Tetapi sebahagian besar kandungannya ialah methamphetamine. Methamphetamine adalah sejenis dadah psychostimulant atau dadah perangasang yang dilarang penggunaannya selain untuk tujuan perubatan.
Dadah ini akan memasuki otak dan menghasilkan tindakan yang menyebabkan terjadinya rembesan dopamine dan norepinephrine. Pengeluaran kedua-dua kimia ini di dalam badan akan menyebabkan seseorang merasa sangat teruja (intense euphoria) dan merasakan beliau mempunyai tenaga berlebihan (enhancing effect on energy).
Dari segi kesan seksual pula, ia akan menyebabkan seseorang merasakan dia mempunyai libido yang tinggi serta boleh melakukan hubungan seksual dalam masa yang panjang. Ia merencat proses ejakulasi dan seseorang yang mengambil pil ini tidak akan mendapat klimaks atau orgasma. Dengan itu, hubungan seks boleh diteruskan pada tempoh masa yang panjang.
Bagaimanapun, kajian menunjukkan ia juga akan menyebabkan seseorang hilang pertimbangan. Ini seterusnya membawa kepada hubungan seksual yang tidak selamat; tidak menggunakan kondom; kadang kala boleh menjadi ganas dan kasar.
Ada kes di mana berlaku kecederaan pada zakar, rectum dan vagina akibat perlakuan seksual di bawah pengaruh dadah ini. Kesan jangka masa panjang adalah mati pucuk atau erectile dysfunction dan kehilangan libido.
Dadah ini juga boleh mempengaruhi fungsi pundi kencing. Kesan sampingannya adalah pundi kencing akan mengalami irritasi dan inflamasi. Akibatnya, seseorang itu akan merasa hendak membuang air kecil yang kerap.
Dalam beberapa kes yang saya rawat, pesakit perlu ke tandas setiap 15 minit hingga 30 minit. Proses pembuangan air kecil juga akan menjadi sakit dan pedih. Ada juga berlaku masalah pengeluaran air kecil yang tidak terkawal hingga penderita perlu memakai pampers walaupun berusia baru awal 20-an.
Kesan jangka masa panjang pada pundi kencing adalah pundi kencing akan menjadi berparut dan kapasitinya menjadi amat kecil .Rawatan untuk kes seperti ini adalah amat sukar dan mungkin memerlukan pembuangan pundi kencing secara pembedahan.
Kesan seperti ini juga dapat dilihat dengan penggunaan dadah jenis ketamine yang semakin popular di kalangan remaja. Dadah ini juga adalah adalah sejenis dadah yang boleh menimbulkan ketagihan dan simptom withdrawal akan terjadi jika dadah itu tidak diambil.
Sekiranya tidak diambil, dadah ini juga akan menyebabkan seseorang itu mengalami anhedonia iaitu tidak ada lagi perasaan gembira atau kenikmatan dalam hidup.
Selain dari itu, ada beberapa lagi kesan sampingan akibat pengambilan pil kuda ini.
Ini termasuk:
- Kerosakan pada gigi yang dikenali sebagai meth mouth. Ini terjadi akibat dari penurunan pengeluaran air liur, tabiat menggerudi gigi dan menggigit gigi secara tidak sengaja dan juga penjagaan gigi yang tidak teratur oleh penagih. Mereka juga kerap mengambil air yang berkabonat dan manis akibat dari perasaan dahaga yang terlampau kesan dari dadah ini.
- Kesan psikologi seperti ganas; cepat marah (irritable); tidak boleh tidur (insomnia); tidak dapat rehat (restless); paranoia; hallusinasi dan psikosis.
- Kesan kardiovascular iaitu tekanan darah rendah; degupan jantung yang cepat dan pening (dizziness).
- Kesan pada sistem saraf iaitu sakit kepala; sawan (convulsion); ketegangan otot dan menggeletar.
- Kesan-kesan lain seperti hilang selera makan; penglihatan yang kabur; diarrhea; kulit menjadi kering dan kasar; masalah jerawat dan pada dos yang tinggi, ia boleh membawa maut akibat serangan sakit jantung.
Jika dilihat pada kesan sampingan yang tersenarai di atas, saya merasakan tindakan saudara berhenti mengambil pil kuda adalah tindakan yang amat baik.
Untuk mengatasi masalah mati pucuk yang saudara hadapi, saya menasihatkan saudara berjumpa dengan pakar urologi. Ini kerana masalah saudara boleh dipulihkan dengan menggunakan ubat PDE5 inhibitor seperti Viagra, Cialis atau Levitra. Ubat ini bertindak dengan membesarkan saluran darah ke batang zakar dan memulihkan kembali masalah ketegangan zakar yang anda hadapi.
Kepada pembaca yang masih mengamalkan pengambilan pil kuda atau sebarang yang dikatakan boleh menguatkan nafsu seks, saya nasihatkan anda berhenti dari mengambil pil berkenaan.
Ini kerana ada pelbagai kesan sampingan dari pengambilan pil ini. Dari segi pandangan perubatan moden, masih tidak ada lagi pil yang boleh meningkatkan nafsu seks di pasaran yang selamat untuk digunakan.
Anda musykil atau bimbang masalah kesihatan boleh menjejaskan kelakian diri? Dr Zulkifli akan memberi pandangan dan membantu menyelesaikan masalah anda. Hantarkan soalan kepada Pengelola Ruangan Tanya Doktor, XY - Ikon Lelaki, Berita Harian Sdn Bhd (BHSB), Balai Berita, 31, Jalan Riong, 59100 Kuala Lumpur atau e-mel tanyadrxy@bharian.com.my.
Sumber : BHarian 2010/01/09
0 KOMEN:
Catat Ulasan
Kongsikan komen anda di sini...