“YA ALLAH, AKU BERLiNÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA PERASAAN SEÐiH ÐAN ÐUKACiTA, AKU BERLINÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA LEMAH ÐAN MALAS, AKU BERLiNÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA BAHKiL ÐAN PENAKUT ÐAN AKU BERLiNÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA BEBAN HUTANG ÐAN TEKANAN PERASAAN.”


“YA ALLAH, BUKAKANLAH UNTUKKU PiNTU-PiNTU KEBAiKAN, PiNTU-PiNTU KESELAMATAN, PiNTU-PiNTU KESiHATAN, PiNTU-PiNTU KENiKMATAN, PiNTU-PiNTU KEBERKATAN, PiNTU-PiNTU KEKUATAN, PiNTU-PiNTU CiNTA SEJATi, PiNTU-PiNTU KASiH SAYANG, PiNTU-PiNTU REZEKi, PiNTU-PiNTU iLMU, PiNTU-PiNTU KEAMPUNAN ÐAN PiNTU-PiNTU SYURGA, YA ALLAH YANG MAHA PENGASiH LAGi MAHA PENYAYANG.”


Ahad, Januari 17, 2010

Kahwin lari boleh jejas institusi kekeluargaan Islam

Oleh Asyraf Ismail


ISLAM sangat menggalakkan umatnya supaya melakukan proses perkahwinan secara teratur dan beradab. - Gambar hiasan

Golongan alim ulama perlu cari kaedah tangani gejala yang menjadi-jadi sekarang

KAHWIN lari, satu istilah yang biasa digunakan masyarakat Islam merujuk kepada pasangan yang bernikah secara senyap di sempadan negara atau melalui sindiket di dalam negara sendiri. Dewasa ini, fenomena itu nampaknya semakin menjadi-jadi.

Saya sebagai seorang bapa juga berasa amat bimbang dan mencadangkan pihak berwajib memikirkannya secara serius. Antara penyebab utama kahwin lari adalah poligami, terlanjur serta wali adhal (enggan).

Kebanyakan pasangan mengambil jalan singkat memilih kahwin lari dengan harapan dapat menyelesaikan masalah dengan cepat. Namun, sedarkah mereka sedang mencipta masalah baru yang lebih besar terutama golongan wanita atau si isteri sendiri. Beberapa keburukan jelas daripada kahwin lari dapat saya simpulkan seperti di bawah.

1. Meruntuhkan sistem kekeluargaan Islam yang murni.

Islam sangat menggalakkan umatnya supaya melakukan proses perkahwinan secara teratur dan beradab. Tidak pernah sekali pun kita membaca sirah Rasulullah SAW membenarkan para sahabatnya kahwin lari bagi sebarang masalah dihadapi sekalipun, sebaliknya Baginda sendiri yang akan mewakili sahabatnya bagi upacara peminangan dan selanjutnya.

Kita juga amat memahami bahawa meminang itu sunat muakkad dalam Mazhab Syafie. Permohonan dengan penuh beradab untuk mengambil anak perempuan sesuatu keluarga dilihat sangat sesuai dengan Islam sebagai agama yang murni lagi selamat.

2. Menghilangkan hak wali.

Bayangkan jika perkara ini berlaku kepada anda? Saya sangat menyokong tindakan wali (kebiasaannya bapa perempuan) memohon kepada Mahkamah Syariah perintah Mufarakah dan sebagainya bagi memastikan anaknya benar-benar dinikahi secara bertepatan syarak.

3. Mengeruhkan hubungan kekeluargaan.

Antara hikmah digalakkan perkahwinan dalam Islam adalah bagi mengembangkan silaturrahim antara sesama Muslim. Semakin jauh kaitan kekeluargaan, semakin baik bagi tujuan itu.

Namun, kahwin lari berlaku sebaliknya. Bukannya mengembang silaturrahim malah bertambah menguncup. Anak perempuan dan bapa akan bermusuhan apatah lagi menantu. Keluarga kedua-dua pihak akan menyalahkan antara satu sama lain dan lebih parah lagi akan berlaku pergaduhan. Inikah yang diimpikan daripada sebuah perkahwinan? Jelas sekali jawapannya tidak.

4. Pernikahan diragui.

Walaupun kahwin lari memenuhi rukun syarak akan diperakui sah, pernahkah kita terbaca atau mengalami kisah seorang isteri mempunyai dua suami? Menantu berkahwin dengan mentua? Isteri yang diceraikan tetapi masih dalam edah dinikahi?

Tahukah kita betapa longgarnya peraturan dan undang-undang pernikahan di negara jiran? Tahukah kita, ada banyak sindiket yang tidak bertauliah berlumba-lumba mencari pasangan untuk dinikahi? Pernikahan sebegini jelas menyebabkan statusnya diragui kesahihannya.

Sudah wujud banyak sindiket pernikahan di merata negeri Perak, Selangor, Wilayah Persekutuan, Kedah, Kelantan dan lain-lain. Mereka tidak mengira halal haram asalkan bayaran diterima bagi pasangan yang terdesak. Tidak kurang juga sindiket yang menguruskan kahwin lari secara sah di negara jiran.

Pernahkah kita mendengar kisah sepasang kekasih yang ditangkap khalwat dan gagal mengemukakan sebarang bukti pernikahan, datang seminggu kemudiannya membawa sijil nikah negara sempadan? Saya bimbang dengan kawalan dan undang-undang yang longgar, sijil nikah ini mudah diperoleh melalui sindiket tanpa melalui proses pernikahan sah mengikut hukum syarak.

Sebagai cadangannya saya mengesyorkan panel penggubal undang-undang Mahkamah Syariah melihat kembali enakmen yang perlu diperhalusi dan dibahaskan. Antara permasalahan ketara adalah peraturan dan undang-undang poligami. Enakmen sedia ada dilihat sangat menyulitkan pasangan bahkan boleh dikatakan hampir mustahil untuk dipenuhi.

  1. Contohnya peraturan memanggil isteri memberi keterangan, bakal isteri, bakal mentua dilihat sangat membebankan, sedangkan mengikut hukum syarak, keterangan yang paling tinggi darjatnya adalah keterangan saksi-saksi yang adil. Keterangan isteri hanyalah bayyinah (penyokong) kepada keterangan syahadah (saksi).
  2. Sebagai contoh, Mahkamah Syariah boleh menetapkan bakal suami yang ingin berpoligami untuk membawa dua saksi yang adil bagi menyatakan kelayakannya untuk berpoligami. Walaupun sering kali Mahkamah Syariah menafikan bersungguh-sungguh bergantung keterangan isteri, hakikat yang berlaku adalah sebaliknya bahkan kebiasaannya bukan poligami yang berjaya, tetapi keruntuhan rumah tangga sedia ada. Akhirnya wanita teraniaya.
  3. Memudahkan urusan permohonan pernikahan (khususnya permohonan poligami dan pasangan bermasalah).
  4. Memudahkan bukan bermaksud membiarkan semudah-mudahnya tetapi mencari jalan memudahkan pasangan bukan menyulitkan mengikut hukum syarak.
  5. Pernikahan juga tidak disulitkan dengan pelbagai bayaran dan hadiah yang membebankan.
  6. Hantaran tidak dijadikan perlumbaan bagi tujuan kebanggaan dan prestij. Ikutilah saranan Nabi SAW yang menggalakkan kita mempermudahkan urusan perkahwinan serta kenduri secara sederhana.
  7. Menutup pintu pengiktirafan perkahwinan tanpa permohonan dan kebenaran yang sah.
  8. Pernikahan tanpa kebenaran tidak langsung diberi pengiktirafan dan tidak didaftarkan dengan hanya pengecualian kes khas yang memerlukan tandatangan sokongan seseorang yang diyakini dan dipercayai seperti Mufti atau Ketua Hakim Syariah negeri. Dengan cara ini, sekurang-kurangnya dapat menyedarkan masyarakat risiko kahwin lari serta membendungnya. Dengan syarat permohonan dan kelulusan pernikahan secara sah (termasuk poligami) hendaklah dipermudahkan.
  9. Adakan kursus khas kepada suami yang ingin berpoligami serta isteri mengenai syarat dan kelayakan serta tanggungjawab yang akan dipikul. Kefahaman ini penting bagi orang yang benar-benar layak dan dapat membela wanita sebelum mereka diberi kebenaran.
  10. Diadakan kursus dan seminar undang-undang kekeluargaan Islam supaya masyarakat lebih memahami peraturan dan undang-undang sedia ada terutama kepada pasangan bermasalah dan wali adhal.

Perbincangan di kalangan alim ulama juga perlu bagi mencari kaedah paling sesuai bagi membendung masalah ini berterusan dan melemahkan institusi kekeluargaan Islam di Malaysia.

Sumber : BHarian 2010/01/14

Capaian entry berkaitan :
  1. Nikah sindiket rosakkan nasab

0 KOMEN:

Catat Ulasan

Kongsikan komen anda di sini...

Related Posts with Thumbnails