Oleh Fadzlena Jafar [fadzlena@bharian.com.my]
Wanita dan anak menjadi mangsa kerana suami pentingkan diri
CERITA seorang suami menetak isteri dengan pisau pemotong daging hanya kerana isterinya balik lewat tanpa memberi peluang kepada wanita malang itu untuk memberikan penjelasan satu bukti bagaimana lelaki begitu mudah menyalahgunakan kuasa yang ada pada mereka.
Apa yang menimbulkan kemarahan masyarakat, dia tergamak menyerang isterinya yang sedang hamil lima bulan tanpa belas kasihan menggunakan senjata yang boleh membunuh. Khabarnya, wanita berkenaan kini sedang bertarung nyawa akibat serangan kejam suaminya yang tidak layak dipanggil suami.
Bagaimana agaknya perasaan anak wanita berkenaan yang masih kecil (hanya lima tahun dan seorang lagi lebih kecil) apabila menyaksikan ayah sendiri sanggup bertindak kejam terhadap ibu mereka.
Kejadian berkenaan membuktikan bagaimana dangkal fikiran lelaki apabila kemahuan atau kehendak mereka tidak dituruti. Walaupun tidak semua lelaki begitu, kita lihat sudah banyak kes seumpama itu yang membabitkan sikap lelaki apabila menggunakan kuasa sebagai suami.
Saya teringat satu kisah tahun lalu apabila seorang suami mengenakan taklik kepada isteri jika keluar dari rumah maka jatuhlah talak tanpa memikirkan mungkin si isteri terpaksa keluar untuk bekerja bagi menampung keperluan keluarga atau ke kedai membeli barangan rumah.
Bagi mereka wanita perlu memastikan semua urusan rumah disiapkan dan paling penting mematuhi arahan suami, sedangkan pada masa sama, dia boleh keluar ke mana saja dan pada bila-bila masa, tanpa boleh dipersoalkan.
Ada lelaki yang tidak pernah ambil kisah sama ada dapur berasap atau keperluan anak sudah disediakan. Malah, ada yang hanya memberikan RM200 sebulan untuk isteri menyediakan keperluan makan minum di rumah, sedangkan ketika ini jumlah berkenaan hanya mampu bertahan seminggu atau sekurang-kurangnya dua minggu.
Apa yang mereka tahu, balik rumah, makan minum sudah tersedia. Jika tiada hidangan di atas meja, mulalah mengata isteri tidak pandai menjaga suami tanpa mengira kebanyakan isteri hari ini turut bekerja. Penat lelah isteri tidak pernah diambil tahu, kerana bagi segelintir lelaki hanya keperluan mereka saja yang mesti diutamakan.
Kebanyakan wanita yang bekerja, pulang saja dari pejabat, ada 1,001 tugasan rumah menanti mereka. Menyediakan makan malam, mencuci baju, memastikan keperluan persekolahan anak sudah disiapkan, mengemas rumah dan banyak lagi kerja yang tiada kesudahannya. Malah, lazimnya wanita juga yang akan memantau kerja sekolah anak pada malam hari.
Lelaki? Balik rumah jika tidak membaca surat khabar, tidur atau menonton televisyen menjadi agenda mereka. Jika tidak pun, ada yang ke kedai kopi bertemu rakan bersembang kosong. Bagi mereka, itu hak mereka sebagai suami yang boleh melakukan apa saja kegiatan ‘santai’ untuk memenuhi jadual mereka.
Mungkin ada yang marah membaca tulisan ini, tetapi tepuk dada tanya diri sendiri. Memang tidak semua lelaki yang begitu, tetapi kebanyakannya itulah ragam mereka. Isteri juga memerlukan masa untuk diri sendiri, tetapi kebanyakan wanita apabila sudah mempunyai anak, si kecil itulah menjadi keutamaan mereka sehingga sanggup mengorbankan keperluan diri semata-mata tidak mahu anak berasa tersisih jika kedua-dua ibu bapa sibuk dengan agenda masing-masing.
Di sana-sini kita membaca kisah anak yang terjebak dalam kegiatan tidak sihat dan pelbagai seminar atau kajian dilakukan bagi mengenal pasti punca masalah generasi muda hari ini.
Mungkin kita terlalu melihat kepada sesuatu yang terlalu jauh, tanpa cuba melihat ke dalam rumah itu sendiri. Kesibukan bapa yang penuh dengan agenda sendiri, dan mungkin sikap si ibu yang cuba lari daripada tekanan kerana cuba menjadi superwoman untuk memenuhi keperluan orang lain (suami, anak dan kerja di pejabat) adalah punca sebenar kepada masalah itu.
Pengaruh rakan sebaya atau paparan tidak sihat dalam internet hanya faktor perangsang untuk anak kita terbabit dalam kegiatan sebegitu kerana hakikatnya asas kepada permasalahan di kalangan generasi muda hari ini ialah kecelaruan dalam sistem keluarga itu sendiri.
Hari ini, kebanyakan wanita terpaksa bekerja bukan hanya untuk menampung keperluan keluarga, bahkan juga ibu bapa mereka di kampung. Orang kata, ia satu persediaan jika berlaku perkara yang tidak diingini, manalah tahu esok lusa ditinggalkan suami, sama ada bercerai mati atau bercerai hidup apabila si suami jatuh cinta dengan wanita yang jauh lebih muda.
Perkahwinan membabitkan perkongsian antara suami dan isteri, justeru buangkan ego masing-masing dan kembali kepada tujuan utama perkahwinan itu.
Saya juga mengingatkan diri sendiri supaya mengambil iktibar daripada apa yang berlaku, tetapi pada masa sama berharap lelaki yang mungkin mempunyai persamaan dengan apa yang diperkatakan untuk bermuhasabah.
Sikap mementingkan diri sendiri mungkin satu hari nanti akan memakan diri. Jangan biarkan hanya isteri yang terus berkorban menjadi lilin membakar diri, kerana wanita juga mempunyai hak dan keperluan. -
Sumber : BHarian 2010/02/05
Capaian entry berkaitan :
- Ibu pilih bayi daripada jari
- Psikosis penyakit kronik
- Penyakit Gila atau Skizofrenia boleh dirawat
- Tekanan punca bunuh diri
- Hargai nyawa dan menangani konflik jiwa
- Bayi 5 bulan mati didera disyaki diliwat
- Lelaki makin ganas?
- Lelaki abai tugas pelindung, tanda akhir zaman
- Kenapa pukul? Kenapa aniaya?
- Malaikat, Haiwan dan Manusia
- Bersatu perangi keganasan terhadap wanita
- Tanggungjawab suami lindungi isteri, bukan menganiaya
0 KOMEN:
Catat Ulasan
Kongsikan komen anda di sini...