Peniaga guna helah pamer ayat Al-Quran, 'Assalamualaikum' untuk kelirukan pembeli
APABILA ada pemalsuan sijil dan logo halal untuk produk makanan dan gunaan, ia adalah strategi pihak pengeluar barangan terbabit untuk menguasai pasaran Muslim, bukan saja di Malaysia, malah seluruh dunia. Mereka tidak mengambil kira faktor hukum halal dan haramnya kerana menganggap pulangan material lebih utama berbanding dosa dan pahala.
Isu yang sudah bertahun menjadi perdebatan ini akhirnya mendapat perhatian sewajarnya apabila kekangan undang-undang dirungkai untuk memperkasa pengeluaran sijil dan logo halal Malaysia. Akta Perihal Dagangan 1972 (APD 72) yang akan dipinda hanya memberi kuasa kepada Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan melantik Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Jabatan Agama Islam Negeri (Jain) untuk tujuan itu.
Di sebabkan hal berkaitan agama berada di bawah bidang kuasa negeri, maka tentulah rakyat mengharapkan agar setiap Jain memberi persetujuan untuk merealisasikan penyeragaman sistem, standard dan sijil halal, sekali gus menghapuskan kepelbagaian 'cara' menghalalkan produk pasaran yang mengelirukan pengguna Muslim.
Pelbagai rupa logo halal juga menguntungkan pengeluar dan penjual yang berpeluang menggunakan kelonggaran berkenaan untuk mempamerkan logo mengikut kreativiti masing-masing tanpa mempunyai sijil yang dikeluarkan mengikut peraturan APD 72. Kebanyakan pengguna tidak meminta sijil halal daripada penjual kerana percaya penjual Islam tidak akan menipu pembeli dengan mempamerkan logo halal yang haram.
Buat masa sekarang, sesiapa saja boleh mengeluarkan sijil halal atau menggunakan helah sehingga pengguna beranggapan sesuatu produk itu halal dengan melabelkan perkataan 'makanan orang Islam', 'ditanggung halal' atau dengan meletakkan lukisan ayat Al-Quran di dinding premis, hatta kalimah 'Assalamualaikum' dan 'Bismillahirrahmanirrahim', walhal, barangan yang dijual tidak menepati maksud halal sama sekali.
Begitu juga dengan produk tidak mendapat pengesahan halal yang dinamakan dalam bahasa Arab bermula dengan perkataan 'al'. Keadaan ini lebih merumitkan kerana undang-undang mungkin hanya menguatkuasakan sijil dan logo, bukannya nama produk. Di sinilah letaknya kebijaksanaan umat Islam menilai setiap barangan makanan atau gunaan yang dipasarkan, bukannya menyerahkan tanggungjawab itu kepada pihak yang berautoriti semata-mata.
Banyak sebab mengapa di negara majoriti umat Islam pengguna Muslim tidak begitu mengambil berat soal halal dan haram setiap makanan yang dimakan atau produk yang diguna. Salah satunya kerana mereka percaya penjual atau pengeluar Muslim tidak tergamak menipu pengguna seagama.
Selain itu, pengguna mempunyai banyak pilihan, jadi mereka tidak mengendahkan jika benar produk yang tidak halal tetapi dianggap halal oleh pengguna masih dijual di pasaran. Mereka beranggapan sesiapa yang mengambil berat pasti tidak akan membeli, begitulah sebaliknya.
Apa yang berlaku, produk itu kekal di pasaran tanpa ada laporan dibuat kepada pihak polis atau autoriti lainnya. Kewujudan gerai menjual barangan basah seperti ayam dan daging yang dijual dalam kuantiti yang kecil juga diragukan status halal dan haramnya. Pembeli haruslah peka dengan keadaan ini supaya usaha kerajaan mengatasi masalah produk halal di negara ini berjaya dilakukan, bukan saja dengan meminda undang-undang, malah dengan kesedaran pengguna keseluruhannya.
Di negara yang mempunyai sejumlah kecil umat Islam yang mempunyai bekalan produk halal terhad, pengguna Muslim amat berhati-hati memilih barangan yang ingin dibeli, sehingga berjam-jam lamanya masa diambil untuk membeli-belah. Mereka terpaksa membawa senarai nama bahan tidak halal yang mungkin digunakan dalam produk makanan yang ingin dibeli memandangkan hampir semua barangan tidak mempunyai logo halal.
Di United Kingdom contohnya, jika ingin membeli ayam atau daging mentah, penulis hanya membeli di kedai yang mempamerkan sijil halal dikeluarkan oleh 'Halal Food Authority (HFA)' saja dan mereka turut mengambil kira faktor makanan haiwan itu serta memenuhi standard penyembelihan seperti haiwan diberi minum sebelum disembelih, haiwan berkenaan tidak melihat haiwan lain disembelih sebelumnya, saiz pisau sembelihan adalah empat kali lebih besar daripada saiz leher haiwan dan tajam serta posisi penyembelih dan haiwan sembelihan yang menghadap kiblat.
Penyembelihan juga dilakukan di tempat penyembelihan berlesen saja dan dilakukan dengan pengawasan pegawai veterinar. Di sekolah rendah pula, pelajar Muslim yang tidak membawa bekalan dari rumah akan membuat bayaran secara harian, mingguan atau bulanan kepada pihak sekolah dan akan diberi makanan halal yang diluluskan oleh HFA juga.
Di sini, makanan halal dan berkhasiat yang diambil pelajar Muslim lebih mudah dipantau pihak sekolah memandangkan sekolah rendah tidak mempunyai kantin atau gerai yang menjual makanan ringan di luar pagar sekolah. Sebaliknya, mereka hanya perlu mengambil menu yang sihat seperti susu, salad, buah-buahan dan makanan berasaskan tumbuhan saja dan disediakan mengikut garis panduan makanan halal di dewan makan sekolah. Keadaan ini sekali gus menyelamatkan setiap peringkat usia pengguna Muslim di UK daripada mengambil makanan yang tidak diketahui status halalnya dan membahayakan kesihatan.
Golongan dewasa tentulah lebih prihatin dalam soal pengambilan produk halal yang diiktiraf tetapi kanak-kanak dan remaja agak terbuka dalam hal ini memandangkan mereka kurang berpengetahuan dan terlalu banyak ruang yang ada untuk diperdaya. Justeru, undang-undang saja masih belum cukup untuk membasmi longgokan produk yang tidak menepati piawaian halal tanpa kesedaran dan pendidikan yang menyeluruh.
Tambahan pula produk kosmetik, farmasuetikal, pakaian, khidmat perbankan dan kewangan, logistik dan juga perniagaan pantas jutawan dan pelaburan yang semakin rambang di arena maya jarang yang berlogo halal.
Nik Salida Suhaila Nik Saleh - Penulis ialah Pensyarah Kanan, Fakulti Syariah dan Undang-Undang, Universiti Sains Islam Malaysia, kini melanjutkan pengajian di United Kingdom
Sumber : BHarian 2010/02/18
0 KOMEN:
Catat Ulasan
Kongsikan komen anda di sini...