Sumber : Misteri Alam
Serunai laut merupakan pokok renek yang mempunyai banyak cabang dan tumbuh merebak luas. Daunnya jenis ringkas dan berbentuk bujur telur. Bahagian pinggir daunnya bergerigi kecil atau besar. Bunga serunai laut berwarna kuning dan mempunyai banyak kelopak pada satu cakera. Buahnya tiada rerambut manakala kulit biji mempunyai gabus untuk terapung di atas air.
Seluruh bahagian tumbuhan yang turut dikenali dengan nama seremai ini mengandungi antosianin jenis sianidin glukosid, asid gradiflorik, asid kauradienoik, asid metilkaurenoik, etilkoprostanon, koumarin, stigmastenol dan stigmasterol.
Akar pokok tumbuhan ini adalah stomakik. Stomakik adalah agen yang merangsang aktiviti rembesan di gaster dan digunakan sebagai suatu tonik untuk meningkatkan selera makan.
Manakala daunnya adalah diuretik (menambah jumlah air kencing yang dihasilkan dengan menggalakkan perkumuhan garam dan air daripada ginjal) dan vulnerary (penyembuh luka).
Bahagian pokok serunai laut yang banyak digunakan untuk tujuan perubatan tradisional adalah bahagian daun dan akarnya. Daun serunai laut boleh dimakan sebagai sayur atau dicampurkan dalam lauk sebagai bahan perisa. Selain dimakan, serunai laut juga dikatakan mempunyai khasiat ubatannya yang tersendiri. Daun serunai laut jika ditumbuk lumat diaktakan boleh dibuat ubat pupuk untuk merawat kulit yang telah bertukar warna, bisul, bengkak, demam panas, gatal, gigitan serangga, luka, sakit pada badan dan sakit kepala. Daun ini juga dikatakan boleh ditampal pada gigi dan gusi yang sakit, urat darah yang sudah menjadi besar dan dijadikan sebagai ubat pupuk pada ibu selepas bersalin.
Rangsang aktiviti usus
Jika daunnya ditumbuk lumat dan kemudian cecair daripada daun itu diperah, dikatakan cecair ini boleh digunakan sebagai ubat bagi merawat penyakit kelamin, sembelit yang teruk dan juga digunakan sebagai ubat ibu selepas bersalin. Namun begitu, sebelum menggunakannya, ia perlu dicampurkan dengan susu lembu terlebih dahulu.
Selain itu, daun serunai laut juga dikatakan boleh direbus. Air rebusan ini kemudiannya dikatakan boleh diminum dan digunakan bagi merawat masalah kencing berdarah, demam malaria, demam panas, sakit kelamin, batu karang, masalah cecair keluar dari faraj, merangsang haid, serta melawaskan pembuangan air kecil.
Di Trinidad dan Tobago, daunnya dikatakan dijadikan ubat tradisional bagi merawat masalah reproduktif dan amenorrhea. Di Amerika Selatan, daunnya dijadikan ubat tradisional bagi merawat masalah demam dan selesema.
Daun serunai laut jika dimakan mentah boleh dijadikan sebagai ubat bagi melawaskan pembuangan air kecil. Daun serunai laut yang direbus dengan halia dikatakan mampu dijadikan ubat bagi menghilangkan kekembungan perut.
Akar serunai laut bersifat pencahar dan jika direbus dan diminum boleh merangsang aktiviti usus dan mengosongkan usus. Jika daun dan akar serunai laut direbus bersama, dikatakan air rebusan ini boleh diminum bagi merawat sakit perut dan usus.
Walaupun terdapat pelbagai khasiat ubatan daun dan akar pokok serunai laut, namun bagitu penggunaannya perlu mendapat nasihat daripada pengamal perubatan terlebih dahulu bagi mengelakkan kemudharatan.
Capaian entry berkaitan :
- Mulberry buah pelbagai guna
- Antara khasiat dan mudarat tongkat ali
- Plum bantu kurangkan berat badan
- Khasiat bunga cempaka
- Buah kiwi lindungi tubuh daripada radikal bebas
- Perihal Batu Serai dan Serai Wangi
- Buah lemon kurangkan lebihan asid
- Ajisai - Bunga Tiga Bulan - Hydrangea
- Cekur - Ulam selepas bersalin
- Anggur di Malaysia?
0 KOMEN:
Catat Ulasan
Kongsikan komen anda di sini...