Assalamualaikum warahmatullah,
Alhamdulillah, jumpa juga kenyataan PELIK yang saya baca di internet dan dengar daripada mulut kawan-kawan yang mengatakan Hishammuddin tidak sepatutnya mengeluarkan kenyataan yang 'berbau' TIDAK PERIHATIN LANGSUNG tentang apa yang telah berlaku sejak tahun 1997 lagi. (Saya sekadar menulis 1997 kerana saya pulang ke Malaysia pada Mac 1997, memang bilangan warga asing telahpun ramai pada masa itu). Berikut petikan yang saya C&P dari sumber Helmi Mohd Foad [pengarang@utusan.com.my] di Utusan 17/02/2010.
Lambakan warga asing luar biasa
PUTRAJAYA 16 Feb. – Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein terkejut dengan lambakan warga asing yang disifatkan beliau luar biasa.
Fenomena tersebut, katanya, semakin ketara apabila kumpulan warga asing itu dilihat keluar beramai-ramai di sekitar ibu negara setiap kali musim cuti umum yang agak panjang. Menurut beliau, realiti lambakan itu tidak bertepatan dengan rekod warga asing berada di negara ini termasuk yang berdaftar dengan agensi pengambilan pekerja asing.
“Dalam tempoh cuti umum sempena sambutan Tahun Baru Cina, saya berkesempatan meninjau sendiri suasana di ibu negara. Sememangnya amat jelas setiap kali cuti umum yang panjang khususnya apabila rakyat tempatan balik ke kampung, ibu negara akan dibanjiri oleh warga asing,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Menurut Hishammuddin, hasil tinjauan mendapati sebahagian besar daripada mereka bukan pelancong asing tetapi mendakwa bekerja di negara ini secara sah.
“Saya mendapati keadaan ini sebagai luar biasa dan membimbangkan. Berdasarkan pemerhatian rambang, kita dapat melihat sebahagian besar warga asing yang membanjiri ibu negara ini adalah daripada beberapa negara tertentu,” katanya.
Beliau berkata, selain dikhuatiri mendatangkan kesan sosial, isu keselamatan serta ketenteraman awam, keadaan itu boleh menjejaskan imej negara termasuk menyebabkan pelancong asing yang tulen berasa tidak selesa.
Dalam hal ini, beliau berkata, kementeriannya telah menyediakan cadangan awal strategi menangani lambakan warga asing yang akan dibawa ke Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Pekerja Asing dan Pendatang Asing Tanpa Izin (JKKPA-PATI) pada 22 Februari ini. Jawatankuasa Kabinet itu akan dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Hishammuddin berkata, cadangan itu menumpukan kepada empat fokus penambahbaikan iaitu kajian undang-undang, semakan prosedur kemasukan, penambahbaikan mekanisme pemantauan dan sistem maklumat serta pemantapan strategi penguatkuasaan. Jelas beliau, cadangan tersebut akan membabitkan 13 kementerian berkaitan.
“Penambah-baikan pengurusan dan pemantauan warga asing melalui strategi dan pendekatan yang baru perlu dilaksanakan sejajar dengan senario semasa seperti kaedah terkini pergerakan masuk dan keluar serta mobiliti pekerja asing dalam negara yang sukar dikesan melalui pendekatan konvensional. Sebagai contoh, sungguhpun operasi penguatkuasaan melibatkan pelbagai agensi dijalankan dari semasa ke semasa, namun ia masih belum dapat menangani lambakan pendatang asing tanpa izin di negara ini,” katanya.
Berdasarkan perkembangan semasa, tambahnya, pemantauan komprehensif hanya boleh dijalankan sekiranya kerajaan memiliki sistem maklumat yang bersepadu.
“Kita sedang mengkaji penambahbaikan sistem maklumat sedia ada yang membolehkan semakan status warga asing dibuat pada bila-bila masa dan di mana-mana sekalipun. Kita akan membina mekanisme dan sistem yang boleh memantau setiap seorang warga asing yang memasuki negara ini sehingga mereka keluar semula. Matlamat kita adalah untuk mewujudkan persekitaran di mana warga asing yang berada di negara ini tanpa status yang sah berasa takut dan terancam sehingga bersedia untuk meninggalkan negara ini pada kadar segera,” katanya.
Selain itu, beliau berkata, majikan juga memainkan peranan penting bagi memastikan penambahbaikan pengurusan dan pemantauan warga asing dapat dilaksanakan dengan berkesan.
“Justeru, semua pihak perlu memberikan kerjasama dan memahami ketegasan kerajaan untuk keselamatan negara dan ketenteraman awam,” katanya.
~ Tamat petikan ~
Penyusupan pendatang punca peningkatan jenayah, gejala sosial
Saya amat hairan, bagaimana Datuk Seri Hishammuddin Hussein MDN boleh menyatakan yang beliau terkejut dengan lambakan 'luar biasa' rakyat asing di sini, itupun selepas beliau meninjau keadaan di ibu kota dan melihat sendiri suasana kebanjiran mereka di beberapa kawasan tertentu di ibu kota ketika cuti Tahun Baru Cina akhir minggu lalu dan awal minggu ini.
Pengakuan Hishammuddin itu bukan saja menghairankan tetapi mencemaskan kita bagaimana terdedahnya rakyat kepada kemungkinan pelbagai perlakuan tidak diingini yang boleh dilakukan warga asing itu. Sememangnya, sejak akhir-akhir ini rakyat berdepan pelbagai perlakuan jenayah termasuk rompakan, pecah rumah, kecurian, samun dan penipuan dilakukan oleh warga asing.
Tiada satu tempat pun di Malaysia ini, yang tiada warga asing, apatah lagi di kawasan Lembah Kelang. Saya mula menetap di sini [Selangor] semenjak tahun 1997 dan pada masa itu, warga asing terutama dari negara Indonesia (kebanyakannya kerja di restoran, pembantu rumah, pekerja kilang dan binaan), China (kebanyakannya kerja di pusat hiburan/rumah urut), India (kebanyakannya kerja di 'maple') dan Bangladesh (kebanyakannya kerja di stesen minyak). Kalau tidak silap, lima tahun kebelakangan ini, kita boleh lihat kebanjiran warga Myanmar, Nepal, Ghurka dan Pak Hitam pula. Bilangan mereka terlalu ramai, mengapa baru sekarang Hishammuddin boleh terkejut?
Sekarang, sesiapa yang menjenguk ke taman KLCC di luar Menara Berkembar Petronas, Jalan Silang atau Taman Tasik Perdana, antara beberapa tempat tumpuan warga asing, akan bertembung dengan pelbagai kelompok warga asing sama ada dari Indoensia, Myanmar, Filipina, Vietnam, Kemboja, Nepal, India, China, Bangladesh, Indonesia dan warga benua Afrika termasuk dari Nigeria, Ghana, Kenya atau dari Amerika Latin seperti Mexico, Columbia dan Peru.
Persoalannya :
- Apakah keadaan demikian tidak disedari pihak berkepentingan di Jabatan Imigresen atau di Kementerian Dalam Negeri sebelum ini?
- Apakah menteri tidak diberikan laporan yang menggariskan gambaran sebenar mengenai kedudukan kebanjiran warga asing ini?
Malang sungguh, masalah ini memang tidak disedari Kementerian Pelancongan dan Kementerian Sumber Manusia. Kementerian Pelancongan berterusan menekan pihak imigresen supaya tidak terlalu ketat memeriksa warga asing yang mahu masuk ke negara kita. Kononnya kalau terlalu ketat pelancong tidak akan datang. Bagi kementerian terbabit, setiap warga asing yang datang dianggapnya sebagai pelancong supaya ia boleh berterusan berbangga dengan angka menunjukkan peningkatan jumlah pelancong yang masuk setiap tahun.
Kalau benarlah ada peningkatan kemasukan pelancong asing yang amat membanggakan sejak beberapa tahun kebelakangan ini mengikut angka diberikan Kementerian Pelancongan, tentu hotel dan rumah penginapan di merata tempat akan dipenuhi pelawat asing. Tetapi keadaan sebenarnya tidak seperti didakwa. Banyak rumah tumpangan di persisiran pantai Terengganu, Kelantan dan Pahang misalnya mengeluh dengan penurunan ketara jumlah pelancong asing yang menginap di situ sejak setahun dua kebelakangan ini. Kini lebih ramai rakyat tempatan menginap di tempat itu, bukannya pelancong asing.
Demikian pula Kementerian Sumber Manusia, Oktober lalu meluluskan pengambilan 100,000 lagi pekerja asing kononnya untuk menampung permintaan pelbagai kilang perusahaan elektronik, plastik, perabot dan sarung tangan getah yang meningkat berikutan pemulihan ekonomi dunia. Kononnya kalau permintaan mereka untuk mendapatkan pekerja itu tidak diterima, kemungkinan kilang itu tidak dapat memenuhi permintaan barangan terbabit. Kebanyakan kilang ini memberi alasan kononnya pekerja tempatan tidak mahu bekerja di kilang. Jika gaji yang diberikan tidak dapat menampung sara hidup warga tempatan, maka tentulah mereka tidak mahu bekerja di kilang. Tetapi kiranya kilang berusaha meningkatkan kaedah kerja dengan menerapkan sistem automasi sudah tentu produktivitinya juga akan meningkat.
Sebenarnya usaha demikian memerlukan kilang itu bersedia menambahkan pelaburan dengan menyediakan mesin diperlukan selain memberi latihan secukupnya untuk menyediakan pekerja mahir. Tetapi kiranya kilang tiada hasrat ini dan ada kementerian yang tidak mahu berpandangan jauh tentunya matlamat ini tidak dicapai. Berikutan kesedaran Hishammuddin ini, satu strategi baru menanganinya akan dibawa kepada Jawatankuasa Kabinet Pekerja Asing dan Pendatang Asing Tanpa Izin. Ini termasuk semakan undang-undang, prosedur kemasukan, pemantapan strategi penguatkuasaan dan penambahbaikan sistem maklumat dan pemantauan.
Nampaknya, nanti adalah pembekal baru untuk menyediakan sistem mengumpul maklumat dan pemantauan diperlukan itu. Entah berapa pula kosnya.
Yang menghairankan apa sudah jadi kepada sistem 'canggih' imigresen dibangunkan Syarikat Multimedia Glory Sdn Bhd? Kenapa selepas berbelanja hingga kira-kira RM2 bilion ia tidak dapat digunakan? Dikatakan sistem ini gagal menepati kehendak Jabatan Imigresen hingga ia terpaksa kembali menggunakan sistem disediakan Hitech Padu sebelum itu. Ini juga sebab kenapa pemantauan tidak dapat dilakukan terhadap warga asing yang masuk secara sah. Ini belum termasuk mereka diseludupkan ke negara kita. Apakah sebenarnya yang berlaku dengan sistem imigresen itu? Bagaimana ia boleh diterima kalau tidak menepati kehendak imigresen?
Hemmm....
0 KOMEN:
Catat Ulasan
Kongsikan komen anda di sini...