SEPANG: "Saya mohon maaf dan menyesal tinggalkan keluarga tanpa izin," kata pelakon remaja, Salsabila Yunan, 15, atau Bella yang kembali ke tanah air semalam selepas tujuh bulan dilaporkan dilarikan ke Lombok, Jawa Tengah, Indonesia.
Pelakon yang membintangi beberapa drama tempatan termasuk Gerak Khas, Ke Syurga Cinta dan Renjis itu, berkata perbuatannya menyusahkan keluarga.
Bella yang kini mengandung lima bulan, tidak dapat menahan sebak sebaik disambut bapanya, Yunan Mat Ayat, 77, yang membesarkannya sejak sembilan tahun lalu selepas kematian ibunya. Pertemuan penuh emosi itu turut disertai kakak Bella, Faridah, 50.
"Saya gembira dapat jumpa ayah dan keluarga, tetapi sedih kerana suami tidak dapat (pulang) bersama ke Malaysia," katanya kepada pemberita di Terminal Penerbangan Tambang Murah (LCCT) di sini dengan menaiki pesawat AirAsia dari Surabaya, petang semalam.
Bella dilaporkan dilarikan seorang lelaki berasal dari Lombok, Hafiz Sukma, 26, pada 7 Ogos lalu sebelum dipaksa berkahwin dengannya. Bapanya membuat laporan polis pada hari sama selepas Bella yang keluar dengan berpakaian sekolah tidak pulang ke rumah.
Pelakon remaja itu berkata, beliau berhasrat untuk meneruskan pelajaran selepas melahirkan anaknya.
Sementara itu, Yunan yang menghidap kencing manis dan darah tinggi, berkata tiada apa yang lebih menggembirakannya, selain dapat bertemu semula dengan Bella.
"Saya memaafkan Bella sejak dia meninggalkan rumah, tapi saya minta jangan diulangi lagi. Tiada apa yang saya nak ucapkan hanya dengan air mata gembira... saya tidak sangka dapat jumpa anak saya, jadi saya berterima kasih kepada semua pihak yang membawa anak saya kembali ke pangkuan saya," katanya.
Yunan berkata, beliau tetap akan menerima anak hasil perkahwinan Bella dengan suaminya itu, walaupun pernikahan mereka tidak berwalikannya.
Sementara itu, Pengerusi Biro Aduan Komuniti Pemuda Umno, Datuk Muhammad Khairun Aseh, berkata kes Bella yang dianggap sebagai eksploitasi terhadap kanak-kanak, diharap menjadi pengajaran kepada gadis bawah umur yang lain.
Beliau berkata, di negara ini, kanak-kanak seperti Bella dilindungi di bawah Akta Kanak-Kanak 2001.
Sumber : BHarian 2010/02/23
0 KOMEN:
Catat Ulasan
Kongsikan komen anda di sini...