“YA ALLAH, AKU BERLiNÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA PERASAAN SEÐiH ÐAN ÐUKACiTA, AKU BERLINÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA LEMAH ÐAN MALAS, AKU BERLiNÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA BAHKiL ÐAN PENAKUT ÐAN AKU BERLiNÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA BEBAN HUTANG ÐAN TEKANAN PERASAAN.”


“YA ALLAH, BUKAKANLAH UNTUKKU PiNTU-PiNTU KEBAiKAN, PiNTU-PiNTU KESELAMATAN, PiNTU-PiNTU KESiHATAN, PiNTU-PiNTU KENiKMATAN, PiNTU-PiNTU KEBERKATAN, PiNTU-PiNTU KEKUATAN, PiNTU-PiNTU CiNTA SEJATi, PiNTU-PiNTU KASiH SAYANG, PiNTU-PiNTU REZEKi, PiNTU-PiNTU iLMU, PiNTU-PiNTU KEAMPUNAN ÐAN PiNTU-PiNTU SYURGA, YA ALLAH YANG MAHA PENGASiH LAGi MAHA PENYAYANG.”


Rabu, Februari 10, 2010

Kahwin tak ikut undang-undang boleh dihukum

Peguam Syarie Menulis : Oleh Tuan Musa Awang

BERKAHWIN tanpa mengikut prosedur yang ditetapkan Islam boleh menjejaskan institusi kekeluargaan Islam. - Gambar hiasan

Maklumat perundangan kekeluargaan Islam perlu disebar elak masyarakat berdepan masalah

KEUTUHAN sesebuah institusi perkahwinan bertitik-tolak daripada punca dan unsur perkahwinan itu sendiri. Jika baik caranya, Insya-Allah akan baiklah juga kesudahannya. Islam sebagai suatu cara hidup komprehensif merangkumi semua urusan kehidupan manusia termasuklah perkahwinan dan perceraian menitikberatkan soal asas dalam membina sesebuah institusi rumah tangga. Oleh sebab itu, undang-undang dikanunkan bagi mana-mana perbuatan orang Islam di Malaysia yang berkahwin tanpa mematuhi prosedur undang-undang adalah suatu kesalahan jenayah Syariah.

Di negara kita, bidang kuasa Mahkamah Syariah sama ada membabitkan urusan kekeluargaan atau jenayah Syariah tertentu berdasarkan peruntukan di dalam Jadual Kesembilan Senarai Dua Perlembagaan Persekutuan. Dengan adanya peruntukan itu, badan perundangan negeri mempunyai kuasa untuk menggubal undang-undang yang mengawal kehidupan tertentu orang Islam seperti urusan kekeluargaan, beberapa jenayah yang berkaitan dengan akhlak dan moral orang Islam dan beberapa perkara lain.

Bagaimanapun, ruang lingkup bidang kuasa Mahkamah Syariah ke atas kesalahan jenayah Syariah secara khusus sangat sempit dan kuasa menghukumnya sangat rendah, berdasarkan peruntukan di dalam Akta Mahkamah Syariah (Bidangkuasa Jenayah) (Pindaan) 1984. Akta ini memberi kuasa kepada Mahkamah Syariah untuk menjatuhkan hukuman penjara maksimum tiga tahun, denda tidak melebihi RM5,000 dan sebatan sehingga enam sebatan.

Sebelum ini perbincangan diadakan untuk memberi kuasa lebih besar, namun perbincangan itu kelihatan sepi kembali, dengan tidak menampakkan potensi untuk merealisasikannya. Berkahwin atau terbabit dalam upacara perkahwinan tanpa mematuhi prosedur undang-undang adalah kesalahan menurut undang-undang Syariah dan boleh dikenakan penalti, sama ada penalti berbentuk jenayah syariah atau penalti yang membawa kepada tindakan mal dan penalti tidak boleh daftar perkahwinan berkenaan.

Seksyen 36 dibaca bersama Seksyen 28 dan Seksyen 32 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam memperuntukkan bahawa seseorang yang tidak dilantik oleh Sultan tidak boleh menyimpan daftar atau rekod sesuatu perkahwinan atau mengeluarkan sebarang dokumen perakuan perkahwinan (Surat Nikah). Jika dia berbuat demikian, dia boleh dikenakan denda tidak melebihi RM500, penjara maksimum tiga bulan atau kedua-duanya sekali bagi kesalahan kali pertama. Bagi kesalahan berikut boleh didenda tidak melebihi RM1,000, penjara maksimum enam bulan atau kedua-duanya sekali.

Seseorang yang melakukan apa-apa kekerasan atau ugutan untuk memaksa seseorang berkahwin yang bertentangan dengan kemahuan orang itu atau jika bertindak menghalang seseorang lelaki berumur 18 tahun atau seseorang perempuan berumur 16 tahun daripada berkahwin adalah melakukan kesalahan yang hendaklah dihukum denda tidak melebihi RM1,000, penjara maksimum enam bulan atau kedua-duanya (Seksyen 37). Seseorang yang membuat pernyataan palsu untuk berkahwin boleh didenda tidak melebihi RM2,000, penjara maksimum setahun atau kedua-duanya (Seksyen 38).

Seseorang yang menjalankan akad nikah sedangkan dia tidak diberi kuasa menjalankannya juga adalah suatu kesalahan hendaklah dihukum denda tidak melebihi RM1,000, penjara maksimum enam bulan atau kedua-duanya (Seksyen 39 dan 40). Seksyen 124 enakmen yang sama memperuntukkan hukuman kepada seseorang suami yang berpoligami tanpa kebenaran mahkamah iaitu denda tidak melebihi RM1,000, penjara maksimum enam bulan atau kedua-duanya sekali.

Dalam kes Muhamad Mat Diah melawan Pendakwa Syarie Kelantan di mana perayu disabitkan dan dihukum di atas empat pertuduhan di bawah seksyen 99 dan 100(1)(a) Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Kelantan kerana mengakadnikahkan pasangan yang berkahwin tanpa diberi kuasa untuk berbuat demikian dan perkahwinan itu tidak mendapat kebenaran terlebih dulu. Perayu mengemukakan pembelaan alibi antara lainnya dengan menunjukkan pasportnya bahawa beliau pergi ke Thailand sehari sebelum kejadian dan kembali sehari selepas kejadian. Mahkamah memutuskan bahawa mahkamah boleh menerima pasport sebagai dokumen kerajaan. Bagaimanapun, orang yang bertanggungjawab mengecop tarikh masuk dan keluar seperti yang tertera di dalam pasport harus dipanggil sebagai saksi bagi menentukan kesahihan tarikh keluar masuk tertuduh ke Thailand.

Sungguhpun wujud peruntukan undang-undang yang mengenakan penalti terhadap pesalah yang melakukan kesalahan berhubung pra perkahwinan, namun masih banyak kesalahan ini dilakukan dengan sewenang-wenangnya oleh mereka yang tidak bertanggungjawab. Malah masih terdapat banyak sindiket pernikahan sebegini di luar sana yang menjalankan aktiviti ini tanpa mengira tempat dan masa.

Persoalan juga timbul adakah pelaku kesalahan ini tidak dibawa ke muka pengadilan, walhal ada peruntukan undang-undang yang membolehkan tindakan diambil ke atas mereka. Adakah disebabkan kadar penalti yang dikenakan amat rendah jika dibandingkan dengan kesalahan yang dilakukan, menyebabkan segelintir pihak berani untuk terus melakukannya memandangkan kebanyakan mereka yang melakukan kesalahan itu mampu untuk membayar penalti yang dikenakan terhadap mereka?

Melihat kepada era moden kini, penulis berpendapat pentingnya maklumat perundangan kekeluargaan didedah dan disebarkan kepada masyarakat. Ini bagi membolehkan masyarakat lebih peka terhadap implikasi yang wujud terhadap sesuatu perkahwinan yang melanggar peruntukan undang-undang. Secara tidak langsung perlanggaran ini akan menjejaskan institusi kekeluargaan Islam kerana perkahwinan tanpa mengikut prosedur tidak boleh didaftarkan, lebih malang lagi jika suami bersikap sambil lewa dan apa yang merisaukan sekiranya anak yang lahir nanti tidak diketahui statusnya.

Adalah wajar juga dilakukan penilaian semula terhadap bentuk penalti dan hukuman yang diperuntukan kepada Mahkamah Syariah supaya suatu hukuman dan penalti yang bakal dikenakan dapat memberi kesan mendalam kepada pesalah, seterusnya mencegah mereka mengulangi kesalahan yang sama.

Sumber : BHarian 2010/0210

0 KOMEN:

Catat Ulasan

Kongsikan komen anda di sini...

Related Posts with Thumbnails