“YA ALLAH, AKU BERLiNÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA PERASAAN SEÐiH ÐAN ÐUKACiTA, AKU BERLINÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA LEMAH ÐAN MALAS, AKU BERLiNÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA BAHKiL ÐAN PENAKUT ÐAN AKU BERLiNÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA BEBAN HUTANG ÐAN TEKANAN PERASAAN.”


“YA ALLAH, BUKAKANLAH UNTUKKU PiNTU-PiNTU KEBAiKAN, PiNTU-PiNTU KESELAMATAN, PiNTU-PiNTU KESiHATAN, PiNTU-PiNTU KENiKMATAN, PiNTU-PiNTU KEBERKATAN, PiNTU-PiNTU KEKUATAN, PiNTU-PiNTU CiNTA SEJATi, PiNTU-PiNTU KASiH SAYANG, PiNTU-PiNTU REZEKi, PiNTU-PiNTU iLMU, PiNTU-PiNTU KEAMPUNAN ÐAN PiNTU-PiNTU SYURGA, YA ALLAH YANG MAHA PENGASiH LAGi MAHA PENYAYANG.”


Isnin, Februari 22, 2010

Jenayah buang bayi salah siapa?

Hanya manusia yang tiada sifat perikemanusiaan saja mampu melakukan perbuatan kejam membuang bayi seperti ini.

APA yang tidak kena dengan masyarakat kita apabila bayi dibuang sesuka hati dan ia kian menjadi-jadi? Kes demi kes membabitkan insan tidak berdosa dan tidak mengerti apa-apa ini seolah-olah memberi gambaran masyarakat kita yang kononnya berbudaya, bertatasusila dan berbudi bahasa sebenar kejam serta tidak berperikemanusiaan.

Bagi masyarakat luar, tanggapan itu pasti terlekat diminda mereka apabila membaca kisah-kisah tragis membabitkan bayi yang baru lahir di negara ini. Malah perbuatan kejam dan gila itu mudah sangat dilakukan. Bayi boleh dibuang di mana-mana. Dalam tandas sekolah, longkang, tong sampah dan depan masjid dan surau. Apa yang ditinggal mati dengan penuh siksa kerana kelaparan atau digigit haiwan dan serangga. Ada pula yang dibunuh sebelum dibuang. Malah ada yang dibakar.

Semua ini memberi gambaran betapa kejamnya segelintir rakyat Malaysia. Tetapi siapa yang harus dipersalahkan? Ke mana jari hendak dituding? Adakah beban kesalahan ini perlu ditanggung oleh kerajaan semata-mata?

Hakikatnya gejala ini sukar dibendung. Ia boleh berlaku pada sesiapa sahaja. Anak sesiapa sahaja boleh terlibat dengan perbuatan keji ini. Membaca kenyataan itu mungkin ada yang 'singsing lengan' kurang setuju. Jawapannya, tidak mustahil. Umum mengetahui seks bebas bukan lagi eksklusif kepada pekerja seks dan bohsia sahaja.

"Pelajar sekolah tanpa segan silu mengakui berpasangan.Bermula dengan pegang tangan, 'ringan-ringan' seterusnya bercium. Bagi mereka tidak ada dara bukan satu masalah sebab semua orang melakukannya," kata Pengarah Pusat Bimbingan Remaja Puteri Raudhatus Sakinah, Rosmawati Zainal.

Jadi, tidak hairan majoriti gadis-gadis remaja seawal usia 13 tahun sudah melakukan seks kasual dengan pasangan mereka. Lebih mengejutkan, ada yang mengakui pernah tidur dengan empat lelaki walaupun baru melangkah ke Tingkatan Satu. Jumlah itu meningkat kepada 20 lelaki walaupun gadis terbabit belum pun menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Menurut Rosmawati, rata-rata gadis remaja terlalu bergantung harap pada lelaki. Si lelaki pula menabur cinta demi mendapat habuan seks. Bagi gadis itu pula, mereka menyerahkan segalanya atas dasar cinta sejati. Bila ditanya, dia enggan berkahwin dengan teman wanita yang hamil itu. Tidak kurang juga lelaki yang gembira teman wanita itu hamil kerana dapat kahwin percuma.

Antara punca gejala itu kata Rosmawati, mangsa terlalu mentah untuk memahami erti cinta yang sebenar dan risiko 'pengorbanan' mereka.

Mangsa kebodohan sendiri

Perkara ini diakui sendiri oleh mangsa bahawa mereka terperangkap kerana kebodohan sendiri. Mudah termakan pujuk rayu lelaki, sama ada dikenali atau tidak. Pengakuan ini didedahkan melalui kompilasi kisah benar terbitan JIMedia keluaran dua tahun lalu. Ia membongkar pengalaman mangsa-mangsa hamil luar nikah yang menjalani pemulihan di Raudhatus Sakinah. Pusat ini dikendalikan oleh Biro Wanita Pertubuhan Jemaah Islah Malaysia (JIM).

Menerusi antologi bertajuk Ku Temui Jalan Pulang itu, ramai antara mangsa merupakan penuntut institusi pengajian tinggi (IPT). Ada yang daripada jurusan perubatan, undang-undang, ekonomi malah syariah. Lebih menyedihkan ada kalangan mangsa merupakan anak solehah yang tidak aktif bersosial apatah lagi bergaul bebas dengan lelaki, jauh sekali terbabit zina.

"Anak boleh menjadi malaikat di depan ibu bapa, tetapi bertukar corak apabila berada di luar. Seks bebas tidak semestinya melibatkan remaja rosak akhlak saja," katanya.

Dalam fikiran mereka hanyalah kebebasan yang selalunya diberikan oleh ibu bapa sendiri akibat beranggapan anak sudah besar dan pandai menjaga diri. Mangsa juga tidak mempunyai pengetahuan mengenai hubungan seksual dan risiko yang bakal dihadapi seperti hamil. Sebab itu tidak ada langkah pencegahan ketika melakukan hubungan seks. Apabila seks sudah jadi 'keperluan' sudah tentu terlalu sukar untuk ditinggal.

Pendekatan holistik

Disebabkan terlalu banyak faktor yang boleh menjurus kepada kerosakan akhlak, maka kesalahan tidak boleh diletakkan pada bahu anak-anak remaja ini sahaja. Pengerusi Raudhatus Sakinah Selangor, Yusnani Abdul Hamid mendedahkan, apabila mengetahui anak gadis mereka hamil ibu bapa dengan mudah menyalahkan sekolah atau IPT. Pihak sekolah dan IPT pula akan menuduh ibu bapa terlalu liberal sehingga tidak menyedari perubahan fizikal anak sendiri.

Wanita JIM berpandangan, pendekatan lebih pragmatik, serius dan holistik harus segera dilaksanakan dalam menangani isu seks bebas atau seks luar nikah yang menjurus kepada pembuangan bayi. Justeru, pihaknya menekankan aspek pencegahan dan rawatan secara serentak. Semua pihak perlu terlibat dan memainkan peranan dalam proses ini bermula dengan ahli keluarga.

Di awal peringkat pemulihan Raudhatus Sakinah, ibu bapa si gadis dan teman lelaki (jika dapat dikenal pasti) akan dibawa masuk dalam sesi interaksi dan soal jawab agar semua jelas dengan permasalahan sebenar. Ini membolehkan punca kejadian dikenal pasti. Sama ada bermula dari rumah atau sebaliknya sehingga mendorong remaja terbabit membelakangi keluarga dan sanggup mengorbankan masa depan sendiri. Melalui cara itu, program pencegahan dirangka untuk memastikan remaja terbabit tidak lagi terjerumus dengan zina dan mampu kembali menjadi insan yang berguna kepada masyarakat.

"Tetapi ramai takut untuk menyertai masyarakat semula kerana bimbang tidak akan diterima disebabkan latar belakang hitam mereka. Hal ini melibatkan pula peranan masyarakat setempat yang tidak lagi boleh menghakimi atau melabel remaja rosak akhlak sebagai 'tidak berguna'," ujarnya. Itulah cabaran yang ditempuhi Raudhatus Sakinah dalam usaha membantu gadis-gadis malang tersebut mendapat hidayah dan kembali ke pangkal jalan.

Sekiranya anda ingin menyumbang kepada usaha Wanita JIM, hubungi Pusat Bimbingan Remaja Puteri Raudhatus Sakinah di Lot 300.2, Lorong Selangor, Pusat Bandar Melawati, Kuala Lumpur. Boleh juga hubungi talian 03-41073379 atau kunjungi laman web www.raudhatussakinahpusat.blogspot.com dan www.jim.org.my untuk mendapatkan maklumat lanjut.

Sumber : Utusan 22/02/2010


0 KOMEN:

Catat Ulasan

Kongsikan komen anda di sini...

Related Posts with Thumbnails