“YA ALLAH, AKU BERLiNÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA PERASAAN SEÐiH ÐAN ÐUKACiTA, AKU BERLINÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA LEMAH ÐAN MALAS, AKU BERLiNÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA BAHKiL ÐAN PENAKUT ÐAN AKU BERLiNÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA BEBAN HUTANG ÐAN TEKANAN PERASAAN.”


“YA ALLAH, BUKAKANLAH UNTUKKU PiNTU-PiNTU KEBAiKAN, PiNTU-PiNTU KESELAMATAN, PiNTU-PiNTU KESiHATAN, PiNTU-PiNTU KENiKMATAN, PiNTU-PiNTU KEBERKATAN, PiNTU-PiNTU KEKUATAN, PiNTU-PiNTU CiNTA SEJATi, PiNTU-PiNTU KASiH SAYANG, PiNTU-PiNTU REZEKi, PiNTU-PiNTU iLMU, PiNTU-PiNTU KEAMPUNAN ÐAN PiNTU-PiNTU SYURGA, YA ALLAH YANG MAHA PENGASiH LAGi MAHA PENYAYANG.”


Sabtu, Februari 14, 2009

Hargai nyawa dan menangani konflik jiwa


JANGAN terkejut jika tindakan membunuh diri adalah satu daripada penyumbang utama kematian di dunia. Pertubuhan Kesihatan Dunia menyatakan, seorang membunuh diri setiap 39 saat. Malah, dianggarkan 10 hingga 20 juta cubaan bunuh diri yang tidak membawa maut berlaku setiap tahun di seluruh dunia. Bunuh diri boleh difahami sebagai suatu tindakan mengambil nyawa sendiri. Ia merujuk kepada perbuatan memusnahkan diri sendiri kerana enggan berhadapan sesuatu perkara atau masalah yang dianggap tidak dapat ditangani.

Ia berlaku disebabkan pelbagai faktor, seperti kegagalan menghadapi tekanan, malu kepada keluarga dan masyarakat, rasa bersalah, tidak dapat menahan kesakitan fizikal, tekanan emosi yang meluap-luap, kebimbangan dan masalah kewangan.

Menurut pakar psikiatri, kadar kejadian bunuh diri dalam kalangan mereka yang berusia antara 19 hingga 59 tahun terutama wanita adalah 1.5 kali lebih tinggi daripada lelaki. Punca utama kejadian itu disebabkan tekanan perasaan, skizofrenia dan kemurungan diri yang melampau. Pada satu tahap pesakit berasakan tiada lagi jalan penyelesaian bagi masalah yang dihadapi. Tekanan itu boleh menyerang sesiapa saja dan keadaan menjadi bertambah rumit jika pesakit mengambil dadah atau alkohol yang boleh mendorong perkara tidak diingini. Pengaruh lain seperti berasakan diri keseorangan, tiada sokongan sosial dan dibayangi rasa putus asa, bahkan ditambah dengan kegagalan mengawal desakan dalam diri turut mendorong mangsa membunuh diri.

Umat Islam tidak sepatutnya terikut-ikut dengan tindakan agresif dan negatif itu, mudah mengalah terhadap tekanan, putus asa dan terkulai dengan pemikiran jahat syaitan. Bagi seorang Muslim yang berhadapan situasi terbabit, sewajarnya kembali kepada Allah dan mendapatkan pertolongan-Nya selain mendapatkan rawatan perubatan.

Pensyarah Kanan di Institut Islam Toronto, Kanada, Sheikh Ahmad Kutty, berkata Islam mengajar kita jangan berputus asa dengan belas kasihan Allah. Menurutnya, tekanan adalah satu keadaan yang sangat serius dan jika tidak dirawat akan membawa maut. Seseorang juga wajar konsisten dalam merawat jiwa, katanya.

Bunuh diri adalah fenomena sejagat kerana kes terbabit berlaku dalam masyarakat berbilang agama, kaum dan budaya, bahkan dalam kalangan orang Islam. Di Barat banyak kes bunuh diri membabitkan penggunaan senjata api. Di United Kingdom, lebih 52% bunuh diri pada 2005 dengan senjata api. Negara maju seperti Jepun dilaporkan tergolong antara negara paling banyak kadar kes cubaan bunuh diri dengan purata lebih 30,000 rakyatnya membunuh diri setiap tahun. Pada 2006, ada 32,115 kes, dengan 25 kes bagi setiap 100,000 penduduk iaitu hampir 100 orang sehari atau seorang setiap 15 minit. Waktu paling kerap menjadi pilihan mereka ialah jam 5 pagi bagi lelaki dan tengah hari dalam kalangan wanita. Bagi Malaysia, berdasarkan maklumat umum diperoleh, tujuh kes berlaku setiap hari dan bagi setiap satu kes, 10 hingga 20 lain akan mendapat kesannya. Kebanyakan kes adalah akibat daripada kemurungan.

Islam menegaskan setiap jiwa, sama ada kanak-kanak atau dewasa mempunyai hak untuk hidup. Justeru, tiada siapa yang berhak menghalang hak untuk hidup bahkan diri sendiri tidak berhak menentukan riwayat hidupnya sesuka hati kerana hidup dan mati urusan Allah, berdasarkan firman Allah SWT yang bermaksud, "Sesungguhnya Kamilah yang menghidupkan dan yang mematikan dan Kamilah yang kekal memiliki segala-galanya." (Surah al-Hijr, ayat 23)

Ulama menegaskan, setiap perkara yang berhubung kehidupan dan membawa keselamatan anggota badan dikira perkara wajib seperti memelihara kesihatan, merawat, mencegah dan mengawal penyakit daripada merebak. Begitu juga setiap perkara yang boleh merosakkan tubuh badan, mengancam nyawa atau melemahkannya adalah haram hukumnya seperti mabuk, menggunakan benda yang mendatangkan bahaya dan mengkhayalkan seperti rokok, dadah, candu, heroin dan sebagainya. Ini berdasarkan firman Allah SWT yang bermaksud, "Belanjakanlah (harta bendamu) di jalan Allah dan janganlah kamu sengaja mencampakkan diri kamu ke dalam bahaya kebinasaan dan berbuat baiklah kerana sesungguhnya Allah mengasihi orang yang berusaha memperbaiki amalannya." (Surah al-Baqarah, ayat 195)

Bunuh diri walau dalam keadaan apa sekalipun, tetap dilarang keras dalam Islam. Setiap manusia wajar menghargai kehidupan yang diberikan dan menyuburkannya dengan sebaik-baiknya.

Menurut seorang ulama Arab Saudi, Sheikh Muhammad Saleh Al-Munajjid, wanita yang berada dalam keadaan terdesak seperti hendak dirogol juga tidak dibenarkan mengambil jalan singkat dengan membunuh diri. Seseorang wanita tidak dibenarkan membunuh dirinya kerana takut dirogol. Seorang wanita Islam yang suci dikehendaki menangkis penyerang, tetapi dia tidak dibenarkan bertindak ekstrem membunuh dirinya. Jika dia membunuh dirinya, dia dikira melakukan perbuatan yang haram.

Rasulullah dilaporkan bersabda, maksudnya: "Sesiapa membunuh dirinya dengan benda tajam, benda tajam itu akan dipegangnya untuk menikam perutnya di neraka jahanam. Hal itu akan berlaku selama-lamanya. Sesiapa yang minum racun hingga mati, dia akan minumnya dalam neraka jahanam selama-lamanya. Sesiapa yang menjatuhkan diri dari gunung semata-mata untuk membunuh diri, dia akan menjatuhkan dirinya ke neraka jahanam selama-lamanya." (Sahih Muslim)

Dalam riwayat yang lain pula, dari Tsabit bin Dhahhak r.a., katanya, Rasulullah SAW bersabda, "Siapa yang bunuhg diri dengan suatu cara, Allah akan menyiksanya di neraka jahannam dengan cara itu pula." (Sahih Muslim)

Menangani konflik jiwa

Iman dan takwa akan menerbitkan kesabaran yang tinggi terutama dalam menghadapi konflik jiwa dan tahap kesabaran juga secara langsung akan mempengaruhi emosi seseorang dalam membuat sesuatu keputusan pada saat kritikal. Sabar boleh diertikan sebagai tabah menghadapi sesuatu keadaan yang amat tidak disenangi dan penyerahan sepenuhnya kepada Allah serta tidak berputus asa dalam menghadapi ujian kehidupan. Daripada persepsi lain, sabar ialah kesediaan untuk menerima, kemampuan dalam menghadapi masalah dan daya ketahanan diri serta fikiran dalam menyelesaikan sesuatu masalah.

Asas kepada kesabaran ialah emosi yang tenang dalam menghadapi segala macam konflik dalam diri, biasanya disebabkan hati. Selagi hati dan fikiran bersih, cetusan yang lahir juga menjurus kepada keadaan positif.

Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya: "Ketahuilah dalam setiap jasad itu ada seketul daging yang apabila ia baik, baiklah seluruh jasad dan apabila ia rosak, rosaklah seluruh jasad. Ketahuilah ia adalah hati." (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Ketenangan emosi dan diri hanya boleh diperoleh jika mempunyai hubungan yang baik dengan Allah. Caranya ialah melalui amalan ibadat wajib dan sunat, manakala secara khususnya pula melalui zikir serta fikir. Zikir adalah ingat, iaitu melepaskan diri daripada lalai dan lupa dengan cara menghadirkan hati serta ingatan yang berterusan. Ingatan yang terbaik adalah ingatan kepada Allah.

Allah menyeru supaya hamba-Nya selalu mengingatinya seperti dalam firman-Nya yang bermaksud, "Oleh itu ingatlah kamu kepada-Ku, supaya Aku membalas kamu dengan kebaikan dan bersyukurlah kamu kepada-Ku dan janganlah kamu kufur (akan nikmat-Ku)." (Surah al-Baqarah, ayat 152)

Faedah berzikir begitu banyak, antaranya ialah ia akan membuatkan kerisauan hilang dari hati, dapat membersihkan hati yang kotor, malah membuatkan hati bertambah tenang. Dengan cara inilah tercetusnya emosi yang tenang dan dengan emosi yang tenang seseorang itu akan dapat mengawal kemarahannya. Secara tidak langsung, ia juga dapat mengawal emosinya dalam menghadapi konflik jiwa dan pastinya dengan emosi yang stabil akan membuahkan hasil pemikiran yang menguntungkan diri kita sendiri.

Fikir pula adalah tafakur, iaitu antara nilai ibadat paling tinggi. Berfikir bukanlah semata-mata hanya kepada keadaan dilalui setiap hari, malah merangkumi segala perkara, membabitkan urusan dunia dan akhirat.

"Dan pada bumi ada tanda (yang membuktikan keesaan dan kekuasaan Allah) bagi orang yang yakin dan juga kepada diri kamu sendiri. Maka mengapa kamu tidak mahu melihat serta memikirkan (dalil dan bukti itu)?" (Surah adz-Dzariyaat, ayat 20-21)

Menurut ahli sufi, tafakur adalah pelita hati dan jika tafakur itu hilang, tidak akan ada lagi pancaran dari hatinya. Selalu berfikir membuatkan hati seseorang itu bersih dan hati yang bersih dengan mudah dapat memutuskan sesuatu perkara walaupun berada dalam keadaan yang begitu mendesak.

Justeru, penawar paling mujarab berdepan konflik ini tentunya zikir, fikir dan kesabaran, yang membentuk individu berfikiran matang, bertakwa dan beramal soleh, malah mendorong diri untuk mentauhidkan Allah dalam setiap sudut hidupnya.

Tip capai ketenteraman, elak kejahatan

  1. Rajin mengerjakan solat. Ibadat solat apabila dilakukan secara sedar dan dengan penuh keinsafan akan menjadi sumber yang betul menyembuhkan jiwa. Ia kaedah terbaik melegakan tekanan.
  2. Sebelum tidur setiap hari, seseorang Muslim dianjurkan membaca surah al-Fatihah dan tiga surah terakhir al-Quran, lalu ditiupkan pada tangan dan disapu di seluruh badan, seelok-eloknya tiga kali.
  3. Sewajarnya setiap Muslim membaca sekurang-kurangnya 10 ayat al-Quran setiap hari.
  4. Mendengar al-Quran sekerap yang mungkin dan cuba memainkan rakaman bacaan ayat suci sepanjang masa.
  5. Individu Muslim juga dinasihat memastikan diri sibuk melakukan sesuatu yang berfaedah kerana jika anda tidak menyibukkan diri dengan kerja baik, syaitan akan memastikan anda sibuk dengan kerja negatif.
  6. Berdoa kepada Allah, mohon dijauhkan kejahatan, kedukaan dan kesempitan sebaliknya didekatkan dengan kebaikan, kelapangan serta kebahagiaan.
Sumber : disunting dari HMetro - Hargai Nyawa, HMetro - Kejernihan Hati dan HMetro - Tip capai ketenteraman

0 KOMEN:

Catat Ulasan

Kongsikan komen anda di sini...

Related Posts with Thumbnails