Oleh: SITI AINIZA KAMSARI
SUSAHLAH! Tidak mengapa di rumah boleh qada! Surau jauh! Tak bawa telekong. Dah lama tidak sembahyang. Tidak tahu caranya dan tidak selesa hendak solat. Semua ini adalah antara alasan yang ditemui menerusi satu kajian yang mendapati hanya 20 peratus daripada pesakit muslim yang berada di wad-wad hospital bersolat.
Kajian oleh Persatuan Perubatan Islam Malaysia (PPIM) ini mendapati angka itu sebenarnya meningkat berbanding 15 peratus pada tahun lalu.
Fenomena ini tidak menghairankan kerana ada pihak hospital mendakwa Tuhan lebih mengetahui mengenai hamba-Nya yang sedang sakit. Lantas ini dijadikan alasan mereka.
Namun satu perkara yang jelas, kata Presiden PPIM, Profesor Dr. Abdul Latiff Mohamed, semua tanggapan dan alasan itu adalah tidak benar. Katanya, selagi seorang itu beragama Islam, waima dalam keadaan sedar dan waras, maka tuntutan melakukan solat terhadap mereka adalah wajib.
“Malah jika dalam keadaan sakit, bermakna hubungan orang muslim perlu lebih didekatkan dengan Allah melalui solat.
“Jika mereka percaya kuasa penyembuhan juga ada pada Allah, maka wajiblah mereka bersolat dan beribadat terhadap-nya. Walaupun setelah melakukan pelbagai usaha rawatan, kita tetap berserah dan bertawakal kepada Allah.
“Semoga dengan solat dan doa munajat pesakit itu, mereka diizinkan Allah untuk tabah menghadapi sakit dan akan sembuh,” katanya sewaktu ditemui di Pusat Rawatan Islam An Nur, Bandar Baru Bangi, Selangor baru-baru ini.
Dr. Abdul Latiff berkata, perkataan uzur tidak boleh sewenang-wenangnya dijadikan alasan untuk pesakit tidak melakukan ibadat.
“Bersolat itu adalah satu kaffarah ke atas dosa dan maksiat yang pernah dilakukan selama ini,” katanya.
Rasulullah SAW pernah bersabda: Tidaklah seorang muslim ditimpa atau keletihan atau kerisauan atau kedukacitaan atau permasalahan walaupun berupa duri (yang mengenai) melainkan ini merupakan penebus kepada dosanya. (Riwayat Bukhari dan Muslim)
Mungkin timbul persoalan bagaimana pesakit yang dalam pelbagai keadaan rawatan dapat mengambil wuduk dan melakukan ibadat.
Ini termasuklah kes anggota wuduknya seperti tangan atau kaki dalam keadaan berbalut, luka yang tidak boleh terkena air, pesakit sentiasa dalam keadaan berhadas, pesakit yang dalam keadaan terbaring, sehinggalah kepada ibu yang hampir-hampir hendak bersalin.
Dalam hal ini, kata Dr. Abdul Latiff, pelaksanaan syariat itu terbahagi kepada dua jenis. Pertama, azimah yang merupakan hukum yang menyeluruh untuk semua mukalaf dan untuk semua keadaan tanpa kecuali.
“Hukum yang kedua ialah rukhsah, satu keringanan yang disyariatkan kerana keuzuran melampau termasuk sakit dan sedang menjalani rawatan dan pemulihan,” katanya.
Firman Allah dalam surah Al Haj, ayat 78 bermaksud: Dan Dia tidak menjadikan kamu menanggung sesuatu keberatan dan susah payah dalam perkara agama.
Rukhsah membolehkan pesakit yang anggota wuduknya berbalut atau bertampal plaster, terutama muka, tangan dan kaki, hanya perlu menyapukan air ke atas balutan itu.
*Berwuduk
Cara ini mencontohi kisah yang diriwayatkan daripada Saidina Ali bin Abi Talib: “Salah satu sendiku patah. Aku bertanya Nabi Muhammad mengenai cara berwuduk. Baginda menyuruhku menyapu air ke atas pembalut di bahagian yang patah itu. (Riwayat Ibnu Majah dan Al Dar Qutni)
“Ada juga disebutkan selain menyapu air di bahagian yang berbalut itu, pesakit juga perlu bertayamum,” kata Dr. Abdul Latiff.
Namun ada pendapat lain mendakwa tidak wajib seseorang pesakit itu bertayamum sekiranya dia membasuh anggotanya yang sihat dan menyapu balutan itu dengan air.
Menurut Dr. Abdul Latiff, jika anggota wuduk pesakit luka, mengalami penyakit kulit dan sebagainya yang menyebabkan mereka tidak boleh terkena air, pesakit perlu bertayamum.
Pesakit yang tidak boleh menggunakan mana-mana cara sama ada menyapu air atau bertayamum kerana boleh memudaratkan pesakit (seperti terbakar seluruh badan), mereka hendaklah melakukan solat dalam keadaan tidak bersuci (berhadas).
Bagi pesakit yang sentiasa dalam keadaan berhadas, iaitu memakai colostomy bag (beg menampung najis) atau continous bladder drainage (salur tiub kencing), mereka juga tidak terkecuali daripada mengerjakan ibadat.
“Sebelum berwuduk seperti biasa, mereka perlu terlebih dahulu menanggal atau membuka salur atau beg plastik yang berisi najis itu dan digantikan dengan yang baru atau dibersihkan beg tersebut. Kemudian dibersihkan juga bahagian tempat keluar najis itu,” katanya.
Jelas beliau, jika najis keluar semasa pesakit melakukan solat, pesakit boleh meneruskan solat tersebut.
“Najis yang keluar itu dimaafkan kerana kesukaran dan darurat,” katanya.
Selain soal wuduk, beberapa perkara lain juga perlu disesuaikan sebelum pesakit dapat mengerjakan solat mereka. Ini termasuklah soal aurat yang perlu dijaga selagi terdaya.
“Pakailah pakaian yang memadai asalkan ia boleh menutup aurat. Jika tidak mampu mintalah pertolongan orang lain untuk menutupnya,” katanya. Begitu juga mengenai arah kiblat, pesakit perlu berusaha untuk mencari arah itu.
“Tetapi jika tidak boleh mengubah kedudukan seperti solat atas katil wad, terpaksa berbaring dan sebagainya maka menghadaplah ke arah mana yang termampu,” katanya.
Yang pasti, walaupun terpaksa menanggung kesakitan atau menjalani rawatan intensif, selagi pesakit dalam keadaan waras dan sedar mereka masih wajib mengerjakan ibadat solat.
“Namun dalam beberapa aspek diringankan perkara seperti menyapu air, bertayamum dan seterusnya pesakit boleh melakukan solat mengikut keadaan yang terdaya.
“Ini termasuklah sama ada secara duduk, baring, mengiring dan melalui kerdipan mata,” kata Dr. Abdul Latiff.
Beliau tidak menafikan bagi menjayakan ibadat, seseorang pesakit itu perlu dibantu.
“Kita tidak bermaksud untuk menambah tugas jururawat tetapi jika pesakit perlukan bantuan wajiblah mana-mana pihak membantu mereka termasuk mengingatkan waktu solat.
“Bagi jururawat wanita, mereka boleh memakai sarung tangan bagi mengelakkan batal air sembahyang semasa mengendalikan pesakit lelaki,” katanya.
Dr. Abdul Latiff berharap lebih banyak hospital dapat menyediakan pegawai-pegawai agama dan buku-buku panduan mengerjakan solat bagi membolehkan pesakit muslim melaksanakan ibadat itu.
Sumber : Utusan 28/08/2006
0 KOMEN:
Catat Ulasan
Kongsikan komen anda di sini...