“YA ALLAH, AKU BERLiNÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA PERASAAN SEÐiH ÐAN ÐUKACiTA, AKU BERLINÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA LEMAH ÐAN MALAS, AKU BERLiNÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA BAHKiL ÐAN PENAKUT ÐAN AKU BERLiNÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA BEBAN HUTANG ÐAN TEKANAN PERASAAN.”


“YA ALLAH, BUKAKANLAH UNTUKKU PiNTU-PiNTU KEBAiKAN, PiNTU-PiNTU KESELAMATAN, PiNTU-PiNTU KESiHATAN, PiNTU-PiNTU KENiKMATAN, PiNTU-PiNTU KEBERKATAN, PiNTU-PiNTU KEKUATAN, PiNTU-PiNTU CiNTA SEJATi, PiNTU-PiNTU KASiH SAYANG, PiNTU-PiNTU REZEKi, PiNTU-PiNTU iLMU, PiNTU-PiNTU KEAMPUNAN ÐAN PiNTU-PiNTU SYURGA, YA ALLAH YANG MAHA PENGASiH LAGi MAHA PENYAYANG.”


Selasa, Februari 03, 2009

Tajdid Iman: Setiap mukmin mesti perjuangkan Islam

Oleh Dr Juanda Jaya
juanda72@hotmail.com


NEGARA Islam perlu dilengkapi persenjataan canggih supaya digeruni musuh.

Umat kurang ilmu, hidup bergelumang maksiat kemungkinan mudah ditewaskan musuh

JENAYAH kemanusiaan dilakukan Zionis Yahudi ke atas kaum Muslimin di Palestin membuka mata dunia Islam dan mendatangkan keinsafan bahawa Yahudi dan Nasrani tidak akan duduk diam sehingga umat ini mengikuti golongan mereka. Terjajah, menyerah, mengikut segala kehendak dan taat setia kepada mereka.

Tabiat dunia sentiasa bergolak oleh perebutan kuasa, pertumpahan darah, kezaliman dan penyelewengan manusia. Selagi mana yang berkuasa adalah orang yang tidak mengenal Allah dan beriman kepada-Nya selagi itu tidak akan aman dunia ini selama-lamanya.

Oleh itu, Allah memberi amanah kepada Rasul-Nya dan orang mukmin untuk menegakkan kalimah Allah sehingga tiada lagi fitnah di atas muka bumi ini menerusi firman-Nya yang bermaksud: "Dan perangilah mereka, supaya jangan ada fitnah dan supaya agama itu semata-mata untuk Allah. Jika mereka berhenti (daripada kekafiran), maka sesungguhnya Allah Maha Melihat apa yang mereka kerjakan. Dan jika mereka berpaling (enggan beriman dan tidak berhenti daripada menceroboh), maka ketahuilah bahawa Allah pelindungmu. Dia adalah sebaik-baik pelindung dan sebaik-baik penolong." (Surah an-Anfal, ayat 39)

Mengisytiharkan perang dengan kekuatan senjata umpama menjemput kematian ke kubu umat Islam kerana kekuatan orang kafir begitu jauh mengalahkan lawannya. Tetapi amatlah tidak wajar apabila generasi Islam menyerah bahkan langsung menghapus kalimah jihad dalam kehidupan mereka.

Kerana janji utama setiap mukmin kepada Allah adalah memperjuangkan Islam dan jangan sesekali mengkhianatinya, sebagai mana firman Allah yang bermaksud: "Wahai orang beriman, janganlah kamu mengkhianati Allah dan Rasul (Muhammad) dan (juga) janganlah kamu mengkhianati amanat yang dipercayakan kepadamu, sedang kamu mengetahui." (Surah al-Anfal, ayat 27)

Perjuangan membela agama adalah tanggungjawab seluruh umat Islam, jika di Palestin kanak-kanak kecil begitu berani melempar batu, dikejar desingan peluru serta dihantui bom Zionis yang menceraikan tangan dan kaki daripada tubuh kanak-kanak tidak berdosa.

Di sini, anak kita sewajibnya belajar bersungguh-sungguh, membina sahsiah diri dan merancang masa depan seraya berjanji dengan ilmu dan kepakarannya nanti mereka akan menolong saudaranya di seluruh bumi Allah.

Anak adalah pemimpin masa depan, merekalah kekuatan umat yang mesti disediakan sebaik-baiknya, seperti mana suruhan Allah yang bermaksud: "Dan siapkanlah untuk menghadapi mereka kekuatan apa saja yang kamu sanggupi dan dari kuda yang ditambat untuk berperang (yang dengan persiapan itu) kamu menggentarkan musuh Allah dan musuhmu dan orang selain mereka yang kamu tidak mengetahuinya; sedang Allah mengetahuinya. Apa saja yang kamu nafkahkan pada jalan Allah nescaya akan dibalas dengan cukup kepadamu dan kamu tidak akan dianiaya (dirugikan)." (Surah al-Anfal, ayat 60)

Dalam merancang kekuatan umat, tidak dinafikan timbul kemelesetan dan penyelewengan dalam perancangan itu. Penyelewengan dalam perjuangan yang menjadi faktor kelemahan umat Islam sudah disenaraikan dalam al-Quran antaranya:

1. Umat bercerai berai. Mengapa terjadi fitnah ini sehingga melemahkan kekuatan umat?

Punca perselisihan dan bercakaran sesama sendiri adalah kerana tiada kesatuan matlamat dalam perjuangan. Dunia dan hawa nafsu sudah merosakkan keikhlasan umat, ada golongan yang berjuang kerana hendak mendapat habuan dunia, sementara golongan yang ikhlas terganggu tumpuan mereka yang seharusnya membuat perlawanan ke atas orang kafir, akhirnya mengalihkan serangan itu kepada saudaranya yang berlainan visi dan misi.

Fenomena sebegini sudah dirasai Rasulullah SAW dalam perjuangan Baginda menghadapi golongan munafik. Dengan kecekapan Baginda SAW gangguan kaum munafik dapat diatasi sebaiknya.

Rasulullah SAW menumpukan usaha pembentukan kesatuan dan perpaduan orang yang beriman. Kepentingan membentuk keimanan dalam barisan generasi pejuang ditegaskan dalam firman-Nya yang bermaksud: "Sesungguhnya orang yang beriman dan berhijrah serta berjihad dengan harta dan jiwanya pada jalan Allah dan orang yang memberikan tempat kediaman dan pertolongan (kepada orang Muhajirin), mereka itu satu sama lain lindung-melindungi dan (terhadap) orang yang beriman, tetapi belum berhijrah, maka tidak ada kewajipan sedikitpun atasmu melindungi mereka, sebelum mereka berhijrah (akan tetapi) jika mereka meminta pertolongan kepadamu dalam (urusan pembelaan) agama, maka kamu wajib memberikan pertolongan kecuali terhadap kaum yang sudah ada perjanjian antara kamu dengan mereka dan Allah Maha Melihat apa yang kamu kerjakan. Adapun orang kafir, sebahagian mereka menjadi pelindung bagi sebahagian yang lain. jika kamu (hai Muslimin) tidak melaksanakan apa yang diperintahkan Allah itu nescaya akan terjadi kekacauan di muka bumi dan kerosakan yang besar." (Surah al-Anfal, ayat 72-73)

Iman dan hijrah yang memberi semangat perubahan ke arah kecemerlangan serta jihad menjadi tiga elemen penting boleh menyatukan umat ke arah misi dan visi yang satu.

2. Punca kelemahan umat Islam yang kedua adalah maksiat dan kemungkaran yang menjadi penyakit dalam tubuh umat. Maksiat menyebabkan manusia lupa diri, berpaling dari sisi Allah dan menjadi sebahagian ahli keluarga syaitan yang suka melakukan kerosakan.

Maksiat akan terus hidup dengan subur jika tiada usaha mencegahnya daripada merebak ke dalam tubuh umat. Seperti kisah kaum terdahulu, bagaimana Allah menimpakan azab ke atas mereka kerana kemungkaran yang dibiarkan berleluasa.

Umat Islam menghadapi tentangan sebegini pada hari ini, namun maksiat yang dilakukan orang Islam kadang-kadang lebih teruk dibandingkan kejahatan orang kafir. Begitu cepatnya iman mereka berubah, seperti mana sabda Baginda SAW yang bermaksud: "Bersegeralah kamu beramal sebelum menemui fitnah seumpama malam yang sangat gelap. Seseorang yang masih beriman pada waktu pagi kemudian pada waktu petang dia sudah menjadi kafir. Atau seseorang yang beriman pada waktu petang kemudian esok harinya dia sudah menjadi kafir. Dia menjual agamanya dengan sedikit dari mata benda dunia." (Hadis riwayat Imam Muslim)

Jika kemungkaran dan maksiat sudah menjangkiti tubuh umat Islam, mereka hidup seperti orang kafir yang tiada bezanya antara mereka maka sedikit demi sedikit nilai Islam itu hilang daripada keperibadian generasinya.

Perasaan, pandangan dan pemikiran mereka sama seperti orang kafir, tiada langsung roh Islam yang masih tinggal dalam hati mereka. Akhirnya mereka tidak mengenal apa erti membela agama, menghayati ajaran Islam, bahkan dicampakkan saja al-Quran dan hadis itu sebagai kitab peninggalan kuno yang disimpan dalam muzium sejarah mereka.

Alangkah mudahnya mengalahkan umat Islam tanpa melakukan serangan fizikal dan persenjataan yang berbilion harganya. Cukup dengan menyebarkan virus maksiat dalam generasi Islam pasti mereka akan menyembah berhala moden bernama hawa nafsu lantas dengan begitu senangnya jiwa mereka mati sebelum jasadnya.

3. Ketiga yang menyebabkan umat lemah adalah kebodohan. Bangsa maju di dunia ini sudah jauh berlari ke hadapan meneroka hingga ke angkasa lepas semata-mata mahu menakluk bumi di bawah kekuasaan mereka.

Sedangkan umat Islam masih di situ, mengharap kekayaan bangsanya yang terpendam di bawah tanah diambil sedikit demi sedikit untuk menghidupkan anak cucunya dan menjadi negara pengguna paling tinggi daya belinya kepada negara kafir.

Jika berduit pun tetapi tiada ilmu, apa akan jadi dengan generasi akan datang? Sudah pun begitu masih juga bersikap sombong tidak mahu belajar dan hanya berharap daripada kekuatan yang sedikit saja.

Pendidikan belum lagi menjadi agenda pertama dan utama di mana hal ini merangsang tumbuhnya benih kemiskinan di negara Islam. Apabila ketiga-tiga faktor tadi masih membelenggu tubuh umat Islam, tidak mustahil mereka masih terus terjajah dan terpecah menjadi bangsa yang mundur selama-lamanya.

Penulis ialah Mufti Perlis

Sumber: BHarian 2009/02/03

0 KOMEN:

Catat Ulasan

Kongsikan komen anda di sini...

Related Posts with Thumbnails