Tuhan tidak pernah memutuskan rezeki kepada hamba rajin
REZEKI Allah ada di mana-mana di atas muka bumi ini asal kita rajin berusaha mencarinya. Pepatah yang mengatakan 'rezeki secupak tak akan jadi segantang' sudah tidak dapat dipegang lagi kebenarannya di zaman sekarang. Jika kita bersungguh-sungguh berusaha mencarinya, dengan melakukan kerja yang boleh mendatangkan hasil atau upah, nescaya kita akan mendapat pendapatan lumayan. Dan tidak mustahil dari masa ke semasa hasil pendapatan itu akan bertambah dengan syarat rajin berusaha.
Rezeki adalah nikmat Allah untuk hamba-Nya. Bagi umat Islam, kunci mendapatkan rezeki ialah dengan selalu bersyukur kepada Allah, sama ada melalui ucapan mahu pun perbuatan. Kedua-duanya harus berjalan beriringan tanpa henti. Bersyukur adalah sifat orang bertakwa. Nikmat Allah terlalu banyak dan tidak terhitung. Bersyukur atas nikmat rezeki yang Allah berikan menunjukkan kita ingat kepada-Nya. Sesiapa yang ingat akan Allah apabila diberi nikmat, nescaya Allah akan ingat dia dengan menambahkan lagi rezeki kepadanya. Hal ini dinyatakan oleh Allah dalam firman yang bermaksud: "Dan ingatlah tatkala Tuhanmu memaklumkan sesungguhnya jika kamu bersyukur pasti Kami akan menambah nikmat kepadamu dan jika kamu mengingkari (nikmat-Ku) maka sesungguhnya azab-Ku sangat pedih." (Surah Ibrahim, ayat 7)
Sementara Rasulullah SAW pula bersabda yang bermaksud: "Dunia ini ibarat makhluk yang dilaknat kecuali yang ada di dalamnya sentiasa ingat kepada Allah." (Hadis riwayat at-Tirmizi dan Ibnu Majah)
Apabila kita ingat Allah kita akan sentiasa terdorong untuk melakukan ibadah dan sekali gus menjauhkan diri daripada perkara yang dilarang-Nya. Mencari rezeki halal untuk menyara keluarga juga adalah ibadah cukup mulia. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Tiada yang lebih baik bagi orang yang memakan makanan, melebihi kebaikan orang yang makan makanan daripada hasil kerja tangannya sendiri. Sesungguhnya Nabi Daud makan daripada hasil kerja tangannya sendiri." (Hadis riwayat Bukhari)
Suasana kehidupan yang serba canggih, mudah dan pantas seperti hari ini, kita sentiasa terdedah dengan perkara yang boleh membuatkan kita mendapat rezeki secara tidak sah (haram) atau menyalahi undang-undang. Banyak umat Islam terjebak dan tewas dalam hal ini. Semua berpunca kerana nipisnya iman dan takwa yang berfungsi membentuk hala tuju rezeki bagaimana ingin dicari, sama ada secara bekerja kuat (rezeki halal) atau dapatkannya secara cepat dan mudah (haram). Semuanya itu adalah sebahagian ujian Allah kepada hamba-Nya.
Firman Allah yang bermaksud: "Ada pun manusia apabila Tuhannya mengujinya lalu dimuliakan-Nya dan diberi-Nya kesenangan, maka dia berkata: Tuhanku telah memuliakanku. Ada pun apabila Tuhannya mengujinya lalu membataskan rezekinya, maka dia berkata: Tuhanku menghinaku." (Surah al-Fajr, ayat 15-16)
Allah berfirman lagi yang bermaksud: "Barang siapa yang bertakwa kepada Allah nescaya akan dibukakan jalan keluar baginya (daripada sebarang masalah) dan akan dikurniakan rezeki daripada sumber yang tidak diduga." (Surah at-Talaaq, ayat 2-3)
Setelah berusaha bersungguh-sungguh mencari rezeki halal, selebihnya umat Islam hendaklah bertawakal kepada Allah kerana rezeki berada dalam kekuasaan-Nya. Allah yang menentukan rezeki seseorang itu. Ibnu Qayyim mengatakan tawakal adalah setengah keimanan. Sementara setengah keimanan yang lain adalah inabah (perwakilan). Sesungguhnya agama adalah pertolongan dan ibadah, tawakal adalah pertolongan, dan inabah adalah ibadah.
Sementara bagi Syeikh Sulaiman bin Abdullah bin Muhammad bin Abdul Wahab pula berpendapat bahawa suatu asas pokok yang sama berada pada setiap amal pekerjaan mahu pun ibadah, iaitu tawakal kepada Allah, pembenaran untuk mendapatkan perlindungan-Nya, dan ketergantungan hati kepada-Nya. Firman Allah yang bermaksud: "...Dan hanya kepada Allah hendaknya kamu bertawakal, jika kamu benar-benar orang yang beriman." (Surah al-Maidah, ayat 23)
Selain itu, di kalangan ulama berpendapat bahawa antara faktor yang menyebabkan rezeki sentiasa bertambah adalah berdoa. Berdoa dan berusaha. Berdoa semata-mata tanpa ada usaha tidak memberi makna. Rasulullah SAW juga berdoa kepada Allah supaya dijauhkan daripada fakir (miskin) dan kekurangan rezeki.
Abu Hurairah meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW pernah berdoa: "Ya Allah, aku berlindung kepada-Mu daripada keadaan fakir, kekurangan harta dan keadaan hina. Dan kepada-Mu pula aku berlindung supaya aku tak diperkenankan berbuat zalim, dan berlindung daripada orang yang hendak menzalimiku." (Hadis riwayat Abu Daud dan Hakim)
Sesungguhnya Allah tidak pernah memutuskan rezeki-Nya kepada hamba-Nya yang berusaha dan bekerja kuat mencarinya. Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang akan menambah rezeki hamba-Nya yang diberi rezeki tidak lupa mengucapkan syukur kepada-Nya dan membelanjakan rezeki itu ke jalan bermanfaat. Mereka yang diberi-Nya rezeki berlebihan hendaklah membelanjakannya di jalan Allah seperti bersedekah untuk membina surau atau masjid, membantu sekolah agama yang daif atau membantu rumah anak yatim.
Firman Allah yang bermaksud: "...Dan barang apa saja yang kamu nafkahkan, maka Allah akan menggantinya, dan Dialah pemberi rezeki yang sebaik-baiknya." (Surah Saba, ayat 39)
Abu Hurairah meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Tidak ada hari di waktu pagi bagi seorang hamba kecuali kedua malaikat akan turun kepadanya, kemudian salah satu malaikat itu berkata, Ya Allah, kurniakan orang yang gemar bersedekah dengan balasan kebaikan yang setimpal. Sementara malaikat yang lain berkata, Ya Allah, berikan orang yang gemar menahan hartanya (kikir) dengan kehancuran." (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)
Islam benci sikap meminta-minta
RASULULLAH SAW bersabda yang bermaksud: "Mereka yang mencari harta dunia (kekayaan) dengan jalan yang halal dan menahan dirinya daripada meminta-minta (tidak menjadi pengemis) dan berusaha mencari nafkah untuk keluarganya serta belas kasihan, kasih sayang terhadap jiran tetangganya, nescaya di hari kiamat kelak ia akan berjumpa dengan Allah dengan mukanya berseri-seri seperti bulan purnama pada waktu malam." (Hadis riwayat at-Tabrani)
Sesungguhnya Allah kasih kepada orang yang berusaha atau bekerja mencari rezeki dengan titik peluh sendiri di mana dengan itu dia dapat memenuhi keperluan dan tanggungjawabnya terhadap diri, keluarga serta masyarakat.
Malah kedudukannya adalah lebih baik daripada bersikap pemalas dan meminta-minta daripada orang lain. Allah menetapkan dalam sunnah kehidupan bahawa kejayaan itu adalah hasil daripada kerja tekun dan dedikasi. Inilah antara maksud jihad yang dituntut Islam.
Kita perlu ingat hanya rezeki yang halal saja mesti dicari kerana di situlah letaknya keberkatan dan ganjaran daripada Allah kerana rezeki yang diambil daripada punca haram seperti rasuah lambat laun akan menimbulkan kecelakaan dan masalah dalam hidup bukan saja di dunia malah di akhirat juga.
Rasulullah SAW bersabda lagi yang bermaksud: "Berilah (belanjalah) dan jangan kamu selalu menutupi kepunyaanmu, kerana dengan itu nanti Allah akan menutupi rezekimu." (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)
Allah mewujudkan sifat semula jadi dalam diri manusia iaitu sifat belas kasihan yang menggerakkan seseorang itu untuk bersedekah. Firman Allah yang bermaksud: "Bandingan (perbelanjaan/derma) orang yang membelanjakan hartanya pada jalan Allah, ialah yang tumbuh menerbitkan tujuh tangkai: tiap-tiap tangkai itu pula mengandungi seratus biji benih. Dan (ingatlah) Allah akan melipatgandakan pahala bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya dan Allah amat luas (rahmat) kurnian-Nya, lagi meliputi ilmu pengetahuan-Nya." (Surah al-Baqarah, ayat 26)
Syarat bersedekah adalah keikhlasan. Tidak kira wang ringgit atau sebagainya asalkan ia dapat memberi kesenangan terhadap orang memerlukannya kerana kesenangan diberi oleh Allah kepada hamba-Nya adalah satu perkongsian dan tanggungjawab terhadap sesama manusia di muka bumi ini. Sifat suka bersedekah lawannya adalah bakhil. Sifat bakhil dicetuskan Allah kepada hamba-Nya yang lupa akan kewajipannya dan sangat cinta kepada harta kekayaannya.
Oleh itu demi mencari keredaan Allah kita hendaklah menggunakan waktu yang ada dengan beringat kepada yang susah dan memberi sedikit bantuan mengikut kemampuan.
Sumber : BHarian 2009/02/16 dan BHarian 2009/02/16
0 KOMEN:
Catat Ulasan
Kongsikan komen anda di sini...