BERAPA gelas anda minum air setiap hari? Dua, tiga, empat...atau lebih? Soalan tersebut memang kerap kita dengar terutama ketika berjumpa doktor atau pakar pemakanan.
Mungkin ada yang menganggap ia soalan remeh tapi sebenarnya ia amat penting untuk mengingatkan anda supaya minum lebih banyak air.
Kita selalu memperkatakan bahawa asas kepada kesihatan yang baik ialah diet makanan yang seimbang, senaman yang kerap, rehat, sentiasa gembira dan ketawa.
Pengambilan air juga merupakan salah satu daripada asas utama ini. Jika mahukan tubuh sihat, mungkin sudah tiba masanya anda memikirkan saranan pakar iaitu minum enam hingga lapan gelas besar air sehari. Fakta-fakta di bawah mungkin membuatkan anda mula memikirkannya.
Mengapa tubuh memerlukan ‘bekalan’ air baru setiap hari?
Antara 55 peratus hingga 75 peratus berat badan adalah air. Air bahan kedua terpenting selepas oksigen yang diperlukan oleh tubuh. Berikut adalah antara sebab kenapa tubuh memerlukan air.
-Ia membantu penghadaman, penyerapan dan penyingkiran makanan yang dimakan.
-Ia membantu perkumuhan bahan buangan dari usus dan buah pinggang.
-Untuk menyelaraskan suhu badan 24/7
-Memberi kelancaran pergerakan sendi dan membran
-Darah merupakan sistem pengangkutan yang berfungsi ‘mengagihkan’ nutrien makanan ke seluruh tubuh. Hampir 92 peratus kandungan darah ialah air.
-Rembesan tubuh dan cecair penghadaman hampir keseluruhannya adalah air (sistem penghadaman menghasilkan hampir 1.7 liter air liur setiap hari)
Disebabkan fungsi-fungsi yang penting ini, dalam keadaan normal tubuh memerlukan antara satu hingga dua liter air setiap hari supaya ia berfungsi secara optimum. Jumlah ini juga bergantung kepada saiz, diet, sejauh mana individu tersebut mengamalkan gaya hidup aktif dan keadaan cuaca persekitaran.
Senarai di bawah menunjukkan bagaimana tubuh boleh kehilangan air.
-Melalui pernafasan, perpeluhan dan penyingkiran (najis dan air kencing) tubuh anda kehilangan 1.7 liter setiap hari.
-Dalam cuaca panas, perpeluhan meningkat jadi lebih banyak air diperlukan bagi membantu menyelaraskan suhu banda dan menjadikan anda berasa selesa.
-Ketika cuaca sejuk, lembapan tambahan hilang melalui pernafasan.
-Bagi setiap jam aktiviti fizikal atau bersenam, anda memerlukan tambahan 1-3 gelas air.
-Sistem haba berpusat memberi kesan kekeringan, jadi anda perlu minum lebih banyak air atau kurangkan suhunya.
Tahukah anda?
Air adalah penahan selera secara semula jadi. Kekurangan air boleh membawa kepada makan berlebihan, ini kerana otak tidak dapat membezakan antara lapar dan dahaga, jadi apabila anda fikir anda berasa lapar kemungkinan tubuh sebenarnya memerlukan air. Jadi minum segelas besar air sebelum anda makan keran itu yang mungkin diperlukan oleh tubuh bukannya makanan seperti otak anda fikirkan.
Adakah anda penyahhidratan (dehydaration)
Ramai yang tidak menyedari tubuh sedang mengalami penyahhidratan. Di bawah adalah simptom-simptom menunjukkan tubuh sedang ‘dahagakan’ air.
-Pening -
Salah satu fungsi utama air ialah membuang toksin dari tubuh. Otak manusia mengandungi 75 peratus air, jadi walaupun mengalami sedikit penyahhidratan boleh menyebabkan pening.
- Letih/Lemah tumpuan -
Jika tubuh mengandungi terlalu banyak toksin dan tidak cukup air untuk mengeluarkannya, anda akan berasa kurang bertenaga kerana tubuh bergelut dengan toksin.
-Sembelit -
Air melawaskan proses penyingkiran najis, jadi minumlah air secukupnya untuk melancarkan penyingkirannya.
-Mengurangkan pengeluaran air kencing/Air kencing kotor -
Buah pinggang adalah penapis bahan-bahan buangan dari darah. Hampir 180 liter air dikitar semula oleh buah pinggang setiap hari. Proses ini bergantung kepada bekalan air segar yang secukupnya, tanpanya pengeluaran air kencing akan berkurangan menyebabkan bahan buangan menjadi lebih pekat menghasilkan kencing kotor.
-Mulut berbau -
Jika cecair tidak cukup di dalam mulut untuk membersihkan sisa-sisa makanan, bakteria akan membiak di dalam tekak dan mulut menyebabkan mulut berbau.
-Mulut kering -
Air liur merupakan bahan ‘pelincir’ mulut, penyahhidratan mengurangkan jumlah air liur.
Penyahhidratan yang teruk juga menyebabkan:
-Ketegangan otot -
Ini berlaku apabila tidak cukup oksigen sampai ke otot melalui pembuluh darah disebabkan tubuh tidak cukup air.
-Kulit -
Kulit yang tidak cukup air akan hilang keanjalan. Ujinya dengan mencubit kulit di belakang tangan ia akan terlepas dengan serta merta.
-Mata -
Mata cengkung dan kulit di sekeliling mata lembah menandakan penyahhidratan yang teruk.
Jadikan pengambilan air sebagai habit
Matlamat anda sekarang ialah untuk minum air secara kerap sepanjang hari. Bagi beberapa hari pertama mungkin anda akan berasa kerap ke tandas, ini kerana tubuh belum biasa dengan keadaan itu dan memerlukan masa untuk penyesuaian. Anda juga akan berasa berat badan berkurangan memandangkan simpanan air dalam tubuh menjadi berlebihan dan secara beransur-ansur anda melepaskannya.
Sumber: Utusan 10/02/09
0 KOMEN:
Catat Ulasan
Kongsikan komen anda di sini...