Sumber: soleh.net
Solat qadha’ ialah solat yang dikerjakan selepas keluar dari waktunya.
Dari Anas bin Malik r.a., Rasulullah SAW bersabda, “Barangsiapa lupa mengerjakan solat, hendaklah dia mengerjakan ketika dia teringat. Tidak ada kafarat (denda) baginya, melainkan hanya yang tersebut.” (Hadis Riwayat al-Bukhari, 1/166, no. 597)
“Barangsiapa yang lupa mengerjakan solat atau tertidur sehingga tidak mengerjakan solat maka kafarat (denda)–nya adalah dengan mengerjakan solat yang tertinggal itu ketika dia teringat.” (Hadis Riwayat Muslim, 1/477, no. 684)
Orang yang tertidur dihukumkan sama dengan orang yang tidak sedarkan diri selama tiga hari atau kurang. Pendapat itu telah diriwayatkan dari Ammar, ‘Imran bin Hushain, dan Samurah bin Jundab radhiyallahu ‘anhum. (Rujuk: asy-Syarhu al-al-Kabir, Ibnu Qudamah, 3/8. Juga al-Mughni, 2/50-52)
Ada pun jika masa tidak sedarkan diri tersebut melebihi had masa tersebut, tidak ada kewajiban baginya untuk meng-qadha’-kannya. Kerana orang yang tidak sedarkan diri dalam waktu lebih dari tiga hari sama dengan orang yang tidak waras dan hilang akal. (Lihat: Majmuu’ al-Fatawa Samahatus Syaikh Abdul Aziz bin Abdullah bin Baaz yang disusun oleh Abdullah ath-Tahyyar dan Syaikh Ahmad bin Abdul Aziz bin Baaz, 2/457)
Pengertian ringkas meng-qadha’-kan solat
Melaksanakan solat yang tertinggal atas sebab lupa atau tertidur. Ia dilakukan dengan niat solat sebagaimana biasa. Sebagaimana Rasulullah SAW menunaikan solat subuh di luar waktunya ketika mana berada di dalam suatu perjalanan yang amat meletihkan. Solat qadha’ boleh dilakukan secara berjama’ah sebagaimana solat seperti biasa, cuma yang membezakannya adalah waktu dilaksanakannya iaitu ketika mana kita tersedar atau sebaik-sahaja kita teringat ada solat yang belum ditunaikan setelah luput waktunya yang sebenar.
Hukum qadha’ solat
Meninggalkan solat fardhu atau melengah-lengahkannya tanpa apa-apa uzur hingga terkeluar dari waktunya adalah berdosa besar, dan wajib di qadha’kan solat itu. Para ulama menghukumkan WAJIB qadha’ solat bagi orang yang meninggalkan solat dengan sengaja berdasarkan kepada orang yang ada uzur syar’ie diwajibkan qadha’ solatnya oleh Rasulullah SAW. Apatah lagi orang yang tiada keuzuran syar’ie sudah tentu lebih-lebih lagi wajibnya.
Dosa itu pula tidak terhapus dengan qadha’ semata-mata, tetapi mestilah disertakan dengan bertaubat kepada Allah SWT. Seseorang yang meninggalkan solat fardhu pada waktunya, dengan sengaja, maka wajiblah dia qadha’ solatnya dengan segera.
Solat fardhu yang tertinggal kerana uzur seperti tertidur atau terlupa yang bukan kerana kecuaian maka sunat disegerakan qadha’nya. Maksud kecuaian di sini ialah seperti tidur dalam waktu dan lupa yang disebabkan oleh leka dengan perkara-perkara yang tidak dituntut oleh syarak.
Menurut Ibnu Haja al-Haitami, orang yang meninggalkan solat tanpa uzur, WAJIB menggunakan seluruh waktunya untuk mengerjakan qadha’ solatnya kecuali waktu untuk menguruskan hajatnya yang wajib yang tidak dapat dielakkan, seperti tidur, buang air, mencari nafkah, dan sebagainya. Haram baginya mengerjakan solat sunat sebelum diqadha’kan solatnya.
Tetapi menurut Habib Abdullah al-Haddad pula, orang yang meninggalkan solat tadi diberi kelonggaran untuk mengerjakan qadha’ solat fardhunya mengikut kemampuan dan kelapangan masanya, tanpa memberatkan dan tanpa pula meringan-ringankan kewajipan qadha’ itu sendiri.
Kemudian Syed Abdul Rahman Balawi telah bersetuju dengan pendapat Habib Abdullah al-Haddad, dengan berkata, inilah pendapat yang terlebih utama berbanding dengan pendapat para fuqahak yang mewajibkan orang yang meninggalkan solat tadi menggunakan seluruh waktunya untuk qadha’ solatnya kecuali waktu untuk menguruskan hajatnya yang wajib.
Beliau berkata demikian kerana pendapat para fuqahak tersebut amat membebankan sekali.
Cara Qadha’ Solat
Adalah diwajibkan mendahulukan qadha’ solat yang ditinggal tanpa uzur daripada solat tunai (solat pada waktu) sekiranya tidak dibimbangi habis waktunya. Tetapi sekiranya solat qadha’ yang ditinggal itu adalah kerana uzur maka hanya sunat sahaja mendahulukan qadha’ daripada tunai. Adalah diwajibkan juga mendahulukan qadha’ solat yang ditinggal tanpa uzur daripada solat yang ditinggalkan dengan uzur. Begitu juga wajib mendahulukan qadha’ solat yang ditinggal tanpa uzur daripada solat sunat rawatib tetapi sekiranya solat qadha’ yang ditinggalkan itu kerana uzur maka hanya sunat sahaja mendahulukan solat qadha’ daripada solat sunat rawatib. Kemudian lagi disunatkan qadha’ solat itu menurut tertib waktu solat seperti diqadha’kan Zuhur sebelum Asar, dan begitulah seterusnya. Malahan tertib itu sunat dipelihara walaupun waktu-waktu qadha’ solat itu diselangi atau terputus oleh tempoh masa yang lama.
Sedikit penjelasan daripada netter di Al-Falaah, saudara RoslanSMS (sms.roslan@gmail.com) ketika saya kemukakan kemusykilan tentang perselisihan mengqadha’kan solat yang sengaja ditinggalkan, berikut adalah jawapan beliau.
Terdapat perselisihan pendapat tentang solat qadha’ bagi solat yang SENGAJA ditinggalkan. Menurut pendapat Abu Muhammad Ali bin Hazm (Ibn Hazm), adapun solat yang dengan sengaja ditinggalkan, maka tiada qadha’ baginya, tetapi, adalah taubat, kerana sengaja meninggalkan solat adalah berdosa besar. Menurutnya lagi, tiada dalil yang menjelaskan berkenaan solat yang sengaja ditinggalkan boleh diqadha’. Solat yang sengaja ditinggalkan tidak perlu diqadha’, kerana hukumnya tidak sah, tetapi pendapatnya ini disangkal oleh Imam Nawawi dan ulama’ yang lain.
ومما يدل علي وجوب القضاء حديث أبى هريرة رضى الله عنه ان النبي صلي الله عليه وسلم (أمر المجامع في نهار رمضان ان يصوم يوما مع الكفارة أي بدل اليوم الذى افسده بالجماع عمدا) رواه البيهقى باسناد جيد وروي أبو داود نحوه ولانه إذا وجب القضاء علي التارك ناسيا فالعامد أولى * *
(Al Majmuu` Imam Nawawi)
Terjemahannya:
Far'u (cabang) - Ulama telah berijmak bahawa solat yang ditinggalkan dengan sengaja adalah wajib diqadha’. Walau bagaimanaupun pendapat ini berlawanan dengan pendapat Abu Muhammad Ali bin Hazm (Ibn Hazm) yang mengatakan bahawa tidak ada qadha’ kepada mereka yang sengaja melakukannya bahkan solat itu tidak sah, juga dia mengatakan hendaklah dia memperbanyakan amalan baik dan melakukan solat sunat untuk memberatkan timbangannya hari qiamat, dia juga hendaklah banyak melakukan istighfar dan bertaubat kepada Allah, inilah yang diperkatakan olehnya. Di samping kata-kata ini batil kerana bertentangan dengan Ijmak Ulamak, terbatal dari sudut dalilnya malahan perkataan yang digunakan untuk mengemukakan nas bukanlah dari dalil aslinya.
Sedangkan dalil yang sebenar yang mewajibkan Qadha adalah Hadis dari Abu Hurairah r.a. yang bermaksud, "Bahawasanya Rasulullah SAW memerintahkan orang yang bersetubuh pada siang hari bulan Ramadan, untuk mengerjakan puasa satu hari + kaffarah satu hari lagi puasa ganti kerana merosakkan puasanya dengan sengaja." Hadis ini diriwayatkan oleh Baihaqi dengan sanad yang jaid (baik) dan juga oleh Abu Daud.
Dari sini jelas menunjukkan bahawa kita wajib mengqadha’nya kalau terlupa, maka lebih-lebih lagi kita wajib menggantikannya bila melakukan dengan sengaja.
Hadis di atas digunakan oleh Imam Nawawi sebagai dalil untuk menjawab Ibn Hazm, mengikut pendapat Ibn Hazm jika kita sengaja tinggalkan solat maka kita tidak perlu mengqadha’. Namun Imam ini menyangkal bahawa kalau tinggal puasa dengan sengaja, kita wajib ganti berdalilkan hadis Nabi. Unsur persengajaan itu tidak tepat dijadikan dalil untuk tidak mewajibkan qadha’. Bahkan dalam hadis lain jika kita terlupa untuk solat dalam waktu kita wajib qadha, sedangkan dalam Islam tidak diwajibkan kepada perkara kita lupa, namun dalam bab solat kita kena ganti, jadi perkara sengaja ini lebih-lebih lagi kena ganti.
Pengajaran
Firman Allah SWT yang bermaksud, "Kemudian apabila kamu selesai mengerjakan solat, maka hendaklah kamu menyebut dan mengingati Allah semasa kamu berdiri atau duduk, dan semasa kamu berbaring. Kemudian apabila kamu merasa tenteram (berada dalam keadaan aman) maka dirikanlah solat itu (dengan sempurna seperti mana biasa). Sesungguhnya solat itu adalah satu ketetapan yang diwajibkan ke atas orang beriman, yang tertentu waktunya." (Surah al-Nisa', ayat 103).
~ SEBELUM KAMU DISEMBAHYANGKAN ~
0 KOMEN:
Catat Ulasan
Kongsikan komen anda di sini...