|
MASYA, lima tahun, telah bersekolah tadika. Balik sahaja dari tadika tanpa membuka baju, terus menghisap puting kosong. Bukan setakat itu, setiap kali untuk ke mana-mana kecuali sekolah, tergantung puting itu di dadanya. Takut hilang, nanti tercari-cari.
Pengalaman ini turut berlaku kepada anak penulis. Putingnya cukup unik. Bukan semua kedai ada menjualnya. Warnanya jernih, apabila hilang, jenuh mencari.
Untuk menyenangkan, digantung dengan tali khas yang berwarna terang. Tetapi yang menyusahkan apabila puting itu berlubang, hampir semua kedai dicari. Kini, penulis telah boleh menarik nafas lega, apabila akhirnya pengalaman mencari-cari puting yang hilang, meredakan kegelisahan dan tangisan anak ketika ketiadaan objek itu telah berakhir.
Bahkan, rata-rata ibu bapa agak risau bilakah anaknya yang telah berusia empat tahun ke atas untuk berhenti daripada menghisap puting kosong, pacifier atau soother. Kelihatan tidak manis apabila anak yang telah besar masih menghisap puting ke mana-mana mereka pergi dan ia pula 'terhias cantik' di leher. Lebih buruk lagi susunan gusi atas akan lari dan menyebabkan pertumbuhan gigi menjadi tidak sekata. Pertumbuhan gigi ini ada yang terlalu ke depan sehingga menjadi jongang.
Pensyarah dan Pakar Psikiatri Kanak-kanak dan Remaja, Fakulti Perubatan, Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia, Dr. Wan Salwina Wan Ismail berkata, puting kosong merupakan transitional object yang boleh menenangkan anak yang sedang menangis. Ia ibarat 'pengganti' ibu yang sentiasa memberi perlindungan kepadanya apabila dia memerlukan sesuatu. Dengan adanya puting kosong ini, anak akan berhenti menangis dengan segera kerana ia adalah reaksi semula jadi ketika diberi susu botol. Dengan menghisapnya, bayi akan merasa lebih selamat dan terlindung serta lebih selesa walaupun ketika berjauhan dengan ibu atau penjaganya. Bagaimanapun, adalah dinasihatkan tidak menjadikanya satu kebiasaan apabila bayi sudah semakin besar. Jangka masa tidak boleh ditentukan, seboleh-bolehnya harus diberhentikan secepat mungkin.
Menurut Dr. Wan Salwina, tidak dinafikan apabila sudah dimulakan dengan menggunakan puting kosong, kebiasaan itu agak sukar untuk ditinggalkan. Pasti anak akan menangis malah tidak boleh tidur atau tercari-cari puting kosong sehingga ibu tidak sampai hati, lalu memberinya kembali. Walaupun agak memedihkan, ibu harus cuba menghentikannya secara beransur-ansur dan membantu anak melupakan puting kosong.
Terdapat beberapa pendapat, tabiat menghisap puting kosong yang terlalu lama berkemungkinan mengganggu pertumbuhan gigi dan memberikan penampilan yang kurang menarik. Gusi atas akan lari dan pertumbuhan gigi menjadi tidak sekata sehingga menjadi jongang. Ia akan berkekalan sehingga dewasa dan boleh menyebabkan rasa rendah diri dan lebih teruk akan menyusahkan untuk mengunyah makanan. Bahkan, apabila mereka dewasa, terpaksa pula berjumpa dengan pakar gigi untuk membetulkan susunan gigi menggunakan alat braces atau yang terlalu teruk terpaksa menjalani pembedahan rahang.
Sekiranya anak mempunyai masalah lelangit terbelah, dengan menggunakan puting kosong ini akan menyebabkan jurang antara lelangit yang terbelah menjadi lebih luas dan menyukarkan proses pembedahan. Oleh itu adalah dinasihatkan, kepada anak yang mempunyai masalah ini mesti menghindari penggunaan puting kosong.
Begitupun, ada juga kajian menunjukkan bahawa Sindrom Kematian Bayi Mengejut (SIDS) dapat dielak apabila bayi diberi puting kosong. Ini kerana bayi yang tidur dengan puting kosong tidak dapat tidur terlalu lena kerana dihalang oleh refleks menghisap susu itu tadi. Ini menghalang daripada bayi berhenti bernafas seperti yang berlaku pada penghidap SIDS.
Ada juga pakar berpendapat, adalah lebih baik apabila bayi menghisap puting kosong daripada ibu jari mereka sendiri kerana perlakuan menghisap ibu jari lebih susah dihentikan daripada puting kosong.
Sumber : Utusan
0 KOMEN:
Catat Ulasan
Kongsikan komen anda di sini...