“YA ALLAH, AKU BERLiNÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA PERASAAN SEÐiH ÐAN ÐUKACiTA, AKU BERLINÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA LEMAH ÐAN MALAS, AKU BERLiNÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA BAHKiL ÐAN PENAKUT ÐAN AKU BERLiNÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA BEBAN HUTANG ÐAN TEKANAN PERASAAN.”


“YA ALLAH, BUKAKANLAH UNTUKKU PiNTU-PiNTU KEBAiKAN, PiNTU-PiNTU KESELAMATAN, PiNTU-PiNTU KESiHATAN, PiNTU-PiNTU KENiKMATAN, PiNTU-PiNTU KEBERKATAN, PiNTU-PiNTU KEKUATAN, PiNTU-PiNTU CiNTA SEJATi, PiNTU-PiNTU KASiH SAYANG, PiNTU-PiNTU REZEKi, PiNTU-PiNTU iLMU, PiNTU-PiNTU KEAMPUNAN ÐAN PiNTU-PiNTU SYURGA, YA ALLAH YANG MAHA PENGASiH LAGi MAHA PENYAYANG.”


Khamis, Mei 20, 2010

Q&A : Patung dalam rumah

Japanese doll (geisha) ~ gambar hiasan ~

Assalamualaikum warahmatullah,

Entry ini dimasukkan setelah saya menerima email kiriman seorang sahabat. Katanya :
Saya nak bertanya, saya sekarang duduk di luar negara, pelajar dan akan duduk dalam jangka masa panjang juga. Soalan saya, jika saya menyewa di rumah yang mempunya patung berhala, berdosa ke saya duduk dirumah itu? Patung itu berada di ruang tamu.
Setelah menyemak sedikit info di JAKiM, saya menemui jawapan di bawah :

Panel JAKiM menasihatkan agar tidak menyewa rumah tersebut sebaliknya mencari rumah lain yang bersesuaian. Ini kerana berdasarkan hadis Rasulullah SAW yang menyatakan bahawa Malaikat Rahmat tidak masuk ke rumah yang mempunyai hadis yang penuh seperti di bawah :

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud, “Sungguhnya para malaikat tidak masuk ke dalam rumah yang ada di dalamnya gambar, patung, anjing dan orang yang junub.” (Hadis riwayat Imam Bukhari)

Yang dimaksudkan gambar berbentuk timbul seperti patung yang diukir. Malaikat yang dimaksudkan dalam hadis ini ialah Malaikat Rahmat sahaja. Walau bagaimanapun, Malaikat Maut tetap masuk ke dalam rumah yang ada di dalamnya gambar, patung, anjing dan orang yang junub.

Sekiranya tiada pilihan lain yang lebih sesuai, cuba elakkan daripada solat di ruang tamu dan tidak menghadapkan wajah ke arah patung itu.

Secara umumnya, Islam tidak meredhai umatnya menyimpan patung di dalam rumah kerana ia mirip kepada sembahan-sembahan yang biasa dipertuhankan oleh orang-orang kafir. Sekalipun seseorang itu tidak menganggap patung tersebut sebagai tuhan dan tidak menyembahnya, ia tetap ditegah kerana Islam bukan sekadar melarang seseorang dari melakukan syirik tetapi ia juga menghalang dan menutup segala jalan-jalan yang mengarah, menyerupai dan memiliki unsur syirik. Lebih dari itu Malaikat juga enggan memasuki rumah yang mempunyai patung di dalamnya dan ketiadaan para malaikat ini akan menjauhkan rahmat dan keredhaan Allah Subhanahu wa Ta‘ala daripada penghuni rumah tersebut.

Apa pula hukum menyimpan anak patung?

Walaupun Islam amat tegas dengan hukum menyimpan patung yang menyerupai berhala, akan tetapi Islam sedia memberi kelonggaran dan kemudahan hukum kepada anak-anak kecil yang memiliki patung sebagai alat mainan kerana bagi anak-anak, patung-patung tersebut tidaklah memiliki sebarang nilai sembahan kecuali sekadar alat mainan sahaja. Menyimpan anak patung dalam rumah untuk tujuan permainan kanak-kanak adalah diharuskan, tetapi sekiranya ia dijadikan perhiasan semata-mata maka ia tidak boleh diletakkan di dalam rumah.

Adapun patung atau lukisan yang dibuat bagi tujuan permainan kanak-kanak, ianya adalah harus hukumnya kerana ada riwayat daripada Rasulullah SAW yang memberi rukhshah (kelonggaran) mengenainya. Kelonggaran dan pengeculian ini adalah berdasarkan hadis yang diriwayatkan daripada Aisyah r.a. berkata yang maksudnya, Aku biasa bermain-main dengan patung anak-anak perempuan di sisi Nabi SAW dan aku ada beberapa orang kawan bermain-main bersama-samaku. Apabila Baginda masuk, mereka menyembunyikan (patung-patung tersebut) daripada Baginda, Baginda membiarkan mereka untuk bermain-main bersamaku.” (Hadis riwayat Bukhari)

Dalam riwayat lain lagi daripada Aisyah r.a. berkata yang bermaksud, Sewaktu Rasulullah SAW (sampai di rumah) daripada peperangan Tabuk atau Khaibar, pada rak (kepunyaan Aisyah) ada kain penutup, lalu angin berhembus, maka tersingkap tepi kain penutup itu (sehingga) menampakkan beberapa anak patung perempuan mainan Aisyah. Maka Baginda bersabda : Apa ini wahai Aisyah?” Aisyah menjawab : Anak-anak patung perempuan milikku.” Dan Baginda terlihat pula di antara patung-patung tersebut ada patung kuda yang mempunyai dua sayap yang bertampal. Lalu Baginda bersabda : Apa benda di atas kuda ini?” Aisyah menjawab : Dua sayap.” Baginda bersabda : Kuda ada dua sayap!” Aisyah menjawab : Tidakkah Tuan pernah mendengar bahawa Nabi Sulaiman mempunyai kuda yang mempunyai beberapa sayap?” Aisyah berkata (menceritakan selanjutnya): Maka Rasulullah tertawa sehingga aku melihat gigi-gigi geraham Baginda.”” (Hadis riwayat Abu Daud)

Daripada hadis ini, jelas menerangkan bahawa patung permainan bagi kanak-kanak adalah harus membuatnya dan memanfaatkannya berdasarkan tidak ada tegahan daripada Rasulullah SAW ketika melihatnya. Begitu juga patung atau lukisan yang dibuat bagi tujuan pendidikan atau pembelajaran, adalah harus hukumnya berdasarkan keperluan.

Di dalam kaedah fiqhiyyah ada menyatakan yang ertinya : Hajat (keperluan) itu menempati kedudukan darurat sama ada hajat yang bersifat umum ataupun khusus.”

Memanafaatkan patung dan lukisan yang bernyawa

Hukum memanfaatkan patung dan lukisan yang bernyawa termasuk juga ukiran, tenunan dan sebagainya sekalipun ia tidak ada bandingannya seperti kedua bersayap atau burung berkepala manusia. Jika patung atau lukisan bernyawa itu lengkap dengan anggota yang tidak boleh ia hidup tanpanya:

1. Jika diletakkan di tempat yang mulia (yang tidak menghinakannya) seperti digantung, diletak di tempat-tempat tinggi, di dinding, di pakaian dan seumpamanya, hukumnya adalah haram.

Diriwayatkan daripada Aisyah r.a. berkata yang maksudnya, Sewaktu Rasulullah SAW (tiba di rumah) daripada suatu pelayaran, pada ketika itu aku telah memasang tabir pada pintuku tabir bulu yang ada padanya gambar kuda yang mempunyai beberapa sayap, maka Baginda memerintahkanku (agar aku menanggalkannya) lalu aku pun menanggalkannya (daripada pintu itu).” (Hadis riwayat Muslim)

2. Jika diletakkan di tempat yang menghinakannya seperti digunakan sebagai hamparan yang dipijak-pijak atau menjadi hina dengan penggunaannya seperti bantal, sandaran (penyandar), matawang yang menjadi pertukaran di dalam jual beli dan yang seumpamanya hukumnya adalah harus. (Lihat Nihayah Al-Muhtaj 6/379).

Diriwayatkan daripada Aisyah r.a. yang maksudnya, Sewaktu Rasulullah SAW (tiba di rumah) daripada suatu pelayaran; aku telah memasang tabir rak tempat penaruhan barang-barang dengan tabir nipis yang ada padanya gambar-gambar (lukisan-lukisan yang bernyawa). Maka apabila saja Rasulullah SAW melihatnya, Baginda menanggalkannya lalu bersabda: Manusia yang paling berat seksaannya pada Hari Kiamat ialah mereka yang menjadikan sesuatu yang menyamai/menyerupai dengan makhluk Allah.” Aisyah berkata (ekoran daripada peristiwa itu: Maka kami jadikan (kain tersebut) untuk dijadikan sebiji bantal atau dua biji bantal.”” (Hadis riwayat Bukhari)

Dalam perkara ini juga, Imam An-Nawawi ada berkata di dalam Kitab Syarh Shahih Muslim: Adapun penggunaan lukisan binatang, maka jika lukisan itu digantungkan di dinding atau lukisan itu pada pakaian yang dipakai atau serban dan seumpamanya yang tidak dianggap hina maka ia adalah haram. Jika ia terletak di hamparan yang dipijak, di bantal tidur, di kusyen sandar dan seumpamanya yang dianggap hina, maka tidaklah ia haram. Akan tetapi adakah (perkara yang sedemikian) itu menegah Malaikat Rahmat masuk ke rumah itu. Tidak ada perbezaan dalam perkara ini semuanya di antara lukisan yang mempunyai bayang (patung) atau yang tidak mempunyai bayang (lukisan, tenunan, lakaran, ukiran dan sebagainya). Ini adalah ringkasan mazhab kita (Asy-Syafi’e) dalam masalah ini. Inilah juga pendapat jumhur ulama daripada kalangan para sahabat, tabi’in dan orang-orang yang sesudah mereka, iaitu mazhab Ats-Tsauri, Malik, Abu Hanifah dan selain daripada mereka.” (Lihat Syarh Shahih Muslim 734)

Kesimpulan

Zaman kini agak sukar dibezakan antara patung (al-Tamathil) yang dibenarkan atau dilarang kerana ia kini diperbuat dari pelbagai bahan-bahan yang berbeza dengan zaman Rasulullah SAW. Ada patung dari aloi logam, bahan gentian plastik, kaca dan sebagainya. Maka langkah terbaik dan selamat ialah tidak menyimpan patung-patung tersebut sama ada di dalam rumah, pejabat, kereta atau di mana-mana sekalipun kerana ditakuti ia menjebakkan kita di dalam perbuatan haram dan syirik tanpa sedar, jika terdapat unsur atau bertujuan penyembahan dan pengagungan.

Wallahu‘alam.




Rujuk :

0 KOMEN:

Catat Ulasan

Kongsikan komen anda di sini...

Related Posts with Thumbnails