“YA ALLAH, AKU BERLiNÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA PERASAAN SEÐiH ÐAN ÐUKACiTA, AKU BERLINÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA LEMAH ÐAN MALAS, AKU BERLiNÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA BAHKiL ÐAN PENAKUT ÐAN AKU BERLiNÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA BEBAN HUTANG ÐAN TEKANAN PERASAAN.”


“YA ALLAH, BUKAKANLAH UNTUKKU PiNTU-PiNTU KEBAiKAN, PiNTU-PiNTU KESELAMATAN, PiNTU-PiNTU KESiHATAN, PiNTU-PiNTU KENiKMATAN, PiNTU-PiNTU KEBERKATAN, PiNTU-PiNTU KEKUATAN, PiNTU-PiNTU CiNTA SEJATi, PiNTU-PiNTU KASiH SAYANG, PiNTU-PiNTU REZEKi, PiNTU-PiNTU iLMU, PiNTU-PiNTU KEAMPUNAN ÐAN PiNTU-PiNTU SYURGA, YA ALLAH YANG MAHA PENGASiH LAGi MAHA PENYAYANG.”


Isnin, Mei 10, 2010

Kasih sayang pulihkan skizofrenia


ANTARA ciri-ciri umum skizofrenia ialah pesakit mungkin bertingkah laku yang pelik, luar biasa dan suka menyendiri.

RAI MAN berusia 30 tahun dan masih bujang. Dia menyewa sebuah pangsapuri di sekitar ibu kota. Sebelum memegang jawatan eksekutif di sebuah bank, dia pernah beberapa kali bekerja di tempat lain.

Ibunya seorang janda dan tinggal bersama anak sulungnya yang sudah berkahwin. Bapa Rai Man meninggal dunia sejak dia berumur 18 tahun. Hubungan Rai Man dengan bapanya amat renggang dan mereka jarang berkomunikasi dalam suasana yang mesra.

Mengikut kalendar Cina, Rai Man dilahirkan pada tahun naga - dipercayai membawa sial kepada bapanya. Sejak kelahirannya, bapanya mengidap penyakit paru-paru dan menghadapi kesukaran untuk menyara kehidupan seisi keluarga. Malang tak berbau, si bapa mengalami kemalangan jalan raya yang menyebabkan kakinya patah. Dalam keadaan yang melarat, si ibu terpaksa membantu menjaga anak orang lain untuk menampung rezeki. Sejak kecil, Rai Man tidak pernah menikmati perasaan kasih sayang daripada bapanya. Dia amat mendahagakan belaian dan manja daripada bapanya namun hasrat itu hanya tinggal impian.

Sejak bapanya meninggal dunia, hubungan seisi keluarga menjadi renggang. Rai Man jarang meluahkan perasaan kepada sesiapa. Kebelakangan ini, Rai Man menjadi amat tidak bermaya untuk bekerja. Dia sentiasa memberitahu kawan sekeliling bahawa ada orang ingin meragut nyawanya. Ketika di rumah atau di pejabat, Rai Man suka bersendirian dan bercakap seorang diri. Rakan sejawat serta ahli keluarga mula mengesan perbezaaan yang ketara dalam tingkah lakunya. Mereka berasa hairan mengapa Rai Man berkelakuan aneh dan seolah-olah hidup dalam fantasi.

Rai Man tidak datang ke pejabat selama tujuh hari berturut-turut tanpa memaklumkan majikannya. Ibu dan ahli keluarga yang bimbang dengan perkembangan itu mendampingi Rai Man untuk mengetahui masalah sebenar pemuda itu. Menurut Rai Man, kebelakangan ini dia diekori seseorang dengan tujuan merompak dan membunuhnya. Ketika mencurahkan perasaan hati, air mukanya cemas dan badannya menggeletar. Ibunya turut menangis teresak-esak dan berasa amat khuatir dengan keadaan anak yang tidak stabil. Ahli keluarga berasa hairan setelah melihat Rai Man cuba menyorok diri di belakang tirai kononnya si penjahat yang ingin membunuhnya ada di sebelah rumah.

Halusinasi

Pada tahap tersebut, dia mengalami tanda dramatik seperti melihat dan mendengar sesuatu yang tidak dilihat atau didengar oleh orang lain. Keadaan ini dinamakan sebagai halusinasi atau hallucination. Dia juga mempunyai kepercayaan yang tidak realistik jika dibanding dengan norma masyarakat. Contohnya menurut Rai Man, ketika dikejar oleh kumpulan pengganas, menutup mata dengan tapak tangan dan menyorok di belakang tirai kononnya boleh menyelamatkan nyawa. Keadaan ini digelar delusi atau delusion. Seisi keluarga amat bimbang dengan keadaan Rai Man dan mengajaknya tinggal bersama dengan mereka.

Dia hanya tidur lena selama tiga atau empat jam dan menimbulkan gangguan emosi kepada ahli keluarga yang lain. Pada suatu hari, Rai Man memberitahu ahli keluarga bahawa dia ingin keluar sebentar untuk membeli barangan. Namun, selepas beberapa jam dia masih tidak pulang. Selepas puas mencari, rupa-rupanya dia merayau di sepanjang jalan raya, seolah-olah tidak ada apa yang berlaku.

Kenapa Rai Man berkelakuan sedemikian? Adakah dia terlalu letih dan tertekan dengan kerjayanya sehingga mengalami tekanan emosi yang serius? Mungkinkah peninggalan bapanya sejak remaja meninggalkan kesan negatif yang begitu mendalam? Ataupun hubungan keluarga yang kurang baik melahirkan ketidakstabilan emosi sejak kecil?

Hakikatnya punca sebenar skizofrenia sukar diperolehi. Menerusi kisah benar ini, Pensyarah Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, Universiti Monash Sunway, Dr. Tam Cai Lian berkongsi maklumat tentang skizofrenia.

Ciri-ciri umum skizofrenia

Melalui gabungan kisah Rai Man dengan tanda-tanda umum, didapati pada keseluruhannya, pengidap penyakit ini menunjukkan ciri-ciri seperti berikut:
  • Menunjukkan tingkah laku yang pelik dan luar biasa.
  • Suka bercakap dan ketawa bersendirian.
  • Tidak mengambil berat tentang rupa paras dan kesihatan diri.
  • Tidak kisah pandangan orang lain terhadap tingkah lakunya.
  • Pertuturannya sukar difahami dan seolah-olah menggunakan bahasa yang hanya difahami dirinya.
  • Sentiasa mempunyai anggapan palsu bahawa wujudnya orang lain yang mengekori, ingin mencedera, mengawal ataupun membunuhnya.
  • Sentiasa melakukan kesalahan, tidak dapat menumpukan perhatian terhadap kerjaya dan hilang keyakinan.
  • Suka berkeliaran dan kadang kala menghilangkan diri tanpa memaklumkan kepada ahli keluarga.
  • Suka bangun dengan kekerapan yang tinggi ketika tidur dan menghadapi masalah untuk tidur lena.

Cadangan rawatan yang berkesan
  • Rawatan berterusan iaitu melalui pengambilan tablet dan suntikan untuk beberapa tahun ataupun seumur hidup bagi kes yang serius.
  • Menjalani rawatan terapi elektrokonkulsif untuk kes yang serius.
  • Mengisikan masa untuk aktiviti seperti kerja dan belajar agar tidak mempunyai banyak masa lapang untuk memikirkan yang bukan-bukan.
  • Harus menerima kasih sayang dan sokongan moral daripada ahli keluarga dan rakan-rakan.
  • Menerima rawatan pakar yang terlatih.
  • Sentiasa meluahkan perasaan hati dengan mereka yang mesra dan sudi mendengar.

Sumber : Rabiatul Adawiyah Koh Abdullah [adawiyah.koh@utusan.com.my] di Utusan 25/04/2010




Capaian entry berkaitan :
  1. Tekanan punca bunuh diri
  2. Psikosis penyakit kronik
  3. Penyakit Gila atau Skizofrenia boleh dirawat
  4. Hargai nyawa dan menangani konflik jiwa
  5. 30:100,000 rakyat bunuh diri setiap tahun
  6. Apabila lelaki guna 'kuasa'

0 KOMEN:

Catat Ulasan

Kongsikan komen anda di sini...

Related Posts with Thumbnails