Assalamualaikum warahmatullah,
Hampir tidak pernah saya menulis komen di Laman Seri tentang cerekarama yang saya tonton di kaca televisyen... Pernahkah? Selalunya, agak sukar untuk saya memberi tumpuan kepada drama atau cerekarama yang ditayangkan [NB: Akibat gangguan ‘askar-askar’ yang masih kecil], namun slot cerekarama kali ini bertajuk ‘Sebelum Akhirat’ yang disiarkan TV3 Sabtu (15/05/2010) lepas pada jam 10 malam berjaya menarik perhatian saya dan ‘askar-askar’ juga terpaku lama di depan kaca televisyen. ‘Sebelum Akhirat’ adalah sebuah cerita yang yang menarik dan memang cukup memberikan pengajaran yang berat yang boleh dijadikan iktibar kepada kita semua, terutamanya sebelum kita dijemput Ilahi.
Sinopsis cerita
Kematian adalah saat yang paling digeruni semua manusia. Setiap benda yang hidup di dunia ini akan melalui kematian, justeru persediaan menantikan saat itu harus dilakukan. Ia ini mengisahkan Mubarak yang sedang terlantar menantikan saat kematian. Di sekelilingnya orang ramai sedang membacakan yasin, namun Mubarak sentiasa mendengarkan tangisan bayi, perempuan sedang menangis, ketawa dan bermacam-macam suara aneh lagi.
Mubarak yang ada kalanya menitiskan air mata apabila suara aneh itu hilang sentiasa terbayangkan kisah lampau yang pernah dilakukannya. Dia begitu teringin untuk kembali sihat seperti dulu kala dan menginsafi segala perkara buruk yang pernah dilakukan. Hidupnya sebelum ini sering mengabaikan tanggungjawab sebagai seorang Islam, solat lima waktu ditinggalkan, menjalankan kerja haram dengan meminjamkan duit kepada orang ramai dan mengenakan bunga yang tinggi. Mubarak juga sering menjual wanita cantik kepada golongan korporat untuk mendapatkan bayaran yang tinggi dan apabila wanita itu mengandung, dia akan membawa wanita itu untuk digugurkan. Walaupun Mubarak mendapatkan duit dengan kerja haramnya, namun dia tetap mempunyai niat baik untuk menghantar ibu bapanya ke Makkah, namun ibu dan bapanya menolak kerana mengetahui duit itu adalah duit haram.
Mubarak berkenalan dengan gadis kampung bernama Norida namun tidak berniat untuk mengahwininya malah Mubarak mengambil kesempatan terhadapnya sehingga mereka terlanjur. Selepas beberapa tahun dipenjarakan disebabkan berniat membunuh Norida, Mubarak akhirnya dibebaskan dan menyesali segala kejadian lampau dan pulang ke kampung untuk memulakan penghidupan baru, namun ibu dan bapanya tidak menerimanya. Sehinggalah Mubarak terlantar kesakitan dan tidak lagu mampu untuk berdiri. Kakinya sentiasa mengeluarkan nanah dan membengkak. Sebelum menghembuskan nafas terakhirnya, Mubarak sempat meminta ampun dan maaf daripada ibu dan bapanya.
‘Sebelum Akhirat’ dilakonkan oleh Fauzi Nawawi, Lisdawati, Yalal Chin, Maimon Talib, Hisyam Ahmad Tajudin dan ramai lagi diterbitkan Enuja Production Sdn Bhd dan diarahkan Murali Abdullah. Atas kesempatan ini, saya merakamkan ucapan syabas dan tahniah kepada Pengarah Murali Abdullah yang menampilkan cerekarama bermutu serta. Tahniah dan syabas juga untuk TV3 semoga terus menyajikan drama dan cerekarama yang bermutu dan boleh membawa rakyat terus menjadi pemikir yang baik.
Bertaubatlah sebelum datangnya 3 perkara
Kisah Mubarak ini mengingatkan saya kepada entry Qarin a.k.a. pendamping manusia dan Iblis Datang Mengganggu Ketika Sakaratul Maut. Bisikan yang mengganggu Mubarak ini saya terjemahkannya kepada gangguan ‘qarin’ kerana setiap manusia yang lahir disertakan ‘qarin’ oleh Allah yang bertugas sebagai seseorang itu sejak seseorang itu lahir hinggalah saat kematiannya. Lihatlah betapa hebat dahsyatnya gangguan syaitan dan Iblis yang berdendam dengan keturunan Adam, bersumpah akan sentiasa mengganggu manusia, bermula dengan memperdayakan manusia dari terjadinya dengan setitik mani hinggalah ke akhir hayat mereka, dan yang paling dahsyat ialah sewaktu akhir hayat iaitu ketika sakaratul maut. Semoga kita terpelihara daripada tipu-daya golongan ini.
Hari ini saya kongsikan sedikit yang saya petik daripada sumber NasbunNuraini.
Allah SWT berfirman yang bermaksud, “Dan sesiapa yang melakukan kejahatan atau menganiaya dirinya sendiri (dengan melakukan maksiat) kemudian dia memohon ampun kepada Allah, nescaya dia akan mendapati Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.” (Surah an-Nisaa: 110)
1. Bertaubatlah selagi nyawa dikandung badan dan belum sampai ke halkum.
Sabda Rasulullah SAW, “Bahawasanya Allah yang Maha Mulia lagi Maha Besar menerima ia akan taubat hamba selama belum sampai rohnya kepada halkumnya.” (Hadis riwayat at-Tirmidzi)
Taubat Firaun tidak diterima kerana nyawanya sudah sampai ke halkum pada masa itu, lalu Malaikat Jibril menyumbat mulutnya dengan pasir : Dari Sa’id bin Jubeir dari Ibnu ‘Abbas radhiya’l-lahu ‘anhuma meriwayatkan: “Dua orang sahabat menghadap Rasulullah (menanyakan tentang Fir’aun). Sabda Rasulullah SAW : “Malaikat Jibril menyumbat mulut Fir’aun dengan pasir, khuatir kalau-kalau akan mengucapkan: ‘La ‘ilaha illa’l-lah.’” (Shahih, HR. Tirmidzi, HR Abu Hurairah r.a.)
2. Bertaubatlah sebelum matahari terbit dari sebelah barat.
“Siapa yang bertaubat sebelum terbit matahari dari arah barat, nescaya Allah terima taubatnya.” (Hadis riwayat Muslim]
“Sesungguhnya Allah membentangkan tangan-Nya (rahmatnya) di malam hari untuk menerima taubat orang-orang yang bebuat dosa di siang hari, dan membentangkan tangan-Nya (rahmatnya) di siang hari untuk menerima taubat orang yang berbuat dosa di malam hari, sampai matahari terbit dari arah barat.” (Hadis riwayat Muslim)
Rasulullah SAW bersabda : Hari Kiamat tidak akan terjadi sebelum matahari terbit dari barat.
3. Bertaubatlah sebelum al-Quran dihilangkan.
Selagi al-Quran masih ada selagi itu diampunkan dosa kita. Pintu taubat masih terbuka selagi ayat-ayat quran yang dihafal belum dihilangkan dari dada orang Islam. Abdulllah bin Mas’ud berkata, “Sungguh, kelak al-Quran akan dicabut dari dada kamu, dalam satu malam, dihilangkan dari hafalan semua orang, sehingga di bumi ini tidak tersisa lagi sedikitpun.” (Hadis riwayat Thabrani)
Quran akan diangkat secara sekaligus ke langit di waktu malam dan bunyinya sewaktu peristiwa itu berlaku seperti bunyi deruan lebah (bunyi ayat-ayat diangkat itu seperti bunyi lebah). Pada masa itu mereka ini akan terasa seperti ‘ada benda’ yang pernah mereka baca tapi mereka tidak mampu membacanya lagi kerana semuanya sudah hilang dari ingatan. Lalu mereka bersyair sepertimana kebiasaan Arab Jahiliyyah dahulu. Jika semua ini berlaku, ini bermakna kiamat sudah tersangat dekat.
Mari kita sama-sama renung-renungkan!
The world owes you nothing. It was here first. ~ Mark Twain
Capaian entry berkaitan :
ada jugak tengok cerita tuh... ajal nak sampai baru nak bertaubat... sudah terlambat..
BalasPadam