Soal Jawab Agama: Bersama Ustaz Zamanuddin Jusoh, di BH 23/07/2010
Peniaga perlu jujur ketika membuat urusan perniagaan, elak amalan menindas pengguna
SOALAN :
SAYA sudah lama berkecimpung dalam bidang perniagaan, jadi saya membeli barangan dalam kuantiti yang banyak sehingga kadang-kadang dapat menampung keperluan setahun. Apabila tiba saat kenaikan harga, maka saya akan mendapat keuntungan lebih.
Apakah wajar saya menaikkan harga mengikut pasaran semasa dan apakah stok simpanan dikira sebagai perbuatan menyorok barangan yang saya tahu salah di sisi Islam. Harap dapat penerangan.
Ahmad Munir, Kangar, Perlis.
JAWAPAN :
Agama Islam menghalalkan jual beli selama mana tiada berunsur tekanan dan paksaan terhadap pihak lain. Kedua-dua pihak iaitu penjual dan pembeli hendaklah saling reda meredai antara satu sama lain dalam melakukan muamalat jual beli.
Namun demikian, ada sesetengah peniaga cuba untuk menangguk di air keruh bagi mengaut keuntungan lebih dengan menyimpan bagi tempoh masa tertentu dan menjualkannya pada saat kenaikan harga seperti sekarang.
Ulama bersepakat menyatakan perbuatan menyorok barang untuk dijual ketika harga mahal adalah perkara diharamkan Islam kerana menyakiti dan menindas pengguna. Ia bertujuan menekan mereka yang berhajat pada ketika itu dan tiada pilihan kecuali membeli pada harga ditetapkan. Malah dapat pula mempermainkan harga barangan.
Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Tidaklah menyorokkan barang bagi seseorang sehingga waktu mahal itu sedangkan ia ditegah.” (Hadis riwayat Muslim dan Tirmiz dari Amr Bin Fadzlah)
Berdasarkan hadis itu, ulama menetapkan hukum diharamkan perbuatan menyorok barang jualan dengan dua syarat iaitu dilakukan di negara penduduknya akan menderita disebabkan adanya komplot itu dan menaikkan harga sehingga menimbulkan kesusahan pengguna semata-mata ingin memperoleh keuntungan berlipat ganda.
Saidina Umar pernah menyebut: “Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: Sesiapa yang menyorokkan makanan kaum Muslimin, nescaya Allah akan membalas perbuatannya dengan kemuflisan dan penyakit kusta.” (Hadis riwayat Ahmad)
Apa dilakukan saudara tidak termasuk dalam perkara yang dibincangkan kerana saudara menjual secara berterusan tanpa menunggu masa kenaikan harga barang. Sebenarnya saudara sudah mendapat keuntungan jika meletakkan pada harga berpatutan tanpa mengikut harga semasa kerana membeli dengan harga lama dan mendapat banyak potongan membeli dalam kuantiti banyak.
Diharap saudara dapat pertimbangkan mengikut keperluan semasa dan perikemanusiaan. Hikmah atau falsafah kepada pengharaman ialah untuk menolak kemudaratan ditanggung satu pihak sedangkan pihak lain mengaut keuntungan di atas kesusahan orang lain.
Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Seburuk-buruk hamba adalah mereka yang menyorok barangan, jika ia mendengar harga murah ia murka, dan jika barang menjadi mahal ia bergembira.” (Hadis riwayat Ibnu Majah dan Hakim)
Peniaga sorok barang keperluan dilaknat, zalim
Tindakan monopoli pasaran untuk kaut untung menyusahkan pengguna, jejas ekonomi. SEJAK beberapa tahun kebelakangan ini, krisis kekurangan bahan keperluan seharian sering berlaku terutama menjelang perayaan.
Begitu juga didapati kekurangan bekalan gula semakin menjadi-jadi ketika ini, meskipun kerajaan melaksanakan pelbagai usaha mengatasinya. Terbaru, lesen pemborong akan ditarik bagi peruncit gula yang tinggal di kawasan lingkungan 10 kilometer berhampiran sempadan negara.
Langkah ini bagi menyekat penyeludupan gula ke sempadan negara kerana harga guna di negara jiran lebih tinggi berbanding Malaysia. Segala kesempatan yang ada untuk mengaut keuntungan dengan cara yang merugikan negara haruslah dijauhi dan dihindari. Hampirnya Ramadan tidak berapa lama lagi antara faktor utama aktiviti menyorok gula di kalangan pemborong tempatan yang jauh dari daerah persempadanan berulang lagi.
Peniaga mengambil kesempatan dengan menyorok gula agar harga keperluan ini melambung tinggi dalam pasaran. Mungkin tidak ramai yang tahu tindakan ini dilarang Rasulullah SAW dalam sabdanya: “Siapa yang menyorok barang keperluan, dia seorang yang berbuat maksiat.” (Riwayat Muslim)
Perbuatan menyorok barang dalam bahasa Arab ialah ihtikar iaitu perbuatan memonopoli barangan secara individu bagi meningkatkan harga di pasaran. Menurut Islam, perbuatan ini adalah kezaliman yang dilakukan peniaga kepada pembeli dengan menggandakan harga barangan bagi mengaut keuntungan lebih.
Banyak hadis yang melarang dilakukan perkara seperti ini sama ada oleh golongan peniaga di kalangan orang awam hingga kepada peringkat pemerintah dan kerajaan.
Perbuatan seperti ini akan menyusahkan semua lapisan masyarakat. Sebuah hadis diriwayatkan Ibn Majah dan al-Hakim daripada Ibn Umar bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Usahawan diberi rezeki dan orang yang menyorok barang dilaknat.”
Dalam hadis berkenaan jelas menunjukkan usahawan yang mencari pendapatan dengan konsep memudahkan masyarakat pasti akan dipermudahkan rezeki mereka Allah. Berbanding dengan pihak yang menyimpan barang atau memonopoli suatu perniagaan mencari keuntungan dengan kesusahan orang lain pasti akan dimarahi dan dibenci masyarakat.
Ulama fekah menetapkan syarat mengenai pengharaman barangan keperluan ini seperti berikut:
- Barangan yang disorok itu perlu 'lebihan' keperluan peribadinya dalam tempoh setahun. Sekiranya dia menyimpan barangan itu sebagai keperluan dirinya sepanjang tempoh setahun sebagai bekalan peribadi, ia tidak dikira sebagai ihtikar.
- Individu berkenaan menunggu masa untuk harga dinaikkan dan ketika itu baru menjualkan kepada umum.
- Barangan yang disorok adalah keperluan masyarakat setempat pada setiap masa, misalnya makanan asas seperti beras, tepung, gula dan sebagainya.
Jika perbuatan itu tidak menepati syarat berkenaan, penyimpanan barangan itu tidak dianggap ihtikar atau menyorok barangan untuk memanipulasinya. Perbuatan buruk seperti ini sebaiknya harus dihindari peniaga kerana menyusahkan masyarakat dan juga diri sendiri apabila perbuatan mereka diambil tindakan dan menerima balasan buruk di akhirat kelak.
Khalifah Umar halang sembunyi makanan
KISAH yang petik daripada kitab Musnad oleh Imam Ahmad Hambal mengenai kisah Farrukh pembantu Utsman. Imam Ahmad mencatatkan mengenai Khalifah Umar al-Khattab ketika menuju ke masjid melihat lambakan makanan. Beliau bertanya: “Makanan apakah ini?” Mereka di situ menjawab: “Makanan yang kami usahakan.” Beliau berkata: “Semoga Allah memberkatinya dan mereka yang mengusahakannya.”
Namun, sebahagian mereka berkata: “Wahai Amir al-Mukminin, semua makanan ini akan disorok.” Beliau bertanya, “siapakah yang menyoroknya?” Mereka memberitahunya bahawa Farrukh pembantu Utsman dan si fulan pembantu Umar.
Beliau yang mengetahui hal itu terus menghantar orang agar memanggil mereka bertemunya. Beliau bertanya: “Apakah yang membuatkan kamu menyorok makanan kaum Muslimin?” Mereka menjawab: “Wahai Amir al-Mukminin, kami membeli dengan wang kami dan ingin menjualnya.” Jawab Umar: “Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda, “Sesiapa yang menyorokkan makanan kaum Muslimin, nescaya Allah akan membalas perbuatannya dengan kemuflisan dan penyakit kusta.””
Mendengar kenyataan Umar itu, Farrukh segera berkata, “Aku berjanji demi Allah dan di depan engkau, aku tidak akan menyentuh makanan itu sampai bila-bila.” Manakala, pembantu Umar masih menjawab: “Kami membeli dengan wang kami dan ingin menjualnya.” Abu Yahya yang meriwayatkan hadis itu menceritakan: “Akhirnya, aku sendiri melihat pembantu Umar itu menghidap penyakit kusta di akhir umurnya.”
Sumber : BH18/08/2009
0 KOMEN:
Catat Ulasan
Kongsikan komen anda di sini...