“YA ALLAH, AKU BERLiNÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA PERASAAN SEÐiH ÐAN ÐUKACiTA, AKU BERLINÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA LEMAH ÐAN MALAS, AKU BERLiNÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA BAHKiL ÐAN PENAKUT ÐAN AKU BERLiNÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA BEBAN HUTANG ÐAN TEKANAN PERASAAN.”


“YA ALLAH, BUKAKANLAH UNTUKKU PiNTU-PiNTU KEBAiKAN, PiNTU-PiNTU KESELAMATAN, PiNTU-PiNTU KESiHATAN, PiNTU-PiNTU KENiKMATAN, PiNTU-PiNTU KEBERKATAN, PiNTU-PiNTU KEKUATAN, PiNTU-PiNTU CiNTA SEJATi, PiNTU-PiNTU KASiH SAYANG, PiNTU-PiNTU REZEKi, PiNTU-PiNTU iLMU, PiNTU-PiNTU KEAMPUNAN ÐAN PiNTU-PiNTU SYURGA, YA ALLAH YANG MAHA PENGASiH LAGi MAHA PENYAYANG.”


Khamis, Julai 22, 2010

Mengikis 'jahiliah' terhadap wanita

Islam tidak mendiskriminasi wanita sebaliknya mereka mempunyai peluang yang sama dengan lelaki termasuk dalam bidang pelajaran. ~ Gambar hiasan

Assalamualaikum warahmatullah,

SEBELUM Islam datang dan disebarkan oleh Rasulullah SAW, kehidupan atau hubungan sosiolisasi manusia tidak seimbang. Sejarah tamadun dunia mencatatkan wujudnya penindasan kaum lelaki terhadap kaum wanita melalui anggapan negatif dan diskriminasi yang menebal dalam kehidupan sosial, budaya dan agama masyarakat ketika itu.

Zaman jahiliah menggambarkan zaman kejatuhan masyarakat Arab, Yahudi, dan penganut agama yang lain sesudahnya. Wanita pernah dianggap sebagai hamba dan harta yang tidak menguntungkan.

Kedudukan wanita tidak terbela dan tidak diberi perlindungan yang sewajarnya. Nilai dan maruah wanita adalah rendah apabila bayi-bayi perempuan yang baru dilahirkan ditanam hidup-hidup demi mengelakkan daripada sebuah keluarga itu mendapat malu dan kepapaan di kemudian hari.

Sejarah ini dinyatakan menerusi firman Allah SWT yang bermaksud, “Dan apabila dikhabarkan kepada seseorang dari mereka bahawa ia beroleh anak perempuan, muramlah mukanya sepanjang hari (kerana menanggung dukacita), sedang ia menahan perasaan marahnya dalam hati. Ia bersembunyi dari orang ramai kerana (merasa malu disebabkan) berita buruk yang disampaikan kepadanya (tentang ia beroleh anak perempuan; sambil ia berfikir): Adakah ia akan memelihara anak itu dalam keadaan yang hina, atau ia akan menanamnya hidup-hidup dalam tanah? Ketahuilah! Sungguh jahat apa yang mereka hukumkan itu.” (Surah al-Nahl: 58)

Masyarakat Jahiliah Arab pada ketika itu tidak mempunyai batas-batas ketentuan tentang keutamaan budi, moral, atau agama. Tidak ada aturan tentang soal perkahwinan dan penceraian. Mereka bebas melakukan apa sahaja mengikut kebiasaan yang dilakukan oleh undang-undang dan adat masyarakat. Penceraian adalah salah satu cara untuk menyeksa wanita. Contohnya, isteri yang kematian suaminya dipaksa tinggal di bilik kurungan dan dilarang menyentuh sesuatu, tidak boleh memakai harum-haruman sebelum satu tahun dan tidak menerima harta warisan.

Kedatangan Islam mengubah fenomena ini dan mengikis sosiobudaya Jahiliah yang jelas menzalimi kaum wanita. Intipati ajaran Islam dalam soal ini antara lain: penyamaan taraf wanita sebagai manusia, penyamaan taraf dari segi seks dan, sikap menghormati wanita dan larangan keras mengambil sikap prejudis terhadap mereka. (Rahimin Affandi: Persoalan Gender di dalam Perundangan Islam: 2)

Al-Quran telah menentukan kedudukan yang sewajarnya bagi wanita dan menjamin hak-hak mereka supaya tidak disalahertikan oleh kaum lain. Apa yang membezakan antara sesama manusia ialah ketakwaan kepada Allah SWT. Firman Allah SWT yang bermaksud, “Maka Tuhan mereka perkenankan doa mereka (dengan firman-Nya): “Sesungguhnya Aku tidak akan sia-siakan amal orang-orang yang beramal dari kalangan kamu, sama ada lelaki atau perempuan, (kerana) setengah kamu (adalah keturunan) dari setengahnya yang lain.””

Bicara Sunnah kali ini akan mengupas dan menolak kepercayaan masyarakat Jahiliah bahawa wanita adalah punca ketidakberuntungan bagi lelaki. Ini kerana tanpa memahami maksud hadis dengan pemahaman yang sebenar akan mengakibatkan sikap berbelah bagi (ambivalen) terhadap maksud sabda baginda SAW.

Sumber Hadis

Al-Imam al-Bukhari mengeluarkan sebuah hadis dalam kitab sahihnya dengan sanad dan matan sebagaimana berikut: Telah berkata Abu al-Yaman telah memberitahu kami, Shuayb memberitahu kami dari al-Zuhri telah berkata: Salim ibn Abdullah memberitahuku bahawa Abdullah ibn Umar berkata: Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya sumber ketidakberuntungan itu disebabkan tiga hal iaitu kuda, wanita dan rumah.” (Hadis al-Bukhari, Sahih al-Bukhari, Kitab al-Jihad wa al-Siyar, Bab Ma Yuzkar Min Shu'm al-Mar'ah, hadis 2703, jil 3 hlm. 1049).

Analisis Sanad


Dari segi riwayat para perawi hadis yang dikemukakan oleh al-Imam al-Bukhari di atas seperti Abu al-Yaman al-Hakam, Shuayb, al-Zuhri, Salim dan Ibn Umar adalah thiqah dan terjamin keaslian mereka dalam meriwayatkan hadis Rasulullah SAW. (Ibn Hajar: Taqrib al-Tahzib).

Justeru sanad hadis di atas dihukum sebagai sahih.

Selain al-Imam al-Bukhari, hadis di atas turut dikeluarkan oleh beberapa pengeluar hadis (mukharrij) seperti al-Imam Muslim, Abu Dawud, al-Tirmidhi, Ibn Majah, al-Nasa'i , Malik, dan Ahmad.

Analisis Teks hadis (Matn al-Hadith) dan Pemahamannya

Matan hadis di atas walaupun datang dengan kepelbagaian bentuk riwayat oleh para perawi dan mukharrij hadis, namun ia tetap menunjukkan atau mempunyai persamaan dengan setiap matan hadis Rasulullah SAW.

Pengertian hadis secara tekstual menunjukkan tidak berlaku pertentangan dengan al-Quran, al-Sunnah dan hujah akal. Sebabnya, hadis ini menerangkan amalan praktik masyarakat jahiliah yang suka bertenung nasib dengan menggunakan kuda, wanita dan rumah. Perbezaan matan hadis tentang al-syu'm tidak merubah maksud dan tujuan hadis.

Dalam riwayat Ibn Umar yang lain Baginda SAW ada bersabda: “Jika seandainya wujud ketidakberuntungan maka kebarangkaliannya adalah disebabkan wanita, tunggangan dan rumah.” (al-Bukhari, Sahih al-Bukhari)

Justeru tidak ada ruang untuk memahami bahawa ketiga-tiga hal di atas sebagai penyebab utama ketidakberuntungan secara mutlak. Baginda SAW menikahi para wanita, mendirikan rumah sebagai tempat tinggal dan menunggang tunggangan ketika keluar bermusafir.

Dakwaan bahawa wanita merupakan penyebab mutlak ketidakberuntungan tertolak oleh hadis yang diriwayatkan oleh al-Imam al-Hakim dalam kitab al-Mustadraknya, “...Di antara kebahagiaan seseorang ialah jiran yang soleh, tempat tinggal yang selesa dan tunggangan yang baik.” (al-Hakim: al-Mustadrak 4:184)

Ibn Hajar mengatakan Ibn al-Arabi berpendapat, penyebutan tiga hal pada hadis di atas hanyalah adat atau kebiasaan yang berlaku dan bukan penciptaan mereka sebagai pembawa kesialan.

Ibn Qutaybah mengatakan, kaum jahiliah suka membuat ramalan dan bertenung nasib. Hal sedemikian dilarang pada zaman Rasulullah SAW. Namun di kalangan orang jahiliah terdapat mereka yang enggan meninggalkan amalan khurafat tersebut sehingga tiga hal di atas masih wujud dalam kehidupan mereka untuk digunakan dalam amalan menenung nasib. (Ibn Hajar: Fath al-Bari 6: 61)

Tambahan Ibn Hajar, maksud daripada al-shu'm dalam hadis bukan berdasarkan tekstual zahirnya, tetapi maksudnya adalah kebarangkalian ketidaksesuaian ketiga-tiga hal tersebut pada seseorang.

Apabila dikatakan kesialan rumah maka ia bermaksud sempitnya rumah itu atau kejahatan jiran-jirannya. Kesialan perempuan bermaksud kerana ia tidak dapat memiliki anak atau lidahnya yang tajam menyakitkan hati dan keinginannya terhadap perkara-perkara yang meragukan dan tidak berfaedah.

Kesialan kuda bermakna ia tidak dapat digunakan dalam peperangan atau ketidaktaatannya atau berkemungkinan harganya yang mahal. Adapun kesialan pembantu adalah kejelekan akhlaknya dan kecuaiannya terhadap tanggungjawab yang diserahkan kepadanya. (Ibn Hajar: Fath al-Bari 6: 61)

Ketidakberuntungan atau sial kerana tiga hal di atas merupakan hikmah yang diberikan oleh Allah agar manusia melakukan perkara yang lebih baik.

Pendapat yang sama turut diketengahkan oleh Dr. Mohd Baltaji bahawa gambaran yang diceritakan oleh baginda SAW adalah berkenaan dengan perbuatan orang-orang jahiliah.

Justeru perkara-perkara jahiliah terdahulu telah dibatalkan, dan Islam tidak mengenal al-shu'm dan altatayyur. Seorang muslim mestilah bersih daripada perkara-perkara yang boleh merosakkan akidah terhadap Allah SWT. (Mohd Baltaji: Makanah al-mar'ah fi al-qur'an al-karim wa al-sunnah al-sahihah: 373).

Al-Sheikh Muhammad ibn Salih al-Uthaymin dalam fatwanya mengatakan, “…berkemungkinan sejumlah tempat tinggal, kenderaan, atau isteri dianggap mendatangkan sial atau ketidakberuntungan. Tersirat hikmah Allah SWT menjadikan kesialan itu berpunca dari tiga hal tersebut. Mungkin ia berupa bahaya atau tidak ada manfaat yang diperolehi daripadanya.”

Seandainya seseorang mengalami hal sedemikian maka hendaklah ia menyedari bahawa semuanya terjadi kerana takdir Allah SWT. Tambahan beliau, tasha'um adalah perasaan atau keyakinan akan ditimpa suatu musibah disebabkan oleh sesuatu hal yang dilihat, didengar, atau kerana waktu. Orang jahiliah beranggapan jika melangsungkan perkahwinan pada bulan Syawal maka mereka akan mendapat sial.

Menurut al-Uthaymin, tasha'um tidak dibolehkan kerana ia akan menumbuhkan sikap buruk sangka kepada Allah, akibatnya pelaku enggan melakukan hal-hal yang sebenarnya akan mendatangkan kebaikan baginya. Segala urusannya dibayangi oleh rasa bimbang dan hal ini hanya akan mendatangkan sikap was-was pada akhirnya menimbulkan penyakit jiwa. Justeru, Rasulullah SAW melarangnya. (al-Uthaymin: Majalah Fatwa: 10-11)

Nabi SAW menjelaskan, dalam Islam tiada sebarang perkara yang membawa ketidakberuntungan sama ada dalam bentuk tasha'um ataupun tafa'ul.

Baginda menggalakkan umatnya memberi nama dengan nama yang baik dan indah serta mengandungi makna kegembiraan, kerana ia akan melahirkan perasaan gembira, keredaan bagi yang mendengarnya. Islam sentiasa memberi amaran untuk merubah nama-nama yang tidak baik kepada nama yang baik.

Sebabnya, ia mempunyai kesan dari segi pendidikan yang sangat penting dalam membentuk keperibadian seorang muslim dan masyarakat muslim secara umum.




Sumber : Mohd. Norzi Nasir di Utusan 08/10/2009

0 KOMEN:

Catat Ulasan

Kongsikan komen anda di sini...

Related Posts with Thumbnails