“YA ALLAH, AKU BERLiNÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA PERASAAN SEÐiH ÐAN ÐUKACiTA, AKU BERLINÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA LEMAH ÐAN MALAS, AKU BERLiNÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA BAHKiL ÐAN PENAKUT ÐAN AKU BERLiNÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA BEBAN HUTANG ÐAN TEKANAN PERASAAN.”


“YA ALLAH, BUKAKANLAH UNTUKKU PiNTU-PiNTU KEBAiKAN, PiNTU-PiNTU KESELAMATAN, PiNTU-PiNTU KESiHATAN, PiNTU-PiNTU KENiKMATAN, PiNTU-PiNTU KEBERKATAN, PiNTU-PiNTU KEKUATAN, PiNTU-PiNTU CiNTA SEJATi, PiNTU-PiNTU KASiH SAYANG, PiNTU-PiNTU REZEKi, PiNTU-PiNTU iLMU, PiNTU-PiNTU KEAMPUNAN ÐAN PiNTU-PiNTU SYURGA, YA ALLAH YANG MAHA PENGASiH LAGi MAHA PENYAYANG.”


Rabu, Julai 28, 2010

Kenapa penentuan halal, haram diswastakan?


Assalamualaikum warahmatullah,

Susulan entry Kopitiam seluruh negara diragui, kita patut rasa bernasib baik kerana tercetusnya isu ini. Setelah diselidik sini situ sana sini, maka TERBONGKARLAH rahsia, iaitu sebahagian besar restoran kopitiam tidak mempunyai sijil halal, satu isu lain yang sangat besar bagi umat Islam di negara ini.

Jika isu kopitiam ini tidak timbul, saya pasti kita semua tidak tahu bahawa di negara ini soal halal haram produk dan premis makanan dilakukan oleh pihak swasta. Sekali lagi, pihak swasta menentukan halal dan haram sesebuah premis makanan di negara ini selain Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

Kopitiam yang tidak ada sijil halal sebenarnya tidak menjadi isu. Kalau pemilik kopitiam itu merasakan premis mereka belum layak untuk mendapat status halal, tidak perlulah ada pihak yang berteriak seolah-olah akan kebuluran tidak menjamah makanan atau minuman di kopitiam.

Tetapi yang menjadi isu apabila ada sesetengah restoran itu mendapat sijil daripada syarikat swasta yang mengeluarkan sijil halal. Loh... Bukan JAKIM sahaja yang berkuasa mengeluarkan sijil halal rupa-rupanya....

Saya percaya enam syarikat yang mengeluarkan sijil halal itu tidak muncul secara magic. Syarikat itu tentulah diberi kuasa oleh pihak tertentu [NB : Siapa tu??] untuk mengeluarkan sijil halal. Maka syarikat tersebut yang didakwa tidak teliti sebelum mengeluarkan sijil halal merupakan kesalahan yang telah dilakukan oleh pihak yang memberi kebenaran. Pihak berkenaan membiarkan syarikat-syarikat berkenaan layak menentukan taraf halal atau haram sesebuah premis dan produk makanan.

Persoalan yang memerlukan jawapan segera ialah kenapa pengeluaran sijil halal itu perlu diswastakan dan tidak dilakukan sendiri oleh Jakim? Memang Jakim juga mengeluarkan sijil halal tetapi pengusaha premis makanan ada pilihan untuk memilih Jakim atau syarikat swasta. Adakah Jakim tidak mampu kerana permohonan terlalu banyak sehingga hal-hal yang sensitif bagi orang Islam pun diswastakan?

Daripada senario yang tersurat, sebarang penswastaan atau memberi tugas kepada pihak swasta adalah untuk mendapatkan kecekapan yang lebih berbanding dibuat oleh agensi atau jabatan kerajaan.

Jadi, adakah memberi kuasa kepada enam syarikat untuk mengeluarkan sijil halal ini kerana Jakim tidak cekap? Atau adakah kewujudan syarikat ini kerana Jakim begitu teliti sebelum mengeluarkan sijil halal tetapi kalau memohon kepada syarikat swasta 'tidak sukar' untuk mendapatkan sijil halal?

Apa yang tersirat pula, di manakah keseriusan kita terhadap perkara-perkara yang sensitif sehingga diambil remeh?Semua orang hendak tahu siapakah yang membenarkan syarikat swasta memiliki kuasa menentukan status haram halal itu? Kalau benar Jakim tidak mampu, setiap negeri mempunyai Majlis Agama Islam masing-masing.

Tentunya sijil yang dikeluarkan oleh Majlis Agama Islam di semua negeri jauh lebih diyakini daripada syarikat yang seolah-olah 'mencetak' pamplet promosi barangan. Kenapa tugas besar bersangkutan dengan halal haram ini tidak diberikan kepada Majlis Agama Islam di negeri-negeri?

Pengarah Hab Halal Jakim, Saimah Mukhtar dalam Utusan Malaysia 26 Julai lalu berkata, hanya Jakim saja yang diiktiraf oleh kerajaan untuk mengeluarkan sijil halal di negara ini ketika ini. Beliau menegaskan, "Jakim mempunyai prosedur yang menepati hukum syarak sedangkan sijil dan logo halal yang dikeluarkan oleh syarikat swasta diragui statusnya."

Jakim sendiri meragui syarikat-syarikat swasta yang dilantik mengeluarkan sijil halal tetapi kenapa Jakim tidak bertindak ke atas syarikat -syarikat yang dianggap 'meragukan' dan tidak mencapai standard untuk menyekat syarikat berkenaan memberikan status yang salah dan orang Islam menganggap logo halal itu adalah halal?

Ironinya di negara ini, logo halal pun belum tentu halalnya kerana badan seperti Jakim yang bertanggungjawab terhadap hal ehwal Islam meragui sijil halal yang dikeluarkan oleh syarikat swasta. Sudah tentu syarikat-syarikat ini bukan dilantik oleh Jakim tetapi pihak mana lagi yang lebih berkuasa daripada Jakim?

Rakyat perlu diberitahu semua kekeliruan ini supaya mereka tidak menyalahkan Jakim. Rakyat juga ingin tahu adakah keperluan terlalu mendadak sehingga memaksa kerajaan memberi kuasa kepada pihak swasta menentukan soal produk dan premis halal atau haram bagi orang Islam di negara ini?

Jakim sendiri meragui standard syarikat-syarikat berkenaan kerana tidak membuat pemeriksaan secara menyeluruh dan ada permohonan dibuat dengan menelefon bertanyakan sama ada premis berkenaan terdapat alkohol atau daging babi. Tetapi Jakim membuat pemeriksaan menyeluruh sehingga ke tempat penyembelihan.

Apabila ada pihak yang menawarkan 'kemudahan' dan pihak Jakim pula mengenakan penelitian yang ketat, sudah tentulah pengusaha premis atau pengeluar produk makanan memilih yang mudah.

Maka kewujudan syarikat-syarikat berkenaan secara tidak langsung membuatkan pengusaha tidak memilih Jakim. Adakah ini dimahukan oleh pihak yang memberi kuasa kepada syarikat berkenaan?

Tangani segera penipuan logo halal elak umat Islam terus terpedaya


Keraguan mengenai status halal terhadap makanan berasas daging di hampir semua kopitiam di seluruh negara yang JAKIM, membuktikan betapa mudahnya umat Islam di negara ini terpedaya dengan logo halal palsu digunakan peniaga bukan Islam.

Kejadian itu turut membuktikan longgarnya penguatkuasaan terhadap premis perniagaan makanan bukan Islam yang menggunakan logo halal. Berikutan pendedahan itu, kita percaya ramai umat Islam yang bimbang terhadap kesucian makanan yang pernah dimakan di premis berkenaan.

Kejadian itu sudah tentu menjadikan mereka hilang kepercayaan dan mempersoal pihak yang mengeluarkan sijil serta logo halal di negara ini. Apakah mereka benar-benar melakukan pemeriksaan rapi terhadap semua aspek penyediaan makanan di premis berkenaan serta tempat penyembelihan bagi memastikan makanan yang disediakan mengikut syariat Islam?

Timbul persoalan, sehingga bilakah umat Islam akan terpedaya dengan logo halal palsu demi menarik pelanggan Islam ke premis makanan yang didakwa menjual makanan halal? Kita tidak menafikan memang ada peniaga yang akur dengan keperluan sijil halal bagi menarik pelanggan Islam, tetapi tidak kurang juga peniaga yang mengambil jalan mudah menggunakan sijil serta logo halal palsu.

Penipuan dalam penggunaan logo dan sijil halal adalah kesalahan serius dan perlu dikenakan tindakan tegas. Pendedahan pada tahun lalu mengenai 50,000 restoran mempamerkan logo halal palsu amat mengejutkan. Ada juga laporan menyebut hanya 170 dapur di lebih 2,000 hotel, termasuk hotel bajet di seluruh negara mempunyai pensijilan halal. Ini bermakna, sebilangan besar dapur berkenaan tidak mempunyai sijil halal. Mungkin jumlah itu kini semakin meningkat selepas pelbagai pihak, termasuk Persatuan Hotel-Hotel Malaysia (MAH) berjaya meningkatkan kesedaran dalam kalangan pemilik hotel supaya memohon sijil dan logo halal bagi kemudahan pelanggan beragama Islam.

Kita harap dengan pendedahan JAKIM itu, kerajaan akan bertindak cepat bagi menangani penipuan logo dan sijil halal secara serius. Meminda Akta Perihal Dagangan 1972 tanpa memberi kuasa penguatkuasaan kepada JAKIM dan Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN) tidak akan membantu menyelesaikan isu ini. Penentuan halal haram seharusnya diletakkan di bawah pihak berkuasa agama kerana mereka ada kepakaran dalam menentukan status berkenaan.

Sepatutnya, tindakan menggunakan logo serta sijil halal palsu di negara ini tidak berlaku jika peniaga bukan Islam memikirkan kelebihan memilikinya kerana ia mampu menarik lebih ramai umat Islam berkunjung ke premis mereka. Sudah sampai masanya JAKIM dan JAIN diberikan kuasa lebih luas dalam menguatkuasakan prosedur halal, berbanding kuasa yang ada sekarang.

Langkah kerajaan memutuskan supaya JAKIM mengambil alih semula tugas mengeluarkan sijil halal daripada Perbadanan Pembangunan Industri Halal (HDC) tidak lama dulu adalah tindakan tepat bagi memastikan hanya peniaga yang layak dan mematuhi prosedur ditetapkan mendapat pengiktirafan itu. Sebagai negara yang sudah 53 tahun merdeka dan menjadikan Islam sebagai agama rasmi, adalah amat malang jika isu penipuan logo dan sijil halal masih belum ditangani sepenuhnya.




Rujuk : Utusan 27/07/2010 dan BH 27/07/2010

0 KOMEN:

Catat Ulasan

Kongsikan komen anda di sini...

Related Posts with Thumbnails