Rumah tangga berantakan selepas suami berkenan wanita lain
SOALAN :
PERKAHWINAN saya biarpun baru berusia tiga tahun dan dikurniakan dua anak, terbukti sebegitu mencabar untuk saya. Saya tidak menyangka diuji sehebat ini. Ketika hamil anak kedua, suami berkenalan dengan seorang perempuan di laman sembang. Semuanya berpunca kerana suami terasa dicabar apabila saya mengesyaki dirinya. Saya mula curiga jika sebelum ini telefon bimbitnya tidak disorok tetapi secara tiba-tiba dia melakukannya dan sering pulang lewat dari kerja. Jika di rumah pun, dia lebih banyak melayari laman sembang di internet.
Rahsianya terbongkar dan kami telah menyelesaikan masalah kami dengan baik dan perempuan itu tidak mahu lagi berhubungan dengan suami saya sebaik tahu dia sudah berkahwin. Kini masalah sama berulang dengan wanita lain - janda berusia 24 tahun. Untuk pengetahuan Umi, suami berusia 26 tahun dan saya, 29 tahun. Masalahnya, wanita ini enggan berundur biarpun selepas mengetahui status suami.
Saya dan suami sudah ke pejabat agama untuk permohonan cerai namun masih belum menghantar borang itu untuk didaftarkan. Saya dalam dilema sama ada untuk meneruskan perkahwinan ini atau berpisah dengan suami. Ya, saya masih sayangkannya dan mengenangkan anak-anak masih kecil berusia satu dan dua tahun. Apa harus saya lakukan?
Isteri Sedih
JAWAPAN :
SALAM ceria untuk Isteri Sedih. Perkahwinan adalah satu kontrak yang paling mahal dalam hidup pasangan dan paling sukar untuk menjaganya. Kerana kontrak ini sangat terbuka pada gangguan-gangguan dan cabaran terutama dorongan iblis yang tugasnya adalah menghancurkan semua kebahagiaan manusia yang mentaati Allah SWT. Iblis sentiasa menjadi musuh kita dan jelaslah keadaan anda yang mana suami masih mencari layanan dari luar rumah daripada menjaga dan memberi layanan terbaik kepada isteri dan anak-anaknya.
Cabaran ini boleh datang dari dalam diri kita sendiri atau datang daripada pasangan atau datangnya dari orang ketiga berbentuk bisikan manusia dan bisikan iblis. Inilah yang sedang terjadi pada anda dan suami.
Oleh itu, puan yang diberi kesempatan menjadi isteri dan jadi ibu walau dalam tempoh singkat, terimalah hadiah dari Allah SWT ini sebagai kesempatan bagi anda mengecapi bahagia sebagai sebuah keluarga walaupun kini suami sudah terperangkap hasutan iblis dengan cinta nafsu yang tidak bertunjangkan kepada Allah SWT. Ini terbukti apabila dia tidak berhasrat untuk membaiki hubungan dengan anda sebagai isteri yang sah, malah terus memburu wanita kedua selepas terkandas dengan wanita pertama.
Persoalannya sekarang terserah pada anda. Sama ada mahu terus jadi isteri yang sabar dan membaiki diri dengan mencari sokongan tambahan ibu bapa, keluarga sendiri dan keluarga mentua atau mahu bebas daripada jawatan isteri dan sanggup bergelar ibu tunggal. Pilihan terletak di tangan anda. Jika anda berasa mampu hidup berdikari dengan anak-anak tanpa suami, dengan maksud ada pendapatan sendiri , ada rumah dan ada kemudahan untuk meneruskan hidup sendiri dengan sokongan keluarga dan mampu jadi hamba Allah SWT yang taat kepada-Nya, maka berpisah itu dapat memberi masa untuk kedua pihak menilai diri sendiri dan membaiki diri masing-masing. Mungkin juga disusuli kemampuan untuk berbaik semula. Atau, kemungkinan perpisahan itu memberi ketenteraman yang sudah lama hilang daripada hidup masing-masing lalu berasa lebih berbahagia hidup tanpa suami dan menjadikan perpisahan itu terbaik untuk anda.
Agama kita sendiri mensyaratkan setiap perkahwinan harus memberi ketenteraman dan kebahagiaan, cinta dan kasih sayang antara dua pihak. Anak pula hadiah terbaik pengikat kasih sayang dan menjadikannya lebih erat. Jika matlamat ini menjadi sebaliknya, maka apa faedahnya perkahwinan itu dikekalkan, apa faedahnya anda menyimpan cinta pada orang yang tidak lagi mencintai anda? Adalah paling rugi dan bodoh mencintai orang yang sudah membenci kita.
Pada pandangan Umi, perkahwinan ini sememangnya sulit dipertahankan jika yang berusaha membaikinya hanya sebelah pihak saja. Ini kerana, suami dan isteri itu pasangan yang ibarat kasut, kalau dicuci sebelah dan sebelah lagi sentiasa kotor, mana mungkin kita gembira memakainya dalam keadaan sebelah bersih dan sebelah kotor.
Atau diibaratkan sebuah kapal, suami adalah nakhoda kapal yang menentukan arah tuju pelayaran ada isteri adalah anak kapalnya. Mana mungkin anak kapal dapat melayarkan kapalnya tanpa usaha dan tindakan dan bantuan nakhodanya. Jika terus belayar, pasti kapal tidak dapat sampai dan berlabuh di pelabuhan sepatutnya. Malah lebih malang lagi kapal terus terapung tanpa haluan dan akhirnya tenggelam dipukul ribut di samudera.
Pada anda yang kapalnya masih boleh belayar, anda perlu bertindak sebelum kapal tenggelam dan anak kapal mati lemas secara percuma. Ini kerana nakhoda kapal sudah tidak berminat untuk terus belayar dengan anda kelasinya. Anda tidak perlu bimbang untuk terus hidup. Anda masih muda dan masih boleh mencari pekerjaan atau masih sempat belajar kemahiran untuk mencari nafkah. Bangunlah keyakinan bahawa semua kesulitan tidak kekal dan pasti akan berlalu dengan syarat anda mengubah gaya hidup anda. Allah SWT tidak akan mengubah nasib kamu jika kamu tidak mengubahnya. Yakinlah bahawa bumi ini Allah jadikan cukup untuk semua manusia dari Nabi Adam hingga kiamat. Keyakinan ini akan membuat anda merasa tenteram bahawa Allah SWT itu Maha Penyayang dan Maha Pengasih.
Jika anda fikir tidak boleh hidup tanpa suami, bermakna kasih sayang anda sudah nipis. Maka carilah semula kekuatan untuk berasakan kasih sayang Allah SWT itu tidak pernah kurang pada hamba-Nya, hanya hamba-Nya saja yang tidak merasakan kerana mereka terlalu mencintai manusia dan seluruh ini alamnya dengan melupakan penciptanya. Yakinlah juga Allah SWT itu sangat adil, apa yang diberikan sesuai keadaan hamba-Nya, jika harta hilang akan diganti di akhirat, siapa dizalimi di dunia, akan dilayan sebaiknya di akhirat, siapa melakukan seksaan di dunia, pasti akan diseksa di akhirat. Sebab itu Allah SWT berpesan: “Tidak ada kezaliman pada hari ini, sesungguhnya Allah SWT cepat perhitunganNya.” (QS Ghafir:17).
Akhirnya, janganlah bersedih dengan masa lalu dan menunda kehidupan hari ini kerana takut akan hari esok atau kerana harapan saat indah di esok hari. Sebelum bertindak tanyakan pada diri anda, apa kemungkinan terburuk yang akan terjadi, kedua - siapkan diri anda untuk menerima dan menghadapinya kemudian, hadapi dengan tenang untuk menjadikan kemungkinan terburuk itu menjadi lebih baik. Selamat berjuang dengan istiqamah kerana Allah SWT.
Info:
Bagi pembaca yang ingin berkongsi masalah dan pendapat dengan Dr Rubiah K Hamzah, anda boleh menghantar soalan anda ke alamat Ruangan Kaunselor Anda, Berita Minggu, 31, Balai Berita, Jalan Riong, 59100 Kuala Lumpur atau e-mel bminggu@bharian.com.my
Sumber : Dr Rubiah K Hamzah (Pakar Motivasi) di BHarian
“YA ALLAH, AKU BERLiNÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA PERASAAN SEÐiH ÐAN ÐUKACiTA, AKU BERLINÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA LEMAH ÐAN MALAS, AKU BERLiNÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA BAHKiL ÐAN PENAKUT ÐAN AKU BERLiNÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA BEBAN HUTANG ÐAN TEKANAN PERASAAN.”
“YA ALLAH, BUKAKANLAH UNTUKKU PiNTU-PiNTU KEBAiKAN, PiNTU-PiNTU KESELAMATAN, PiNTU-PiNTU KESiHATAN, PiNTU-PiNTU KENiKMATAN, PiNTU-PiNTU KEBERKATAN, PiNTU-PiNTU KEKUATAN, PiNTU-PiNTU CiNTA SEJATi, PiNTU-PiNTU KASiH SAYANG, PiNTU-PiNTU REZEKi, PiNTU-PiNTU iLMU, PiNTU-PiNTU KEAMPUNAN ÐAN PiNTU-PiNTU SYURGA, YA ALLAH YANG MAHA PENGASiH LAGi MAHA PENYAYANG.”
Selasa, Julai 13, 2010
Kaunselor Anda : Janda gugat bahagia
Susunan :
Bawang Goreng
pada
7/13/2010 10:32:00 PG
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
0 KOMEN:
Catat Ulasan
Kongsikan komen anda di sini...