Assalamualaikum warahmatullah,
Jika dalam entry Memahami cemburu seorang wanita, yang lepas berkisar tentang selok-belok cemburu seorang wanita, kali ini dikongsikan artikel bagi memahami seorang lelaki pula.
LELAKI akan mula berahsia jika mendapat tahu kekasih atau isterinya menjaja cerita dengan orang lain. Bayangkan senario ini :
Pada satu hujung minggu yang indah, Jasmin dan Daniel bercadang untuk menonton wayang di pawagam berhampiran dengan kediaman mereka. Pasangan kekasih yang sentiasa sibuk dengan urusan kerja itu hanya berpeluang bersama ketika hujung minggu sambil pergi menonton wayang, berekreasi ataupun menikmati makanan di restoran kegemaran.
Seperti biasa, semasa menunggu giliran membeli tiket tiba-tiba mereka terserempak dengan Nadia, rakan pejabat Jasmin yang juga merupakan seorang model sambilan. Perwatakan cantik dan anggun Nadia itu tanpa disedari menarik perhatian Daniel.
“Kenapa asyik pandang Nadia? Awak rasa dia cantik?” persoal Jasmin.
“Saya rasa kawan awak itu cantik,” jawab Daniel dengan ikhlas tanpa berselindung apa-apa. Namun, kata-kata Daniel itu mula mengundang masalah dalam perhubungan antara pasangan itu sebab Jasmin berasa kekasih mula tertarik dengan wanita lain.
Situasi seumpama itu hakikatnya sering berlaku dalam mana-mana perhubungan pasangan kekasih ataupun suami isteri. Mungkin anda juga pernah mengalaminya. Dalam situasi tersebut, luahan ikhlas Daniel kepada Jasmin sebenarnya untuk memudahkan kefahaman bukan merumitkan lagi perhubungan.
Menurut Kaunselor Perhubungan di Universiti Missouri, Columbia, Amerika Syarikat, Glenn Good, lelaki bercakap dengan bahasa yang berlainan. Ini yang menyebabkan adakalanya lelaki dan wanita sukar berkomunikasi antara satu sama lain. Apa yang lahir daripada kata-katanya jika dia bercakap dengan wanita, adalah berbeza daripada apa yang dimaksudkan.
Kadangkala majoriti wanita berfikir lelaki yang berbohong tentang diri sendiri akan berbohong mengenai semua perkara lain. Maka, perasaan curiga akan menyelubungi jiwa sehingga memusnahkan perhubungan yang baik.
Sebenarnya memahami golongan lelaki bukan susah seperti yang disangka. Bagi kaum wanita yang bimbang dan menghadapi masalah dengan perkara itu, mari kita lihat tips untuk anda memudahkan perjalanan cinta anda.
Suka membisu
Golongan wanita berkebolehan untuk membicarakan sesuatu subjek yang sensitif dan sedih sebagai salah satu cara berhadapan dengan realiti. Tetapi lelaki pula lebih suka untuk menyembunyikan dan membisu.
Apabila lelaki membisu bukanlah bermakna dia tidak langsung memikirkan hal tersebut, sebaliknya dia enggan memanjangkan atau mengeruhkan sesuatu situasi buruk. Jadi, wanita usah bimbang atau bersangka buruk bahawa pasangan anda tidak langsung mempedulikan anda.
Cukup sekadar meluahkan apa yang tersirat di hati tanpa perlu membebel panjang. Lelaki biasanya akan faham dan selesa dengan situasi itu.
Lelaki tidak kompleks
Apabila seseorang lelaki menunjukkan tanda bahawa dia menyukai wanita yang pandai menjaganya, mengemas rumah, menyediakan makanan dan menghabiskan waktu intim bersama, wanita harus percaya bahawa itulah yang lelaki tersebut inginkan.
Ini bukan bererti lelaki berfikir secara primitif tetapi kebanyakan lelaki bersifat sedemikian. Wanita biasa menganggap lelaki sebagai kompleks dan sukar difahami sedangkan sebenarnya kehendak lelaki adalah mudah sahaja.
Jangan paksa lelaki
Apabila seseorang wanita mendesak lelaki agar mendedahkan perasaannya mungkin lelaki itu akan mendedahkan sesuatu yang wanita itu tidak suka mendengarnya. Maka adalah lebih baik jika tidak bertanya dan menyelidik perasaannya secara mendalam. Lebih baik bagi seseorang wanita itu membaca bahasa badan lelaki, lirik matanya atau perubahan mendadak dalam corak perlakuannya.
Pentingkan kejujuran
Sama seperti wanita, golongan lelaki juga mementingkan kejujuran. Jika lelaki mengetahui kekasih atau isterinya suka bercerita kepada wanita lain tentang dirinya besar kemungkinan lelaki itu tidak akan bercerita lagi secara telus mengenai hal-hal rahsia yang lainnya.
Kejujuran memang penting bagi lelaki. Seorang suami ingin isterinya menyimpan rahsia rumah tangga mereka daripada pengetahuan umum.
Hidup lelaki lebih mudah
Cara hidup lelaki lebih mudah berbanding wanita. Oleh sebab itu, lelaki sukar untuk memahami apabila sesuatu perkara itu disampaikan dalam bentuk bahasa kiasan oleh wanita. Wanita suka berkias dan berharap lelaki memahaminya, sedangkan mereka lebih suka jika perkara itu disampaikan dalam bahasa yang mudah dan berterus-terang. Sekiranya wanita tidak jelas mengenai sesuatu perkara, lebih baik berbual secara terbuka kepada lelaki.
Semoga bermanafaat!
Sumber : Kosmo!
0 KOMEN:
Catat Ulasan
Kongsikan komen anda di sini...