Sebelum entry Ramai kahwin warga asing di Songkhla disiarkan, laporan khas ini telah lama
Memeranjatkan! Dilaporkan, pekan Golok, Narathiwat dan pekan Danok di selatan Thailand serta Pulau Batam di Indonesia terus menjadi tumpuan rakyat Malaysia terutama lelaki untuk berhibur di hujung minggu kerana tukaran mata wang yang lebih murah.
Mereka sama ada pergi balik siang, bermalam atau pakej tiga hari dua malam, dengan alasan membeli-belah atau bermain golf, tetapi tujuan utama untuk menikmati pelbagai jenis hiburan seperti karaoke, urut tradisional, spa serta keseronokan lain termasuk khidmat seks.
Ketua Pengarah Tourism Malaysia, Datuk Mirza Mohammad Taiyab, yang ditanya mengenai perkembangan ini, berkata setakat ini belum ada kajian khas mengenai jumlah pelancong negara ini ke luar negara tetapi perkembangan terkini menunjukkan masyarakat Malaysia lebih gemar melancong ke negara berjiran. Dikatakan, faktor tukaran mata wang murah juga menyebabkan mereka lebih suka memilih destinasi negara berdekatan untuk tempoh lawatan singkat dengan pelbagai tujuan termasuk membeli-belah, aktiviti sosial, sukan dan perniagaan.
Tinjauan di tiga lokasi itu mendapati warga Malaysia lebih suka menyeberang sempadan kerana selain berseronok, harga perkhidmatan agak murah termasuk penginapan.
Pulau Batam, Indonesia yang hanya 30 minit dari Johor Bahru dengan menaiki Feri bukan saja menjadi tarikan membeli-belah, spa atau pusat kesihatan tradisional kerana harga perkhidmatan yang murah, malah sebahagian besar ke negara jiran itu tentunya lelaki yang boleh dilihat di Terminal Feri The Zon, Johor Bahru pada setiap hujung minggu.
Begitu juga tinjauan ke Danok (Thailand); pekan yang bersempadan dengan Bukit Kayu Hitam, Kedah itu bukan saja menjadi pilihan masyarakat tempatan, malah pelancong dari seluruh negara berikutan tawaran harga barangan dan perkhidmatan jauh lebih murah. Kawasan sempadan kedua-dua negara ini sesak menjelang cuti hujung minggu bermula pada Khamis hingga Ahad berikutan aktiviti keluar masuk pelancong.
Di Pekan Sungai Golok yang amat dekat dengan Rantau Panjang, Kelantan juga menjadi tumpuan setiap hujung minggu walaupun wilayah Selatan Thai masih diselubungi ketegangan. Ketegangan yang berlaku selama ini tidak menjejaskan kunjungan rakyat Malaysia khususnya dari Kelantan ke kawasan hiburan menempatkan disko, kelab dangdut dan bar, yang meningkat terutama pada hujung minggu. Apatah lagi, ada pusat hiburan di sekitar Sungai Golok turut menyebar risalah mengenai pelbagai acara disediakan di sekitar kawasan pekan Rantau Panjang.
Kebanyakan pengunjung dari luar Kelantan, cenderung menyeberangi sempadan menerusi laluan sah di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (KIK) Rantau Panjang kerana mengutamakan keselamatan.
Lelaki Malaysia tidak lokek beri tip
Rantau Panjang : Kawasan hiburan waktu malam yang turut menawarkan gadis untuk berhibur di sekitar pekan Sungai Golok, Narathiwat, sebelah negara jiran, masih menjadi tumpuan lelaki 'hidung belang' dari Malaysia walaupun wilayah Selatan Thailand masih diselubungi ketegangan. Ketegangan yang dilaporkan berlaku selama ini tidak menjejaskan kunjungan pengunjung dari Malaysia khususnya Kelantan ke kawasan hiburan menempatkan disko, kelab dangdut dan bar, yang meningkat terutama pada hujung minggu.
Pengarah Imigresen Kelantan, Che Baharom Hamzah, mengakui jumlah rakyat Malaysia menyeberangi sempadan negara terutama pada hujung minggu di negeri ini meningkat sama ada menggunakan pasport antarabangsa dan pas sempadan. Berdasarkan semakan pihaknya untuk Khamis (1 Julai 2010) baru-baru ini, seramai 1,132 rakyat Malaysia masuk ke Thailand, berbanding 574 warga negara jiran itu ke sebelah sini melalui KIK Rantau Panjang antara jam 6 pagi hingga 10 malam.
Mereka yang keluar masuk sebelah pagi kebanyakannya pelajar dan peniaga yang berurusan antara dua negara khususnya di kawasan bebas cukai Rantau Panjang. Purata mereka yang masuk ke negara jiran setiap hujung minggu adalah lelaki dewasa melalui KIK mulai jam 2 petang hingga 10 malam dengan alasan bertemu kawan atau mendapatkan khidmat urut tradisional sebelum masuk kembali pagi esoknya.
Tukang urut wanita di sebuah hotel dekat Sungai Golok, Waraporn Charoe, 30, mengakui mereka banyak mengharapkan lelaki Malaysia mengguna khidmat disediakan pada hujung minggu. Katanya, dengan bayaran RM27 bagi setiap sesi urutan tradisional Thailand bagi setiap pelanggan, mereka hanya dapat RM10, manakala majikan mengambil RM17.
“Kami suka lelaki Malaysia sebab tidak lokek bagi tip selepas diurut,” katanya yang mengakui turut menawarkan urutan seksual antara RM30 hingga RM80 bagi satu sesi.
Wanita Chiangmai yang agak fasih berbahasa Melayu itu, juga menjadi ejen menawarkan gadis Laos antara 17 hingga 20 tahun sebagai teman berhibur termasuk bermalam pada harga antara RM100 hingga RM250.
Rakyat kita langgan seks di sempadan kena selar
Kecenderungan rakyat Malaysia terutama lelaki berhibur termasuk mendapatkan khidmat seks di lokasi pelancongan murah dibidas pelbagai pihak yang menyifatkan perbuatan itu sebagai tidak bertamadun, rendah moral dan cetek agama.
Tokoh agama, pakar motivasi dan ahli akademik berpendapat, keghairahan rakyat tempatan mengunjungi beberapa lokasi tumpuan di sempadan untuk melakukan aktiviti terlarang hanya merugikan negara dari aspek pengaliran keluar keluar wang.
Presiden Pertubuhan Perunding Latihan dan Motivasi Muslim Malaysia (Tamrin), Dr Tengku Asmadi Tengku Mohamad berkata, kecenderungan warga tempatan terutama lelaki menggunakan alasan bercuti tetapi sebenarnya berfoya-foya dengan gadis sosial di pusat karaoke, rumah urut tradisional, spa dan keseronokan lain mencerminkan kepincangan akhlak dan peribadi.
“Golongan ini tidak gerun kepada balasan Tuhan. Mereka fikir selamat kerana tiada siapa mengenali mereka selain terlepas daripada hukum serta undang-undang Islam yang melarang berkhalwat. Namun, mereka silap kerana semakin dalam terjebak, semakin tidak tenang hati seterusnya membawa kepada pergaduhan suami isteri lalu mengakibatkan perpecahan keluarga,” katanya di sini, semalam.
Tengku Asmadi berkata, kebiasaan ‘makan luar’ turut menjejaskan hubungan intim pasangan berkahwin berikutan sikap suami suka membuat perbandingan serta merendah-rendahkan keupayaan isteri.
“Kebanyakan kes membabitkan golongan lelaki berkahwin berusia 30 tahun ke atas, mempunyai gaji lumayan namun gagal menyelami serta menghayati prinsip berumah tangga. Ternyata usia matang belum tentu menjamin perlakuan baik, munasabah serta berupaya menghindar seseorang itu dari terjebak dengan seks haram,” katanya.
Penasihat Agama Islam Johor, Datuk Noh Gadut menyifatkan pelaku seks haram sebagai golongan tidak beriman dan enggan percaya pembalasan hari akhirat.
“Mereka tidak percaya Allah maha melihat dan cuba menafikan perbuatan keji itu dilaknat Tuhan. Hakikatnya, ini adalah amalan masyarakat jahiliah dan tidak sepatutnya berlaku dalam dunia bertamadun,” katanya.
Noh berkata, penganut ingkar terbabit bukan saja merosakkan nama baik dan reputasi peribadi malah mewujudkan kepincangan institusi keluarga melalui pembohongan kepada isteri dan penyebaran penyakit maut seperti Aids dan HIV.
“Demi melepaskan diri dan mendapat apa yang dihajati, mereka sanggup berbohong kepada isteri serta anak-anak. Namun, apabila dijangkiti penyakit membawa maut seperti Aids dan HIV, kesengsaraan itu tidak ditanggung seorang tetapi isteri yang turut dijangkiti penyakit sama. Ini hasilnya jika pendidikan agama sekadar diamal di luar kulit dan bukan meresap jauh ke dalam hati yang menebalkan iman,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kawalan Penyakit Berjangkit Pusat Perubatan Universiti Malaya, Profesor Dr Adeeba Kamarulzaman berkata, amalan seks bebas dan secara haram adalah penyumbang utama penyakit berjangkit seperti penyakit kelamin, Aids dan HIV. Beliau berkata, penduduk Asia adalah golongan paling tinggi terdedah kepada risiko jangkitan penyakit berbahaya serta membawa maut akibat perlakuan seks bebas dan secara haram.
“Kebanyakan kes membabitkan mereka yang tidak mengamalkan seks selamat khasnya menggunakan kondom ketika melakukan hubungan seks,” katanya.
Sumber :
1. BHarian 03/07/2010 Laporankhas_Berhiburdisempadanpilihanlelakitempatan,
2. BHarian 03/07/2010 LelakiMalaysiatidaklokekberitip dan
3. BH 04/07/2010 Rakyatkitalangganseksdisempadankenaselar
Capaian entry berkaitan :
* Laporan Khas : Setiap hari lelaki Malaysia kahwin wanita Indonesia dari Sumatera
* Ramai kahwin warga asing di Songkhla
0 KOMEN:
Catat Ulasan
Kongsikan komen anda di sini...