SEORANG rakan baru-baru ini gelabah apabila teman wanitanya menemui anting-anting terselit di celah kerusi penumpang hadapan di dalam kereta yang dipinjamkan kepada kekasihnya itu. Berpeluh Adam (bukan nama sebenar) menjelaskan kepada buah hatinya bagaimana aksesori itu boleh berada di situ.
Adam yang teringat insiden keluar makan bersama rakan sepejabat, Linda (bukan nama sebenar) - gadis manis awal 20-an, ranggi, bergaya dan 'free hair', sehari sebelum 'diserang' teman wanitanya, pantas mencari alasan logik untuk menutup tembelangnya.
“Awak jangan fikir bukan-bukan, itu anting-anting milik adik perempuan saya, Sarah (bukan identiti sebenar). Tak percaya tanya dia sendiri,” kata Adam memujuk teman wanitanya yang mungkin mula curiga dengan sikap Adam.
Lucu, sebaik memutuskan talian telefon bersama kekasihnya, Adam pantas menekan kekunci telefon bagi menghubungi Sarah. Sudah tentu adiknya itu perlu dijadikan ‘pelakon tambahan’ dalam ‘menjayakan’ satu lagi episod ‘kantoi’ dalam hidup Adam.
Helah atau mahu elak krisis dengan si dia?
Insiden Adam ini seperti biasa terjadi dalam kehidupan lelaki. Persoalannya :
- Apakah lelaki sebenarnya kaki temberang seperti didakwa wanita?
- Mengapa lelaki cenderung menipu pasangannya?
- Apakah mahu mengelak krisis, lelaki lebih rela menipu dan memutar belitkan fakta sedangkan kadang kala, kebenaran yang cuba disembunyikan tidak memberi kesan buruk kepada hubungan andainya tembelang lelaki pecah?
Tidak dinafikan lelaki kadang kala cenderung menipu kerana tidak tahan dengan bebelan dan syak wasangka wanita, lebih-lebih lagi jika perkara yang dibangkitkan pasangan dianggap remeh oleh lelaki.
Ada lelaki menipu tanpa niat. Bagi mereka, lebih baik tipu daripada teman wanita bermasam muka, naik angin atau mula bertengkar. Namun, dalam situasi seperti ini, bukanlah lebih baik lelaki menceritakan perkara sebenar? Jika pasangan saling mengenali diri masing-masing, sudah tentu segala prasangka atau andaian buruk dapat ditepis.
Mengulas isu lelaki dan kecenderungan menipu, pakar motivasi Dr HM Tuah Iskandar berkata, tabiat menipu sebenarnya bukan isu gender tetapi ‘masalah hati’ yang dialami semua manusia. Sehubungan itu, tidak wajar jika ada pihak melabelkan sikap buruk ini sebagai sifat sesuatu gender. Contohnya, melabel golongan lelaki sebagai golongan yang suka menipu.
“Ramai juga wanita yang suka menipu. Saya sering menerima kes di mana lelaki mengadu bahawa mereka ditipu wanita. Cuma, kerana sifat ego yang dimiliki lelaki, tidak ramai yang mahu mendedahkan mereka sebenarnya pernah ditipu wanita. Sebab itulah kita lebih kerap mendengar kes lelaki menipu berbanding kes wanita sedangkan kecenderungan untuk menipu ini hampir sama antara lelaki mahupun perempuan,” katanya.
Kata Dr HM Tuah, ada beberapa faktor mendorong lelaki menipu. Dalam soal perhubungan misalnya, ada lelaki bangga apabila berjaya menjalin hubungan dengan ramai wanita.
“Mereka akan merasakan diri mereka ‘jaguh’ bila mampu berbuat sedemikian. Namun, untuk melindungi perbuatannya serta takut dipersalahkan, mereka selalunya akan menabur janji dan juga menipu wanita yang menjalinkan hubungan dengan mereka,” ujarnya.
Dr HM Tuah menambah, menipu juga boleh dianggap sebagai ‘bakat semula jadi’ kerana ia memerlukan daya kreativiti.
“Sesetengah orang yang suka menipu memiliki bakat ini. Ia bergantung kepada langkah pertama mereka untuk menipu. Jika penipuan mereka itu menjadi, mereka akan berasa seronok dan menganggap diri hebat dalam soal ini. Dari situ, mereka akan mengulangi perbuatan negatif ini sama ada pada waktu yang berkepentingan ataupun suka-suka. Tidak kurang juga yang seronok dan ketagih untuk menipu. Mereka tidak rasa bersalah melakukannya. Saya tidak setuju jika segelintir mengatakan mereka menipu demi untuk menyelamatkan keadaan atau tidak mahu sesebuah konflik berpanjangan. Perbuatan menipu sebenarnya tidak akan menyelesaikan masalah, bahkan membuatkan ia semakin teruk bila penipuan itu terbongkar,” katanya.
Dr HM Tuah berpesan, baik lelaki atau wanita, kedua-dua gender ini harus menjauhi amalan menipu kerana ia hanya mengundang sengsara.
Alasan tipu lapuk bagi lelaki...
- On the way - sedangkan baru menekan butang lif untuk turun dari pejabat.
- Kredit telefon bimbit habis - sedangkan tiada masa menghubungi kekasih.
- Bateri 'kong' - alasan untuk memutuskan perbualan disebabkan macam-macam hal (selalunya hal yang cuba dirahsiakan)
- Jalan sesak - sedangkan si lelaki itu memang lewat.
- Over time - sebenarnya rakan-rakan mengajak menonton perlawanan bola sepak di kedai mamak.
- Mesyuarat - alasan mudah tidak menjawab telefon.
Dari Ibnu Umar r.a. katanya: Saya dengar Rasulullah SAW bersabda, “Bagi tiap-tiap orang yang khianat (penipu) ada bendera yang dipancangkan tanda khianatnya di hari kiamat kelak.” (Hadis riwayat Bukhari)
Tepuk dada tanyalah iman...
Sumber: Shamshul Azree Samshir di BH 2008/08/23
0 KOMEN:
Catat Ulasan
Kongsikan komen anda di sini...