“YA ALLAH, AKU BERLiNÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA PERASAAN SEÐiH ÐAN ÐUKACiTA, AKU BERLINÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA LEMAH ÐAN MALAS, AKU BERLiNÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA BAHKiL ÐAN PENAKUT ÐAN AKU BERLiNÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA BEBAN HUTANG ÐAN TEKANAN PERASAAN.”


“YA ALLAH, BUKAKANLAH UNTUKKU PiNTU-PiNTU KEBAiKAN, PiNTU-PiNTU KESELAMATAN, PiNTU-PiNTU KESiHATAN, PiNTU-PiNTU KENiKMATAN, PiNTU-PiNTU KEBERKATAN, PiNTU-PiNTU KEKUATAN, PiNTU-PiNTU CiNTA SEJATi, PiNTU-PiNTU KASiH SAYANG, PiNTU-PiNTU REZEKi, PiNTU-PiNTU iLMU, PiNTU-PiNTU KEAMPUNAN ÐAN PiNTU-PiNTU SYURGA, YA ALLAH YANG MAHA PENGASiH LAGi MAHA PENYAYANG.”


Khamis, Mei 14, 2009

Istilah nusyuz bukan hanya untuk isteri


Assalamualaikum warahmatullah,

Nusyuz dari segi bahasa membawa makna derhaka. Dalam konteks perhubungan di antara suami isteri, nusyuz memberi erti kebencian salah seorang isteri atau suami terhadap yang lain, samada isteri bencikan suami atau suami bencikan isteri atau boleh jadi kedua-duanya
sekali benci membenci antara satu sama lain.

Berdasarkan penggunaan bahasa, digunakan perkataan 'nasyaza' yang bererti meninggikan atau melebihi. Perkataan ini dipadankan pula dalam perhubungan suami isteri yang mana isteri selalu meninggi melebihi suami. Maka keadaan perempuan yang begini dikatakan nusyuz iaitu telah menderhakai suaminya. Lazimnya apabila nusyuz berlaku, rumahtangga juga akan bergolak dan bergelora.

Perkara nusyuz juga boleh berlaku kepada seorang suami. Istilah nusyuz di kalangan suami sebenarnya memang ada di dalam Islam berdasarkan firman Allah SWT yang bermaksud, “Dan jika seorang isteri khuatir melihat suaminya berlaku nusyuz, kebencian atau berpaling (tidak mengindahkannya) maka tidaklah berdosa keduanya membuat perdamaian secara yang terbaik. Berdamai itu lebih baik (bagi mereka)...” (Surah An-Nisaa', ayat 128)

Nusyuz vs zalim

Mengapa perkataan nusyuz jarang-jarang kita dengar bagi pihak suami, ya? Pada pendapat saya, ini kerana lumrahnya istilah yang sering digunakan ialah ‘zalim’, jadi amat jarang kita mendengar kes suami yang nusyuz kerana ia tidak didedahkan kepada umum. Adakah ini satu diskriminasi? Islam berpandukan as sunnah, tiada istilah diskriminasi terhadap sesiapapun bagi seluruh manusia yang taat kepada Allah SWT dan Rasul-Nya, baik hamba-Nya yang lelaki, perempuan mahupun yang khunsa. Cuma yang selalu tidak atau kurang puas hati hanyalah diri kita sendiri, manusia yang kurang patuh atau memahami perintah suruhan atau larangan yang telah ditetapkan syarak.

Dalam al-Quran, Allah SWT telah berfirman yang bermaksud, “Maka Tuhan mereka memperkenankan permohonannya (dengan berfirman), ‘Sesungguhnya Aku tidak menyia-nyiakan amal orang-orang yang beramal di antara kamu, baik laki-laki atau perempuan, (karena) sebagian kamu adalah turunan dari sebagian yang lain. Maka orang-orang yang berhijrah, yang diusir dari kampung halamannya, yang disakiti pada jalan-Ku, yang berperang dan yang dibunuh, pastilah akan Ku-hapuskan kesalahan-kesalahan mereka dan pastilah Aku masukkan mereka ke dalam surga yang mengalir sungai-sungai di bawahnya sebagai pahala di sisi Allah. Dan Allah pada sisi-Nya pahala yang baik.’” (Surah ali-‘Imran, ayat 195)

Firman-Nya lagi, “Dan orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan, sebahagian mereka (adalah) menjadi penolong bagi sebahagian yang lain. Mereka menyuruh (mengerjakan) yang makruf, mencegah dari yang mungkar, mendirikan sembahyang, menunaikan zakat, dan mereka taat kepada Allah dan Rasul-Nya. Mereka itu akan diberi rahmat oleh Allah; sesungguhnya Allah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana.” (Surah at-Taubah, ayat 71)

“Allah menjanjikan kepada orang-orang yang mukmin lelaki dan perempuan, (akan mendapat) surga yang di bawahnya mengalir sungai-sungai, kekal mereka di dalamnya, dan (mendapat) tempat-tempat yang bagus di surga Adn. Dan keridaan Allah adalah lebih besar; itu adalah keberuntungan yang besar.” (Surah at-Taubah, 72)

Begitu dengan jelas al-Quran yang menunjukkan tidak adanya diskriminasi antara laki-laki dan perempuan dalam hubungannya dengan pekerjaan, amal dan tindakan. Al-Quran juga memberikan kepada kita penjelasan tentang beberapa keistimewaan terhadap perempuan, di mana, yang pernah terjadi pada masa lalu dan diabadikan dalam al-Quran agar menjadi pelajaran bagi mukmin yang perempuan khususnya dan lelaki pada umumnya.

Al-Quran juga banyak menerangkan kisah-kisah perempuan pejuang untuk menjadi contoh bagi para muslimah. Lihatlah contoh Asiyah binti Mazahim, isteri Fir’aun yang hidup di bawah kekuasaan suaminya, Firaun yang terkenal kekufurannya .

Asiyah dengan teguh memberontak, melawan dan mempertahankan keyakinannya walaupun harus menghadapi risiko yang berat akan diterimanya. Semuanya dilakukan kerana dia memilih istana di bawah keredhaan-Nya, keteguhan dengan perjuangan menegakkan kebenaran, walaupun ia memang harus mendapat kenikmatan dan keindahan hidup di istana Firaun yang dianggap membahagiakan manusia di dunia, ianya yang harus dapat dinikmatinya apabila bersekongkol dengan kezaliman.

Firman Allah SWT yang bermaksud, “Dan Allah membuat isteri Firaun perumpamaan bagi orang-orang yang beriman, ketika ia berkata: ‘Ya Tuhanku, bangunlah untukku sebuah rumah di sisi-Mu dalam syurga dan selamatkanlah aku dari Firaun dan perbuatannya dan selamatkanlah aku dari kaum yang zalim.’” (Surah at-Tahrim, ayat 11)

Al-Quran juga memuji perempuan yang membantah kepada suami yang zalim. Pada saat yang sama al-Quran juga mengecam perempuan yang menentang suami yang memperjuangkan kebenaran, seperti dicontohkan oleh isteri Nabi Nuh a.s. dan isteri Nabi Luth a.s..

Yang demikian, tiada diskriminasi terhadap perempuan walaupun NUSYUZ itu selalunya dikhususkan pada perempuan, kerana, bagi lelaki yang ZALIM tetap ada gelarannya dan ancaman Allah SWT sebagaimana yang diingatkan kepada perempuan. Janganlah disebabkan istilah sebutan itu dijadikan suatu yang menjadikan kurang selesa dari bertaati kepada as-sunnah.

Sikap seorang suami yang nusyuz (zalim)

Berbalik kepada tajuk entry, seorang isteri yang nusyuz, disyaratkan untuk memperbaiki keadaannya yang nusyuz itu. Bagaimanakah pula dengan nusyuz seorang suami, bila dan bagaimanakah penyelesaiannya?

Nusyuz seorang isteri terhadap suami ialah menderhakai perintah suami, engkar dalam tanggungjawabnya, tidak melayan suaminya, bermasam muka, keluar tanpa izin atau sebagainya. Nusyuz seorang suami pula ialah bersikap dingin terhadap isteri tanpa sebab. Isterinya tidak menyakitkan hatinya ataupun engkar. Tetapi itu adalah kerana sikap buruknya sendiri. Sedangkan isterinya itu merupakan seorang isteri yang solehah.

Nusyuz boleh terjadi pada suami disebabkan oleh dirinya sendiri. Ini terjadi kerana sifat dan
perangainya yang memang semulajadinya buruk, zalim dan tidak berperikemanusiaan serta tidak memahami langsung konsep kekeluargaan atau kurang faham dengan hakikat
kefahaman yang sebenarnya iaitu tanggungjawab nafkah lahir dan batin sepertimana huraian saya dalam entry yang lepas.

Pada hari ini, terdapat ramai suami yang berhidung belang walaupun sudah beristeri dan beranak-pinak (askar boleh buat team bolasepak), tetapi masih lagi mencari peluang dan kebebasan tidak terbatas di luar rumah tanpa pengetahuan isterinya. Ada suami yang mempunyai perempuan simpanan sehingga melupakan tanggungjawab serta kewajipan terhadap keluarganya yang mana itu adalah anugerah dan amanah dari Allah kepadanya. Hatinya sedikitpun tidak merasa gembira berada di rumah malah sentiasa gelisah walaupun si isteri telah memberi sepunuh kasih sayang dan ketaatan terhadapnya. Isterinya dipandang buruk dan hina serta tidak berguna lagi untuk dirinya. Suami yang begini akan selalu menghabiskan masanya di luar. Dia akan pulang jauh malam dengan berbagai-bagai alasan yang mana semuanya itu untuk membohongi isterinya sahaja.

Jelas sekali, suami yang nusyuz tidak akan menjalankan tanggungjawabnya dengan sempurna. Dia akan bersikap ganas dan zalim, tidak menghiraukan langsung nafkah lahir dan batin isterinya.

Suami juga boleh dikatakan nusyuz andainya dia gemar menyusahkan isterinya dengan memaksanya melakukan sesuatu yang di luar kemampuannya seperti kerja-kerja berat yang pada lumrahnya memang tidak terdaya disempurnakan oleh seorang wanita. Dia juga bermasam muka dan tidak mahu berbicara tanpa sebab dan kesalahan dari pihak isteri.

Ada juga sebab-sebab luaran yang mendorong suami berlaku nusyuz. Antaranya ialah kesan dari pergaulan yang penuh dengan khayalan dengan perempuan pelacur atau perempuan simpanan. Di samping itu juga dadah, arak dan judi adalah antara faktor penyebab yang sama
bahayanya dengan perempuan lacur dan perempuan simpanan. Dalam surah Maidah ayat 91 Allah telah berfirman yang maksudnya, “Sesungguhnya syaitan itu hanyalah bermaksud mahu menimbulkan permusuhan dan kebencian di antara kamu dengan sebab arak dan judi.”

Perdamaian antara suami isteri

Sesungguhnya atas apa sebab sekalipun, syariat Islam tidak pernah membenarkan seorang suami itu berlaku nusyuz. Ini kerana isteri adalah amanah Allah terhadap seorang suami itu. Suami bertanggungjawab untuk memelihara, menjaga, melindungi isterinya. Malah
seorang suami bertanggungjawab untuk mendidik isterinya ke jalan kebenaran sekiranya isterinya itu telah berlaku nusyuz kerana seorang isteri tidak diwajibkan untuk mengawal dan menjaga atau memperbaiki keadaan suaminya kerana suami adalah pemimpin sedangkan isteri adalah orang yang dipimpin.

Justeru itu di manakah logiknya di akal apabila orang yang lemah hendak memikul orang yang kuat kecuali benar-benar terdesak? Oleh itu, suami yang berlaku nusyuz ini merupakan petanda yang kurang baik kerana ianya mengancam keharmonian rumahtangga.

Allah SWT telah menggariskan cara-cara untuk mengatasinya iaitu kedua suami isteri hendaklah berbincang dan berdamai. Elakkan dari berlakunya perceraian. Dalam hal ini Allah SWT telah berfirman yang maksudnya, “Dan jika seorang wanita khawatir (bimbang) akan nusyuz atau sikap tidak acuh dari suaminya, maka tidak mengapa bagi keduanya mengadakan perdamaian yang sebenar-benarnya, dan perdamaian itu lebih baik (bagi mereka kerana perdamaian itu lebih baik dari bercerai) walaupun manusia itu menurut tabiatnya kikir, Dan jika kamu bergaul dengan istrimu secara baik dan memelihara dirimu (dari nusyuz dan sikap tak acuh), maka sesungguhnya Allah adalah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan.” (Surah an-Nisaa', ayat 128)

Demikianlah yang telah digariskan oleh Allah SWT. Apabila berlakunya perkara nusyuz seorang suami ini maka seharusnya perkara pertama yang dilakukan ialah dengan berbincang secara elok dan tenang. Semoga dengan itu akan dapat dicapai suatu kata sepakat tentang apakah
yang perlu dilakukan untuk menyelesaikan masalah itu. Perceraian bukanlah satu jalan yang terbaik. Terdapat segolongan pasangan suami isteri yang mudah sekali membuat keputusan untuk bercerai. Seharusnya apabila berhadapan dengan masalah begitu, carilah jalan penyelesaian yang baik.

Namun begitu, seandainya berbagai cara telah dilakukan, berbincang sudah, tetapi retah sudahpun belah, kaca sudahpun berkecai dan penceraian pula dirasakan sebagai jalan penyelesaian yang paling baik, pilihlah jalan itu. Namun haruslah diambil kira apakah nasihat kadi. Dalam surah An Nisa, ayat 130, Allah SWT telah berfirman dengan maksudnya, “Dan, jika keduanya bercerai maka Allah akan cukupkan keperluan masing-masing dari limpah kurnia-Nya dan Allah amatlah luas limpah kurnianya lagi amat bijaksana.”

Sesungguhnya kebahagiaan rumahtangga itu hanya akan terlahir daripada kesefahaman dan kasih sayang yang seimbang. Keselarasan dalam fikrah dan prinsip merupakan sebuah keadaan yang perlu dititik beratkan agar kestabilan rumahtangga dapat diujudkan.

Rasulullah SAW role model

Para suami haruslah menyingkap kembali lipatan sejarah Rasulullah SAW seorang suami yang amat menghargai isteri-isteri baginda. Jika diteliti dan dicontohi serta diamalkan, insya Allah persoalan nusyuz tidak akan timbul.

Ini adalah kerana masing-masing tahu tanggungjawab masing-masing. Maka akan tersimpullah ikatan kasih sayang yang diredhai Allah di atas rumahtangga. Semoga dengan itu akan lahirlah pula pula generasi yang soleh dan solehah. tetapi jika sebuah rumahtangga itu dikemudikan oleh seorang juragan (suami) yang tidak beriman, bagaimana pula awak-awaknya (anak isteri) boleh terdiri di atas kebenaran.

Perlu ditegaskan lagi bahawa suami adalah tunggak rumahtangga. Sekaligus ianya adalah penentu arah dan haluan hidup keluarganya samada di dunia lebih-lebih lagi di akhirat. Sekiranya nakhoda kapal tempang atau pincang sebelah mata, maka akan musnahlah seluruh isi kapal dan tenggelamlah ia di lautan tanpa sempat menuju ke destinasi.

Wahai suami, mahukan anda memperjudikan nasib anak-anak kapal anda?

Renung-renungkan!

Capaian entry berkaitan:

  1. Nusyuz-suami
  2. Suami-juga-boleh-nusyuz
  3. Q&A : Suami juga boleh nusyuz
Updated : 15/05/2009 @ 0947hrs

0 KOMEN:

Catat Ulasan

Kongsikan komen anda di sini...

Related Posts with Thumbnails