Oleh Prof George Lee
Selepas sedekad di pasaran, berkesan atau memudaratkan?
RAMAI orang menganggap cinta mampu mengatasi segala-galanya. Namun, soal hubungan intim dalam bilik tidur mungkin menimbulkan kemusykilan yang lebih sukar dijawab. Selama bertahun-tahun lamanya, pakar perubatan bertanggungjawab menyelesaikan masalah keintiman dengan matlamat menjadikan pengalaman dalam hubungan seks lebih baik.
Sempena ulang tahun ke-10 pil biru sebagai penawar masalah disfungsi erektil (ED), kita masih tertanya-tanya adakah rawatan ini penyelesaian terhadap segala masalah di kamar asmara.
Di Asia, soal seks masih menjadi topik larangan dan menimbulkan kontroversi. Bukanlah penduduk Asia tidak mengadakan hubungan seks, tetapi perkara ini tidak dibicarakan secara umum. Malah, soal seks jarang dibincangkan di rumah atau dalam perbualan antara ibu bapa dan anak. Inikan pula soal ED yang pastinya bukan topik biasa dikongsi kebanyakan lelaki.
Sebenarnya, di kalangan lelaki Barat juga masalah ini disembunyikan. Siapa yang sanggup mengaku kelelakian mereka tercabar? Pasti tiada lelaki yang sanggup meluahkan masalah mereka.
Hasil tinjauan yang dikendalikan antara Mei hingga Julai tahun lalu mendedahkan 40 peratus daripada lelaki di Malaysia mengalami atau pernah mengalami satu bentuk ED.
VIAGRA mencetus fenomena ketika mula diperkenalkan di pasaran. |
ED bermaksud kegagalan mencapai atau mengekalkan ereksi atau ketegangan yang mencukupi untuk mengadakan hubungan seks memuaskan.
Antara punca ED termasuk peringkat awal masalah penyakit jantung dan diabetes; masalah saraf; kekurangan hormon (hipogonadisme) dan kesan sampingan ubat.
Bagaimanapun, ada kajian penting membuktikan bahawa isu psikologi dan perhubungan turut menjadi punca langsung kepada masalah ED. Masalah ED akibat gangguan psikologi berlaku apabila ereksi atau penembusan gagal berpunca daripada isu emosi dan fizikal.
Sildenafil Sitrat ditemui secara tidak sengaja oleh sekumpulan ahli kimia di Pfizer iaitu sebuah syarikat farmaseutikal di Amerika Syarikat (AS).
Penyelidikan awal mereka bertujuan mencari rawatan bagi hipertensi (tekanan darah tinggi) dan Angina Pektoris (kesakitan dada teruk atau penyakit jantung). Tetapi kajian itu menemui kesan sampingan yang agak memberangsangkan iaitu ia mencetus ereksi.
Menyedari kemujaraban ubat terbabit, pil ini dilancarkan sebagai rawatan kepada masalah ED dan bukannya angina. Ubat berkenaan dipatenkan pada 1996 dan diluluskan untuk diberi kepada pesakit pada 1998. Ubat ini menjadi rawatan oral pertama yang diluluskan untuk merawat ED.
Sejak itu, pil ini menjadi fenomena hebat hingga jenamanya menjadi jenama kedua paling diiktiraf di seluruh dunia selepas Coca-Cola. Selepas itu, ubat yang ada kaitan kimia dengannya seperti Tadalafil dan Vardenafil turut ditawarkan sebagai rawatan bagi penyakit ini.
Orang ramai mahukan ubat ini malah mungkin mereka memerlukannya. Tetapi adakah mereka tahu apa sebenarnya ubat ini dan mengapa ia diperlukan?
Walaupun bukan tugas saya untuk memuji pil biru atau pil oren kecil, saya ingin memaklumkan orang ramai mengenai apa sebenarnya yang diambil mereka. Penyalahgunaan berlaku apabila ubat digunakan untuk tujuan yang menyimpang daripada tujuan asal.
Mari kita lihat fakta ubat ED serta salah anggap di sebalik rawatan oral bagi ED:
Ya, pil ED adalah sejenis ubat. Ia berfungsi untuk memulihkan dan membantu ereksi tetapi bukan ubat untuk tujuan rekreasi atau secara suka-suka.
Bagi mereka yang menganggapnya sebagai rahsia awet muda, janganlah bermimpi di siang hari. Pil ini bertujuan untuk merawat ED dan tidak akan menjadikan anda
segagah pemuda berusia 21 tahun sekali lagi. Jika anda lelaki berusia 45 tahun yang sihat, anda tidak perlu mengambil pil ini. Jangan kelirukan rawatan ED dengan ubat penguat tenaga batin... Ini bukannya pil ajaib.
Ubat ED oral tidak memberi anda kesan serta-merta. Ereksi hanya akan berlaku dengan rangsangan seks. Pendek kata, tiada rangsangan seks, tiada ereksi.
Seperti anda tidak ketagih parasetamol atau buah peria, anda tidak akan ketagih mana-mana pil rawatan ED. Sesetengah orang yang ketagih dengan 'hasil' rawatan keliru mengenai punca ketagihan mereka. Tetapi, saya ingin menekankan bahawa rawatan perubatan ini tidak menyebabkan ketagihan ‘secara semula jadi’ dalam apa juga keadaan melainkan ia berpunca dari diri sendiri.
Secara saintifik, ubat ED oral lazimnya dikenali sebagai perencat PDE5 yang berfungsi dengan membebaskan sejumlah nitrik oksida tertentu. Ini seterusnya meningkatkan tahap Guanosina Monofosfat (cGMP), menyebabkan otot mengendur dan meningkatkan aliran darah lalu mencetus ereksi.
Paling penting, ia bertindak sebagai agen pengikat kompetitif dalam tisu erektil PDE5 organ pembiakan lelaki, menghasilkan lebih banyak cGMP dan ereksi lebih baik. Selain daripada ciri perubatan dan rangsangan seks, memainkan peranan penting untuk mendapatkan kepuasan sebenar.
Tidak lama dulu, ada seorang pesakit datang bersama isterinya. Lelaki ini mendakwa dibelenggu dilema serta susah terangsang di bilik tidur. Dia berpendapat ada sesuatu yang tak kena dengannya, lalu beliau mengelak sama sekali hubungan intim dengan isteri.
Isterinya pula mengesyaki suami mengadakan hubungan sulit dengan perempuan lain dan tidak lagi menaruh minat terhadapnya. Wanita ini hampir dilanda kemurungan. Mujurlah selepas berfikir masak-masak, pasangan terbabit membuat keputusan mendapatkan bantuan profesional dan datang menemui saya.
Menyedari bahawa kadangkala pil biru kecil ini memang diperlukan, saya mengesyorkannya kepada pasangan terbabit dan mereka tidak pernah menemui mereka lagi sejak itu.
Memang benar, kumpulan konservatif sering menekankan implikasi sosial dan budaya tetapi rawatan ini menggunakan ubat ED membuahkan hasil sehingga hari ini.
Jika diambil dengan sewajarnya, rawatan ED oral pasti meningkatkan prestasi dan keseronokan di bilik tidur.
Seperti semua ubat dan keputusan penting dalam hidup, semuanya ada kebaikan dan keburukan. Walaupun ada kumpulan yang menentangnya, rawatan ini, pada pandangan ahli kimia farmaseutikal dan doktor, bukan bertujuan untuk memperdaya diri sendiri atau menimbulkan masalah, tetapi mencetus keintiman yang mungkin hilang sejak sekian lama.
Prof George Lee ialah Prof Bersekutu Surgeri dan Urologi di Fakulti Perubatan Universiti Malaya, Kuala Lumpur.
Sumber : BHarian 2009/05/09
0 KOMEN:
Catat Ulasan
Kongsikan komen anda di sini...