Oleh Hasliza Hassan
Amalan sesuai sepanjang zaman ketika didik, bimbing anak agar jalani hidup sejahtera
NAMPAKNYA ibu bapa perlu bertanya kepada diri adakah mereka sudah mendoakan kesejahteraan untuk anak kerana kajian menunjukkan tidak sampai 10 peratus ibu bapa mendoakan anak mereka setiap hari.
Sedangkan, dalam al-Quran terkandung banyak doa khusus yang boleh dibacakan ibu bapa untuk kesejahteraan anak di dunia dan akhirat, begitu juga doa bagi menyelesaikan kerenah anak bermasalah.
Rasulullah SAW dalam hadis yang diriwayatkan Ibnu Majjah menegaskan tiga golongan jika berdoa pasti dimakbulkan iaitu orang dizalimi, orang musafir dan doa ibu bapa kepada anaknya.
Saranan berdoa sebagai usaha mendidik serta membimbing anak terutama yang bermasalah dibangkitkan Penolong Pengarah Bahagian Dakwah Jabatan Agama Islam Pahang, Badli Shah Alauddin, dalam program Halaqah di TV9 pada malam Khamis lalu.
Program membincangkan tajuk 'Keluar Rumah' itu mengupas kes remaja yang suka lari dari rumah dengan menyingkap faktor penyebab serta langkah yang boleh diambil bagi menanganinya secara berkesan.
Badlishah berkata, ibu bapa tidak wajar beranggapan doa tidak relevan membantu menyelesaikan isu anak bermasalah kerana Nabi Muhammad SAW juga meminta orang lain untuk mendoakan Baginda.
Justeru katanya, kehebatan doa perlu diperakui dan amalan itu menjadi kegemaran orang salih serta alim, begitu juga masyarakat Melayu yang sering mengingatkan orang lain untuk dikenang dalam doa mereka.
"Memang kita perlu berdoa tetapi kita juga perlu minta kenang daku dalam doamu kerana ia berkesan. Oleh itu, tidak wajar jika ada beranggapan doa tidak relevan dan anak yang bermasalah akan baik sendiri apabila mereka dewasa," katanya.
Beliau berkata, kepentingan serta kehebatan doa dirakamkan hadis diriwayatkan at-Tirmizi, apabila Saidina Umar meminta kebenaran Nabi Muhammad SAW untuk menunaikan umrah dan Baginda berpesan supaya Saidina Umar tidak lupa menyebut nama Baginda dan sahabat dalam doa beliau.
Hadis itu mendapat penilaian tinggi ulama antaranya Sheikh al-Mubarakfuri yang mengatakan ia bukti kehebatan berdoa kerana Nabi SAW pun meminta orang lain mendoakan Baginda. Sebab itu juga amalan doa sangat digemari orang salih dan alim.
Fakta mencatatkan sejak 2003 hingga sekarang, 16,020 remaja bawah umur 17 tahun lari dari rumah dan daripada jumlah itu, 9,415 berjaya ditemui sementara selebihnya tidak diketahui ke mana perginya. Daripada pecahan itu pula, 10,489 kes membabitkan remaja Muslim.
Menurut statistik Polis Diraja Malaysia (PDRM), 2,540 kes remaja keluar rumah kerana mengikut teman lelaki, 1,857 lari kerana terpengaruh rakan, 1,592 kerana masalah serta konflik dalam keluarga dan 1,371 kerana ingin kebebasan.
Badli Shah berkata, kesimpulan mudah boleh dibuat berdasarkan statistik dan faktor kenapa remaja suka lari dari rumah ialah usia antara 12 hingga 21 waktu kritikal dan mereka tidak boleh dibiarkan begitu saja.
"Mengikut ilmu psikologi, pada umur kritikal ini remaja tidak suka mendengar kata, menganggap segala tindakan mereka betul, kurang mendengar nasihat, suka mencuba perkara baru, tidak boleh ditegur dan paling bahaya rasa semua tindakan betul.
"Oleh itu, mereka memerlukan didikan dan bimbingan dari awal kerana kita pasti tidak mahu budaya nasi lemak buah bidara atau budaya tanam pinang rapat-rapat terus mempengaruhi remaja kita," katanya.
Beliau berkata, isu remaja keluar rumah bukan gejala kecil kerana mereka aset negara yang bakal mewarisi kepemimpinan akan datang.
Pegawai Jabatan Agama Islam Negeri Perlis, Hashim Othman al-Hafiz, berkata ibu bapa tidak wajar membiarkan remaja keluar tanpa tujuan kerana pelbagai kemungkinan boleh berlaku jika dibiarkan tanpa pengawasan.
Katanya, lebih baik ibu bapa memberi perhatian terhadap kegiatan anak bukan saja sebagai langkah kawalan, tetapi juga untuk menjaga keselamatan mereka kerana pelbagai perkara boleh berlaku.
"Sebaiknya remaja yang ingin keluar rumah ditemani ibu bapa kerana ada kes remaja hilang. Lagipun, ahli keluarga dapat memastikan remaja menjaga tatasusila apabila berada dalam masyarakat.
"Fenomena keluar rumah tanpa ditemani keluarga mengakibatkan gejala negatif seperti khalwat, berzina kerana remaja bebas. Ibu bapa perlu melatih serta membimbing anak kerana jika tidak dilatih, ibu bapa akan letih," katanya.
Beliau turut menekankan kepentingan amalan berdoa sebagai usaha ibu bapa meminta bantuan Allah untuk menangani anak yang bermasalah kerana Nabi SAW mengatakan tidak tertolak qada dan qadar Allah melainkan dengan doa.
Info
Doa untuk anak :
Sumber : BHarian 2009/05/21
0 KOMEN:
Catat Ulasan
Kongsikan komen anda di sini...