Soalan:
BAGAIMANA saya boleh menyemak pernikahan suami dengan isteri keduanya? Mereka bernikah tanpa pengetahuan saya. Minggu lalu saya terjumpa catatan lafaz taklik yang dibuat isteri kedua suami di komputer beliau. Lafaz taklik itu berbunyi: "Wahai suamiku. Aku isterimu membuat lafaz taklik terhadap dirimu jika aku mendapati engkau sengaja membuat hubungan sulit, berlaku curang terhadap diriku dengan perempuan di luar, sama ada berhubungan melalui telefon atau SMS dan juga jika engkau balik rumah binimu di Kedah dengan niat berjumpa dengannya bukan atas urusan kerja, maka dengan itu engkau melanggari akan lafaz taklikku ini, dengan serta-merta maka jatuh talak satu terhadap diriku." Adakah lafaz taklik itu sah?
Isteri duka,
Kedah.
Jawapan:
Persoalan pertama, puan boleh menghubungi pejabat agama Islam tempat asal isteri kedua suami atau pejabat agama tempat suami tinggal. Jika pernikahan itu didaftarkan, pihak berkenaan akan menyimpan rekod. Cuma dikhuatirkan pernikahan itu secara sindiket atau dibuat di luar negara. Jika demikian, sukar menyemak status pernikahan mereka.
Berhubung persoalan kedua, pada asasnya lafaz talak adalah hak suami. Firman Allah yang bermaksud: "Wahai Nabi! Apabila kamu (engkau dan umatmu) hendak menceraikan isteri (kamu) maka ceraikanlah mereka pada masa mereka dapat memulakan edahnya." (Surah at-Talaq, ayat 1)
Lafaz taklik adalah lafaz talak taklik (talak tergantung) yang dilafazkan apabila suami mengaitkan talak dengan sesuatu sifat atau syarat sama ada mempunyai hubungan dengan isterinya, suami sendiri atau orang lain.
Hikmah dijadikan talak di tangan suami dan bukan isteri bagi menjaga hubungan perkahwinan dan tidak diputuskan sewenang-wenangnya tanpa sebab yang wajar kerana lelaki membayar mahar dan membiayai nafkah isteri serta menyediakan tempat tinggal.
Kebiasaannya suami lebih berhati-hati membuat pertimbangan dengan memikirkan akibat buruk perceraian. Wanita lebih dipengaruhi emosi. Apabila berlaku talak, diikuti beberapa perkara bersifat harta seperti mahar, nafkah edah dan mutaah. Semua bebanan ditanggung lelaki dan ini membuatkan dia berfikir panjang sebelum menjatuhkan talak.
Wanita sejak awal lagi sudah menerima perkahwinan dengan talak berada dalam kekuasaan lelaki, sedangkan dia juga boleh mensyaratkan kuasa talak pada tangannya sejak permulaan akad perkahwinan lagi jika lelaki bersetuju berbuat demikian.
Bagaimanapun, ijmak ulama mengharuskan suami menyerahkan talak kepada isterinya atau mewakilkan kepada orang lain. Contoh, suami menyerahkan talak kepada isteri dengan berkata: "Awak talaklah diri awak sendiri".
Nabi SAW pernah memberi pilihan kepada isterinya sama ada terus tinggal bersama Baginda sebagai isteri atau berpisah kerana turunnya ayat yang bermaksud: "Wahai Nabi, katakanlah kepada isteri-isterimu, jika kamu semua mahukan kehidupan dunia (yang mewah) dan perhiasannya (yang indah) maka marilah supaya aku berikan kepada kamu pemberian mutaah (sagu hati) dan aku lepaskan kamu dengan cara sebaik-baiknya." (Surah al-Ahzab, ayat 28)
Menurut pendapat golongan Syafie, penyerahan talak adalah memberi milik kuasa bagi seseorang mengikut pendapat baru (qaul jadid). Syarat dikenakan bagi isteri segera menjatuhkan talak dan apabila isteri memiliki dirinya sendiri, maka pemilikan itu tidak boleh ditarik balik.
Sementara menurut pendapat golongan Hambali, orang yang diwakilkan talak itu berhak menjatuhkan talak pada bila-bila masa dikehendaki melainkan jika suami mengehadkan tempoh tertentu.
Orang yang diwakilkan itu tidak boleh menjatuhkan talak lebih daripada satu melainkan suami menyatakan sebaliknya. Jika suami mewakilkan talak kepada isteri dengan syarat, maka talak akan jatuh sebaik saja syarat itu dipenuhi. Ini berbeza dengan pendapat golongan Syafie yang mensyaratkan ia perlu dilaksanakan dengan segera tanpa bersyarat.
Merujuk persoalan puan, ia tertakluk ketentuan dan persetujuan antara suami puan dengan isteri keduanya. Jika suami ada atau tidak mewakilkan atau menyerahkan kuasa talak kepada isteri keduanya itu, maka si isteri berhak menceraikan dirinya sendiri.
Cuma jika memegang kepada pendapat golongan Syafie, isteri perlu menjatuhkan talak ke atas dirinya dengan segera, tidak boleh digantung atau ditaklikkan dengan syarat.
Jika suami tidak menyerahkan kuasa talak kepada isteri keduanya, lafaz taklik dibuat isteri kedua itu berkemungkinan besar tidak sah menurut hukum syarak.
Cuma dalam persoalan ini, ia adalah antara suami dan isteri keduanya. Mereka yang perlu memanjangkan perkara itu ke Mahkamah Syariah untuk pengesahan.
Jawapan disediakan Timbalan Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia, Musa Awang. Sila layari http://peguamsyarie.org.
Sumber : BHarian 2009/05/07
0 KOMEN:
Catat Ulasan
Kongsikan komen anda di sini...