Oleh Ustaz Najion Jamil
Allah SWT mencipta manusia dengan sebaik-baik kejadian berbanding makhluk lain kerana dianugerahkan pelbagai keistimewaan di samping menjadi khalifah Allah SWT mengurus serta memakmurkan bumi ini. Atas sebab itu, manusia khususnya umat Islam dituntut untuk menjunjung segala perintah Allah SWT sama ada yang berupa suruhan mahupun larangan. Antaranya ialah perintah melaksanakan solat, zakat, puasa dan haji di samping memakan benda yang halal lagi baik. Firman Allah SWT yang bermaksud, "Wahai sekalian manusia! Makanlah dari apa yang ada di bumi, yang halal lagi baik, dan janganlah kamu ikut jejak langkah syaitan, kerana sesungguhnya syaitan itu ialah musuh yang terang nyata bagi kamu." (Surah al-Baqarah, ayat 168)
Melalui ayat ini, Allah SWT memerintahkan kita supaya memakan benda atau rezeki dari sumber yang halal saja. Pada masa sama, kita juga dituntut supaya tidak mengikut jejak langkah syaitan yang kufur serta derhaka kepada Allah SWT. Sesungguhnya hal ini pasti ada hikmah, kebaikan dan kemudaratan di sebaliknya. Begitulah sifat Pengasih dan Penyayang Allah SWT kepada hamba-Nya. Dia tidak menjadikan sesuatu perkara itu dengan sia-sia.
Perintah memakan benda yang halal lagi baik beserta larangan mendampingi iblis dan syaitan wajib dipatuhi oleh setiap individu muslim justeru kesucian batin amat dititik-beratkan oleh Islam bagi memudahkan seseorang itu untuk mendapat petunjuk serta membentuk peribadi mulia sebagai seorang Muslim. Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Saidina Ali r.a., Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud, “Wahai Ali! Sesiapa makan makanan yang halal, maka cerahlah fahaman agamanya dan lembutlah hatinya dan tidak tertutup doanya kepada Allah.”
Ini menunjukkan bahawa halal atau haram benda yang dimakan atau diambil mempunyai impak atau kesan terhadap mutu ibadat. Sebagai contoh, benda haram sama ada yang dimakan, diminum ataupun diambil atau digunakan akan menjejaskan ibadat kita kepada Allah SWT. Ini kerana setiap kali melaksanakan ibadat, kita dituntut supaya sentiasa berada dalam keadaan suci dan bersih dari segi zahir dan batin. Jadi cuba bayangkan, apakah Allah mahu menerima ibadat serta doa kita sekiranya terdapat benda atau unsur-unsur haram dalam tubuh kita?
Yang jelas, makanan atau apa jua rezeki tidak halal yang masuk ke dalam perut seorang Muslim akan menjadi darah daging dan akan memberi kesan terhadap pembentukan peribadi. Malah unsur yang haram itulah juga yang akan menyebabkan seseorang itu dicampakkan ke dalam neraka sebagaimana sabda Rasulullah s.aw yang bermaksud, “Setiap daging yang tumbuh daripada makanan yang haram, maka api nerakalah yang layak baginya.” (Hadis riwayat at-Tirmizi)
Sehubungan dengan hadis ini, diriwayatkan bahawa Rasulullah SAW telah mengeluarkan semula buah kurma yang dimakan kedua-dua cucu Baginda, iaitu Hasan dan Husin apabila tidak mengetahui tuan punya buah yang dimakan oleh mereka. Peristiwa ini memperlihatkan betapa prihatinnya Baginda terhadap apa yang dimakan oleh cucu Baginda bagi memastikan tiada apa-apa yang haram yang masuk ke dalam perut mereka.
Piawaian digunakan al-Quran untuk pemakanan ialah halal lagi baik atau dalam bahasa Arabnya ialah "Halalan Toiyyiban". Maknanya, apa saja yang hendak dimakan, diminum atau diambil atau digunakan oleh umat Islam bukan saja halal dari segi zat dan sumbernya, malah ia juga harus bersih dan suci dalam semua aspek pemperolehannya yang meliputi sumber perolehan, cara pemprosesan atau prosedur pemperolehan dan lain-lain lagi. Piawaian ketat ini bertujuan memastikan apa yang diperolehi sebagai sumber rezeki atau makanan adalah yang baik dan tidak memudaratkan.
Dengan perkataan lain, sesuatu makanan dikatakan halal jika tidak memudaratkan fungsi fizikal dan rohani selain bebas daripada najis atau sumber haram menurut hukum syarak. Ini kerana seperti yang kita sedia maklum, kita makan atau mengambil atau menggunakan sesuatu bukan saja untuk menyihatkan tubuh dan fikiran, malah ia juga dilihat sebagai satu wasilah untuk memastikan kita berupaya melaksanakan suruhan serta meninggalkan larangan agama.
Justeru, umat Islam perlu memahami konsep halal dan haram makanan atau sumber rezeki yang akan menjadi darah daging masing-masing. Ini penting kerana makanan halal, baik, suci dan bersih mempunyai pengaruh terhadap peningkatan ketakwaan dan nilai ibadat seseorang.
Kita harus mengambil iktibar daripada keadaan masyarakat umat Islam hari ini, di mana sebahagian besarnya sudah menyimpang jauh dari landasan ajaran agama. Sebagai natijahnya, dadah dijadikan penawar duka, pergaulan bebas menjadi penyeri hidup, rasuah dan penipuan sebagai mata pencarian, arak dan judi lambang kemewahan, manakala kewajipan bersolat, berpuasa dan berzakat diabai-abaikan tanpa merasa berdosa.
Gejala berbahaya dan merugikan ini adalah di antara petanda bahawa apa yang dimakan, diminum, digunakan dan sebagainya oleh generasi hari ini mungkin terdiri daripada benda atau sumber yang haram atau juga mengandungi unsur-unsur syubhah iaitu perkara-perkara yang tidak jelas halal dan haramnya. Ini kerana benda haram yang dimakan atau diambil mengundang murka Allah SWT sekaligus terpinggir daripada beroleh petunjuk-Nya.
Begitu pun, anak-anak kita yang masih kecil tentunya masih belum mengerti apa-apa mengenai halal dan haram. Mereka tidak tahu sama ada apa yang mereka makan, pakai, gunakan dan belanjakan itu dari sumber yang halal atau sebaliknya. Maka ibu bapalah bertanggungjawab memastikan kesucian rezeki atau makanan yang dimakan. Ini bererti, ibu bapa berkewajipan memastikan apa saja sumber rezekinya memenuhi kehendak Syarak agar mendapat keberkatan daripada Allah SWT.
PEMILIHAN makanan perlu diambil perhatian kerana pada zaman ini umat Islam terdedah dengan pelbagai jenis makanan yang dihasilkan pengusaha bukan Islam. Tambahan pula penggunaan logo halal ada kalanya tidak membantu umat Islam memilih makanan halal kerana sesetengahnya diragui statusnya. Ini berikutan dengan pembongkaran media massa mengenai penipuan penggunaan logo halal dan bahan makanan haram dijual sebagai ‘halal’ di pasaran di negara ini.
Menyedari akan fenomena ini, umat Islam perlu mengetahui bahawa makanan halal mestilah diambil dari produk halal termasuklah ramuan didalamnya, tidak boleh dicampur dengan bahan haram ataupun syubahat yang akan menjadikan ramuan itu haram. Manakala binatang yang halal dimakan mestilah disembelih mengikut hukum Syarak, yakni mengikut kaedah penyembelihan ditetapkan dalam Islam.
Pada masa sama, penguatkuasaan lebih tegas perlu dilaksanakan oleh pihak yang berkuasa dalam menangani krisis keyakinan umat Islam terhadap produk makanan. Dalam hubungan ini, sudah tiba masanya Akta Halal digubal dan dikuatkuasakan bagi memperincikan penggunaan logo halal. Dengan adanya Akta Halal berkenaan, umat Islam akan lebih yakin dengan produk halal yang ada di pasaran.
Ini penting diambil tindakan yang sewajarnya memandangkan sejarah membuktikan bahawa antara punca kejatuhan dan kelemahan sesebuah kerajaan atau bangsa ialah berleluasanya maksiat seperti zina, minum arak, judi, rasuah, kezaliman dan sebagainya. Allah SWT memperingatkan kita mengenai hal ini melalui firman-Nya, yang bermaksud, “Dan jagalah diri kamu daripada (berlakunya) dosa (yang membawa bala bencana) yang bukan sahaja akan menimpa orang yang zalim di antara kamu secara khusus (tetapi akan menimpa kamu secara umum). Dan ketahuilah bahawa Allah Maha berat azab siksanya.” (Surah Al-Anfal, ayat 25)
Jelas daripada inti pati ayat suci itu bahawa perbuatan membiarkan saja maksiat berleluasa dalam masyarakat akan membawa bala bencana yang bukan saja menimpa orang berdosa, malah masyarakat keseluruhannya. Inilah sebabnya maka pelbagai bala bencana melanda dunia ini sejak kebelakangan ini yang berupa penyakit dan bencana alam seperti gempa bumi, banjir, jerebu di samping pembunuhan dan peperangan yang belum kunjung padam. Ini seharusnya menjadi pengajaran kepada setiap Muslim untuk menjauhi dirinya daripada perbuatan dilarang Allah SWT di samping mencegah perbuatan terlarang seperti memakan benda yang haram, zina, judi, dan sebagainya merebak dalam masyarakat.
Ingat dan insaflah bahawa sesungguhnya makanan yang haram, sama ada ia daripada bahan yang dicampur najis dan benda syubhah atau daripada punca yang tidak halal dan syubhah, maka pasti akan datang tiga bahaya besar kepada si pemakannya.
Pertama, makanan itu akan mempengaruhi jiwa sehingga dia berasa lebih gemar melakukan kejahatan dan maksiat serta bencikan kerja kebajikan atau ketaatan;
Kedua, sebarang doanya tidak akan dimakbulkan Allah SWT dan
Ketiga, ia akan menyebabkan dia disiksa dalam neraka Allah SWT di hari akhirat nanti.
Setiap suruhan dan tegahan dalam Islam mempunyai hikmahnya yang tersendiri. Oleh itu patuhilah segala perkara yang dianjurkan oleh Islam agar kita beroleh rahmat serta hidayah dari Allah SWT. Firman Allah yang bermaksud, “Wahai orang beriman! Masuklah kamu ke dalam agama Islam (dengan mematuhi) segala hukum-hakamnya dan janganlah kamu menurut jejak langkah syaitan. Sesungguhnya syaitan itu musuh bagi kamu yang terang nyata.” (Surah al-Baqarah, ayat 208)
Sumber : Bahagian Penyelidikan dan Informasi, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah
“YA ALLAH, AKU BERLiNÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA PERASAAN SEÐiH ÐAN ÐUKACiTA, AKU BERLINÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA LEMAH ÐAN MALAS, AKU BERLiNÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA BAHKiL ÐAN PENAKUT ÐAN AKU BERLiNÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA BEBAN HUTANG ÐAN TEKANAN PERASAAN.”
“YA ALLAH, BUKAKANLAH UNTUKKU PiNTU-PiNTU KEBAiKAN, PiNTU-PiNTU KESELAMATAN, PiNTU-PiNTU KESiHATAN, PiNTU-PiNTU KENiKMATAN, PiNTU-PiNTU KEBERKATAN, PiNTU-PiNTU KEKUATAN, PiNTU-PiNTU CiNTA SEJATi, PiNTU-PiNTU KASiH SAYANG, PiNTU-PiNTU REZEKi, PiNTU-PiNTU iLMU, PiNTU-PiNTU KEAMPUNAN ÐAN PiNTU-PiNTU SYURGA, YA ALLAH YANG MAHA PENGASiH LAGi MAHA PENYAYANG.”
Jumaat, Mei 22, 2009
Makanan Halal Lagi Baik Sempurnakan Ibadat
Susunan :
Bawang Goreng
pada
5/22/2009 02:08:00 PTG
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
0 KOMEN:
Catat Ulasan
Kongsikan komen anda di sini...