PERSEPSI yang bertapak di minda masyarakat bahawa masjid hanya tempat bagi mereka berkelapangan, orang tua yang bersara atau yang alim ilmu keagamaan, persepsi jumud yang tidak harus wujud pada zaman ketandusan aspek nilai murni hidup bermasyarakat.
Betapa besar ganjaran bagi mereka yang memakmurkan masjid dijelaskan dalam al-Quran dan hadis Nabi Muhammad SAW, namun ada golongan masih sukar diikat hatinya untuk hadir ke rumah Allah.
Masjid ialah institusi yang bukan saja penting bagi umat Islam untuk tujuan ibadat malah, menjadi pusat percambahan dan pengembangan ilmu pengetahuan, penyatuan perpaduan masyarakat, tempat mencari ketenangan jiwa dan suatu masa dulu sebagai tempat mesyuarat dan penstrukturan pentadbiran kerajaan.
Pembinaan Masjid Quba, ketika hijrah Nabi SAW dari Makkah ke Madinah antara program awal dalam kerangka kronologi peristiwa agung hijrah membuktikan pentingnya masjid dalam pembentukan kerajaan.
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Janganlah kamu bersusah payah untuk musafir melainkan ke tiga masjid. Masjidku ini (Masjid Nabi), Masjidilharam dan Masjidilaqsa. Aku juga pernah mendengar Baginda bersabda: Janganlah seseorang wanita musafir selama dua hari melainkan bersama mahram atau suaminya.” (Hadis riwayat Muslim)
Mengimarahkan masjid harus menjadi tanggungjawab setiap Muslim merentas sempadan usia, bangsa, warna kulit dan tidak mengira masa. Masjid tidak hanya dipenuhi pada Jumaat atau Ramadan dan hari raya. Paradigma sesetengah kita masjid tempat bagi ulama saja suatu yang perlu diubah. Persepsi salah masjid hanya tempat mereka yang pencen wajar ditepis, selaras hadis Baginda SAW yang menggesa umatnya merebut peluang masa muda sebelum tua dan masa sihat sebelum sakit.
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Rebut lima perkara sebelum datang lima perkara. Masa sihat sebelum sakit, kaya sebelum miskin, lapang sebelum sibuk, muda sebelum tua dan hidup sebelum mati.” (Hadis riwayat al-Hakim dan al-Baihaqi)
Ketika usia muda biasanya kesihatan lebih baik berbanding apabila umur meningkat yang sering uzur seperti sakit sendi, lenguh otot, cepat penat, letih, termasuk kurangnya penglihatan serta pendengaran untuk menangkap kandungan program ilmu yang disampaikan. Bagi menjadikan perkara yang baik itu tabiat, ia memerlukan proses membiasakan diri seperti kata orang, tak kenal maka tak cinta. Tarbiah dianjurkan sepanjang Ramadan harus menjadi motivasi yang cukup untuk menjadikan seseorang menggantungkan hatinya di masjid.
Anak harus dibiasakan sejak kecil berjinak dengan masjid. Mungkin pada peringkat awal, mereka diajak bersolat waktu saja dan lama-kelamaan apabila rasa cinta sudah berputik, masa di masjid boleh dipanjangkan untuk mengikuti kuliah dan majlis ilmu. Mungkin ada juga yang berpandangan tidak semestinya orang selalu ke masjid baik atau mereka yang sentiasa bersolat di rumah lebih khusyuk dan ikhlas, selaras dengan keutamaan untuk menjaga hati terutama dalam hal ibadah.
Firman Allah yang bermaksud: “Sesungguhnya yang memakmurkan masjid Allah hanya orang yang beriman kepada-Nya dan hari kemudian, serta (tetap) mendirikan solat, menunaikan zakat dan tidak takut (kepada siapa pun), kecuali Allah. Maka, mudah-mudahan mereka termasuk orang yang mendapat petunjuk.” (Surah at-Taubah, ayat 18)
Pihak pengurusan masjid perlu sentiasa proaktif mencari idea dan membuat perancangan program untuk menarik masyarakat menjinakkan hati mereka yang lebih muda untuk ke masjid. Selain mewujudkan suasana beribadah yang kondusif dari segi penjagaan kebersihan, pelbagai program perlu diatur untuk mencapai objektif menjadikan masjid sebagai rumah kedua.
Program sukan misalnya, boleh distrukturkan bersesuaian dengan matlamat menjemput golongan lebih muda dan aktif supaya turut sama menjayakan program mengimarahkan masjid. Majlis ilmu yang dianjurkan harus dapat menarik perhatian pelbagai lapisan usia dan kelas pengajian tidak harus fokus kepada satu golongan saja.
Mufti Perlis, Dr Juanda Jaya mencadangkan pekarangan masjid dilengkapi gelanggang sukan dan landskapnya diperindahkan. Kawasan masjid yang lapang harus dimanfaatkan. Sesungguhnya amat bertuah jika program dianjurkan masjid dihadiri mereka yang tidak pernah menjejakkan kaki sebelum ini dan lebih bertuah jika impak program itu menjadikan mereka pengunjung tetap masjid selepas itu.
Malang jika kali pertama mereka yang mula menjinakkan diri ke masjid mengambil keputusan sebaliknya hanya disebabkan faktor yang menjatuhkan imej sesebuah masjid disebabkan tidak peka kepada keperluan jemaah. Golongan yang mula menjinakkan hati ke masjid wajar diberi sokongan tanpa mengira latar belakang, cara berpakaian asalkan menutup aurat, teguran penuh berhikmah jika ada kesilapan dilakukan sewaktu beribadah. Kritikan secara terbuka atau dengan cara memberitahu orang lain kesilapan jemaah baru boleh mengakibatkan malu pada diri dan akhirnya itulah kali pertama yang menjadi kali terakhir mereka singgah bersolat di masjid.
Selain usaha memupuk kesedaran dalam diri sendiri, sokongan masyarakat sekitar tidak boleh dinafikan kepentingannya. Justeru, kehadiran di masjid patut diraikan setiap yang ada supaya matlamat mencari keredaan serta rahmat dapat dicapai. Masjid adalah kunci kerahmatan, pintu perpaduan, ada semangat persaudaraan dan ia ditinggikan martabatnya sebagai tempat paling mulia di bumi sebagai rumah Allah. Tidak hadirkah rasa mulia di hati kita untuk menjadi tetamu-Nya?
Dr Irfan Mohamad ~ Penulis ialah Pensyarah Kanan ORL Pusat Pengajian Sains Perubatan Universiti Sains Malaysia
Sumber : BHarian 2009/05/29
0 KOMEN:
Catat Ulasan
Kongsikan komen anda di sini...