Assalamalaikum,
Salam persaudaraan buat semua pengunjung blog.
Iman adalah ikatan perhubungan antara manusia dengan Allah SWT. Ini bersesuaian dengan hakikat Islam yang membina kekuatan dalaman insan dan sentiasa pula menginginkan kebaikan.
Sebagai manusia biasa, kita seharusnya tunduk terhadap apa jua ujian Allah SWT dengan sabar. Bagaimanapun, kebiasaannya ramai yang kecundang apabila menghadapi ujian Allah, mudah putus asa, resah dan hilang sabar dengan sedikit kesulitan atau cabaran biarpun ia menjanjikan sesuatu kejayaan. Malah apabila ditimpa kesusahan, kemiskinan, kesakitan dan permasalahan, kita semakin tercabar dan hilang sabar. Ada pula hampir melupakan bahawa segala yang berlaku adalah kudrat Allah SWT yang mesti diterima dengan sabar. Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya, “Dan sesiapa yang bersabar, maka Allah akan menjadikan dirinya penyabar, dan tiada pemberian yang (Allah) berikan kepada seseorang yang lebih baik dan lebih luas (manfaatnya) daripada kesabaran.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)
Ditinjau keadaan dunia hari ini, dalam era globalisasi yang dicirikan ruang siber, teknologi maklumat dan digital, umat Islam tidak terkecuali daripada pelbagai masalah, ujian dan cabaran. Bagaimanapun, pengalaman dan kenyataan menggambarkan ramai antara kita tidak bersabar menempuh ujian dan cabaran.
Malah, ada segelintir umat Islam tidak dapat menerima perubahan dan peralihan struktur sosial, ekonomi dan technologi, yang akhirnya menyebabkan mereka terpinggir dalam penguasaan teknologi. Ini berkait rapat dengan sikap ketidak-sabaran dalam penerokaan ilmu di mana cabaran dan masalah dianggap menyusahkan atau membebankan.
Ujian Allah SWT
Dalam pada itu, kita sering mudah tunduk kepada tekanan emosi dan nafsu dalam menghadapi persaingan mengejar kemajuan kerana sikap tidak sabar untuk berkuasa. kita tidak sabar dengan nafsu materialisme hingga memilih jalan mudah untuk mencapai kedudukan. Malah, ada yang terbabas daripada tuntutan Islam sehingga mengamalkan perbuatan yang terang-terangan bertentangan dengan Islam seperti penyelewengan, penipuan dan salah guna kuasa. Kita juga tidak sabar apabila ditegur datau dikritik walaupun teguran itu untuk kebaikan bersama sehingga mencetuskan krisis berpanjangan.
Kita juga tidak sabar apabila diuji dengan sedikit masalah seperti kesusahan, kerugian, karenah keluarga, pekerjaan, perniagaan dan pendidikan. Umat Islam tidak seharusnya bercakap kosong, tetapi mampu bertindak berbekal kesabaran di dada, menangani keadaan yang berkemungkinan memudaharatkan serta disusuli dengan menunaikan kewajipan kepada Allah dan menyelamatkan diri daripada melakukan perkara mungkar. Justeru, umat Islam yang mempunyai akidah yang teguh akan mudah menerima bencana, kesukaran, cabaran dan masalah yang berlaku berpunca daripada kecuaian manusia sendiri, perlu sabar menghadapi ujian Allah itu.
Allah berfirman yang maksudnya, “Kamu sungguh-sungguh akan diuji terhadap hartamu dan dirimu. Dan (juga) kamu sungguh-sungguh akan mendengar dari orang-orang yang diberi Kitab sebelum kamu dan dari orang-orang yang mempersekutukan Allah, gangguan yang banyak yang menyakitkan hati. Jika kamu bersabar dan bertakwa, maka sesungguhnya yang demikian itu termasuk urusan yang patut diutamakan.” (Surah ali-‘Imran, ayat 186).
Allah SWT berfirman lagi yang bermaksud, “Dan sungguh akan Kami berikan cobaan kepadamu, dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa dan buah-buahan. Dan berikanlah berita gembira kepada orang-orang yang sabar, (yaitu) orang-orang yang apabila ditimpa musibah, mereka mengucapkan, "Innaa lillaahi wa innaa ilaihi raaji`uun" Mereka itulah yang mendapat keberkatan yang sempurna dan rahmat daripada Tuhan mereka, dan mereka itulah orang-orang yang mendapat petunjuk.” (Surah al-Baqarah, ayat 155-157)
Ditinjau perjalanan hidup di kalangan utusan Allah dan orang-orang soleh, mereka juga tidak terkecuali daripada ujian dan kesukaran hidup sebelum mencapai kejayaan. Malah, berapa ramai di kalangan mereka yang hidup sengsara dan menderita, tetapi tetap bersabar. Nabi Adam, Nuh dan Muhamamd tidak terkecuali daripada ujian Allah SWT dan kesukaran hidup. Nabi Muhammad SAW sendiri bukan sekadar diuji dengan kesukaran dalam menegakkan Islam tetapi dijanjikan kedudukan dan kemewahan dunia oleh kaum Quraisy sekiranya baginda tidak meneruskan perjuangan menyebarkan syiar Islam. Malah, kronologi peristiwa hijrah baginda SAW seharusnya dijadikan iktibar, bagaimana kesabaran baginda berjaya membina kegemilangan negara Islam.
Allah SWT berfirman melalui surah Asy-Syaaffaat, ayat 102 mengenai sikap kesabaran Nabi Islami apabila bapanya Nabi Ibrahim mendapat perintah Allah supaya menyembelihnya sebagai korban kepada Allah SWT. Nabi Ismail dengan sabar berkata, “Wahai bapa, jalankanlah apa yang diperintahkan kepadamu, insya Allah bapa akan mendapati aku daripada orang-orang yang sabar.”
Capai kejayaan
Kita sering mendengar riwayat Bilal Rabbah, seorang hamba yang sangat penyabar. Sungguhpun diseksa dan dicaci, beliau tetap bersabar dan imannya tidak pernah berganjak walau seincipun. Kesabarannya mendapat ganjaran di dunia apabila dimerdekakan oleh Abu Bakar as-Siddiq dan pada akhirnya dijanjikan syurga oleh Allah SWT.
Dalam satu riwayat lain, diceritakan kesabaran dan keimanan Ammar, anak Yassir dan Sumaiyah, ketika berdepan dengan seksaan kaum musyrikin di Makkah. Rasulullah SAW ketika melawat keluarga Ammar, telah bersabda yang bermaksud, “Bersabarlah kamu wahai keluarga Yassir, kesabaran kamu akan dianugerahkan balasan syurga.”
Panduan bagi orang-orang yang ditimpa bencana
Dari Syaddad bin Aus dan Al-Sunabihi r.a. bahawa keduanya telah masuk melawat seorang sakit, lalu mereka bertanya kepadanya, “Bagaimana keadaanmu pagi ini?” Ia menjawab, “Aku berada dalam keadaan baik.” Syaddad berkata kepadanya, “Bergembiralah engkau dengan perkara-perkara yang menghapuskan dosa-dosa dan menggugurkan kesalahan, kerana aku telah mendengar Rasulullah SAW bersabda: ‘Sesungguhnya Allah 'Azza wa Jalla berfirman: Apabila aku menguji seseorang dari hamba-hamba-Ku yang mukmin dengan sesuatu penyakit, lalu ia memuji-Ku kerana ujian-Ku itu maka sesungguhnya ia akan bangkit dari tempat baringnya itu seperti masa ia dilahirkan oleh ibunya - bersih dari segala kesalahan’, dan Tuhan Tabaraka wa Taala berfirman kepada Malaikat penulis amal itu: ‘Aku telah mengikat hamba-Ku itu dan telah mengujinya, maka lakukanlah kepadanya apa yang kamu biasa lakukan untuknya (menulis amal baiknya) semasa ia berkeadaan sihat.’” (Hadis Riwayat Syaddad bin Aus dan Al-Sunabihi r.a.)
Antara sabar dan mengeluh
Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud, “Sesungguhnya orang mukmin akan menerima tekanan hidup kerana tidak ada satu bencana sama ada kerana terkena duri atau yang lebih besar, tidak juga ketakutan melainkan Allah akan mengangkat darjatnya satu darjat dan menghapuskan satu kesalahan dengan kesabarannya menghadapi bencana dan kesusahan tersebut.” (Hadis Riwayat al-Hakim)
Pengajaran dan kesimpulan
1. Sabar adalah sifat mulia (mahmudah) yang mesti dimiliki oleh setiap umat Islam. Orang yang berusaha melatih dirinya bersabar dan terus bersabar adalah orang dikasihi serta dekat dengan Allah SWT. Allah memandangnya dengan pandangan rahmat.
2. Orang yang banyak bersabar dalam membentuk dirinya untuk menjadi seorang penyabar (as-Sobirun), tidak akan disia-siakan Allah. Akhirnya, ia akan ditulis di sisi Allah sebagai hamba yang penyabar. Apabila seseorang memiliki sifat sabar, maka ia telah memiliki kebaikan dan keuntungan yang banyak. Apabila seseorang dianugerahkan sifat sabar, maka ketahuilah bahawa Allah taala mahu memberikan kepadanya manfaat yang besar lagi luas, berpanjangan dari dunia sampai akhirat.
3. Tribulasi atau ujian adalah seiringan dengan perjuangan. Oleh itu ia tetap memerlukan bekalan iman, sabar dan istiqamah. Untuk memiliki sifat sabar, perlulah ada latihan yang berterusan.
4. Ujian dijadikan Tuhan untuk mengukur sama ada keimanan seseorang itu kepada Allah dan seluruh ajaran-Nya adalah benar dan diikuti oleh perlakuan dan tindakan atau hanya terhenti setakat di mulut sahaja.
5. Umat Islam akan diuji dengan lima perkara iaitu saudara seagama yang sentiasa dengki terhadapnya, orang munafiq yang sentiasa membencinya, orang kafir yang sentiasa memeranginya, syaitan yang sentiasa berusaha menyesatkannya dan bisikan hawa nafsu yang sentiasa menggoncang keimanannya. Semuanya ini menuntut kesabaran dan di dalamnya terdapat ganjaran pahala yang besar daripada Allah SWT.
6. Lawan bagi sabar adalah mengeluh dan ia merupakan perbuatan yang amat dilarang oleh agama kerana dengan mengeluh akan membuatkan semangat menjadi lemah dan terbitnya perasaan kecewa dan putus asa sedangkan Allah SWT berfirman dengan maksudnya: “Sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan.” (Surah al-Insyirah, ayat 6)
7. Tanpa masalah atau ujian tidak akan wujud kematangan kerana pengalaman dalam menyelesaikan masalah adalah guru terbaik dalam menjamin kejayaan dalam kehidupan.
8. Antara keutamaan sifat sabar ialah:
a. masuk syurga tanpa hisab (perhitungan)
b. diampunkan dosa-dosa yang lalu
c. memilliki iman yang sejati.
Begitulah kelebihan sifat sabar yang bukan sahaja menjanjikan kejayaan di dunia bahkan kenikmatan di akhirat. Justeru, kita perlu menanam sifat sabar dan meningkatkan lagi keimanan, di samping tidak meremehkan hal fardu kifayah seperti mendalami ilmu pengetahuan dan sebagainya.
Sebuah sketsa
Ali bengang gila bila dia mendapati cucur udang yang dibelinya tidak ada seekorpun udang di dalam cucur udangnya. Lalu dia pun bergegas balik ke gerai makcik menjual kuih. Dengan panas hati, Ali bertanya kepada makcik, katanya, “Makcik apa pasal cucur udang ini seekor udang pun tak ada?!”
Makcik yang menjual kuih itu dengan selambanya menjawab, “Habis tu, yang kamu beli
cucur badak, ada tak badak kat dalamnya?! Macaman pulak dengan cucur kodok, ada kamu jumpa kodok yang melompat?!”
Ali rasa macam hendak membunuh makcik si penjual kuih setelah mendengar jawapan yang diberikan.
**Moral: Hidup ini kena banyak bersabar! Sabar adalah sebahagian dari IMAN. Anggap segala yang berlaku, hanya untuk menguji keIMANan kita....
“YA ALLAH, AKU BERLiNÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA PERASAAN SEÐiH ÐAN ÐUKACiTA, AKU BERLINÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA LEMAH ÐAN MALAS, AKU BERLiNÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA BAHKiL ÐAN PENAKUT ÐAN AKU BERLiNÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA BEBAN HUTANG ÐAN TEKANAN PERASAAN.”
“YA ALLAH, BUKAKANLAH UNTUKKU PiNTU-PiNTU KEBAiKAN, PiNTU-PiNTU KESELAMATAN, PiNTU-PiNTU KESiHATAN, PiNTU-PiNTU KENiKMATAN, PiNTU-PiNTU KEBERKATAN, PiNTU-PiNTU KEKUATAN, PiNTU-PiNTU CiNTA SEJATi, PiNTU-PiNTU KASiH SAYANG, PiNTU-PiNTU REZEKi, PiNTU-PiNTU iLMU, PiNTU-PiNTU KEAMPUNAN ÐAN PiNTU-PiNTU SYURGA, YA ALLAH YANG MAHA PENGASiH LAGi MAHA PENYAYANG.”
Isnin, Mei 11, 2009
Kelebihan sifat sabar
Susunan :
Bawang Goreng
pada
5/11/2009 09:30:00 PG
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
0 KOMEN:
Catat Ulasan
Kongsikan komen anda di sini...