“YA ALLAH, AKU BERLiNÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA PERASAAN SEÐiH ÐAN ÐUKACiTA, AKU BERLINÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA LEMAH ÐAN MALAS, AKU BERLiNÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA BAHKiL ÐAN PENAKUT ÐAN AKU BERLiNÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA BEBAN HUTANG ÐAN TEKANAN PERASAAN.”


“YA ALLAH, BUKAKANLAH UNTUKKU PiNTU-PiNTU KEBAiKAN, PiNTU-PiNTU KESELAMATAN, PiNTU-PiNTU KESiHATAN, PiNTU-PiNTU KENiKMATAN, PiNTU-PiNTU KEBERKATAN, PiNTU-PiNTU KEKUATAN, PiNTU-PiNTU CiNTA SEJATi, PiNTU-PiNTU KASiH SAYANG, PiNTU-PiNTU REZEKi, PiNTU-PiNTU iLMU, PiNTU-PiNTU KEAMPUNAN ÐAN PiNTU-PiNTU SYURGA, YA ALLAH YANG MAHA PENGASiH LAGi MAHA PENYAYANG.”


Isnin, Mei 11, 2009

Nabi dan Perang Fujjar

KISAH pertemuan Nabi Muhammad SAW dengan Rahib Buhaira dikatakan masih diselubungi pelbagai misteri dan persoalan. Malah ada yang mengatakan pertemuan itu tidak sekadar baginda diakui sebagai bakal Nabi terakhir yang ditunggu-tunggu oleh pengikut Yahudi dan Nasrani.

Tetapi baginda dikatakan menerima objek tertentu dari rahib itu yang selama ini disimpan dan menunggu masa sahaja untuk diserahkan kepadanya. Namun perkara ini tidak dapat dipastikan kesahihannya. Kecuali kita mengkaji lebih teliti sejarah-sejarah terbabit terutama ajaran Nasrani yang dikenali Kristian Nestorian ini.

Ramai yang ingin mengetahui kisah selanjutnya mengenai Buhaira ini setelah beliau berjaya dalam misi mengenalpasti kerasulan yang terdapat pada seorang kanak-kanak yang dibawa oleh Abu Talib untuk berdagang ke Syam itu.

Adakah setelah menemui Rasulullah dan menyaksikan pelbagai tanda kebesaran termasuk beliau dapat melihat dengan jelas awan yang rendah dan mengekori perjalanan rombongan dagangan Abu Talib bagi melindungi mereka dari cahaya terik matahari, beliau terus kekal dengan pegangan Nasraninya itu?

Kisah selanjutnya kali ini, tidak kurang menariknya apabila dikatakan dalam usia 15 tahun Nabi Muhammad SAW telah menunjukkan keberanian yang luar biasa apabila buat pertama kali baginda terlibat dalam peperangan.

Ini apabila berlaku peperangan antara Arab Quraisy melawan puak atau suku Hawazan. Iaitu yang dikenali sebagai Perang Fujjar. Bagi sesetengah riwayat menyebutnya sebagai Perang Fijar bererti 'jahat'.

Dalam peperangan itu, Nabi SAW berada dalam posisi perang yang tidak kurang penting. Baginda membekalkan anak-anak panah untuk bapa-bapa saudaranya yang turut serta dalam peperangan itu. Dengan kata lain, baginda bertanggungjawab mempersiapkan mereka anak-anak panah untuk menyerang musuh.

Diceritakan juga, baginda sangat pintar dengan bertindak mengutip dan mengumpulkan semua senjata termasuk tombak dan anak-anak panah yang dilepaskan oleh pihak musuh untuk diguna semula oleh pihak Quraisy.

Begitu pun dalam riwayat sejarah yang lain seperti yang ditulis oleh Jaafar Subhani, baginda dalam peperangan itu mempunyai peranan yang lebih mencabar apabila dalam usia yang semuda itu Nabi Muhammad dikatakan bertindak menangkis atau memintas serangan anak-anak panah yang disasarkan untuk mencederakan bapa-bapa saudaranya itu.

Ibnu Hisyam meriwayatkan kata-kata Nabi yang menyebut: "Aku menangkis anak-anak panah yang diarahkan kepada pakcik-pakcik ku itu".

Bagaimana baginda dapat bertindak dengan sebegitu berani tidaklah diketahui tetapi yang pasti perbuatan itu sangat membahayakan kepada nyawa baginda sendiri.

Namun sebelum itu, kita mesti mengetahui apakah kisah sebenar di sebalik sejarah Perang Fujjar yang dari aspek lughahnya bermakna 'tidak adil' ini.

Bulan diharamkan perang

Perang Fujjar sebenarnya merupakan siri-siri perangan yang berlaku dalam bulan-bulan yang diharamkan untuk semua penduduk Arab berperang sesama mereka.

Ini kerana penduduk Arab di zaman Jahiliah ini seperti yang diketahui umum sering menghabiskan sebahagian besar masa mereka dengan berperang, bertempur atau pergaduhan terutama melibatkan kabilah atau suku-suku kaum.

Punca perang adalah daripada soal yang titik bengik sehinggalah kepada soal yang sebesar-besar punca.

Fenomena perang ini tidak menjanjikan keamanan dan kedamaian sehingga kehidupan menjadi tergugat. Ia menganggu urusan seharian terutama dalam sektor perniagaan dan perdagangan yang telah menjadi nadi ekonomi penduduk Arab itu.

Tetapi pada hakikatnya mereka tidak dapat mengelak daripada peperangan demi peperangan. Pada bila-bila masa sahaja ia boleh meletus tanpa ada sesiapa dapat menahannya lagi.

Hakikat ini terpaksa mereka akui tetapi kata sepakat dan persetujuan dicapai supaya peperangan tidak boleh berlaku pada bulan-bulan yang diharamkan berperang. Iaitu dalam tempoh setahun, mereka diharamkan berperang dalam bulan Rejab, Zulkaedah, Zulhijjah dan Muharam. Dalam tempoh empat bulan ini tiada sebarang peperangan dibenarkan.

Dengan lain perkataan di luar bulan-bulan tersebut jika mereka hendak berperang juga maka itu tidak dapat dielakkan lagi.

Justeru, dalam tempoh empat bulan yang aman itu seluruh penduduk dapat merancakkan semua kegiatan perekonomian mereka, keluar bekerja, berniaga dan sebagainya asalkan sahaja pendapatan diperolehi dan hidup dapat diteruskan.

Ketetapan bulan-bulan yang diisytiharkan haram berperang ini menyaksikan pasar-pasar seperti Ukaz, Dzul Majjaz dan Mujannah begitu sibuk dan sesak dengan segala macam aktiviti perniagaan. Sama ada mereka kawan atau lawan, masing-masing akan berurusan dengan baik dan mengelak dari berlaku sebarang pergaduhan dan pertengkaran.

Ketika itu jugalah golongan 'artis' atau penggiat-penggiat seni yang masyhur akan tampil dan memukau perhatian para pendengar dan penonton dengan nyanyian-nyanyian lagu dan syair, hasil ciptaan yang bermutu tinggi.

Tidak kalah juga para pemidato-pemidato yang turut mengambil bahagian untuk menonjolkan bakat berpidato mereka sehingga begitu ramai yang terpegun dan asyik mendengarkannya.

Ketika ini juga para rahib dan pendita Yahudi Nasrani dan ketua-ketua ajaran pagan atau animisme akan memperkenalkan ajaran agama dan kepercayaan masing-masing kepada orang ramai.

Mereka 'berdakwah' secara lantang di hadapan khalayak seluruh penduduk Arab terutama yang mengunjungi Kota Mekah tanpa sebarang khuatir terhadap mana-mana pihak.

Sosio budaya

Begitulah uniknya suasana sosio budaya Arab Jahiliah apabila semuanya menghormati bulan-bulan yang diharamkan berperang itu.

Tetapi seperti yang disebutkan sebelum ini, perang tetap juga meletus tanpa mengira masa dan keadaan.

Peperangan yang berlaku di bulan-bulan haram inilah dikenali sebagai Perang Fujjar atau Fijar kerana melanggar 'adat' atau tempoh gencatan tersebut.

Namun dikatakan juga Perang Fujjar ini adalah perang yang berlaku di Tanah Haram, iaitu kawasan sekitar atau berhampiran Kaabah dan Kota Mekah yang diharamkan dari berlaku sebarang pembunuhan hatta membabitkan seekor semut!

Mungkin anda berminat untuk mengetahui beberapa siri Peperangan Fujjar ini, dari empat catatan perang yang ditemui termasuk salah satunya yang disertai oleh baginda Nabi Muhammad, kesemuanya mempunyai kisah yang menarik.

1) Perang Fujjar Pertama. Perang ini meletus melibatkan pertempuran antara Kabilah atau Suku Kananah dan Hawazan yang berpunca dari satu peristiwa yang agak pelik namun agak melucukan.

Ini apabila salah seorang dari Kabilah tersebut bernama Badar bin Masyar memilih Pasar Ukaz untuk beliau membacakan sajak atau syair puji-pujian setiap hari di hadapan para pengunjung dan para penonton deklamasi sajak itu.

Pada suatu hari, dengan sebilah pedang tajam yang terhunus, Badar menarik perhatian pendengar dengan berkata:

"Aku orang yang paling terhormat!

Sesiapa yang cuba menolak pengakuan ku ini,

Akan ku tebas dengan pedang ini,

Bagi kau rasa tajamnya senjata ku ini!"

Ketika itulah, seorang lelaki dari suku kaum yang lain tiba-tiba bangkit dan menebas kaki Badar dengan sebilah senjata tajam sehingga terputus kedua-dua belah kaki penyair malang itu.

Akibatnya, meletuslah perang antara kabilah-kabilah itu yang mujur dapat dihentikan sebelum ada sesiapa yang terbunuh!

2) Perang Fujjar Kedua. Mengisahkan seorang wanita yang dikatakan seorang yang sangat cantik berasal dari Bani Amir. Kecantikannya menarik perhatian seorang pemuda, lalu si pemuda ini meminta wanita itu mempamerkan kecantikan dan kejelitaan wajahnya.

Kemarahan

Tentu sahaja permintaan itu menimbulkan kemarahan wanita berkenaan, namun si pemuda tidak putus asa. Dia terus mengait dan menarik hujung kerudung wanita itu menyebabkan kerudung itu terbuka dan mendedahkan kecantikan wanita itu.

Perbuatan melampau pemuda ini tentu sahaja umpama api yang mencetuskan kebakaran maka berlakulah peperangan antara puak-puak yang hanya berjaya dihentikan selepas ada beberapa mangsa terbunuh.

Perang Fujjar iaitu antara Puak Quraisy dengan Puak Hawazan yang disertai oleh Nabi itu sendiri adalah yang paling lama, iaitu sehingga empat tahun lamanya.

Ini menyebabkan ada yang menyebut perang ini berakhir ketika baginda memasuki usia 20 tahun. Punca peperangan adalah pertikaian dalam urusan perniagaan di pasar Ukaz yang tidak lebih akibat salah faham sahaja.

Perang ini hanya berakhir dengan membayar diat atau wang darah kepada suku Hawazan yang lebih banyak kehilangan nyawa berbanding mangsa yang terbunuh di pihak Quraisy.

Penyertaan dalam peperangan ini tentunya memberikan satu asas yang kuat kepada baginda mampu menempuh cabaran-cabaran peperangan yang terpaksa baginda hadapi ketika secara rasmi menjadi Rasul.

Begitu pun, kita tidak boleh sama sekali menyifatkan perkara ini menjadi bukti atau asas bahawa baginda dikatakan suka kepada berperang. Atau Islam itu ditegakkan melalui sebilah pedang seperti yang dakwaan sesetengah pihak!

Baginda tidak dapat mengelak terlibat tetapi apabila berperang bagindalah panglima perang yang paling gagah berani.

Namun, di sudut yang lain, baginda adalah yang paling baik dan mengasihi musuh-musuh terutama yang menjadi tawanan!

Sumber : Utusan 11/05/2009

0 KOMEN:

Catat Ulasan

Kongsikan komen anda di sini...

Related Posts with Thumbnails