Assalamualaikum warahmatullah,
Laaamaaa Laman-Seri tak update belog. Rasa-rasanya masih belum terlambat saya membuat ucapan...
MAAF ZAHiR & BATiN
....kepada semua rakan kenalan saudara mara dan paling istimewa, pengunjung yang masih sudi menjenguk belog, walaupun sudah lama bersawang. Kesempatan ini juga, saya titipkan artikel yang dipetik dari Kosmo 17/09/2010.
Aidilfitri mengikut syariat
TRADISI berziarah dan bermaaf-maafan harus diteruskan pada Hari Raya Aidilfitri untuk mengeratkan silaturrahim sesama saudara Islam.
SYAWAL datang lagi. Aidilfitri disambut sebagai tanda kemenangan buat umat Islam setelah sebulan melaksanakan tuntutan rukun Islam yang ketiga. Biarpun disambut sebagai hari kemenangan, ini bukan bererti hari raya boleh dirayakan sewenang-wenangnya mengikut kehendak hati sendiri.
Terdapat tiga perkara yang perlu dipraktikkan di samping tiga perkara lain yang perlu ditinggalkan ketika merayakan Aidilfitri agar sambutan kemenangan ini mencapai prinsip dan hikmah yang disyariatkan oleh Allah SWT.
3B perlu dipraktikkan - Bersederhana, berziarah dan bermaaf-maafan
Bersederhana:
Syariat menggalakkan agar mereka yang berkemampuan menyediakan pakaian baru sebagai lambang keceriaan tetapi bukan sampai membazir.
Bukan saja pakaian, malah persiapan lain termasuk penyediaan kuih-muih atau hidangan berkaitan dan perhiasan rumah juga seharusnya begitu. Hari raya bukan hari untuk menukar segala perabot dan hiasan rumah yang ada kepada yang baru. Tidak perlu rasa rendah diri jika langsir anda masih sama dengan Aidilfitri tahun lalu.
Yang penting, anda bergembira pada hari raya tanpa merisaukan perbelanjaan yang memeningkan kepala. Ingatlah! Masih ada hak orang lain yang perlu anda tunaikan daripada kewangan yang anda belanjakan itu.
Berziarah:
Berziarah perlu bagi mengeratkan hubungan persaudaraan bukan saja antara sanak-saudara tetapi juga saudara sesama Islam.
Bermaaf-maafan:
Mohonlah maaf bukan saja kepada mereka yang anda pernah tersilap kata atau tersalah laku, tetapi juga kepada semua orang. Ini kerana mungkin dalam pergaulan harian, ada perkara yang mengguris hati tanpa sedar.
Amalkan untuk memohon maaf dengan jelas dan terang, bukan sekadar sebutan maaf zahir batin. Contohnya maaf kalau ada yang tersilap kata, mohon halal segala makan minum.
Berikanlah juga kemaafan biarpun anda sukar melupakan kesilapan orang lain. Siapalah anda untuk tidak memaafkan sedangkan Allah itu Maha Pengampun!
3M perlu ditinggalkan - Menunjuk-nunjuk, menghina dan menyendiri
Menunjuk-nunjuk:
Sikap riak atau menunjuk-nunjuk dilarang oleh syariat Islam. Riak tidak perlukan kata-kata bongkak tetapi memadai dengan sikap, penampilan diri termasuk perhiasan ketika hari raya. Sebagai contoh, mempamerkan perhiasan barang kemas atau perhiasan rumah yang tidak pernah dipakai sebelum hari raya.
Menghina:
Haram menghina penampilan diri atau persiapan raya orang lain. Berziarah perlu untuk mengeratkan persaudaraan, bukan untuk meneliti dan memuji atau mencaci maki perhiasan orang lain ketika hari raya.
Bersyukurlah jika perhiasan rumah dan kuih-muih anda lebih baik daripada orang lain. Jangan sangka anda memiliki kelebihan itu kerana disayangi Allah, sebaliknya ia juga sebagai ujian daripada-Nya. Insaflah! Tak mustahil tiba satu masa anda mungkin diuji pula kesusahan serupa.
Menyendiri:
Mengasingkan diri, enggan bergaul dengan orang lain, malah enggan berziarah sempena hari raya bukan sikap yang dianjurkan agama. Umat Islam diarahkan untuk saling mengeratkan hubungan sesama saudara Islam.
Sikap menyendiri tidak mungkin menjayakan tuntutan agama ini. Sewajarnya hari raya menjadi hari berkumpul seisi keluarga untuk melakukan aktiviti bersama-sama termasuk seluruh jiran tetangga.
Capaian entry berkaitan :
0 KOMEN:
Catat Ulasan
Kongsikan komen anda di sini...