Artikel diceduk dari Singapura, mungkin ada sedikit perbezaan dari segi undang-undang di Malaysia. Mudah-mudahan ada manafaatnya.
Rahmah Dan Keihsanan Di Dalam Pembahagian Harta Pusaka Di Dalam Islam:
JOINT-TENANCY, CPF NOMINATION & INSURANCE NOMINATION : PERSPEKTIF SYARIAH
Oleh Pejabat Mufti, Majlis Ugama Islam Singapura
Pendahuluan: Konsep Harta dalam Islam
Seperti juga rezeki-rezeki yang lain, harta kekayaan merupakan amanah yang mesti diuruskan dengan sebaik mungkin dan mengikut ketentuan syara’. Pemilik hakiki harta dan kekayaan adalah Allah swt. Harta yang diamanahkan akan di persoalkan tentang sumber, perbelanjaan serta penggunaannya. Sabda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam lagi yang diriwayatkan oleh At-Tirmidzi yang bermaksud: “Sesungguhnya bagi setiap umat itu mempunyai ujian dan ujian bagi umatku adalah harta kekayaan.”
Sumber harta merupakan seperkara yang amat dititik-beratkan dalam Islam. Ia haruslah berasal dari sumber yang halal, samada harta itu merupakan pendapatan, simpanan mahu pun warisan. Segala sumber rezeki yang boleh merosakan harta, akal fikiran dan segala pemberian Allah kepada manusia adalah haram. Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda yang bermaksud: “Orang yang paling dirundung penyesalan di hari kiamat ialah orang yang memperolehi harta dari sumber yang tidak halal lalu menyebabkannya masuk neraka.” (HR. Al-Bukhari)
Begitu juga cara kita membelanjakan wang tersebut. Islam melarang umatnya dari melakukan pembaziran. Cara hidup yang sederhana merupakan sesuatu yang ideal dalam Islam. Manusia mestilah menggunakan haknya sejajar dengan apa yang diperintahkan dan dibenarkan oleh syara’. Manusia tidak boleh mengunakan haknya yang boleh memudaratkan orang lain, individu atau kumpulan, sama ada memang bermaksud memudaratkan ataupun tidak. Manusia tidak boleh membazir atau merosakan sesuatupun daripada hartanya kerana perbuatan ini dilarang oleh syara’. Firman Allah s.w.t. dalam Surah Al-Israa ayat 27 bermaksud: “Sesungguhnya mereka yang membazir itu adalah saudara syaitan.”
Rahmah dan Ihsan di dalam Menguruskan Harta
Agama Islam terbina di atas dasar rahmah dan ihsan. Kedua nilai ini membentuk keperibadian Muslim dan diterjemahkan di dalam perwatakan serta sikap di dalam kehidupannya. Ia merentasi semua aspek kehidupan, termasuk di dalam menguruskan harta. Oleh yang demikian, Islam mensyariatkan perkongsian harta demi untuk menjaga masalah ahli keluarga yang lain, menerusi institusi faraidh, baitul mal dan sebagainya.
Di dalam membahagiakan harta, seseorang Muslim harus bersifat rahmah dan mempunyai belas ihsan yang berpatutan dengan ahli keluarga lain. Ini bermakna, ia harus memikirkan tentang implikasi apabila ia menuntut haknya dari faraidh contohnya. Adakah tuntutan sedemikian akan menyebabkan seseorang berada di dalam kesusahan kerana akan hilang keperluan asas, seperti tempat berteduh? Ini adalah di antara persoalan yang harus difikirkan terlebih dahulu. Dengan harta, seseorang boleh mendekatkan dirinya kepada Allah melalui sedekah dan menolong mereka yang susah. Tanggungjawab seseorang terhadap hartanya juga mesti ditunaikan. Zakat, nafkah, sedekah mestilah diberikan kepada mereka yang berhak sebagaimana Allah s.w.t. berfirman dalam Surah Az-zariyat ayat 19 yang maksudnya: “Dan pada harta-harta mereka ada hak untuk orang miskin yang meminta dan orang miskin yang menahan diri (daripada meminta).” Malah, harta boleh dijadikan alat untuk menyerlahkan sifat keihsanan seseorang dan juga memperkukuh silaturrahim antara saudara mara. Imam Ibnu Abi Jamrah berkata: “Silaturrahim itu boleh dengan harta, dengan memberikan keperluan mereka, dengan menolak keburukan dari mereka, dengan wajah yang berseri-seri serta dengan do’a.”
Umat Islam telah disebut sebagai sebaik-baik umat yang dikeluarkan untuk manusia dan Nabi kita telah diutus sebagai rahmat bagi seluruh alam. Oleh itu, kita mesti menggunakan segala sumber yang ada untuk menghidupkan visi tersebut. Ini termasuklah membelanjakan sebahagian daripada harta yang Allah kurniakan kepada kita untuk membantu mereka yang memerlukan, tanpa batasan agama, bangsa mahu pun Negara. Tanpa berteraskan rahmah dan keihsanan di dalam mengurus harta, ia boleh membawa kepada perpecahan dan pergaduhan, terutama di kalangan ahli keluarga dalam masalah harta warisan. Maka sebagai orang Islam, kita berkewajipan menerima ketentuan Allah dalam harta peninggalan, termasuk wasiat dan faraidh. Adalah perlu ditekankan bahawa harta bukanlah milik kita selamanya. Pemilik harta yang hakiki hanyalah Allah SWT dan ia harus ditadbir menurut ketentuanNya.
Hak dan Tanggungjawab di dalam Islam
Pemilikan harta dalam Islam diiringi dengan konsep tanggungjawab. Konsep pemilihan harta dalam Islam ialah sebagai pemegang amanah bertanggungjawab mengurus dan mentadbir harta sebaik mungkin menurut syariat. Tanggungjawab ini termasuklah pentadbiran harta semasa hidup di dunia dan perancangan pentadbirannya selepas kematian iaitu dengan merancang pusaka. Sememangnya setiap hukum yang ditentukan oleh Allah SWT mempunyai hikmahnya yang agung. Islam menggariskan tanggungjawab bagi setiap hak yang diberikan. Apabila seorang ketua diberi hak kuasa ke atas rakyatnya, beliau juga bertanggungjawab agar memerintah dengan adil dan sebaik mungkin. Apabila seseorang itu diberi ilmu oleh Allah SWT, beliau bertanggungjawab menyebarkan ilmu tersebut.
Begitu juga dalam sebuah rumahtangga, setiap di antara suami dan isteri mempunyai hak dan tanggungjawab yang seimbang. Allah SWT telah menyatakan dalam Al-Quran bahawa lelaki mempunyai kelebihan (pengurusan) ke atas wanita, dengan syarat beliau memberinya nafkah dan menunjukkan kepimpinan yang baik. FirmanNya dalam Surah An-Nisa’ ayat 34 yang bermaksud: “Kaum lelaki itu adalah pemimpin dan pengawal yang bertanggungjawab terhadap kaum perempuan, dengan sebab Allah telah melebihkan orang-orang lelaki (dengan beberapa keistimewaan) atas orang-orang perempuan dan juga kerana orang-orang lelaki telah membelanjakan (memberi nafkah) sebahagian dari harta mereka.” Ayat ini menjelaskan (memberi nafkah) sebahagian dari harta mereka.” Ayat ini menjelaskan kepada kita dua perkara:
- Kuasa yang diberi pihak lelaki tertakluk pada nafkah yang diwajibkan ke atas mereka. Jika beliau gagal memberi nafkah, maka secara otomatis kuasanya akan hilang.
- Kaum lelaki bertanggungjawab memberi kepada kaum wanita yang di bawah tanggunggannya, dan tanggungjawab ini mesti dilaksanakan mengikut ketentuan syara’ sebagaimana sabda Rasullullah s.a.w. yang bermaksud: “Setiap orang daripada kamu adalah pemimpin dan setiap orang daripada kamu akan ditanya tentang orang yang dipimpinnya.”
Sebaliknya, wang dan harta seorang wanita adalah hak mutlak bagi dirinya dan beliau bebas menguruskan harta itu sendiri. Seorang anak perempuan tidak wajib menanggung abang atau adik lelakinya. Begitu juga seorang isteri tidak wajib menanggung anak-anak sesudah kematian suami, malahan tanggungjawab ini beralih kepada anak lelakinya yang sudah dewasa atau saudara lelaki arwah suaminya. Dalam membicarakan pembahagian harta mengikut system faraidh, konsep amanah terhadap tanggungjawab ini perlu diperjelaskan mengikut syarak.
Kurangnya kefahaman terhadap konsep-konsep tersebut menimbulkan konflik serta kekeliruan yang seterusnya akan menjejas silaturrahim dan masa depan sesebuah keluarga itu. Dalam menentukan pentadbiran harta pusaka ini, Islam juga menghimpunkan konsep silaturrahim dan ihsan. Apabila seorang ayah meninggal dunia, ini tidak bermakna bahawa hubungan anak-anaknya dan keluarganya terputus. Sebaliknya, keluarganya berkewajipan meneruskan silaturrahim tersebut dengan menanggung anak-anak arwahnya yang masih kecil. Begitu juga adik-beradik yang telah kehilangan orang tua, disatukan di bawah meneguhkan ikatan kekeluargaan dan mengeratkan kerjasama dalam lingkungan keluarga secara turun temurun. Begitu juga Islam menggalakan agar sebahagian daripada harta peninggalan itu disedekahkan sebagai amal jariah di atas nama si mati. Sabda Rasullullah s.a.w. “Apabila seorang anak Adam itu meninggal dunia, akan terputuslah segala amalanya melainkan tiga perkara: sedekah jariah, ilmu yang bermanfaat atau anak soleh yang mendoakanya.”
Aplikasi dalam konteks Singapura
Dalam konteks kehidupan Singapura pada masa ini, tanggungjawab menyara ibu bapa dan keluarga dikongsi sama oleh pihak lelaki dan wanita. Begitu juga keadaan keluarga nuclear ketika ini bermakna sesebuah keluarga tidak lagi bergantung kepada saudara-mara apabila berlaku kematian si pencari nafkah.
SENARIO:
Satu konflik yang sering berlaku sesudah kematian seseorang ialah ahli waris menuntut hak mereka dari faraidh tanpa sifat rahmah atau rasa tanggungjawab pada tanggungan si mati. Mereka menggunakan hujah bahawa harta peninggalan merupakan hak mereka yang wajib dibahagikan mengikut faraidh. Walaupun pembahagian harta pada hukum asalnya adalah mengikut hukum faraidh, tetapi sekiranya semua waris bersetuju untuk melepaskan hak mereka dan memberikanya pada suami, isteri atau anak-anak si mati yang lebih memerlukan, ia boleh dilakukan.
JOINT-TENANCY
Kebanyankkan rumah di Singapura pula dibeli di bawah skim joint-tenancy, iaitu suami dan isteri menjadi pemilik bersama rumah tersebut. Fatwa yang dikeluarkan oleh MUIS menyatakan bahwa rumah yang dibeli di bawah skim ini menjadi milik setiap di antara mereka secara sama rata, dengan setiap seorang memiliki 50% daripada rumah tersebut. Ini bermakna, apabila salah seorang daripada pemilik itu meninggal dunia, 50% daripada harga pasaran rumah tersebut menjadi harta peninggalan.
SENARIO:
Salah satu konflik yang sering berlaku adalah apabila si mati mempunyai isteri dan anak perempuan yang masih kecil. Apabila ada ahli waris dari kalangan bapa atau adik-beradik si mati, rumah itu sepatutnya dijual dan 50% daripada hasil penjualan diagihkan mengikut hukum faraidh. Ahli waris lelaki seterusnya harus menanggung kehidupan anak yatim dan balu yang ditinggalkan oleh si mati. Akan tetapi dalam kebanyakkan kes, ini tidak berlaku. Sebaliknya apabila mereka menerima bahagian masing-masing, mereka enggan memikul tanggungjawab terhadap anak itu yang menerima bahagian yang jauh lebih sedikit. Ada juga sebahagian daripada masyarakat kita yang tidak mempedulikan tentang nafkah asas seperti tempat tinggal anak yatim itu. Apabila rumah telah dijual dan harta dibahagikan menurut faraidh, adakah si anak ini mempunyai tempat untuk berteduh? Di manakah tanggungjawab dan sifat ihsan bapa-bapa saudara mereka?
HOME PROTECTION SCHEME
Ada sebahagian daripada kita yang menyertai Skim Perlindungan Rumah atau Home Protection Scheme dengan tujuan memberi keseluruhan rumah itu pada suami, isteri atau anak-anak apabila kita meninggal dunia. Namun perlu diingat bahawa nama yang dicalonkan dalam skim tersebut (nominee) hanya berfungsi sebagai pengamanah yang mesti menguruskan rumah itu mengikut ketentuan fatwa dan hukum faraidh. Begitu juga halnya dengan pencalonan CPF atau CPF Nomination. Nama yang dicalonkan hanya bertindak sebagai pengamanah terhadap wang CPF itu dan wang itu harus diuruskan menurut cara pentadbiran harta warisan.
SENARIO:
Seorang bapa meninggal dunia dan meninggalkan wang CPF dan dua unit rumah sewa di Malaysia. Dia juga ada bernikah dengan seorang rakyat Singapura tetapi pernikahan itu berlaku di Golok. Isterinya ini juga berhak mendapat harta peninggalan berupa bahagian dari CPF dan hasil rumah sewa di Malaysia. Sekiranya wang CPF itu dinominasikan atas nama seseorang, maka nama tersebut hanyalah sebagai Pengamanah/Trustee sahaja. Dia hendaklah membahagikan wang tersebut mengikut hukum faraidh.
RUMUSAN:
Dengan ketentuan-ketentuan dan reality kehidupan sebegini, maka sewajarnya perlu seseorang Muslim mentadbir dan merancang harta terlebih dahulu sebelum apa-apa yang tidak diingini berlaku. Sememangnya kita ingin harta kita membawa keselesaan di dunia dan juga kesejahteraan di akhirat. Janganlah kerana harta yang ditinggalkan meyebabkan ahli waris bertelingkah dan berpecah-belah. Perancangan awal bagi harta sewajarnya dilakukan agar amanah yang diserahkan oleh Allah s.w.t. ini tidak mejadi hujah keatas kita di akhirat kelak. Kita perlu mengetahui instrument-intrument yang ada yang membolehkan kita memastikan kebajikan setiap ahli keluarga kita semasa hayat kita dan selepasnya. Pastikan juga bahawa hak Allah seperti zakat dan fidyah dilunaskan dan diberikan kepada meraka yang berhak. Bagi ahli waris pula, ingatlah bahawa pada setiap hak itu ada tanggungjawabnya. Sekiranya kita rasa mampu untuk menjalankan amanah tersebut, sebaiknya kita bersifat ihsan dan memberikan harta tersebut kepada yang lebih memerlukan.
CONTOH-CONTOH KEMUSYKILAN
Soalan: Bilakah hak waris bermula?
Jawapan: Hak waris bermula dari kepastian matinya orang yang mewariskan dan Setelah dilaksanakan semua hal-hal yang bersangkutan dengan harta itu, iaitu:
a) Hutang yang bersangkutan dengan harta pusaka misalnya zakat, fidyah, kaffarah dan lain-lainnya.
b) Perbelanjran mengurus jenazah secara berpatutan.
c) Membayar hutang-hutang si mati.
d) Wasiat yang tidak melebihi 1/3 dan bukan untuk waris.
Setelah dilaksanakan perkara yang disebutkan diatas, barulah harta itu menjadi pusaka yang boleh dibahagikan menurut hokum faraidh. Untuk pastikan bahagian waris dengan tepat, seseorang itu perlulah mendapatkan Sijil Warisan yang dikeluarkan oleh Mahkamah Syariah Singapura.
Soalan: Apabila si mati tidak mempunyai sebarang waris, bolehkah anak angkat menuntut seluruh harta peninggalan ayah angkatnya?
Jawapan: Anak angkat tidak boleh mewarisi seluruh harta si mati. Ini memandangkan anak angkat tu bukanlah waris yang sah dari sudut hokum agama Islam. Namun demikian, sekiranya si mati ada meninggalan wasiat yang disaksikan oleh 2 orang saksi lelaki dewasa, maka hanya 1/3 bahagian sahaja yang boleh dituntutnya. Yang selainya mestilah diserahkan kepada Baitulmal yakni Muis sebagai amal jariah si mati dan digunakan untuk maslahat umum masyarakat Islam di Singapura.
Soalan: Jika sesebuah rumah dimiliki oleh 2 penama (ibu & anak perempuan)yang mana keduanya tidak berpendapata dan bayaran bulanan dilakukan oleh suami kepada anak perempuan tersebut yang bukan warga Negara bagaimanakah pembahagian dibuat setelah kematian?
Jawapan: Memandangkan orang yang bukan warga Negara tidak dibolehkan membeli rumah HDB, tetapi dia telah menyumbangkan wangnya dalam rumah tersebut, maka beliau boleh mendapatkan wangnya semula bagi jumlah bayaran yang telah dibuatnya sekiranya rumah tersebut dijua nanti. Baki dari keuntungan tersebut baruah dibahagi mengikut hukum faraidh.
Soalan: Suami saya telah meninggal dunia 4 tahun yang lalu, 3 anak lelaki dan 1 anak perempuan yang berumur14, 12, 9 dan 6 tahun ketika itu. Dia masih mempunyai ibu dan bapa, 5 saudara lelak dan 3 saudara perempuan. Saya tidak menfaraidhkan wang cpf dan insurancenya kerana saya fakir ia hak saya sebab dinominikan kepada saya. Jika difaraidhkan, siapakah yang berhak mendapat bahagian?
Jawapan: Jawatankuasa Fatwa memutuskan bahawa Skim DPS (insuran) yang dikelolakan oleh pihak CPF ini ialah merupakan skim kooperatif bagi tujuan membantu antara ahli CPF. Ia hampir serupa dengan kumpulan khairat kematian. Oleh itu, hasilnya halal dan menjadi pusaka si pencarum. Wang CPF merupakan harta pusaka si mati. Dalam Islam nama (nominee) yang diletakkan oleh si mati adalah sebagai Pengamanah (trustee) dan bukan milik mutlak “nominee” tersebut. Sebagai Pengamanah, seseorang itu wajib membahagikan wang tersebut kepada ahli waris mengikut hukum faraidh.
0 KOMEN:
Catat Ulasan
Kongsikan komen anda di sini...