“YA ALLAH, AKU BERLiNÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA PERASAAN SEÐiH ÐAN ÐUKACiTA, AKU BERLINÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA LEMAH ÐAN MALAS, AKU BERLiNÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA BAHKiL ÐAN PENAKUT ÐAN AKU BERLiNÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA BEBAN HUTANG ÐAN TEKANAN PERASAAN.”


“YA ALLAH, BUKAKANLAH UNTUKKU PiNTU-PiNTU KEBAiKAN, PiNTU-PiNTU KESELAMATAN, PiNTU-PiNTU KESiHATAN, PiNTU-PiNTU KENiKMATAN, PiNTU-PiNTU KEBERKATAN, PiNTU-PiNTU KEKUATAN, PiNTU-PiNTU CiNTA SEJATi, PiNTU-PiNTU KASiH SAYANG, PiNTU-PiNTU REZEKi, PiNTU-PiNTU iLMU, PiNTU-PiNTU KEAMPUNAN ÐAN PiNTU-PiNTU SYURGA, YA ALLAH YANG MAHA PENGASiH LAGi MAHA PENYAYANG.”


Jumaat, Oktober 17, 2008

Mengapa kita perlu kepada makanan HALAL?

Makanan merupakan keperluan asas dalam kehidupan manusia. Tanpa makanan kesihatan manusia akan terjejas. Makanan dapat membekalkan haba dan tenaga bagi tujuan menjaga serta mengekalkan suhu badan. Ia juga berfungsi dalam aktiviti pernafasan dan aliran darah bagi semua kerja otot dalam badan serta terlibat bagi proses penggantian zat dalam badan (metabolisme). Selain itu, umat Islam memerlukan makanan untuk tujuan beribadat kepada Allah SWT.

Pemakanan dapat di takrifkan sebagai sains yang berkenaan dengan zat, khasiat dan nutrien dalam makanan. Ia merupakan kombinasi satu proses di mana organisma mengambil, menghadam, menyerap, mengangkut, mengguna dan mengkumuh bahan makanan untuk tujuan pembuatan serta membaik pulih komponen dalam badan.


Aktiviti pemakanan yang baik akan membolehkan seseorang itu mendapat faedah daripada pengambilan sesuatu makanan. Ia dapat mengawal aktiviti organ-organ tubuh badan dengan baik (mata, jantung, peparu dan sebagainya) serta membolehkan seseorang bergerak, berjalan, berlari, bekerja, dan bermain. Semua aktiviti ini sangat bergantung kepada jumlah tenaga yang mencukupi. Manakala pemakanan yang optimum pula dapat membekalkan zat makanan yang mencukupi kepada manusia bagi tujuan penjagaan kesihatan, pembentukan organ badan serta akan jarang diserang penyakit. Sementara itu, pemakanan yang buruk pula akan membuatkan zat makanan tidak mencukupi bagi kesihatan manusia. Sebagai contoh bayi atau kanak-kanak yang mengalami kekurangan protein akan mengakibatkan pertumbuhannya terbantut.

MAKANAN HALAL DAN PENSYARIATANNYA

Umat Islam perlu kepada makanan yang halal. Halal bermaksud penggunaan sesuatu makanan atau barangan yang tidak mengandungi perkara-perkara yang ditegah oleh syarak seperti khinzir, anjing, arak dan sebagainya. Ia juga mestilah diperoleh daripada sumber rezeki yang halal. Makanan yang halal mestilah baik daripada segala segi kerana sifat bagi sesuatu yang halal itu adalah baik. Firman Allah SWT yang bermaksud: "Hai sekalian manusia, makanlah yang halal lagi baik (halalan toyyiba) dari apa yang terdapat di bumi, dan janganlah kamu mengikuti langkah-langkah syaitan; Kerana Sesungguhnya syaitan itu adalah musuh yang nyata bagimu." (Surah al-Baqarah, 2:168).

Bagi menghuraikan maksud halalan toyyiba dalam ayat di atas, Jalaluddin Muhammad dalam Kitab Tafsir al-Jalalain, menyebut bahawa perkataan toyyiba (baik) itu adalah sifat kepada halal itu sendiri. Maka dapatlah di fahami bahawa setiap makanan yang halal itu mestilah juga baik daripada pelbagai segi samada bahan campurannya, bersih dalam proses penyediaan dan dapat memberi manfaat kepada tubuh badan manusia.


Selain itu, pensyariatan pemilihan makanan yang halal juga adalah jelas di nyatakan oleh Allah SWT. Terdapat banyak dalil yang menyebut berkaitan dengan hal ini, antaranya ialah:
"Hai orang-orang yang beriman, makanlah di antara rezeki yang baik-baik yang kami berikan kepadamu dan bersyukurlah kepada Allah, jika benar-benar kepada-Nya kamu menyembah." (Surah al-Baqarah, 2:172). "Hai orang-orang yang beriman, janganlah kamu haramkan apa-apa yang baik yang telah Allah halalkan bagi kamu, dan janganlah kamu melampaui batas. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang melampaui batas. Dan makanlah makanan yang halal lagi baik dari apa yang Allah telah rezekikan kepadamu, dan bertakwalah kepada Allah yang kamu beriman kepada-Nya." (Surah al-Maidah, 5:87-88).

FALSAFAH PEMAKANAN ISLAM
Islam merupakan agama yang syumul (menyeluruh). Ia mengajar umatnya dalam segala aspek kehidupan samada di dunia mahupun di akhirat. Dalam hal pemakanan, Islam telah menggariskan beberapa etika yang perlu di amalkan oleh umat manusia seperti berikut:

  • Makan Apabila Lapar Dan Berhenti Sebelum Kenyang

    Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:

    “Kami adalah satu kaum yang tidak akan makan kecuali apabila lapar dan apabila kami makan tidak sampai terlalu kenyang.” (Hadis Riwayat Abu Dawud)

  • Memilih Makanan Yang Halal Lagi Baik


    Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:

    "Hak anak ke atas bapa ialah bapa itu hendaklah memberi nama yang elok, mengasuhnya dengan budi pekerti yang baik, mengajarnya menulis, berenang dan memanah. Janganlah berikan kepadanya rezeki selain yang baik ( halal ) dan hendaklah mengahwinkannya apabila telah layak berkahwin." (Hadis Riwayat Hakim)

  • Membaca Bismillah, Ambil Dengan Tangan Kanan & Makanan Yang Terdekat

    Sabda Rasulullah SAW:

    “Bacalah Bismillah ( jika kamu hendak makan ), dan makanlah dengan tangan kananmu, dan ambillah makanan yang terdekat.” (Hadis Riwayat Bukhari & Muslim)

  • Menghormati Orang Lain

    Diriwayatkan oleh al-Baihaqi, sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:

    "Jikalau seseorang daripada kamu makan bersama-sama dengan orang ramai dan sudah berasa kenyang, maka janganlah kamu mengangkat tangan (berhenti dahulu), sehingga orang ramai sama berhenti (iaitu berhenti makan bersama-sama), ini kerana jika kamu berhenti dahulu sebelum orang lain, hal itu dapat memalukan kawanmu."

  • Tidak Membazir

    Firman Allah SWT yang bermaksud:

    "Makan dan minumlah, dan janganlah berlebih-lebihan." (Surah al-A'raaf, 7:31). Maksud berlebih-lebihan di sini ialah janganlah melampaui batas dalam mengambil makanan. Makanan perlu diambil berdasarkan keperluan tubuh badan dan di pastikan ianya adalah halal.

KENAPA MAKANAN YANG HALAL?

Persoalan yang mungkin timbul kepada manusia ialah mengapa Allah SWT dan Nabi Muhammad SAW menyeru agar umat Islam memilih makanan yang halal dalam kehidupan seharian. Sudah tentu adanya hikmah dan kelebihan yang dapat membantu manusia menjalani kehidupan sebagai hamba Allah SWT dengan lebih baik sebagaimana berikut:

  • Supaya Doa Dimakbulkan Oleh Allah SWT


    Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud :

    “Seorang lelaki bermusafir sehingga rambutnya menjadi kusut dan mukanya di penuhi debu. Dia menadah tangannya dan berdoa kepada Allah sedangkan makanannya haram, minumannya haram, pakainnya haram dan mulutnya disuapi dengan sesuatu yang haram, bagaimana akan diperkenankan pemohonannya?” (Hadis Riwayat Muslim, Ahmad & Tirmizi)

  • Selamat Daripada Seksaan Api Neraka

    Saad bin Abi Waqas bertanya kepada Rasulullah SAW:

    "Wahai Rasulullah, pintalah kepada Allah agar Dia menjadikan doaku mustajab. Jawab Rasulullah SAW: Wahai Saad, jagalah soal makanmu nescaya kau menjadi orang yang makbul doanya. Demi Allah yang nyawa Muhammad dalam tanganNya, jikalau seseorang lelaki memasukkan sesuap makanan haram dalam perutnya, doanya tidak akan diterima selama empat puluh hari. Sesiapa hamba yang dagingnya tumbuh dari makanan haram dan riba maka neraka lebih layak baginya." (Hadis Riwayat Ibnu Abbas)

  • Amal Ibadat Diterima Oleh Allah SWT.

    Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud :

    "Barangsiapa yang bersembahyang dengan mengenakan pakaian yang dibeli dengan sepuluh dirham dan satu dirham daripadanya dari sumber yang haram, Allah tidak akan menerima solatnya."

    Rasulullah SAW bersabda :

    "Allah itu suci dan Dia tidak akan menerima melainkan yang suci juga." (Hadis Riwayat Muslim)
  • Membentuk Darah Daging Yang Baik Dalam Badan

    Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:

    "Ingatlah bahawa di dalam tubuh badan manusia itu ada sepotong daging, yang apabila daging itu baik, maka baiklah seluruh tubuhnya, dan apabila ia rosak, maka rosaklah seluruh tubuh itu, ingatlah bahawa yang dimaksudkan itu ialah hati." (Hadis Riwayat Bukhari & Muslim)

Oleh yang demikian, adalah menjadi satu kewajipan dan tanggungjawab umat Islam pada hari ini untuk lebih berhati-hati dan mengambil berat berkaitan pemakanan halal ini. Hendaklah kita sentiasa memastikan bahawa setiap makanan yang diperoleh dan di makan itu adalah halal menurut syariat Allah SWT. Sesungguhnya suruhan Allah SWT ini adalah untuk tujuan dan kebaikan manusia bersama.

0 KOMEN:

Catat Ulasan

Kongsikan komen anda di sini...

Related Posts with Thumbnails