“YA ALLAH, AKU BERLiNÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA PERASAAN SEÐiH ÐAN ÐUKACiTA, AKU BERLINÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA LEMAH ÐAN MALAS, AKU BERLiNÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA BAHKiL ÐAN PENAKUT ÐAN AKU BERLiNÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA BEBAN HUTANG ÐAN TEKANAN PERASAAN.”


“YA ALLAH, BUKAKANLAH UNTUKKU PiNTU-PiNTU KEBAiKAN, PiNTU-PiNTU KESELAMATAN, PiNTU-PiNTU KESiHATAN, PiNTU-PiNTU KENiKMATAN, PiNTU-PiNTU KEBERKATAN, PiNTU-PiNTU KEKUATAN, PiNTU-PiNTU CiNTA SEJATi, PiNTU-PiNTU KASiH SAYANG, PiNTU-PiNTU REZEKi, PiNTU-PiNTU iLMU, PiNTU-PiNTU KEAMPUNAN ÐAN PiNTU-PiNTU SYURGA, YA ALLAH YANG MAHA PENGASiH LAGi MAHA PENYAYANG.”


Selasa, Oktober 21, 2008

Disiplin, kasih sayang tidak seimbang pincangkan proses mendidik anak

Oleh Noor Shakirah Mat Akhir

KASIH sayang mempunyai kesan amat kuat dalam pendidikan, khususnya bagi pembinaan keluarga. Pendidikan menggunakan kekerasan hanya mengundang padah lebih dahsyat. Pendekatan yang sama disarankan Islam dalam mendidik jiwa seseorang. Dalam konteks pendidikan kanak-kanak, pendidikan jiwa perlu diutamakan. Jiwa yang mengenal Allah, beriman dan menyembah-Nya serta bebas daripada syirik adalah matlamat pendidikan rohaniah.

Keadaan ini jelas difahami dalam al-Quran. Maksud firman Allah: "Dan (ingatlah) ketika Luqman berkata kepada anaknya, di waktu ia memberi pelajaran kepadanya: "Hai anakku, janganlah kamu mempersekutukan Allah, sesungguhnya mempersekutukan (Allah) adalah benar-benar kezaliman yang besar." (Surah Luqman, ayat 13)

Akidah kukuh lagi mantap mesti melahirkan insan beramal salih dan berakhlak mulia. Pendidikan berasaskan kasih sayang dan bertanggungjawab bererti kasih sayang rasional dan masih disertakan dengan ketegasan. Kasih sayang rasional melahirkan usaha mendidik berterusan dan tanpa putus asa daripada pendidik. Kasih sayang yang bertanggungjawab merujuk kepada niat dan matlamat pendidikan untuk melahirkan insan beriman lagi bertakwa dan beramal salih serta berakhlak mulia.

Oleh itu, ia tidak bermakna kasih sayang membuta tuli memberi fokus kepada aspek material semata-mata mahupun aspek emosi saja. Tindakan ini membabitkan aspek pendidikan spiritual yang berlandaskan syariat. Seorang kanak-kanak perlu dididik bukan saja aspek fizikal, namun spiritualnya lebih perlu diambil kira. Namun, keseimbangan kedua-dua aspek ini penting demi memastikan perkembangan individu sejahtera. Pendidikan rohani termasuk menekankan kasih sayang antara ibu bapa dan anak. Kasih sayang adalah senjata utama dalam memastikan keberkesanan didikan kerana kepatuhan mudah terhasil daripada rasa cinta dan sayang. Kecintaan kepada Allah menjadikan kita hamba yang patuh dan taat.

Ibu bapa berperanan sebagai pendidik utama kepada anak sebelum gurunya. Kasih sayang yang terjalin atas dasar ibu bapa dan anak paling berkesan bagi memastikan segala ajaran dipatuhi. Perasaan kasih sayang juga akan lebih kukuh jika pelaksanaan tugas mendidik itu disertai dengan rasa tanggungjawab dan ikhlas serta sedar bahawa ia adalah amanah dari Allah.

Didikan dengan penuh kasih sayang tidak bermakna mengabaikan aspek disiplin yang tetap penting dilaksanakan, namun atas dasar kasih dan sayang untuk menyelamatkan seorang kanak-kanak daripada salah didikan. Disiplin yang disertakan dengan kasih sayang amat berbeza dengan berbentuk penaklukan dan pemerintahan. Dalam proses pendidikan, disiplin yang disertakan dengan kasih dan sayang serta niat melaksanakan amanah Allah tentu menghasilkan natijah baik. Salah faham antara disiplin dan kasih sayang menjadikan proses didikan tidak seimbang.

Jika masyarakat semakin tidak menitikberatkan keperluan rohani iaitu kasih sayang, maka pincang pembentukan sesebuah masyarakat. Gejala sosial seperti vandalisme, rogol, buli, penderaan dan pembunuhan menunjukkan rohani manusia semakin jauh daripada perasaan kasih sayang.

Semua jenayah terhadap makhluk lain hanya dilakukan jika diri seseorang kosong daripada kasih sayang. Perasaan ini perlu ada dalam diri manusia yang merangkumi kepada Allah, diri sendiri, sesama manusia dan makhluk lain. Didikan yang penuh dengan paksaan dan kekerasan tidak menghasilkan natijah yang baik.

Memandangkan kepentingan kasih sayang dalam pendidikan individu seterusnya masyarakat, maka dalam mengkaji permasalahan melanda sekarang perlu dihalusi punca berhubungkait dengan unsur kasih sayang. Manusia yang kekurangan kasih sayang dan perhatian menjadi ganas dan tidak berperikemanusiaan. Tambahan pula jika tidak diiringi fahaman dan pegangan agama yang kukuh, manusia begini terus hanyut tanpa pertimbangan. Kasih sayang sepatutnya menjadi teras kepada pembinaan akhlak kanak-kanak yang bermula dari rumah.

Sumber: BHarianOnLine 21/10/2008

0 KOMEN:

Catat Ulasan

Kongsikan komen anda di sini...

Related Posts with Thumbnails