“YA ALLAH, AKU BERLiNÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA PERASAAN SEÐiH ÐAN ÐUKACiTA, AKU BERLINÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA LEMAH ÐAN MALAS, AKU BERLiNÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA BAHKiL ÐAN PENAKUT ÐAN AKU BERLiNÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA BEBAN HUTANG ÐAN TEKANAN PERASAAN.”


“YA ALLAH, BUKAKANLAH UNTUKKU PiNTU-PiNTU KEBAiKAN, PiNTU-PiNTU KESELAMATAN, PiNTU-PiNTU KESiHATAN, PiNTU-PiNTU KENiKMATAN, PiNTU-PiNTU KEBERKATAN, PiNTU-PiNTU KEKUATAN, PiNTU-PiNTU CiNTA SEJATi, PiNTU-PiNTU KASiH SAYANG, PiNTU-PiNTU REZEKi, PiNTU-PiNTU iLMU, PiNTU-PiNTU KEAMPUNAN ÐAN PiNTU-PiNTU SYURGA, YA ALLAH YANG MAHA PENGASiH LAGi MAHA PENYAYANG.”


Sabtu, Februari 25, 2012

Peka persekitaran anak



Ibu bapa wajib awasi sekeliling anak, amal langkah keselamatan di rumah

KEJADIAN budak perempuan berusia 10 tahun yang dijadikan tebusan oleh seorang lelaki yang merempuh masuk ke sebuah rumah di Kampung Baru, di ibu negara, baru-baru ini, bukan setakat menggemparkan tetapi cukup mencetuskan kebimbangan ramai, khususnya ibu bapa.

Apalah salah insan kecil yang belum mengenal erti jenayah, mahu pun dapat menghidu perbuatan jahat terhadapnya. Lebih menggerunkan, lelaki berkenaan secara melulu memasuki rumahnya - kawasan zon selamat bagi mana-mana penghuni. Namun, atas nama jenayah, lelaki yang berada di bawah pengaruh dadah itu tergamak melakukan perbuatan itu dengan menjadikan anak kecil itu sebagai tebusan sehingga enam jam lamanya.

Bagi kita yang bergelar pemerhati sudah cukup berkocak risau, apalagi keluarga budak perempuan itu. Kejadian itu bukanlah yang pertama seumpamanya. Pada Julai tahun lalu, kejadian 30 murid dan empat guru sebuah tadika dijadikan tebusan oleh lelaki bersenjatakan tukul di Muar, Johor serta beberapa kejadian culik kanak-kanak yang ada di antaranya berakhir dengan duka.

Hakikatnya, pelanduk sentiasa melupakan jerat, namun jerat tidak pernah melupakan mangsanya. Perumpamaan ini boleh disamakan dengan kejadian yang menimpa nasib si kecil ini kerana mereka adalah mangsa paling mudah.

Memang sukar mengelak jenayah licik, tetapi ada baiknya setiap ibu bapa mahu pun penjaga mengambil langkah sewajarnya bagi mengelak anak tersayang menjadi mangsa penjenayah tidak bertanggungjawab. Tidak kiralah di gedung beli-belah, taman mahu pun kawasan tumpuan awam, anak-anak adalah sasaran mudah. Justeru, tindakan cuai ibu bapa mahu pun penjaga alpa atau tidak mengendahkan mereka hanya boleh mengundang bahaya. Ketika itu, andai anak hilang, apakah memadai dengan hanya menjadi panik, berteriak atau menangis? Apakah yang seharusnya dilakukan?

Penganalisis jenayah, Kamal Affendi Hashim, berkata perkara pertama yang perlu dilakukan ibu bapa jika anak hilang atau dipercayai diculik adalah dengan membuat laporan segera kepada pihak berkuasa yang terdekat.

“Hilang dilarikan dan diculik adalah dua pengertian berbeza. Hilang dilarikan mungkin si pelaku mempunyai niat lain seperti ada hubungan dengan mangsa, tapi kalau diculik ia bertujuan meminta tebusan daripada ahli keluarga,” katanya ketika dihubungi.

Menurut Kamal Afendi, tindakan pertama perlu dilakukan ialah membuat laporan kepada pihak berkuasa mengenai kehilangan anak. Dalam perjalanan menuju ke balai polis, ibu bapa boleh membuat hebahan kepada rakan dan taulan juga.

“Kebanyakan ibu bapa membuat kesilapan besar apabila mereka sendiri cuba mencari anak terlebih dulu sebelum membuat laporan kerana dalam tempoh satu jam jika mereka terlewat, penjenayah sudah bergerak jauh kira-kira 60 kilometer ke luar kawasan bersama mangsa dan macam-macam boleh berlaku yang membahayakan anak itu. Selain itu, ibu bapa perlu biasakan merakam gambar anak atau ahli keluarga yang lain daripada pelbagai sudut sama ada depan, tepi, sisi atau atas untuk memudahkan mana-mana individu melihat mangsa mengecam kanak-kanak hilang,” katanya.

Selepas membuat laporan polis, barulah ibu bapa boleh meluaskan carian kepada kawasan seperti rumah tinggal, tapak kilang, kawasan perkuburan, surau lama mahupun tokong atau stesen hentian yang mungkin sudah tidak digunakan kerana pelaku mungkin membawa mangsa ke kawasan berkenaan.

“Mungkin tidak terlintas di fikiran mengenai kawasan perkuburan atau surau lama, sebaliknya penjahat mungkin berfikir tempat sedemikian lebih sesuai. Sama juga dengan kawasan perkuburan, jangan ingat kerana ia kawasan kubur serta kawasan sunyi lain seperti tapak pembinaan lama atau rumah terbengkalai mungkin menjadi pilihan penjahat bersembunyi,” katanya.

Pada masa sama, ibu bapa juga boleh bertindak sendiri, menghubungi rakan dan kenalan serta tidak terkecuali menghubungi Talian Nur di nombor 15999 bagi memaklumkan kehilangan anak mereka.

“Oleh itu, ibu bapa perlu memahami mekanisme tindakan mengenai kehilangan, apakah yang perlu dilakukan sekiranya menimpa mereka,” katanya.

Mengulas kejadian yang menimpa budak perempuan di Kampung Baru, Kamal Affendi berkata, kes berkenaan tidak mustahil berlaku kerana penjenayah berada di mana-mana.

Kes sebegini boleh dijadikan iktibar atau peringatan untuk diri dan keluarga juga. Apabila berada di rumah sama ada masa santai atau anda di dapur, pastikan keselamatan adalah nombor satu dalam segala segi. Lazimnya kebanyakan rumah di negara ini mempunyai beberapa lapisan keselamatan. Pintu jeriji, pintu tengah dan selak pintu adalah kunci keselamatan. Pastikan jeriji dikunci walaupun semua anggota keluarga ada di dalam rumah kerana ia menghalang rumah anda dari diceroboh secara mendadak.

Walau keluar sekejap pun ke halaman, pastikan pintu pagar ditutup dan beringat. Baik individu dewasa atau kanak-kanak, disiplin ini perlu diamalkan kerana ia meletakkan kita dalam keadaan selamat.

Bagaimana pula dengan aspek emosi kanak-kanak yang menjadi mangsa kejadian culik atau tebusan?

Pakar psikiatri yang juga Pensyarah Kanan Jabatan Psikiatri Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr Nik Shaliza Hussin, berkata perasaan trauma, terperanjat dan takut terhadap orang di sekeliling pasti berlaku.

“Ia adalah perkara di luar jangkaan, malah tidak pernah terlintas di fikirannya. Mangsa pasti akan berasa sakit dalam satu tempoh masa tertentu dan apabila dia mengingati semula kejadian berkenaan, dia akan berasa takut terutama apabila melihat orang kerana bimbang kejadian seumpama itu berulang kembali,” katanya.

Tambahnya lagi, untuk pulih kembali ia bergantung kepada keadaan kerana trauma itu sendiri boleh terjadi dalam pelbagai bentuk. Apa yang penting ialah sokongan penuh daripada keluarga sendiri.

“Ibu bapa seharusnya bersedia menjadi seorang pendengar yang baik kerana anak mereka pasti akan meluahkan setiap rasa kebimbangan yang dialaminya itu. Selain daripada itu, mereka juga boleh membawa kanak-kanak itu untuk menghadiri sesi kaunseling. Jangan sesekali ibu bapa cuba untuk menghalang anak-anak untuk cuba meluahkan sesuatu kerana bimbang dia akan mengingati semula, terganggu dan takut, tetapi beri peluang dia untuk bercakap kerana ia mampu mengurangkan perasaan trauma itu,” katanya.

Bergilir-gilir awasi anak

SETIAP individu khususnya ibu bapa perlu lebih prihatin dan mengambil langkah berjaga-jaga ketika membawa anak kecil di kawasan tumpuan orang ramai termasuk pusat beli-belah bagi mengelak kejadian tidak diingini seperti hilang atau diculik.

Kakitangan Swasta, Nurhidayu Ramli, berkata isu kanak-kanak hilang atau diculik sering dipaparkan di dalam media massa dan elektronik menjadikan dirinya lebih peka apabila membawa anak keluar di tempat awam.

“Kalau mengunjung gedung beli-belah membeli barangan keperluan saya akan pastikan suami, Mohammad Faizal Abd Rauh, ada bersama bergilir-gilir menjaga anak kami, Muhammad Faiz Danial yang baru saja belajar berjalan. Diakui Faiz anak yang cerdas dan lincah. Dia suka meronta-ronta minta dilepaskan ketika didukung. Memang menjadi masalah supaya tidak alami sebarang masalah,” katanya ketika ditemui.

Tegas Nurhidayu, beliau tidak sekali-kali melepaskan Faiz berjalan tanpa pengawasan kerana tidak tahu apa akan berlaku jika terlepas dari pandangan.

“Budak kecil atau kanak-kanak, memang suka berjalan sendiri dan mahu dilepas bebas ketika berada di khalayak ramai. Saya akan pastikan suami memegang Faiz dan saya memilih barang keperluan. Kami akan bergilir memegang Faiz kerana tidak mahu dia bosan. Selain tidak mahu dia berjalan di celah orang ramai, tentu ada sesuatu yang akan ditarik atau mahu bersembunyi di sebalik rak pakaian di pusat beli-belah. Ini pasti susah untuk kami memantaunya. Lebih baik kami mendukung saja si kecil ini,” katanya.

Nurhidayu berkata, beliau turut memerhatikan kanak-kanak lain yang berperangai begitu dan selalu kelihatan seperti tiada arah dituju.

“Saya agak ngeri apabila memikirkan ada anak yang dibiarkan berjalan atau merayau sendirian dalam kawasan dipenuhi orang awam. Ke mana agaknya mereka nak tuju sekiranya terpisah daripada ibu bapa yang sibuk memilih pakaian. Kalau bertembung keadaan ini, saya akan ikut kanak-kanak berkenaan atau pimpin tangannya dan bertanya mengenai ibu bapa. Saya tidak sampai hati membiarkan mereka sendirian, seboleh-bolehnya saya akan memastikan mereka bertemu kembali dengan ibu bapa atau penjaga,” katanya.

INFO - Tip keselamatan:

* Jika didapati anak hilang, ambil tindakan segera membuat laporan kepada pihak berkuasa.

* Simpan potret anak atau ahli keluarga di rumah dengan pelbagai sisi.

* Ambil tahu dengan siapa anak berkawan dan berhubung.

* Amalkan memantau kegiatan anak jika mereka kerap menghabiskan masa bersembang dalam talian.

* Pastikan pintu rumah berkunci untuk mengelakkan anak keluar tanpa pengetahuan.

* Sebarkan gambar anak atau mangsa di kawasan awam seperti stesen minyak atau hentian dan sertakan nombor telefon anda.

* Simpan talian kecemasan pihak berkuasa di rumah, termasuk nombor telefon rakan atau sahabat kepada anak anda.

* Sekiranya berlaku kehilangan, jangan panik. Rancang tindakan yang perlu dilakukan seperti memaklumkan kepada pihak berkuasa dan membuat hebahan pada awam.




Sumber : Shaidah Shafie dan Saadiah Ismail [bhnita@bharian.com.my] di BHarian 27/01/2012.

1 ulasan:

  1. Koding Berkata:
    Kanak-kanak tidak memahami bahaya yang sentiasa mengintai2 di sekeliling mereka...
    Orang dewasa perlu mengawasi mereka sepanjang masa...

    BalasPadam

Kongsikan komen anda di sini...

Related Posts with Thumbnails