Suara memperlekeh hukum, anggap hak peribadi sengaja menggalakkan kemungkaran
ESOK seluruh dunia sekali lagi dilanda fenomena berkasih sayang. Sana sini kedai bunga pasti sibuk menyediakan jambangan bunga sebagai hadiah paling istimewa sebagai menyambut ‘Hari Valentine’ atau hari kasih sayang. Sudah pasti, sejak lewat malam ini, kebanyakan kelab malam dan hotel bersedia dengan pesta kasih sayang dengan pelbagai konsep tersendiri.
Lewat malam ini juga, pasti kelihatan gelagat anak muda berpasangan berpelukan dengan penuh keasyikan, kononnya diulit rasa romantik sebagai tanda kasih sayang yang terbina selama ini ditambah erat pada hari penuh istimewa bagi mereka itu. Lena diulit intan, ramai pasangan bercinta menghabiskan sisa malam Valentine di ranjang, tanda kasih sayang termeterai walaupun tanpa ikatan pernikahan.
Bagi yang menganggap sambutan di kelab malam sehingga ke ranjang sesuatu yang keterlaluan, mereka mungkin sekadar memilih sambutan sederhana seperti makan malam ditemani lilin atau sekadar membeli hadiah sebagai tanda mereka mengingati hari yang kononnya begitu istimewa itu.
Jika tiada hadiah dibeli, khuatir nanti pasangan mencebik dan merajuk dengan tuduhan pasangannya tidak romantik dan lupa kepada hari istimewa itu. Mulalah pasangan lain dijadikan contoh betapa mereka sayang pasangan mereka dengan sekurang-kurangnya memberikan bunga dan mengucapkan: “Happy Valentine Day, sayang...”
Persoalannya, begitu pentingkah sambutan Valentine Day atau Hari Valentine ini dalam hidup kita dan sesuaikah umat Islam turut meraikannya, sedangkan sering kali setiap tahun orang agama menasihat dan memperingatkan bahawa sambutan hari kasih sayang itu tidak ada dalam Islam, malah sudah ada yang mengatakannya haram.
Hakikatnya, kita sering lupa konsep sambutan hari kasih sayang itu kebanyakannya bercanggah dengan ajaran Islam. Halalkah ciuman bagi bukan muhrim pada hari itu? Adakah Islam membenarkan pasangan kekasih berpimpin tangan, menari di kelab malam, berpelukan dan meneguk ‘air syaitan’ semata-mata untuk menunjukkan rasa sayang pada kekasihnya.
Larangan sudah jelas. Namun, pada kala ia ditegaskan betapa sambutan ini tidak dibenarkan dalam Islam, ada pula suara daripada bukan Islam yang memperlekehkan larangan ini dengan alasan sambutan sebegini adalah hak peribadi, tidak boleh diganggu dan terpulang pada individu itu sendiri. Kononnya, ini negara demokrasi.
“Haiwan itu ciptaan Allah dan haiwan juga hidup dalam peraturannya sendiri. Jelas dikatakan bahawa manusia adalah sebaik-baik ciptaan Allah, tetapi jika kita tidak mematuhi hukum Islam dan sewenang-wenangnya melanggar larangannya, manusia itu layak dianggap lebih hina daripada haiwan. Memang negara kita negara demokrasi. Ada hak kebebasan itu kepada rakyat kita, tetapi perlu diingat betapa haiwan juga tidak bebas berbuat apa disukainya. Jika manusia bebas buat apa dia suka, dianggap ia tidak masuk dalam agama. Jika sedar diri itu Islam, ikut cara dan undang-undang dalam agama ini. Jangan hidup dalam masyarakat jika mahu semuanya bebas. Jangan hidup beragama jika tidak tahu menghormati dan mematuhi hukum beragama. Jangan sampai dikatakan lebih hina daripada haiwan.”
Itu kenyataan tegas Pengerusi Majlis Fatwa Kebangsaan, Prof Datuk Dr Abd Shukor Hussin, yang jelas menolak konsep sambutan Hari Valentine terutama oleh umat Islam di negara ini dan seluruh dunia amnya. Bagi beliau, sambutan sebegitu lebih kepada menggalakkan perlakuan maksiat, sekali gus menjadikan sambutannya sebagai haram meskipun secara kecil-kecilan.
Malah, katanya, sambutan Valentine lebih kepada mengagungkan perayaan bukan Islam, selain menggalakkan maksiat. Secara terang-terangan ia diharamkan dalam Islam kerana menggalakkan perlakuan sumbang, terutama remaja yang gemar melakukan perkara dilarang termasuk maksiat.
“Kasih sayang penting dalam Islam dan menunjukkan kasih sayang tidak semestinya perlu ada hari khusus. Kita perlu saling mengasihi sesama kita. Islam mengajak umatnya mengasihi haiwan, apa lagi sesama manusia. Sayangi ibu bapa dan manusia lain, tetapi tidak perlu hari khusus. Sejarah Valentine tidak langsung menunjukkan membantu umat Islam meningkatkan amalan dan imannya. Malah, sejarah sambutan itu lebih banyak membawa kepada kerosakan akhlak. Oleh kerana itulah, Islam melarang dan jelas ia haram. Kebebasan adalah sesuatu yang sangat subjektif. Ada orang yang beranggapan menari dan minum sedikit itu sambutan kecil dan biasa. Ada yang anggap pegang dan peluk itu biasa. Soalnya, apa saja yang mereka buat itu bercanggah daripada hukum Islam dan sewajarnya dicegah. Agama lain tidak wajar masuk campur dalam urusan agama kita, sama seperti apa yang kita praktikkan,” katanya.
Beliau ternyata kurang senang apabila ada orang bukan Islam secara terang-terangan menyalahkan umat Islam yang melarang sambutan Hari Valentine dengan alasan ia adalah hak individu. Baginya, campur tangan sebegitu tidak wajar berlaku kerana setiap agama ada hukumnya sendiri dan perlu dipatuhi penganutnya.
“Untuk kamu agama kamu dan untuk kami agama kami.” Jelas dinyatakan dalam ayat akhir surah Al-Kafirun yang menunjukkan betapa Islam tegas dalam hal ini. Jaga agama kamu sendiri dan jangan sibuk dengan urusan hukum agama lain. Begitu juga kami (orang Islam) tidak sibuk dengan urusan agama kamu.”
“Dalam Islam, sambutan Valentine haram dan perlu dijauhkan. Siapa yang mungkar dan tetap menyambutnya walaupun secara kecil tetap menempah dosa kerana ia jelas bercanggah dengan Islam. Jadi, itu hukum dalam agama Islam dan tidak wajar agama lain masuk campur dalam hal ini,” katanya lagi.
Petikan : Azrul Affandi Sobry [azr@bharian.com.my] di BHarian 13/02/2012
“YA ALLAH, AKU BERLiNÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA PERASAAN SEÐiH ÐAN ÐUKACiTA, AKU BERLINÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA LEMAH ÐAN MALAS, AKU BERLiNÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA BAHKiL ÐAN PENAKUT ÐAN AKU BERLiNÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA BEBAN HUTANG ÐAN TEKANAN PERASAAN.”
“YA ALLAH, BUKAKANLAH UNTUKKU PiNTU-PiNTU KEBAiKAN, PiNTU-PiNTU KESELAMATAN, PiNTU-PiNTU KESiHATAN, PiNTU-PiNTU KENiKMATAN, PiNTU-PiNTU KEBERKATAN, PiNTU-PiNTU KEKUATAN, PiNTU-PiNTU CiNTA SEJATi, PiNTU-PiNTU KASiH SAYANG, PiNTU-PiNTU REZEKi, PiNTU-PiNTU iLMU, PiNTU-PiNTU KEAMPUNAN ÐAN PiNTU-PiNTU SYURGA, YA ALLAH YANG MAHA PENGASiH LAGi MAHA PENYAYANG.”
Isnin, Februari 13, 2012
Sambutan Hari Valentine haram, perlu dijauhi
Susunan :
Bawang Goreng
pada
2/13/2012 09:10:00 PTG
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
0 KOMEN:
Catat Ulasan
Kongsikan komen anda di sini...