Stigma masyarakat punca ramai mangsa disisih
DETIK awal mendapat tahu beliau dijangkiti virus HIV, Darshini (bukan nama sebenar) hilang kata-kata dan lebih banyak menangis serta mengurung diri di dalam bilik. Lebih menyedihkan, anak kecilnya pula dipisahkan daripadanya oleh keluarga mentua. Namun selepas bertenang dan mendapatkan nasihat daripada pihak berkaitan, dia mendapat kekuatan dan kini meneruskan hidup dengan mengambil ubat-ubatan dibekalkan pihak hospital seperti biasa sambil membesarkan anak perempuannya yang sudah meningkat remaja. Darshini dijangkiti virus yang masih belum ditemui penawarnya itu menerusi mendiang suami yang juga penagih dadah.
Baginya, tiada siapa yang boleh dipersalahkan dan perkara terbaik yang boleh dilakukan ialah mendidik anaknya menjadi insan berguna apabila dewasa kelak.
Beliau tidak pernah meminta untuk mewarisi virus yang amat digeruni itu. Berjuang untuk terus hidup adalah apa yang dilakukannya kini di samping membabitkan diri dengan badan bukan kerajaan (NGO) bagi menyedarkan masyarakat mengenai HIV/Aids.
KISAH Darshini adalah catatan pilu seorang ibu yang disisih hanya kerana berstatus penghidap HIV. Virus penyebab penyakit yang bukan lagi berkisar soal kesihatan, kelangsungan hidup tetapi turut mengheret soal kekeluargaan dan ikatan kasih antara ibu dengan anak. Lebih malang, petaka HIV itu turut hadir dalam bentuk disisih masyarakat andai rahsia penghidap itu diketahui ramai.
Inilah lumrah ‘ganas’ HIV ke atas penghidapnya, terutama wanita. Statistik pada 2010 menunjukkan sebanyak 668 kes baru membabitkan wanita dijangkiti HIV berbanding 553 pada tahun sebelumnya, manakala wanita yang hidup dengan Sindrom Kurang Daya Tahan Melawan Penyakit (Aids) meningkat kepada 167 pada 2010 daripada 119 pada 2009.
Meskipun jumlah berkenaan masih dianggap sedikit jika dibandingkan kes baru lelaki yang dijangkiti HIV pada 2010 iaitu 2,984, kajian menunjukkan kebanyakan wanita yang dijangkiti virus itu berpunca daripada suami atau pasangannya. Lebih menyedihkan, ia berlaku tanpa pengetahuan mereka sedangkan lelaki yang dijangkiti adalah disebabkan perbuatan sendiri seperti penagihan dadah dan hubungan seks rambang.
Pakar Perubatan dan Penyakit Berjangkit Jabatan Perubatan Hospital Sungai Buloh, Dr Masliza Zaid, berkata wanita lebih mudah mendapat jangkitan HIV mahupun Aids kerana perbezaan pada anggota badan seperti alat kelamin.
“Berbanding lelaki, wanita mudah mendapat jangkitan HIV kerana wanita mempunyai bukaan liang yang lebih luas pada bahagian anggota kelamin. Ketika melakukan hubungan kelamin bersama suami atau pasangan masing-masing, organ kelamin wanita iaitu vagina menjadi lebih luas berbanding organ kelamin lelaki menyebabkan mereka lebih pantas terdedah kepada HIV yang sudah menjangkiti suaminya,” katanya ketika ditemui di Hospital Sungai Buluh.
Bagaimanapun, katanya, dalam kebanyakan kes wanita lebih lambat mengesan jangkitan penyakit kelamin dan HIV kerana tiada sebarang tanda yang boleh dijadikan panduan kecuali jika penyakit berkenaan sudah memasuki tahap kritikal.
Lelaki pula, agak sukar dijangkiti penyakit, tetapi cepat dikesan kerana mereka lazimnya akan mengalami luka atau kesakitan pada bahagian anggota kelamin seperti adanya lendir dan pendarahan.
Dr Masliza berkata, kajian mendapati masalah ketara yang menyukarkan pihak hospital mengesan jangkitan di kalangan wanita ialah sikap berdikari dan senang diancam menyebabkan mereka sering menangguhkan rawatan jika mengetahui diri menghidap penyakit.
“Apabila mengetahui mereka dijangkiti HIV, ada juga yang tidak berani untuk bercerita atau berkongsi penyakit mereka dengan pihak hospital. Namun jika ada yang menemani, barulah mereka mempunyai kekuatan untuk membuat pemeriksaan mahupun berjumpa doktor. Bagi pihak hospital pula, kita dapat mengesan wanita dijangkiti HIV melalui pemeriksaan saringan ketika mereka hamil. Perangkaan ini pun diperoleh di klinik dan hospital kerajaan kerana polisi kerajaan yang ditetapkan,” katanya.
Berdasarkan prosedur yang ditetapkan kerajaan, pihak hospital akan memeriksa latar belakang dan profil pesakit, selain suami bagi mengenal pasti punca seseorang wanita itu dijangkiti HIV. Ini membolehkan pihak hospital mengetahui penularan HIV di negara ini, sekali gus dapat membantu mengurangkan jangkitan HIV di kalangan masyarakat.
Selain kegiatan suami yang terbabit dalam penagihan dadah, ada juga suami yang didapati menjalin hubungan heteroseksual dengan individu lain yang mungkin sudah dijangkiti virus berkenaan dan secara tidak langsung menyebabkan jaringan jangkitan semakin meluas.
Dr Masliza berkata, berdasarkan perangkaan terkini menunjukkan peningkatan HIV adalah disebabkan hubungan heteroseksual suami yang berpindah kepada isteri dan anak yang bakal dikandung. Malangnya, katanya, stigma masyarakat yang sering memandang serong terhadap individu yang hidup dengan virus berkenaan menyebabkan ramai wanita yang dijangkiti HIV hidup dalam serba kepayahan apabila dipinggirkan keluarga dan juga masyarakat. Dalam kebanyakan kes juga, katanya, stigma masyarakat adalah antara penyebab utama kenapa wanita tidak ingin tampil mendapatkan rawatan sekiranya mendapati mereka dijangkiti HIV.
“Masyarakat sering menganggap HIV adalah virus yang mudah dijangkiti menyebabkan mereka segera menyisih individu yang hidup dengan virus berkenaan walaupun hakikatnya ia hanya boleh dijangkiti melalui tiga kaedah, berkongsi jarum suntikan yang sama, melalui cecair badan iaitu darah dan proses bersalin atau menyusu badan membabitkan ibu/anak. Malah, jangkaan masyarakat bahawa jangkitan HIV melalui air liur atau bersentuhan, juga tidak berasas. Namun masyarakat sewenang-wenangnya membuat kesimpulan individu yang hidup dengan HIV/AIDS perlu dijauhi. Stigma inilah yang membuatkan individu berkenaan tidak mahu mendedahkan diri dan menolak rawatan kerana tidak mahu diketahui masyarakat,” katanya.
Dua kaedah rawatan bantu mangsa jalani kehidupan
MESKIPUN sehingga kini penawar HIV/Aids belum ditemui, ada dua dua cara dilakukan kerajaan bagi mengawal jangkitannya andai pesakit datang ke hospital atau klinik untuk mendapatkan rawatan. Antaranya, kaedah metadome dan pertukaran picagari yang diperkenalkan kerajaan.
Metadome ialah kaedah mengawal penyakit melalui pengambilan ubat-ubatan manakala pertukaran picagari ialah bagi menyedarkan penagih dadah supaya tidak berkongsi jarum suntikan. Menerusi kaedah itu, ketika penagih datang ke hospital atau klinik untuk mendapatkan jarum suntikan, pihak berkaitan akan mendapatkan maklumat dan akan cuba memberi kaunseling supaya mereka mahu mendapatkan rawatan untuk mengatasi masalah ketagihan.
Menurut Dr Masliza Zaid, individu yang dijangkiti juga akan diberi ubat-ubatan yang kini ditawarkan bagi mengurangkan perkembangan virus berkenaan, sekali gus memberikan kehidupan bermutu kepada individu terbabit.
“Pengambilan ubat-ubatan boleh membantu individu yang dijangkiti berada dalam keadaan sihat dan menjalani hidup selesa dengan syarat mereka tidak mengabaikan pengambilan ubat, mengikut jadual pengambilan ubat secara berterusan dan sentiasa mendapatkan khidmat nasihat doktor. Gambaran individu yang menghidap Aids seperti yang dilihat di kaca televisyen adalah tidak benar dan itulah yang menjadikan stigma masyarakat terhadap HIV/AIDS semakin menebal serta menjadikan masalah lebih besar kepada individu terbabit sekiranya masyarakat mengetahui masalah mereka,” katanya.
Bagi Dr Masliza sendiri, beliau juga mengalami masalah yang sama ketika mula-mula menjalankan tugas sebagai pakar perubatan di bahagian Penyakit Berjangkit Hospital Sungai Buloh.
“Keluarga ada bertanya kepada saya kenapa saya memilih bidang ini, namun apabila diterangkan mengenai HIV/AIDS, mereka faham dan tidak lagi mempunyai stigma terhadap individu yang hidup dengan HIV/AIDS. Masyarakat perlu memahami dan tidak wajar menjadikan stigma sebagai hukuman terhadap pesakit kerana pesakit juga perlu menjalani hidup seperti biasa. Mereka boleh berkahwin dan memiliki anak, namun perlu ada persefahaman dengan pasangan selain sentiasa merujuk kepada pihak hospital dan klinik terhadap apa saja kemusykilan mengenai HIV/AIDS dalam kehidupan rumah tangga mereka,” katanya.
Petikan : BHarian 02/02/2012
Capaian entry berkaitan :
* Laporan khas: 10 positif HIV setiap hari
* Melayu paling ramai hidap HIV/AIDS
* Awas suri rumah!
* Kadar jangkitan HIV tertinggi di Kelantan
* Laporan Khas: Remaja perlu miliki ilmu seks elak ditipu
* Kaunseling : Gadis hadapi dugaan tunang HIV
“YA ALLAH, AKU BERLiNÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA PERASAAN SEÐiH ÐAN ÐUKACiTA, AKU BERLINÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA LEMAH ÐAN MALAS, AKU BERLiNÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA BAHKiL ÐAN PENAKUT ÐAN AKU BERLiNÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA BEBAN HUTANG ÐAN TEKANAN PERASAAN.”
“YA ALLAH, BUKAKANLAH UNTUKKU PiNTU-PiNTU KEBAiKAN, PiNTU-PiNTU KESELAMATAN, PiNTU-PiNTU KESiHATAN, PiNTU-PiNTU KENiKMATAN, PiNTU-PiNTU KEBERKATAN, PiNTU-PiNTU KEKUATAN, PiNTU-PiNTU CiNTA SEJATi, PiNTU-PiNTU KASiH SAYANG, PiNTU-PiNTU REZEKi, PiNTU-PiNTU iLMU, PiNTU-PiNTU KEAMPUNAN ÐAN PiNTU-PiNTU SYURGA, YA ALLAH YANG MAHA PENGASiH LAGi MAHA PENYAYANG.”
Ahad, Februari 12, 2012
Wanita mudah HIV
Susunan :
Bawang Goreng
pada
2/12/2012 12:19:00 PTG
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
0 KOMEN:
Catat Ulasan
Kongsikan komen anda di sini...